editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, telah memfailkan notis tuntutan saman bernilai RM3 juta terhadap blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo.
Saman ini dikatakan berhubung dengan dakwaan fitnah yang dibuat oleh Papagomo, yang menggelar Razarudin sebagai “pelacur banduan terhormat” dan “penjilat” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Razarudin, selaku plaintif, memfailkan tuntutan itu selepas Papagomo memuat naik kenyataan berkenaan dalam sebuah video di YouTube dan TikTok, yang kemudiannya turut tersebar di platform media sosial lain.
Menurut peguam Razarudin, Raam Kumar, notis tuntutan saman terbabit difailkan pada 26 Disember lalu di Mahkamah Tinggi melalui firma guaman Tetuan Kbtan, Kumar & Partners.
Notis tuntutan itu telah dihantar kepada Papagomo pada 29 Disember.
“Dalam tuntutan ini, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, serta ganti rugi am, teruk, dan khas.
“Selain itu, kami juga menuntut perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan kenyataan fitnah atau menerbitkan semula kenyataan terbabit,” kata Raam.
Selain itu, Razarudin turut menuntut Papagomo menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, memadamkan semua video dan penerbitan yang mengandungi fitnah, serta memohon maaf secara terbuka melalui semua saluran media sosial dan media massa yang digunakan oleh defendan.
Pada 19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan bahawa Papagomo telah dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Setapak berhubung video berbaur fitnah yang disiarkan di YouTube, yang turut mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.