editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Tidak lengkap rasanya apabila berbicara tentang muzik tempatan tanpa mengimbas karya-karya agung Datuk M. Nasir.
Dari balada, pop, rock, hingga lagu patriotik dan raya, setiap karya beliau memikat hati peminat dan terus mekar walau waktu terus berlalu.
Kini, selepas kejayaan Konsert CIPTA 1 & 2 yang mencuri perhatian ramai, Sifu Seni negara ini kembali dengan satu lagi kejutan iaitu sebuah konsert mega yang pertama seumpamanya sepanjang kerjaya seninya.
Pada 13 April 2025 ini, Cipta Raya, sebuah konsert yang mengangkat martabat lagu-lagu raya, akan diadakan di Zepp KL, dengan Icon Entertainment selaku penganjur.
Konsert ini bukan sahaja menyajikan persembahan khas dari M. Nasir, tetapi juga menjadi platform untuk mempersembahkan lagu-lagu raya yang bersejarah.

“Cipta Raya adalah sebuah spin-off daripada Konsert CIPTA 2 yang berakhir dengan lagu raya ‘Satu Hari Di Hari Raya’, yang tular di media sosial tahun lalu.
“Dari situ, tercetus idea untuk mengadakan konsert khas untuk lagu-lagu raya, sebagai satu keraian Aidilfitri yang penuh bermakna,” kata Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang.
Dalam konsert ini, M. Nasir bakal mempersembahkan lebih daripada 20 lagu, di mana 17 daripadanya adalah karya-karya beliau yang berunsur raya.
Apa yang menarik, konsert ini juga akan menyaksikan M. Nasir mendendangkan lagu raya kegemaran beliau yang dinyanyikan oleh artis lain.

Bukan sekadar menyajikan muzik, konsert Cipta Raya juga menawarkan pengalaman istimewa bagi setiap pengunjung.
Setiap pembelian tiket bukan sahaja memberi akses untuk menyaksikan persembahan, malah pengunjung juga berpeluang menikmati juadah raya sebelum konsert bermula.
Seakan sebuah rumah terbuka, pengunjung dapat merasai suasana Aidilfitri sebelum bersama-sama M. Nasir menyanyikan lagu-lagu raya yang penuh nostalgia.

“Cipta Raya adalah konsert yang sangat istimewa, di mana kita merayakan kejayaan bersama seperti hari raya hari kemenangan kita semua,” kata M. Nasir, penuh semangat.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert penuh sejarah ini. Dapatkan tiket melalui www.ticket2u.com.my/MNasirCiptaRaya, dengan pelbagai kategori tiket yang boleh dipilih, termasuk VIP Box yang eksklusif.
Siapa sangka, dalam kemeriahan Aidilfitri, anda boleh menyimpan duit raya untuk membeli tiket Cipta Raya. Semua pembeli tiket juga akan menerima sampul duit raya.