31.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

DPIM cadang kerajaan perkukuh Waqaf Korporat untuk tingkatkan ekonomi Islam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) hari ini mengemukakan cadangan agar kerajaan memperkukuhkan inisiatif Waqaf Korporat sebagai strategi transformasi untuk memperkasakan ekonomi komuniti Islam di Malaysia.

Cadangan itu disampaikan dalam pertemuan strategik antara DPIM dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden DPIM, Dato’ Mohammad Sahar Mat Din, dalam satu kenyataan berkata, Waqaf Korporat adalah pendekatan berpotensi untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dengan memanfaatkan instrumen ekuiti waqaf yang mampan, lestari, dan berdaya tahan.

Katanya, inisiatif ini membabitkan pelaburan strategik dalam syarikat-syarikat berprestasi tinggi, penggabungan syarikat-syarikat sederhana untuk menjadi entiti yang lebih kukuh dan layak disenaraikan di Bursa Malaysia, serta pembiayaan mikro waqaf dan geran padanan untuk menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pendekatan ini sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), dengan sasaran utama meningkatkan pemilikan ekuiti waqaf dalam sektor-sektor ekonomi yang strategik dan berprestasi tinggi.

“Waqaf Korporat berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negara dengan mewujudkan sistem sokongan yang lebih kukuh untuk usahawan.

“Ia tidak hanya meningkatkan daya saing dalam kalangan komuniti keusahawanan Islam, tetapi juga memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan adil untuk jangka panjang,” kata Mohammad Sahar.

Beliau turut menekankan, dengan perancangan yang terstruktur selama lima tahun, inisiatif ini dapat mempertingkatkan pemilikan ekuiti waqaf, memperluaskan penyertaan syarikat waqaf korporat di Bursa Malaysia, serta membangunkan syarikat waqaf korporat yang kompetitif pada peringkat global.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut memberikan sokongan penuh terhadap cadangan ini dan mencadangkan agar kerjasama dengan agensi serta kementerian kerajaan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan yang lebih lancar dan berkesan.

DPIM juga optimis dengan kerjasama dan komitmen semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan dan sektor swasta, inisiatif Waqaf Korporat ini akan memberi manfaat besar kepada ekonomi umat Islam dan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

DPIM menyeru agar semua pihak, terutamanya usahawan, dapat berganding bahu merealisasikan visi ini untuk menjayakan ekonomi Islam yang lebih progresif, inklusif, dan mampan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular