editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Chinese Service Center For Scholarly Exchange (CSCSE) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperkuat kerjasama dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian dalam sektor pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA; Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata MoU itu menandakan pencapaian penting dalam memupuk kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan.
Katanya, Kerjasama itu menekankan komitmen bersama kedua-dua entiti untuk mengekalkan standard kecemerlangan dan mempromosikan pengiktirafan bersama kelayakan dan program yang diiktiraf.
Menerusi MoU ini, katanya, MQA dan CSCSE akan terbabit dalam pelbagai usaha Kerjasama termasuk memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran mengenai kerangka kelayakan negara serta proses akreditasi, mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan dan kemahiran yang diperolehi melalui pendidikan tinggi.
“Antara intipati lain kerjasama itu ialah membangunkan mekanisme yang telus untuk penilaian dan pengiktirafan kelayakan yang diperoleh melalui kerjasama pendidikan antarabangsa.
“Memperkukuhkan pertukaran akademik dan perkongsian antara institusi pendidikan di Malaysia dan China dan berkongsi penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti dan penilaian,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd Zahari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin.
Pada majlis menandatangani MoU itu, MQA diwakili oleh Mohammad Shatar, manakala CSCSE diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Wang Daquan sambil disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Pendidikan China, Huai Jinpeng.
Mohammad Shatar berkata, jalinan itu mencerminkan komitmen mereka untuk memajukan standard jaminan kualiti dalam pendidikan dan memupuk kerjasama antarabangsa.
Beliau berkata, MoU antara MQA dan CSCSE menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan China selain menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memastikan kualiti pendidikan dalam dunia global.
“Kerjasama bersama CSCSE ini juga bertujuan untuk mempromosikan pengiktirafan bersama kelayakan dan meningkatkan mobiliti pelajar dan profesional antara Malaysia dan China.
“Kolaborasi dengan CSESE diharap dapat memudahkan pemahaman dan pengiktirafan kelayakan melintasi sempadan selain mencipta peluang baru untuk kerjasama akademik dan memperkayakan pengalaman pendidikan pelajar dan cendekiawan dari Malaysia dan China,” katanya.