editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – KRU mencipta sejarah baru dalam industri hiburan tanah air dengan melancarkan KONSERT GENKRU yang bukan hanya diadakan selama satu atau dua hari, tetapi tiga hari penuh.
Sebagai trio legenda yang telah mengukir nama sejak 1992, KRU atau Kumpulan Rap Unggul ini terus menguasai hati peminat muzik generasi demi generasi.
Kejayaan KONSERT GENKRU semakin mencuri tumpuan apabila sambutan luar biasa daripada peminat menyebabkan penganjuran konsert yang asalnya dijadualkan pada 3 Mei 2025 kini ditambah dengan dua lagi hari.
Setelah tiket untuk konsert hari pertama habis dalam masa hanya satu jam, dan tiket untuk hari kedua pula laris dalam 45 minit sahaja, penganjur, ICON ENTERTAINMENT, segera memenuhi permintaan peminat yang tidak berpeluang untuk mendapatkan tiket.
Sebagai hadiah istimewa buat peminat, KRU dan ICON ENTERTAINMENT mengumumkan penambahan satu lagi hari konsert iaitu pada 10 Mei 2025.

Ini menjadikan KONSERT GENKRU sebuah peristiwa bersejarah yang bakal menjadi kenangan manis bagi semua yang hadir.
Keputusan ini adalah pencapaian besar bagi industri hiburan tempatan, kerana kebanyakan konsert di Malaysia hanya berlangsung selama dua hari.
“Setelah mempertimbangkan dengan teliti, KRU bersetuju untuk menambah satu lagi hari konsert pada 10 Mei 2025. “Keputusan ini dibuat selepas melihat permintaan yang sangat tinggi daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket pada hari pertama dan kedua.
“Ini juga adalah bukti bahawa pemuzik tempatan mampu menggerakkan industri hiburan dan memperoleh sokongan yang luar biasa,” kata Iman Tang, Pengasas ICON ENTERTAINMENT.
Penganjuran KONSERT GENKRU di Axiata Arena pada 3, 4 dan 10 Mei 2025 bakal menjadi penampilan pertama KRU selepas enam tahun, dan tentunya menjadi satu perayaan muzik yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat setia mereka.
Tiket untuk KONSERT GENKRU kini boleh didapati melalui laman www.ticket2u.com.my/kru3 dengan harga bermula daripada RM258 hingga RM588, dengan kategori seperti reKRUed, Canggih, Relax, Kaset, KRUjaan, dan KRUnisme.
Bagi pemegang kad Maybank, pra-jualan tiket akan dibuka pada 7 Januari 2025 (Selasa), bermula jam 11 pagi, manakala tiket umum akan dijual mulai 8 Januari 2025 (Rabu) pada jam 3 petang. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi saksi sejarah konsert epik ini.
Pilih tarikh anda dan rasai kehangatan KONSERT GENKRU di Axiata Arena pada 3, 4, dan 10 Mei 2025.

