editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mempertingkatkan keselamatan di Zon Maritim Malaysia sebagai langkah proaktif untuk memastikan perairan negara terus selamat dan terjamin.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menjaga keselamatan negara, tetapi juga untuk memberikan sumbangan positif kepada Indeks Keamanan Global (GPI).
“Malaysia telah melonjak sembilan anak tangga dari tempat ke-19 kepada tempat ke-10 negara paling aman di dunia untuk tahun 2024.

“Peningkatan yang dilaksanakan ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap optimum dan kepentingan menjaga perairan negara serta laluan perdagangan antarabangsa seperti Laut China Selatan dan Selat Melaka.
“Tindakan rondaan dan pengawasan yang lebih ketat serta berterusan amat perlu bagi memastikan kedaulatan, hak dan kepentingan negara di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sentiasa dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Maritim Malaysia bagi mengulas ucapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Mohd Zamri Mat Zain serta ketua agensi / jabatan di bawah KDN.
Dalam pada itu, Saiful turut menegaskan keselamatan maritim bukan sahaja penting untuk kestabilan negara, tetapi juga untuk ekonomi.

“Dengan mempertingkatkan rondaan dan operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia dapat mencegah serta mengurangkan risiko ancaman jenayah di perairan negara.
“Keselamatan yang dipertingkatkan ini juga diharap dapat menarik lebih ramai pelabur asing untuk masuk ke dalam negara memandangkan Malaysia telah diiktiraf sebagai salah sebuah negara selamat di dunia.
“Malah usaha yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia diharapkan dapat terus menyokong peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global, sekaligus memajukan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.