editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberi jaminan mereka akan terus memberikan sokongan kewangan kepada pesakit yang kurang berkemampuan untuk membantu mereka menghadapi cabaran kos penjagaan kesihatan.
PPUM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai program sokongan kewangan disediakan, termasuk pelan pembayaran yang fleksibel dan pilihan bantuan perubatan, sosial, serta kebajikan secara bersasar untuk pesakit yang memerlukan.
Program ini bertujuan memastikan pesakit terus mendapat rawatan tanpa terbeban dengan kos yang tinggi.
PPUM turut menegaskan pesakit yang sudah menikmati kemudahan subsidi sedia ada tidak akan terjejas dengan perubahan yang berlaku.
“Penjagaan pesakit tetap menjadi keutamaan kami. Pelarasan ini perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian jangka panjang pusat perubatan ini serta memastikan kami dapat terus menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mampan,” kata kenyataan itu.
PPUM juga menegaskan komitmen mereka sebagai pusat perubatan akademik untuk memastikan bahawa semua aspek pembelajaran, pengajaran, dan penyelidikan tidak terjejas walaupun pelarasan caj hospital dilakukan.
Menurutnya, Jabatan Kewangan di PPUM bersedia memberikan bantuan kepada pesakit untuk memahami perubahan yang berlaku dan menyediakan maklumat mengenai bantuan kewangan yang ada.
Pesakit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Unit Taksiran di Lobi Menara Selatan PPUM atau melalui e-mel di hasilummc@ummc.edu.my.
Sebelum ini, PPUM telah mengumumkan kenaikan caj perkhidmatan mereka yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, berikutan peningkatan kos bekalan dan peralatan perubatan.
Kenaikan ini termasuklah bayaran untuk perubatan dan pembedahan sebagai sebahagian daripada fasa dua pelaksanaan perubahan harga yang mula dilaksanakan pada Rabu lalu.
PPUM menjelaskan bahawa pelaksanaan rasionalisasi caj adalah satu keputusan yang sukar untuk diambil, tetapi ia perlu dilakukan bagi menangani kos operasi yang semakin meningkat.
Mereka turut menyatakan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos operasi seperti teknologi perubatan terkini, bekalan guna habis, dan perubatan telah mengalami peningkatan yang ketara.
“Kenaikan harga bekalan secara global telah memberi kesan langsung kepada perbelanjaan operasi kami.
“Namun, kami tetap komited untuk menyediakan fasiliti yang selamat dan moden untuk pesakit, pelajar, dan staf. Ini memerlukan pelaburan berterusan dalam menaik taraf kemudahan, penyelenggaraan, pengurusan fasiliti, utiliti, dan memastikan pematuhan dengan standard keselamatan tertinggi,” kata kenyataan itu lagi.

