editormaxinfo@gmail.com
Foto: Papadin
CYBERJAYA – Sedar tidak mudah meneruskan perjuangan dalam bidang seni suara berikutan kemunculan ramai pendatang baharu, Adam Matiin tidak gentar dengan semua itu.
Bagi pemilik nama sebenar Muhd Alif Adam Abu Bakar, 26, dia tampil dengan single kedua berjudul Detak Cinta sebagai taruhan dalam meneruskan perjuangan seninya.
Adam berkata, tidak pernah terfikir soal saingan atau populariti apa yang diharapkan dia terus kekal relevan dalam industri seni sampai bila-bila.
“Saya tahu tidak mudah untuk pendatang baharu seperti saya, semuanya bergantung pada nasib. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dikenali ada juga yang baru sahaja muncul sudah menjadi kegilaan ramai.
“Sebagai pencinta seni saya akan berusaha untuk menghasilkan lebih banyak karya selepas ini di samping akan terus berkomunikasi dengan peminat dan masyarakat menerusi semua sosial media yang saya ada.
“Tidak dinafikan ramai peminat suka apabila saya ‘live’ dan berkongsi serta menyanyi lagu bersama mereka,” katanya yang baru sahaja selesai mengadakan ‘showcase’ di Kedah, baru-baru ini.

Selain aktif menyanyi, Adam juga kini sedang bertugas sebagai guru vokal di salah sebuah institusi muzik di Singapura.
Katanya, selepas tamat kontrak mengajar di sana dia akan mula fokus terhadap nyanyian di tanah air.
Mengulas tentang lagu Detak Cinta yang bakal dilancarkan hujung bulan ini, ia adalah single kedua hasil ciptaan sepenuhnya Adam sendiri.
Mempertaruhkan konsep blues lagu ini diedarkan oleh Asia Empire Records Malaysia.

Selain genre blues, Adam juga meminati balada dan jazz yang mengetengahkan kisah cinta yang dirasakan lebih dekat dengan masyarakat.
Lebih membuatkan Adam teruja, single Detak Cinta juga bakal dilancarkan di Singapura dan Indonesia.
“Alhamdulillah saya gembira dan teruja dengan kehadiran single kedua ini. Apatah lagi lagu ini berpeluang diperdengarkan kepada peminat di Singapura dan Indonesia.
“Disebabkan sedar saingan pendatang baru di Malaysia, saya berharap peluang ke Indonesia dan Singapura memberi lebih ruang saya melebarkan kerjaya seni.
“Semoga lagu ini mendapat tempat dihati penonton semua untuk saya menghasilkan lebih banyak lagu lagi pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.