editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberi hujah mengejutkan di Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah sebenarnya wujud, namun telah disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyatakan bahawa perintah terbabit telah ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Beliau juga mendedahkan bahawa anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar, telah mengesahkan kewujudan Titah Adendum ini yang diterima daripada Istana Pahang.
Shafee berkata, surat bertarikh 4 Januari lalu yang diterima Mohamad Nizar dari Majlis Kesultanan Pahang turut menyokong kesahihan perintah berkenaan.
Surat ini ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, yang mengesahkan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
“Walaupun telah menghantar enam surat kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara untuk mengesahkan kewujudan Titah ini, malangnya kami tidak mendapat sebarang maklum balas,” kata Shafee dalam hujahannya.
Najib, 72, kini merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum berkenaan.
Bekas Presiden UMNO itu mendakwa bahawa Titah Adendum terbabit membolehkannya menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah di kediamannya.
Sebagai rekod, pada 23 Ogos 2022, Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd.
Walau bagaimanapun, pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, yang menyaksikan Najib dijangka dibebaskan lebih awal pada 23 Ogos 2028.
Kes ini terus menarik perhatian ramai apabila hujah-hujah berkenaan Titah Adendum yang didakwa disembunyikan semakin mendapat perhatian di mahkamah.
Perbicaraan rayuan ini dijadualkan akan diteruskan selepas penangguhan 10 minit bagi hujah lanjut.