28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Kastam komited beri kerjasama dengan polis siasat kes peras ugut di Kapar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis berhubung kes peras ugut yang membabitkan beberapa pegawai dan anggotanya di sebuah kilang di Kapar, Klang, Selangor.

Kes berkenaan tular di media sosial baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

JKDM dalam satu kenyataa hari ini berkata, jabatan itu memandang serius terhadap sebarang dakwaan salah laku yang membabitkan pegawai dan anggotanya.

“JKDM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dengan sebarang salah laku, termasuk jenayah rasuah,” tegas kenyataan itu.

Kes ini membabitkan dakwaan bahawa pegawai dan anggota JKDM telah melakukan peras ugut ke atas sebuah kilang di Kapar dengan meminta wang tunai berjumlah RM150,000.

Video yang tular di TikTok pada 30 Disember 2024 dan 14 Januari 2025 menunjukkan beberapa individu yang mengaku sebagai pegawai kastam menyerbu kilang terbabit.

Video itu turut memaparkan salinan laporan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa berkaitan dengan kejadian berkenaan.

“JKDM memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh,” kata pihak jabatan dalam kenyataannya itu.

Mereka turut menegaskan bahawa tindakan terhadap pegawai atau anggota yang terlibat akan diambil berdasarkan hasil siasatan PDRM yang sedang berjalan.

Sementara itu, JKDM berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti demi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap jabatan ini kekal terpelihara.

Kes ini menambah lagi ketegasan JKDM dalam memastikan tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran etika dan salah laku dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular