editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi, penulis lagu, komposer, dan penerbit muzik ALYPH, yang semakin menyerlah dalam industri muzik tempatan, bakal melancarkan album terbaharunya, The Storm, pada 24 Januari 2025.
Album ini bukan sekadar sebuah karya seni, tetapi sebuah perjalanan emosi yang mendalam, mengupas tentang kemegahan diri, cinta, serta penderitaan yang dilalui dalam proses bermuhasabah tentang masa lalu, kini, dan masa depan.
Karya-karya ALYPH, yang kini dikenali sebagai seorang figura ikonik dalam dunia muzik Malaysia, telah mendominasi pelbagai platform muzik.
Namun, selepas memberi dedikasi kreativitinya untuk artis lain, ALYPH akhirnya membuat keputusan untuk menghasilkan sebuah album yang sepenuhnya mencerminkan bunyi dan ideologi peribadinya.
“The Storm datang secara semula jadi, tanpa dipaksa. Ia merujuk kepada ribut yang tidak dapat diramal kita tidak tahu bila ia akan melanda, apa yang akan berlaku, dan bagaimana ia akan berubah.
“Tetapi apa yang pasti, ada banyak emosi yang terpendam perlu dilepaskan,” kata ALYPH ketika sesi pra-dengar albumnya itu di Maveriq Studio, Petaling Jaya.

The Storm adalah album yang sarat dengan emosi peribadi dan perjalanan hidup ALYPH, yang mengambil inspirasi daripada pengalamannya sendiri.
Setiap lagu dalam album ini adalah hasil daripada kisah benar dan pengalaman hidup yang dihimpun dengan pelbagai cerita lain untuk mencipta sebuah pengalaman baharu yang dapat dihayati oleh pendengar.
ALYPH mengakui bahawa proses mencipta muzik memberi kebebasan ekspresi yang tidak dapat dirasai ketika berbicara secara langsung.
“Ia adalah refleksi diri saya, tentang bagaimana saya berkembang sebagai seorang individu dan seorang artis.
“Album ini menggambarkan perjalanan saya melalui kedewasaan, belajar tentang kehidupan daripada ibu saya, dan banyak lagi tentang aspek kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan,” katanya.
Antara momen paling memuaskan bagi ALYPH adalah ketika berjaya menyiapkan tujuh lagu dalam tempoh yang singkat, di mana lagu Ingat dianggap sebagai titik tolak bagi kebangkitan semula kreativiti ALYPH.
“Lagu Ingat dan Gerak adalah yang paling mencabar, kerana saya perlu menyentuh kisah peribadi yang begitu mendalam,” kata ALYPH mengenai dua lagu yang mempunyai makna besar dalam album ini.
Salah satu aspek menarik dalam The Storm adalah kerjasama ALYPH dengan penyanyi Ziana Zain, menerusi lagu Gerak dan Teman.
Menurut ALYPH, berkolaborasi dengan Ziana Zain adalah suatu impian yang menjadi kenyataan, kerana beliau sangat mengagumi Ziana sebagai seorang penghibur lagenda.
Selain Ziana Zain, album ini juga menampilkan GARD, seorang bakat muda dalam genre hip-hop tempatan, yang turut menyumbang dalam lagu Sorok Muka.
Gabungan dua bakat besar ini pasti akan memberikan dimensi baru kepada industri muzik tempatan.

Sebanyak 12 lagu dimuatkan dalam The Storm, termasuk Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Mekar, Dari Jauh, Siapa Yang Ajar?, dan Sorok Muka (feat. GARD), selain Ingat, Gerak, dan Teman.
Menjelang pelancaran album ini, ALYPH turut memperkenalkan lagu Saham Naik semasa siri jelajah Uni-Verse 2024 yang diadakan pada bulan November lalu.
Lagu ini mendapat sambutan yang hangat, dan ALYPH sempat mempersembahkan lagu berkenaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia, termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
The Storm bukan hanya sekadar album; ia adalah manifestasi perjuangan ALYPH untuk menembusi batasan diri dan terus berkembang sebagai artis yang semakin matang, membawa muzik yang penuh dengan kisah hidup, kesakitan, dan penyembuhan.
Album ini pastinya akan menjadi salah satu karya terpenting dalam perjalanan seni ALYPH, dan tidak sabar untuk dinikmati oleh peminat.

