editormaxinfo@gmail.com
KLANG – 361°, jenama global terkemuka dalam pakaian sukan berprestasi tinggi, kini melangkah ke pasaran Malaysia dengan pembukaan cawangan pertamanya di pusat beli-belah AEON Bukit Tinggi, Klang.
Pembukaan ini menandakan langkah pertama jenama berkenaan untuk memperkukuh kedudukannya di Asia Tenggara, sambil menyediakan pelbagai pilihan pakaian sukan inovatif bagi atlet dan penggemar kecergasan di seluruh rantau ini.
Cawangan pertama 361° di Malaysia menawarkan koleksi produk premium jenama tersebut termasuk kasut larian canggih, pakaian atletik, dan aksesori prestasi.

Kedai ini turut direka dengan konsep yang menarik dan imersif, memberikan pengalaman membeli-belah yang unik dan mempamerkan inovasi terbaru dalam teknologi pakaian sukan serta reka bentuk berfokuskan prestasi.
Pengurus Besar 361° OSD (Jabatan Antarabangsa), Dutch Ouyang berkata, mereka amat teruja untuk memperkenalkan 361° kepada pasaran Malaysia dengan pembukaan kedai pertama itu.
“Malaysia memiliki budaya sukan yang berkembang pesat, dan minat yang semakin meningkat terhadap kecergasan menjadikannya lokasi yang sangat sesuai bagi kami untuk memperkenalkan produk premium kami.
“Kami yakin pengguna Malaysia akan menghargai gabungan reka bentuk canggih, teknologi unggul, dan prestasi luar biasa yang kami tawarkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar 361° Sports Malaysia, Jason Khoo berkata, mereka sedar produk-produk dari China semakin diterima baik di kalangan pengguna Malaysia.
“Oleh itu kami berhasrat untuk memperkenalkan produk inovatif serta mampu milik ke pasaran Malaysia. AEON Bukit Tinggi dipilih sebagai lokasi pertama kerana daya tarikannya yang mesra keluarga dan lokasinya yang strategik.
“Kami juga merancang untuk membuka lebih banyak kedai di kawasan Lembah Klang pada tahun ini, serta bekerjasama dengan pusat membeli-belah ternama seperti Parkson dan Sogo.
“Sasaran kami adalah untuk membuka 3 hingga 5 cawangan di sekitar Lembah Klang sepanjang tahun ini,” katanya.

Jenama 361° telah meluaskan sayapnya ke lebih 60 negara dan memiliki lebih 10,000 cawangan di China.
Cawangan terbaru ini akan menawarkan pelbagai pilihan kasut, pakaian, dan aksesori untuk pelbagai jenis sukan termasuk larian, bola keranjang, aktiviti luar, latihan, dan banyak lagi.
Produk 361° direka untuk memenuhi keperluan atlet profesional mahupun peminat kecergasan, dengan tumpuan pada inovasi yang meningkatkan prestasi serta memberikan keselesaan luar biasa. Selain itu, 361° juga merupakan rakan rasmi Majlis Olimpik Asia.
Bagi memeriahkan lagi pembukaan cawangan pertama ini, 361° menawarkan promosi eksklusif dan diskaun terhad kepada pelanggan, memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan produk berprestasi tinggi pada harga istimewa.

Syarikat ini juga akan menganjurkan pelbagai acara untuk membabitkan pelanggan dan mempamerkan koleksi terbaru mereka.
Dengan pembukaan cawangan pertama ini, 361° semakin mengukuhkan komitmennya untuk menyokong gaya hidup aktif dan kecergasan, serta menyediakan peralatan sukan terbaik untuk memenuhi keperluan peminat sukan di Malaysia.