27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Malaysia tuan rumah dua program antarabangsa anjuran IACA dan SPRM Julai Ini – Azalina

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi dua program penting yang akan diadakan pada bulan Julai ini.

Program pertama adalah Regional Summer Academy (RSA) yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perhimpunan Pihak-Pihak (AoP) Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA). Program ini akan berlangsung dari 11 hingga 14 Julai 2025.

Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah bagi International Conference on Governance and Integrity pada 15 Julai 2025, yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama SPRM, IACA, dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Presiden AoP IACA sesi ke-13, berkata kedua-dua program ini akan menjadi platform penting untuk membincangkan amalan terbaik dalam tata kelola, pencegahan rasuah, serta memperkukuh tadbir urus dan integriti di peringkat global.

“Program-program ini adalah peluang untuk memperkukuh jaringan antarabangsa dalam usaha memerangi rasuah dan memajukan tatakelola yang baik,” katanya.

Katanya, perbincangan mengenai dua program ini telah dijalankan dalam Mesyuarat Pertama Biro Sesi ke-13 AoP IACA yang diadakan di Vienna, Austria baru-baru ini.

Mesyuarat ini yang diadakan empat kali setahun, bertujuan untuk menyelia urusan pentadbiran IACA, termasuk hala tuju biro, kedudukan kewangan, dan sumber manusia.

Beliau turut mengingatkan sebagai Ketua Biro AoP yang dianggotai oleh 77 negara dan empat organisasi antarabangsa, mesyuarat ini juga memainkan peranan penting dalam merangka dasar serta strategi IACA untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai akademi latihan anti-rasuah antarabangsa.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Austria, Ikram Mohammad Ibrahim, serta pegawai-pegawai tertinggi IACA, SPRM, dan BHEUU, JPM, turut membincangkan perancangan dan persiapan untuk mengendalikan Sesi ke-14 AoP pada penghujung tahun ini.

Selain itu, Azalina berkongsi tentang lawatan kerjanya ke Vienna, di mana beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), Anna Joubin-Bret.

Perbincangan tertumpu kepada rancangan Malaysia untuk menerima pakai Undang-Undang Seragam mengenai Insolvensi Rentas Sempadan (MLCBI) UNCITRAL, bagi menyelaraskan rangka kerja insolvensi negara dengan amalan terbaik global.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia terhadap inovasi undang-undang dan tadbir urus ekonomi yang baik, terutamanya dalam mengharmonikan undang-undang insolvensi rentas sempadan di ASEAN.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Kerajaan Madani akan terus mengemudi kerjasama undang-undang serantau untuk memastikan ASEAN kekal relevan dan progresif,” katanya. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN

Popular