24.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 8, 2026

Lancar inisiatif Iftar@Road2Haramain, MAPIM santuni jemaah haji dan umrah di tanah suci

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – MAPIM, dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Coffee Star, Aysar Sudee Sdn Bhd, dan Aysar Arab Saudi, telah melancarkan satu inisiatif istimewa yang dikenali sebagai Iftar@Road2Haramain.

Program ini bertujuan untuk menyantuni jemaah haji dan umrah di tanah suci dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang penuh bermakna, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Inisiatif ini bukan hanya sekadar memberi makan, tetapi juga menggambarkan semangat persaudaraan Islam dan kepedulian terhadap jemaah yang berada jauh dari tanah air, memastikan kebajikan mereka terus dijaga.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen MAPIM untuk memastikan kebajikan jemaah haji dan umrah terus terjaga, terutamanya sepanjang bulan Ramadan ini.

“Program ini bukan hanya sekadar memberi makanan, tetapi lebih kepada satu bentuk penghargaan dan menyantuni jemaah yang sedang menunaikan ibadah di Tanah Suci.

“Ini juga mencerminkan semangat persaudaraan Islam dan kepedulian kita terhadap mereka yang berada jauh dari tanah air.

“Memberi makan kepada orang yang berpuasa adalah amalan yang besar pahalanya, sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah,” katanya.

Program Iftar@Road2Haramain akan dilaksanakan di beberapa lokasi strategik seperti Lapangan Terbang Malaysia (KLIA & KLIA2), Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (Jeddah), serta kawasan sekitar Makkah dan Jeddah.

Sasaran program ini adalah untuk menyediakan 10,000 pek makanan setiap hari.

Antara menu yang disediakan termasuklah nasi belauk, gulai kawah, masak hitam, sambal, serta Kopi Coffee Star.

Penyediaan makanan untuk iftar ini disediakan oleh Aysar Sudee Sdn Bhd, sebuah syarikat gabungan Malaysia yang terkenal dengan pes kering Sudee, dan Aysar Saudi, penyedia dapur untuk masakan di Makkah.

Fasiliti dapur moden ini mampu menghasilkan hingga 25,000 pek makanan pada satu masa.

Dengan menggunakan pes kering Sudee yang terkenal dengan kualiti dan konsistensinya, proses penyediaan makanan dapat dilakukan dengan pantas dan dihantar kepada jemaah dalam keadaan yang panas dan segar.

MAPIM turut mengajak lebih banyak pihak termasuk badan korporat, NGO, dan individu dermawan untuk turut serta dalam menjayakan program ini.

Sumbangan dan penyertaan sukarelawan amat dialu-alukan bagi memastikan kelangsungan program ini.

“Kami berharap lebih ramai pihak dapat memberi sokongan sama ada melalui sumbangan kewangan atau tenaga sukarelawan.

“Setiap usaha yang diberikan akan memberi impak besar kepada ribuan jemaah yang berada di Tanah suci,” kata Mohd Azmi lagi.

Dengan kerjasama erat daripada rakan strategik dan sokongan masyarakat, MAPIM yakin program Iftar@Road2Haramain akan berjaya dan membawa keberkatan kepada semua yang terbabit.

Untuk maklumat lanjut atau jika ingin menyertai program ini, hubungi MAPIM Malaysia melalui saluran rasmi mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular