editormaxinfo@gmail.com
SUBANG JAYA – Kerajaan dicadangkan supaya mengapungkan harga beras putih tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan di pasaran.
Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, isu kekurangan beras putih tempatan bukan satu perkara yang baru dan masalah ini sudah hampir setahun tidak dapat diatasi.
“Harga RM26 untuk 10 kilogram (kg) ini tidak patut kerana harga padi di pasaran adalah RM1,750 per tan.
“Apabila ditukarkan kepada beras, harganya akan menjadi RM35 untuk 10 kilogram.
“Bagaimana beras hendak dijual pada harga RM26 jika bekalan tiada, lebih baik tidak dikawal.
“Cadangan peruncit, apungkan sahaja harga beras putih tempatan, barang akan cukup dalam pasaran.
“Saya faham akan ada B40 yang kata bagaimana pula dengan mereka. Sebenarnya sekarang ini B40 pun tidak dapat beras dengan harga RM26,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Shopping Raya Yayasan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bersama anak-anak asnaf dan tahfiz, semalam.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini adalah kes terpencil kerana hanya membabitkan beberapa kawasan dan bukan seluruh negara.
Katanya, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu berkenaan.
Mengulas perkara itu, Ameer Ali berkata kerajaan mempunyai maklumat mengenai jumlah B40 yang ada di negara ini sekali gus mampu melaksanakan cadangan itu.
Beliau dalam masa sama mencadangkan supaya setiap keluarga diberikan RM20 melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk menampung perbezaan harga beras sekiranya diapungkan.
“Satu keluarga makan nasi 20kg sahaja sebulan. Contohnya, apabila harga beras dinaikkan daripada RM26 kepada RM36, perbezaan untuk setiap keluarga adalah RM10. Sebulan perbezaan harga dia adalah RM20.
“Kalau kerajaan nak bantu sejuta isi rumah, perbelanjaan daripada kerajaan baru RM20 juta manakala untuk setahun RM240 juta.
“Tidak banyak peruntukkan yang dikeluarkan kerajaan daripada kita tidak ada barang berkenaan,” katanya.
Ameer Ali berkata, pihaknya yakin sekiranya kaedah berkenaan digunakan, masalah ketirisan beras putih tempatan dapat diatasi.

