26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Sinar Kasih Ramadan: Mamee-Double Decker, YBK ringankan beban keluarga miskin di Hulu Langat

editormaxinfo@gmail.com

HULU LANGAT – Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap masyarakat yang memerlukan, Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd. telah berganding bahu dengan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk menyampaikan sumbangan Sinar Kasih Ramadan (SKR) kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di daerah Hulu Langat.

Program yang menjadi tradisi setiap tahun ini mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee-Double Decker, Ahmad Syukry Ibrahim.

Turut bersama menyertai program ialah pegawai-pegawai dari Mamee-Double Decker, Pengurus Besar YBK Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz serta sukarelawan dari Persatuan Penduduk Taman Sri Nanding dan guru-guru SK Sungai Serai.

Sebanyak lapan keluarga miskin dan miskin tegar yang terpilih untuk menerima sumbangan pada kali ini.

Mamee yang juga rakan strategik aktif bagi YBK sejak sekian lama, sekali lagi tampil menyumbangkan barangan kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan miskin dan miskin tegar.

Sumbangan berupa barangan makanan, termasuk produk Mamee, diberikan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh kerjasama dua pihak dalam membantu meringankan beban keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan ini.

Ahmad Syukry berkata, pentingnya kerjasama antara syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Kami sangat berterima kasih kepada YBK kerana memberi peluang kepada kami untuk bersama-sama membantu meringankan beban keluarga yang kurang bernasib baik pada bulan yang mulia ini.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan dan keringanan di hati mereka yang menerimanya,” katanya.

Sinar Kasih Ramadan 2025 yang memasuki edisi ke-17 tahun ini, bertujuan untuk menyampaikan bantuan kepada 200 keluarga miskin yang telah disaring dengan teliti.

Penyerahan sumbangan ini telah dimulakan sejak seminggu sebelum Ramadan dan dijangka akan selesai sepenuhnya menjelang pertengahan Ramadan.

Sementara itu, Muhammad Sherhan berkata, program seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan dan memastikan mereka dapat merasai keberkatan bulan Ramadan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas, dan semoga Ramadan tahun ini membawa lebih banyak keberkatan kepada semua,” katanya.

Melalui Sinar Kasih Ramadan, bukan sahaja barangan keperluan asas yang disumbangkan, tetapi ia juga membuktikan pentingnya semangat kerjasama dan perpaduan dalam masyarakat, di mana semua pihak baik individu, korporat mahupun NGO boleh memainkan peranan untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya di bulan yang penuh makna ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular