editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sony Music Malaysia mempersembahkan kolaborasi epik antara pelakon berbakat, Hun Haqeem dan bintang hip hop, Noki K-Clique, dalam single terbaharu mereka berjudul “Untuk Semua Jiwa”.
Lagu ini dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk filem yang sangat dinantikan, Soloz Game of Life, yang bakal ditayangkan mulai 23 Januari 2025.
Lagu “Untuk Semua Jiwa” menggambarkan tema perjuangan, persahabatan, dan keazaman – nilai-nilai yang diangkat dalam filem Soloz Game of Life yang mengisahkan perjalanan seorang pemain e-sports Mobile Legends.
Hun Haqeem berkata, lagu ini bukan hanya tentang menjadi juara untuk diri sendiri, tetapi untuk semua, menyampaikan satu mesej penting dalam kehidupan.

“Lagu ini menggambarkan cerita Soloz Game of Life dengan sangat baik. Ia bukan sekadar tentang menjadi juara berseorangan, tetapi juara untuk semua.
“Ini adalah mesej penting yang saya ingin sampaikan kepada peminat,” katanya.
Sementara itu, Noki berkata, lagu ini memberi semangat kepada anak muda kita sekarang.
“Ia sarat dengan mesej positif dan motivasi yang mencerminkan tema utama dalam filem ini,” katanya.
Proses kreatif di sebalik “Untuk Semua Jiwa” membabitkan komposer dan penulis lirik berpengalaman, yang berjaya menghasilkan sebuah karya dengan elemen electro-rock dan beat moden.
Gabungan vokal unik Hun dan gaya rap padu Noki menjadikan lagu ini begitu berkuasa dan bersemangat.
“Kami bukan sahaja terbabit dalam filem ini sebagai pelakon, tetapi juga berkongsi visi yang sama dalam lagu ini.
“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Noki,” kata Hun, yang teruja dengan pengalaman pertama dalam bidang nyanyian.
“Hun mempunyai vokal yang sangat menarik dan saya percaya dia boleh mengembangkan bakat nyanyiannya dengan lebih jauh,” kata Noki.
Sebagai debut nyanyian Hun, “Untuk Semua Jiwa” adalah langkah besar dalam kerjaya seni beliau.
“Lagu ini sangat dekat dengan hati saya kerana ia adalah OST untuk filem yang saya lakonkan.
“Saya harap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada pendengar untuk terus berjuang dan tidak berputus asa,” kata Hun.
Noki turut berharap agar lagu ini dapat memberi semangat kepada pendengar yang menghadapi cabaran dalam hidup.

“Saya harap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada semua orang untuk terus mengejar impian mereka,” katanya.
Pada 14 Disember 2024 lalu, buat pertama kalinya, Hun dan Noki mempersembahkan “Untuk Semua Jiwa” secara langsung di M6 World Championship yang berlangsung di Axiata Arena, di hadapan peminat yang tidak sabar untuk mendengar karya terbaharu mereka.
Lagu “Untuk Semua Jiwa” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music.
Video muzik rasmi bagi lagu ini, yang menampilkan visual yang sejajar dengan tema Soloz Game of Life, juga akan disiarkan secara eksklusif di saluran YouTube sonymusicMYVEVO dalam waktu terdekat.
Dengan kombinasi bakat dua artis muda berbakat dan mesej yang penuh inspirasi, “Untuk Semua Jiwa” menjanjikan impak yang besar, menggalakkan semangat juang dan memberi motivasi kepada pendengarnya.

