30.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Tiada negeri tertinggal dalam kempen TMM2026 – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada negeri akan terpinggir dalam usaha menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Beliau mengarahkan agar semua kementerian fokus meningkatkan kemampuan Malaysia dalam sektor pelancongan, pelaburan, dan ekonomi demi merealisasikan sasaran besar TMM2026.

Dengan sasaran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion dan kehadiran 35.6 juta pelancong, Anwar percaya, pencapaian ini hanya dapat direalisasikan melalui kerjasama semua pihak, termasuk sektor kerajaan, swasta, serta masyarakat.

“TMM2026 adalah pendekatan baru untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, dan saya ingin memastikan bahawa tiada negeri yang terpinggir dalam usaha ini,” kata Anwar ketika Majlis Peluncuran Kempen TMM2026.

Beliau turut menegaskan bahawa kehadiran 35.6 juta pelancong dengan unjuran pendapatan RM147.1 bilion adalah realistik dan boleh dicapai.

Sekiranya berjaya, impaknya bukan sahaja akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan tetapi juga industri makanan, minuman, dan banyak lagi.

Dalam masa yang sama, Anwar menegaskan bahawa matlamat utama kempen ini adalah mempromosikan pelancongan yang mampan, mesra alam, dan memberi manfaat kepada komuniti tempatan.

Katanya, Malaysia bukan sekadar destinasi pelancongan biasa, tetapi destinasi unik yang kaya dengan pelbagai budaya dan bangsa.

“Pelancongan adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, namun kita ingin memastikan ia berlangsung dalam cara yang lestari dan menghormati alam sekitar,” tambah beliau.

Anwar berkata, kempen TMM2026 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempersiapkan negara sebagai destinasi utama pelancongan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Dengan penekanan pada penyertaan semua negeri, beliau menekankan pentingnya kempen ini memberi impak kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, dan peruncitan di seluruh negara, termasuk di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular