28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

‘Bangunlah’ permulaan baharu perjalanan seni Ora Fiza bersama Super Red Records

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nama Ora Fiza mungkin sudah tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia. Dahulunya dikenali sebagai Pija Mentor, kini Fiza tampil dengan single pertama berjudul ‘Bangunlah’.

Selepas hampir dua dekad dalam industri hiburan, Ora Fiza yang mula dikenali sebagai juara pertama program realiti ‘Mentor’ terbitan TV3 pada tahun 2005 di bawah bimbingan penyanyi legenda Datuk Zainalabidin, kini kembali dengan karya yang penuh bermakna.

‘Bangunlah’, telah digubah dan ditulis oleh John Jeeves dan Shazriq Azeman, adalah sebuah lagu yang sarat dengan mesej kebangkitan dan kekuatan.

Lagu ini menggambarkan perjalanan hidup Ora Fiza yang penuh cabaran, tetapi tetap teguh dalam mengejar impian.

“Saya sangat gembira akhirnya dapat menghadiahkan ‘Bangunlah’ kepada peminat-peminat saya serta orang-orang penting yang sangat teguh menyokong kerjaya seni saya.

“Lagu ini mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia adalah refleksi kepada perjalanan hidup saya yang penuh dengan jatuh bangun.

“Saya harap ia memberi inspirasi semua pendengar untuk terus maju dan mencapai potensi sebenar mereka,” katanya.

‘Bangunlah’ adalah hasil kolaborasi pertama Ora Fiza dengan syarikat rakaman Super Red Records, menjadi tanda permulaan baharu dalam perjalanan seninya.

Ora Fiza berkata, peluang merakamkan lagu ini diterimanya apabila dia menemani adiknya, One Juicy, yang juga artis Super Red Records, ketika menandatangani kontrak dengan label berkenaan.

Pihak label tidak mengambil masa lama untuk mengiktiraf keistimewaan Ora Fiza dan seterusnya menawarkan kontrak kepadanya.

Kini, kedua-dua adik-beradik ini sama-sama berada di bawah naungan Super Red Records, memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri muzik tanah air.

Sementara itu, Pengasas Bersama Super Red Records Richard Chua berkata, bakat dan dedikasi Ora Fiza memang tidak boleh disangkal.

“Kami sangat teruja untuk melihat bagaimana beliau terus berkembang sebagai seorang artis. ‘Bangunlah’ adalah bukti keteguhan dan kreativiti beliau, dan kami yakin ia akan menyentuh hati pendengar,” katanya.

‘Bangunlah’ sudah tersedia untuk penstriman dan muat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music di pautan https://bfan.link/bangunlah dan video muziknya boleh ditonton di pautan https://youtu.be/tHC2L0F651k.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular