editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dengan bangga memperkenalkan Kad Kredit-i Mastercard World Premier Wealth, yang direka khusus untuk pelanggan mewah melalui jemputan eksklusif.
Kad ini menawarkan gabungan keistimewaan dan manfaat yang menarik, serta menyasarkan untuk memenuhi gaya hidup lebih premium bagi golongan pelanggan berpendapatan tinggi.
Sebagai penghargaan kepada pelanggan terawal, Bank Islam menyediakan ganjaran sebanyak 5,000 mata Enrich kepada 200 pelanggan pertama yang memohon dan membuat perbelanjaan minimum RM500 sebelum 31 Mac 2025.
Ini memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati ganjaran yang menarik serta pelbagai manfaat tambahan.
Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, kad eksklusif ini dirancang khusus untuk meningkatkan pengalaman hidup pelanggan mewah, menawarkan pengecualian yuran tahunan seumur hidup serta ganjaran TruPoints yang sangat kompetitif.
Kad ini juga terbuka kepada pelanggan yang memiliki aset di bawah pengurusan (AUM) bernilai sekurang-kurangnya RM250,000.
Dengan pengenalan kad ini, Bank Islam mensasarkan peningkatan 10 peratus dalam portfolio pengurusan kekayaan dan kad kredit mereka menjelang tahun 2025, sebagai sebahagian daripada usaha untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam perbankan patuh Syariah di Malaysia.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram, berkata, sebagai peneraju perbankan Islam di Malaysia, mereka komited untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang menyeluruh dan patuh Syariah bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
“Kad ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan pengalaman perbankan premium yang terbaik kepada pelanggan mewah kami,” katanya.
Langkah ini dijangka akan memacu pertumbuhan segmen pengurusan kekayaan Bank Islam, sekaligus memperkukuh kedudukan bank dalam pasaran perbankan Islam yang semakin berkembang pesat.

