33.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Pengembara Malaysia diminta muat turun aplikasi MyBorderPass untuk kemudahan di KLIA – KDN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengembara Malaysia yang merancang untuk ke luar negara melalui sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diminta untuk memuat turun aplikasi MyBorderPass.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Dalam satu kenyataan berkata, sistem pintar ini dijangka akan meningkatkan pengalaman pengembara Malaysia mulai Januari 2025.

Untuk memanfaatkan kemudahan ini, orang ramai perlu memuat turun aplikasi terbabit dan mendaftar maklumat perjalanan ke destinasi luar negara bagi mempercepatkan proses pelepasan imigresen mereka.

Pengesanan wajah juga diperlukan sebelum memulakan perjalanan atau semasa ketibaan di lapangan terbang.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengumumkan bahawa sistem ini tersedia di 40 lorong khas yang terletak di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

Pelaksanaan sistem ini bertujuan bukan sahaja untuk mempercepatkan proses pelepasan imigresen, tetapi juga menangani isu kesesakan, terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan.

Dengan sistem baharu ini, proses pelepasan imigresen dijangka hanya mengambil masa antara lima hingga tujuh saat, jauh lebih pantas berbanding 15 hingga 25 saat yang diperlukan dengan pintu automatik konvensional.

Walau bagaimanapun, pengembara masih dikehendaki membawa buku pasport mereka sepanjang masa, terutamanya ketika berada di balai pelepasan atau ketibaan, meskipun mereka menggunakan aplikasi terbabit.

Langkah ini dijangka akan meningkatkan kelancaran perjalanan bagi pengembara Malaysia, memberi pengalaman yang lebih efisien dan mengurangkan kesulitan semasa proses imigresen.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular