editormaxinfo@gmail.com
DAVOS – Kerajaan sedang merangka pendekatan yang lebih bersasar untuk pemberian tol percuma semasa musim perayaan, khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah berkenaan selaras dengan usaha penyelarasan subsidi kerajaan dan bertujuan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, berbanding pemberian tol percuma yang diberikan secara menyeluruh kepada semua golongan.
“Sesetengah pihak mempersoalkan mengapa tol percuma diberikan kepada semua, termasuk pemilik kereta mewah seperti Rolls Royce, Mercedes, dan Maserati.
“Oleh itu, kita perlu teliti dalam memastikan bahawa golongan yang benar-benar terkesan di peringkat bawah diberi pertimbangan yang lebih wajar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan tidak lagi akan memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya pada musim perayaan bermula tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet tahun lalu dan menegaskan bahawa ia akan digantikan dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Pendekatan baru ini dijangka akan memberikan manfaat yang lebih tepat kepada mereka yang layak dan memerlukan bantuan, dengan tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

