26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Anwar lancar kiosk Sentuhan MADANI pertama, permudah akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kiosk Sentuhan MADANI pertama bakal dilancarkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kiosk ini adalah salah satu inisiatif terbaharu kerajaan untuk mempermudah akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan.

Pelancaran kiosk berkenaan dijadualkan akan berlangsung di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya pada jam 3 petang.

Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI Pejabat Perdana Menteri, Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata, kiosk ini akan menyatukan lebih 90 perkhidmatan kerajaan yang boleh diakses oleh orang ramai.

Sebanyak enam agensi dan syarikat utama akan terbabit dalam menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat.

Antara agensi yang terbabit ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta MyDigital ID.

Inisiatif ini sebahagian daripada usaha Perdana Menteri yang turut menggariskan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, untuk memperkemaskan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan bahawa semua perkhidmatan kerajaan harus diselaras dengan lebih efisien untuk memudahkan rakyat berurusan di luar waktu pejabat.

Beliau juga menegaskan urusan perniagaan dengan kerajaan perlu dinilai semula agar ia tidak merumitkan syarikat-syarikat dengan pelbagai prosedur pendaftaran yang berbeza.

“Urusan kerajaan membabitkan perniagaan juga perlu dinilai semula. Ini juga satu hal yang merumitkan. Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan dengan KWSP, Perkeso dan HRD Corp sedangkan maklumat pekerja adalah sama?.

“Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Kerajaan bertegas untuk menelusuri hal ini,” kata Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Selain itu, difahamkan bahawa sebanyak 38 buah pusat beli-belah di seluruh negara akan terbabit dalam pelaksanaan inisiatif ini.

Langkah ini diharapkan akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam jangka masa panjang, serta memberikan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat yang ingin mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Pelancaran kiosk ini bukan sahaja bertujuan untuk mempermudah urusan kerajaan, tetapi juga untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memberi ruang kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan dengan lebih cepat dan mudah.

Dengan adanya kiosk-kiosk ini, rakyat tidak lagi perlu pergi ke pejabat kerajaan atau beratur panjang, sebaliknya dapat menyelesaikan urusan mereka dengan lebih praktikal dan efisien, terutamanya bagi mereka yang memiliki jadual yang padat.

Inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan memberi keselesaan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

Diharapkan, pelaksanaan kiosk ini dapat menjadi langkah awal kepada pelbagai inisiatif kerajaan yang akan mempermudahkan lagi akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan pada masa akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular