29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Bazar Ramadan di Bulatan Sultan Azlan Shah terpanjang di Perak

editormaxinfo@gmail.com

IPOH – Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Meru Raya, yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa sepanjang 500 meter menjadi bazar terpanjang di Perak.

Bazar anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu menyediakan ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menjual pelbagai menu antaranya Nasi Vanggey, Royal Popiah Kuala Kangsar, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah dan pelbagai jenis minuman.

Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) PKNPk, Nurdita Fadzlinda Ahmad Rasidi, berkata inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui Perak Sejahtera 2030 untuk memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil dan sederhana mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Tahun lalu, PKNPk melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan itu dan berjaya menarik 50,000 pengunjung.

“Bertitik tolak kejayaan tahun lalu, pada tahun ini ia dianjurkan sepenuhnya PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran.

“PKNPk membuat beberapa penambahbaikan bagi memastikan keselesaan buat pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurdita Fadzlinda berkata, PKNPk menyediakan ruang yang lebih luas kepada peniaga dengan keluasan saiz 10 x 20 kaki persegi dengan kadar sewa antara RM1,500 hingga RM2,500.

Beliau berkata, susun atur Bazar Ramadan BSAS pada tahun ini juga lebih selesa untuk pengunjung khususnya laluan pejalan kaki yang lebar selain kemudahan parkir mencukupi.

“BSAS juga adalah lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun.

“Trend berbuka secara santai ini telah menjadi tular pada tahun lalu,” katanya.

Bazar Ramadan BSAS itu beroperasi setiap hari pada jam 3 petang hingga 11 malam bermula 12 Mac lalu hingga 9 April depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular