29.3 C
Kuala Lumpur
Friday, October 10, 2025
Home Blog Page 7

Aina Abdul, Siti Nurhaliza ungguli malam gemilang Anugerah Industri Muzik ke-24

editormaxinfo@gmail.com

GENTING HIGHLANDS – Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung penuh gemilang di Arena of Stars, Resorts World Genting menyaksikan dua nama besar dalam dunia muzik tanah air mencipta sejarah tersendiri iaitu Aina Abdul dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dengan tema “Kemuncak Segala-Galanya”, AIM24 tahun ini bukan sekadar meraikan pencapaian seni, tetapi juga memperkukuh legasi insan seni yang telah mengangkat martabat muzik Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Aina Abdul, yang semakin kukuh sebagai ikon baharu industri muzik tempatan, mengungguli malam anugerah apabila merangkul Anugerah Lagu Terbaik menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu.

Lebih membanggakan, Aina turut membawa pulang dua lagi trofi utama Vokal Wanita Terbaik dan Lagu Pop Terbaik, juga melalui lagu yang sama, sekaligus membuktikan keunggulan vokal dan kekuatan emosi dalam karyanya.

Tidak cukup dengan itu, Aina turut menerima pengiktirafan dalam kategori Rakaman Album Terbaik menerusi album Image Deluxe Edition, hasil kolaborasi bersama Imamz, Peter Chong dan Ezra Chong.

Dalam suasana penuh emosi dan penghargaan, AIM24 turut mengiktiraf sumbangan luar biasa Siti Nurhaliza apabila beliau diumumkan sebagai penerima Anugerah Sri Wirama, anugerah tertinggi dalam industri muzik Malaysia.

Pengiktirafan ini diberikan atas jasa dan konsistensi beliau dalam memperkaya muzik tanah air selama lebih dua dekad, bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga di pentas antarabangsa.

Anugerah Industri Muzik kali ini mempertandingkan sebanyak 31 kategori, termasuk empat kategori baharu yang diperkenalkan sejajar dengan perkembangan landskap muzik masa kini iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, serta Kugiran Terbaik.

Sebanyak enam kategori telah diumumkan lebih awal dalam Majlis Pra-Anugerah, manakala selebihnya diumumkan pada malam kemuncak itu.

Turut hadir memeriahkan acara adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik & Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Suhaimi Sulaiman serta Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim.

AIM24 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform berprestij dan berwibawa dalam industri muzik tempatan, yang bukan sahaja mengiktiraf karya-karya terbaik, malah menjadi pemangkin kepada semangat inovasi dan profesionalisme dalam kalangan penggiat seni tanah air.

Malam anugerah itu juga menjadi simbol aspirasi dan cita-cita untuk membawa muzik Malaysia terus mekar dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Dengan sambutan yang menggalakkan dan pengiktirafan kepada bakat-bakat besar, AIM24 menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha memperkukuh ekosistem industri muzik negara menyatukan generasi lama dan baharu dalam satu pentas yang meraikan kualiti, kreativiti dan kecemerlangan seni suara Malaysia.

Berikut keputusan penuh AIM24 :

1. ARTIS BAHARU TERBAIK: Ryenald Guntabid (Lumangad Oku Dika)

2. VOKAL LELAKI TERBAIK:  Ryenald Guntabid  (Lumangad Oku Dika)

3. VOKAL WANITA TERBAIK:  Aina Abdul (Lagu Jangan Mati Rasa Itu)

4. VOKAL KUMPULAN TERBAIK: In-Team (Lagu Nasab Nabi)

5. KUGIRAN TERBAIK:  Mafidz (Lagu – Teleportasi)

6. VOKAL DUO/ KOLABORASI TERBAIK:  Faizal Tahir & M Nasir (Lagu Campak Bintang)

7. VIDEO MUZIK TERBAIK: Voodo (KRU)

8. RUNUT BUNYI TERBAIK DI DALAM FILEM/ DRAMA:  Hasrat (OST Imaginur)

9. LAGU ROCK TERBAIK:  Saksama (Akim & The Majistret)

10. LAGU POP TERBAIK: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)

11. LAGU RAP/ HIP HOP TERBAIK: Dannok ( Salammusik ft Namawee)

12. LAGU POP ELEKTRONIK/ DANCE TERBAIK: Angkat (Mimifly)

13. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK: My Home Is In Your Arms ((Daiyan Trisha)

14. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK:  Divorce in Ghana (Firdhaus)

15. LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK: Pothum (Sheezay & Hasmita)

16. LAGU BAHASA MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA:

 Bertengkar Manis (Rossa & Barsena Bestandhi)

17. KOLABORASI ARTIS TEMPATAN BERSAMA ARTIS/ KOMPOSER LUAR NEGARA TERBAIK:

Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)

18. LAGU NASYID TERBAIK: Biar Satu Dunia Tahu (Faiza Tahir & Mirwana)

19. LAGU ETNIK TERBAIK: Cinta Setandan Pisang (Den Manjo & Eda Ezrin)

20. LAGU PERPADUAN TERBAIK: Bendera (Faizal Tahir)

21. LAGU TRADISIONAL TERBAIK: Canda Citra Cinta (Hazra Dollah)

22. KULIT SINGLE/ ALBUM TERBAIK: Iman ( Irfan Ramos)

23. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU (SEMUA BAHASA): Rindu Menyapa (Aubrey Suwito)

24. RAKAMAN ALBUM TERBAIK:  Image Deluxe Edition (Imamz, Peter Chong, Ezra Kong)

25. RAKAMAN LAGU TERBAIK: Aura  (John Jeeves)

26. ALBUM TERBAIK:  Belagu 2  (Aubrey Suwito)

27. LAGU TERBAIK:  Jangan Mati Rasa Itu  (Aina Abdul)

28. LAGU DENGAN HASILAN VIDEO TERTINGGI Di TIK TOK:  Santai (Faizal Tahir)

29. LAGU PALING TINGGI DISTRIM :  Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)

30.  VIDEO MUZIK RASMI MALAYSIA DENGAN TONTONAN TERTINGGI DI PELANTAR VIDEO UTAMA:  Sayunk I Love You (Chombi)

31. ANUGERAH SRI WIRAMA: Datuk Seri Siti Nurhaliza

Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 tutup acara dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah apabila majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan yang berlangsung sepanjang tiga hari acara diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Majlis penutup yang berlangsung pada 7 September itu turut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan; Zameri Mat Nawang dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN); Mohamad Muda Bahadin, yang menyampaikan hadiah kepada peserta yang berjaya menonjolkan kreativiti dan kemahiran mereka dalam pelbagai pertandingan berasaskan elemen budaya, kulinari dan seni warisan Melayu.

Antara pertandingan yang mencuri perhatian pengunjung ialah Pertandingan Belah, Kukur Nyiur dan Perah Santan, yang menyaksikan kumpulan Silaturahim muncul sebagai juara, diikuti kumpulan Anak Kampung sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Anggerik.

Ketiga-tiga kumpulan membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan serta hamper sumbangan Adabi. Tiga lagi kumpulan iaitu Onde-Onde, Karabu Sarang dan Bunga masing-masing menerima saguhati sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.

Acara turut dimeriahkan dengan Pertandingan Masakan Warisan Pantai Timur yang membabitkan penyertaan daripada beberapa buah hotel ternama di Kelantan.

Dalam pertandingan ini, Crown Garden Hotel berjaya menewaskan pesaing lain untuk dinobatkan sebagai juara, manakala Grand Riverview Hotel dan Perdana Kota Bharu masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Beberapa hotel lain turut menerima hadiah saguhati, termasuk Ibis Styles, Renai Hotel, H Elite, Jewel Kota Bharu, Tok Aman Bali dan Holiday Villa semuanya membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai sebagai tanda penghargaan.

Sementara itu, semangat kesenian dan estetika turut terserlah dalam Pertandingan Fotografi Makanan Warisan, yang berlangsung sepanjang tiga hari festival dari 5 hingga 7 September.

Karya-karya peserta telah dinilai berdasarkan keaslian, komposisi serta keupayaan menangkap nilai budaya dalam makanan warisan.

Azmi Han, melalui hantaran di Facebook, telah dinobatkan sebagai juara, diikuti Juana Jamaludin dan Suhaillawati Mohamed masing-masing sebagai naib johan dan tempat ketiga.

Tiga peserta lain menerima hadiah saguhati atas penyertaan kreatif mereka.

Dua pertandingan gubahan iaitu Pulut Kuning dan Sirih Junjung turut mendapat sambutan hangat, terutama dalam kalangan peserta wanita.

Dalam pertandingan Gubahan Pulut Kuning, kumpulan yang diwakili oleh Norshida Che Hussin meraih tempat pertama, diikuti Sharoza Mohd Shabudin dan Noor Suriani Mohamad di tempat kedua dan ketiga.

Bagi pertandingan Gubahan Sirih Junjung, gubahan kreatif oleh Nik Suratol Che Mud berjaya menarik perhatian juri untuk muncul sebagai juara, diikuti Zienirah Yunus sebagai naib johan dan Nor Suzielah Mohd Nor di tempat ketiga.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil penyertaan dan hamper sumbangan daripada Adabi, salah satu penaja utama yang menyokong acara-acara sepanjang festival ini.

Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 bukan sahaja menjadi medan pertemuan budaya dan komuniti, malah turut memainkan peranan penting dalam mengetengahkan warisan kulinari dan seni tradisional kepada generasi muda.

Melalui pelbagai pertandingan yang dianjurkan, festival ini telah berjaya menyerlahkan kekayaan budaya masyarakat Pantai Timur serta mewujudkan semangat kebersamaan dalam meraikan keunikan tradisi tempatan.

Dengan sambutan yang memberangsangkan, festival ini membuktikan bahawa warisan budaya negara terus mendapat tempat di hati rakyat, sekali gus memperkukuh usaha berterusan Jabatan Warisan Negara dalam memelihara dan mempromosikan identiti bangsa.

KWC Fashion Wholesale perkukuh peranan sebagai hab fesyen sempena Keretapi Sarong 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – KWC Fashion Wholesale, pusat borong fesyen Muslimah terbesar di Malaysia, mengorak langkah penuh bergaya apabila secara rasmi menyertai sambutan Keretapi Sarong 2025, sebuah acara budaya tahunan yang mengangkat warisan tempatan, tradisi dan semangat perpaduan rakyat Malaysia menerusi gaya dan busana.

Tahun ini, Stesen LRT Hang Tuah, yang terletak bersebelahan dengan kompleks membeli-belah KWC, diangkat sebagai salah satu stesen utama bagi acara terbabit sekaligus meletakkan KWC sebagai lokasi strategik dan penting dalam meraikan sambutan penuh warna-warni itu.

Langkah ini turut memperkukuhkan imej KWC sebagai destinasi pilihan utama untuk fesyen Muslimah borong yang lengkap, moden dan versatil.

Menempatkan lebih 800 kedai di bawah satu bumbung, KWC menawarkan pelbagai pilihan fesyen daripada batik kontemporari, kebaya, busana tradisional Melayu hinggalah pakaian moden, aksesori dan hijab menjadikan ia pusat sehenti untuk gaya perayaan dan harian yang mampu milik serta bergaya.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale Wendy Lam berkata, penyertaan ini mencerminkan sokongan penuh KWC terhadap usaha meraikan budaya dan gaya tempatan.

“KWC amat berbesar hati untuk menyertai Keretapi Sarong tahun ini. Sebagai destinasi fesyen borong utama, kami menyokong acara yang meraikan kebanggaan budaya dan ekspresi gaya.

“Dengan Stesen LRT Hang Tuah sebagai hentian rasmi, kami tidak sabar untuk menyambut peserta dan mengalu-alukan mereka untuk meneroka kepelbagaian fesyen yang ditawarkan di KWC pada harga terbaik,” katanya.

Katanya, KWC turut menyediakan pelbagai ganjaran menarik sempena acara ini. Seramai 100 peserta terawal turut menerima beg cenderamata eksklusif serta hadiah percuma.

Bagi menyemarakkan lagi semangat komuniti dan kreativiti, KWC juga turut menganjurkan Anugerah Pakaian Terbaik dan Pertandingan Fotografi, yang dijangka menarik penyertaan ramai pencinta fesyen dan penggiat media sosial.

Acara turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen eksklusif, program penebusan hadiah serta aktiviti interaktif secara langsung yang menampilkan bagaimana busana tradisional boleh digayakan dengan sentuhan moden dan kontemporari.

Inisiatif ini bertujuan untuk menjadikan pakaian warisan lebih relevan kepada generasi muda, tanpa mengabaikan akar budaya yang menjadi asas identiti bangsa.

Sempena cuti sekolah, KWC tidak melupakan pengunjung cilik. Bermula dari 12 hingga 21 September 2025, KWC menganjurkan Holiday Funland Adventure, yang menampilkan aktiviti seperti Bouncy Castle, Claw Machine dan Mesin Arked.

Tiket masuk ke Bouncy Castle ditawarkan pada harga RM15, manakala Claw Machine dan Mesin Arked boleh dinikmati serendah RM2.

Menariknya, setiap pembelian bernilai RM50 dan ke atas di KWC melayakkan pengunjung untuk menebus satu tiket percuma ke Bouncy Castle untuk tempoh satu jam menjadikan KWC sebagai destinasi ideal untuk seisi keluarga.

Penyertaan KWC dalam Keretapi Sarong 2025 bukan sahaja memperkukuh kedudukan pusat beli-belah ini dalam industri fesyen tempatan, malah mencerminkan komitmen KWC untuk terus memartabatkan warisan budaya dan gaya hidup moden secara harmoni.

Dengan gabungan nilai tradisi dan pendekatan fesyen kontemporari, KWC bukan sahaja menjual pakaian, tetapi meraikan identiti dan keunikan Malaysia dalam setiap helaian.

Ahmad’s Fried Chicken kukuhkan perniagaan dengan pembukaan cawangan ke-44 di Sepang

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Ahmad’s Fried Chicken, jenama makanan segera tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, terus memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan dan minuman dengan pelancaran rasmi cawangan ke-44 di Kota Warisan, Sepang.

Bermula hanya dengan sebuah restoran pertama pada tahun 2024, Ahmad’s kini mengorak langkah pantas ke hadapan dengan 44 cawangan yang telah beroperasi di seluruh negara.

Pembukaan terbaharu itu disambut meriah oleh komuniti setempat dan penggemar sajian ayam goreng rangup yang menjadi simbol kepada jenama ini.

Cawangan ini turut diusahakan oleh usahawan tempatan, Evi, yang menjadi antara contoh kejayaan kerjasama strategik Ahmad’s bersama rakan niaga tempatan.

Pengasas dan Pengarah Ahmad’s Fried Chicken, Taufik Khairuddin berkata, pencapaian ini adalah hasil kepercayaan dan sokongan padu daripada pelanggan serta komitmen berterusan untuk mengekalkan kualiti dan nilai yang ditawarkan.

“Ahmad’s adalah cerminan kepada rasa, tradisi dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia. Kami percaya setiap hidangan bukan hanya tentang makanan, tetapi tentang pengalaman yang menghubungkan komuniti,” katanya.

Tambahnya, syarikat di bawah pengurusan Ahmad’s Fast Food Sdn Bhd itu kini sedang giat melaksanakan Pelan Lima Tahun yang menyasarkan perluasan jenama ke seluruh pelosok negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam masa terdekat, Ahmad’s juga bercadang untuk memperkenalkan cawangan pandu lalu bagi memberikan lebih kemudahan kepada pelanggan.

Ahmad’s turut menetapkan sasaran membuka sekurang-kurangnya 80 cawangan menjelang akhir tahun 2025.

Ini termasuk restoran utama, restoran mini dan kiosk. Sehingga kini, struktur rangkaian Ahmad’s merangkumi 13 restoran, 10 mini restoran dan 21 kiosk yang menawarkan lebih 24 jenis menu warisan bercita rasa tempatan.

Komitmen Ahmad’s terhadap peningkatan kualiti juga terbukti melalui tindakan proaktif dalam meneliti maklum balas pelanggan dan memperbaiki setiap aspek operasi secara berterusan.

Nilai ini menjadi asas kepada pertumbuhan jenama yang kini semakin mendapat pengiktirafan di kalangan pengusaha dan pelanggan.

Dalam usaha memperluaskan lagi jaringan perniagaan, Ahmad’s turut membuka peluang kepada usahawan yang berminat untuk menyertai sebagai rakan niaga.

Melalui model perkongsian perniagaan yang telah terbukti berjaya, Ahmad’s memberikan sokongan penuh dari segi latihan, operasi dan pemasaran kepada setiap rakan niaga baharu.

Dengan gabungan rasa autentik, suasana mesra pelanggan dan layanan profesional daripada krew yang terlatih, Ahmad’s Fried Chicken kini bukan sahaja menjadi destinasi makanan segera pilihan ramai, tetapi juga simbol aspirasi usahawan tempatan yang mahu melangkah lebih jauh bersama jenama tempatan yang kukuh.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang produk, lokasi cawangan atau peluang perniagaan bersama Ahmad’s boleh melayari laman web rasmi atau mengikuti saluran media sosial Ahmad’s Fried Chicken untuk sebarang pengumuman dan promosi terkini.

NEX, Fattah Amin lancar kempen solidariti bersama Palestin, satu botol satu harapan

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Dalam usaha memperkukuh semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, jenama air minuman tempatan NEX bersama selebriti terkenal tanah air, Fattah Amin, melancarkan kempen penuh makna bertajuk “NEX & Fattah Amin Bersama Palestin”.

Kempen ini bukan sekadar satu inisiatif kutipan dana ia adalah gerakan kebersamaan yang mengetengahkan konsep bahawa setiap tindakan kecil mampu memberi kesan besar, bahkan sebotol air minuman sekalipun mampu membawa sinar kepada mereka yang amat memerlukan.

Bakal berlangsung secara rasmi pada 17 Oktober 2025, kempen ini menyasarkan penjualan 500,000 botol air NEX dalam tempoh 24 jam, dengan RM0.50 daripada setiap pembelian disumbangkan terus kepada tabung bantuan Gaza melalui pertubuhan kemanusiaan Cinta Gaza Malaysia (CGM).

Sasaran utama kempen adalah untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM250,000, bagi menyalurkan bantuan segera dan berterusan kepada mangsa di wilayah bergolak itu.

Inspirasi kempen ini turut datang daripada kisah rakyat Mesir yang menghantar botol-botol berisi makanan ke Gaza melalui laut satu tindakan kecil namun sarat dengan makna kemanusiaan dan harapan.

Bagi pihak NEX, botol mereka kini dilihat sebagai simbol bukan sahaja kepada keperluan asas seperti hidrasi, tetapi juga sebagai wadah perpaduan dan kasih sayang dari rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Pemilihan tarikh 17 Oktober juga bukan secara kebetulan. Ia membawa signifikan besar sebagai usaha untuk mengubah makna tragedi berdarah 7 Oktober 2023, yang sehingga kini meninggalkan luka mendalam kepada rakyat Palestin.

Kini, ia dipilih sebagai tarikh permulaan harapan dan perubahan, satu detik yang menyatukan rakyat Malaysia melalui niat dan tindakan murni.

Berkongsi tentang penglibatannya, Fattah menzahirkan rasa syukur dan harapan agar kempen ini menyemai kesedaran di kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Ini bukan sekadar tentang sebuah jenama, ini tentang menggunakan platform kami untuk menyatukan rakyat Malaysia demi satu tujuan yang lebih besar.

“Kami berharap setiap hirupan membawa doa dan setiap pembelian menyampaikan harapan kepada saudara kita di Palestin,” katanya.

Turut hadir menyatakan sokongan ialah Imam Muda Asyraf, yang menyeru masyarakat untuk menjadikan hari berkenaan sebagai ibadah kolektif yang memberi manfaat kepada insan lain.

“Pada hari Jumaat yang mulia itu nanti, kita bukan sahaja berkumpul untuk beribadah, tetapi juga untuk tujuan bersama.

“Amalan kecil seperti membeli sebotol air boleh menjadi sadaqah jariah pahala berpanjangan yang memberi kelegaan kepada saudara kita di Palestin,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, botol edisi khas NEX akan dipasarkan secara eksklusif di TikTok Shop dan lebih 500 masjid seluruh negara bermula tarikh pelancaran.

NEX juga akan menganjurkan sesi jelajah khas bersama Fattah Amin dan Imam Muda Asyraf di beberapa masjid terpilih di sekitar Lembah Klang, bagi memperluaskan mesej kempen serta mendekati masyarakat secara langsung.

Botol edisi khas ini dilihat bukan hanya sebagai produk fizikal, tetapi sebagai simbol komitmen rakyat Malaysia dalam menyumbang kepada perjuangan kemanusiaan.

Setiap pembelian ibarat titisan kasih sayang yang mampu membentuk lautan harapan.

Kempen ‘NEX & Fattah Amin Bersama Palestin’ adalah satu panggilan untuk bertindak bukan dengan kekerasan, tetapi dengan kebersamaan dan ihsan.

Ia membuktikan bahawa walaupun tidak berada di barisan hadapan, rakyat Malaysia masih mampu menyumbang dan membuat perubahan dari tanah air sendiri.

Orang ramai digalakkan untuk menyokong kempen ini dengan mendapatkan botol edisi terhad NEX pada 17 Oktober 2025, serta menyebarkan mesej kemanusiaan ini melalui platform masing-masing.

Dengan hanya sebotol air, satu nyawa mungkin dapat diselamatkan, satu keluarga mungkin akan menerima bantuan, dan satu bangsa mungkin kembali diberi harapan.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian dalam talian, layari saluran rasmi NEX di TikTok Shop atau ikuti perkembangan terkini menerusi media sosial rasmi kempen.

MyCar rasmi sebagai rakan e-hailing MIHAS 2025, sokong akses mudah ke Pameran Halal Antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan e-hailing tempatan, MyCar, hari ini diumumkan secara rasmi sebagai Rakan e-hailing rasmi bagi acara perdagangan halal terkemuka dunia, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025, yang akan berlangsung dari 17 hingga 20 September 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Pengumuman rasmi pelantikan itu dibuat dalam satu majlis flag-off yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Sri Mustafa Abdul Aziz, sekaligus menandakan kerjasama strategik antara MyCar dan MATRADE untuk edisi ke-21 MIHAS.

Ini adalah kali kedua MyCar diberi kepercayaan untuk menjadi rakan mobiliti rasmi bagi acara berprestij ini.

Mustafa berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan terhadap komitmen MyCar dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang efisien dan mesra pengguna, sekaligus menyokong usaha MATRADE untuk memperluaskan akses kepada pameran berskala antarabangsa seperti MIHAS.

Beliau berkata, kolaborasi ini mencerminkan kejayaan dalam memperkukuh jaringan logistik acara melalui inovasi tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena berkata, pihaknya menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan oleh MATRADE.

“Kami berbangga kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk menjadi sebahagian daripada MIHAS.

“Tahun ini, kami bertekad untuk menyediakan perkhidmatan e-hailing yang lebih lancar dan selesa bukan sahaja kepada pengunjung tempatan, malah kepada peserta dan delegasi antarabangsa yang hadir,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, pengunjung MIHAS 2025 boleh menikmati diskaun RM5 bagi perjalanan mereka ke MITEC menggunakan aplikasi MyCar dengan memasukkan kod promosi MIHAS25.

Inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan kos perjalanan sambil memudahkan pergerakan pengunjung sepanjang acara berlangsung.

MIHAS 2025 bakal menghimpunkan lebih 300 pembeli antarabangsa, memberikan peluang luar biasa kepada syarikat tempatan untuk memperluas rangkaian perniagaan mereka ke peringkat global.

Selain pameran produk dan perkhidmatan halal, acara ini juga akan menyaksikan pelbagai sesi padanan perniagaan, forum industri, serta pelancaran inisiatif baharu dalam ekosistem halal.

Menambahkan lagi keterujaan, MIHAS 2025 juga bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 19 September, menjadikannya satu acara yang tidak wajar dilepaskan oleh usahawan dan syarikat tempatan yang ingin meneroka pasaran eksport.

Kerjasama antara MyCar dan MATRADE ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem MIHAS, malah mencerminkan potensi besar syarikat-syarikat tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui teknologi dan inovasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan perkhidmatan semasa MIHAS 2025, orang ramai boleh mengunjungi laman web rasmi www.mycar.com.my atau memuat turun aplikasi MyCar di peranti mudah alih masing-masing.

Usahawan peralatan perubatan ungguli pertandingan SAY ASPIRE edisi ke-6

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Memasuki edisi keenam, program SAY ASPIRE memilih peralatan perubatan sebagai pemenang utama pada majlis yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor.

Program SAY ASPIRE edisi kali ini telah dirangka dengan teliti untuk meningkatkan kapasiti usahawan muda melalui bengkel intensif, sesi mentor dan pertandingan pemberian pitch akhir.

Dengan sokongan kuat daripada MATRADE, bersama rakan penaja seperti Google, App Engage dan bekas juara Dr Anne Skincare Sdn Bhd (DASC), program ini memberi peluang kepada peserta bukan sahaja memperkemas idea perniagaan mereka, tetapi juga mempersiapkan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Separuh daripada peserta program telah melalui dua pusingan penilaian yang ketat. Akhirnya, hanya sepuluh syarikat berjaya mara ke pusingan akhir pembentangan.

Tugas juri akhir diserahkan kepada individu-individu yang berpengalaman dalam bidang perniagaan dan eksport selain Raja Muda Selangor turut terbabit ialah EXCO Keusahawanan negeri dan wakil daripada MATRADE serta syarikat swasta.

Juara pertandingan Drims Trading Sdn Bhd yang membawa pulang hadiah utama, diikuti oleh Gritz Sdn Bhd di tempat kedua dan MTO Resources di tempat ketiga.

Kejayaan Drims Trading dianggap melampaui jangkaan kerana produk inovatif mereka dalam sektor peralatan perubatan bukan sahaja menarik minat juri tetapi turut dianggap mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran ASEAN dan seterusnya ke pasaran global yang lebih luas.

Pengarah Urusan Drims Trading Mohd Haniff Hanizam berkata, walaupun persembahan mereka sudah mantap, soalan-soalan kritikal juri membuka ruang baru untuk memahami keperluan pasaran antarabangsa.

“Melalui platform sebegini, usahawan bukan sahaja memenangi hadiah dari segi kewangan, malah memperoleh ilmu, jaringan dan keyakinan untuk membawa produk keluar negara.

“Selepas kejayaan ini, Drims Trading merancang pengembangan eksport ke negara-negara seperti Filipina, Indonesia, Thailand dan Brunei terlebih dahulu, dengan impian seterusnya ke Timur Tengah termasuk UAE dan Qatar, malah hingga ke pasaran antarabangsa yang lebih jauh seperti Russia.

“Fokus utama kami kini adalah produk sunat yang efisien dan set kit berkenaan adalah antara usaha awal yang dianggap sesuai untuk pasaran pelbagai budaya dan keperluan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAY ASPIRE, Aiman Syafiq Nazri berkata, edisi keenam ini menampilkan beberapa pembaharuan penting termasuk kenaikan geran untuk tiga pemenang utama dan pengenalan lawatan pasaran antarabangsa sebagai sebahagian daripada hadiah.

Katanya, program mentoring akan diteruskan selama enam bulan selepas penganugerahan supaya usahawan terus dibimbing dan bukan hanya sekadar diberi pengiktirafan.

“Kesemua pemenang diberikan ruang pameran di Malaysia International Halal Showcase, serta trofi dan sijil penghargaan sebagai simbol pencapaian mereka.

“Jaringan kerjasama dengan agensi relevan turut dibentuk untuk memperkukuh pendigitalan, strategi eksport dan pertumbuhan jangka panjang mereka,” katanya.

Pemilihan Drims Trading sebagai juara mewakili perubahan dalam maklumat dan inovasi dalam SAY ASPIRE, dengan sektor peralatan perubatan mendapat tumpuan yang segar berbanding edisi-edisi lalu.

Aiman berkata, usaha mentransformasi pejabat tempatan menjadi pemain global memerlukan lebih daripada sekadar modal dan ia memerlukan visi, ketahanan dan sokongan di semua peringkat.

‘Reset Diri, Ubah Rezeki 2025’ bantu usahawan bangkit dengan kekuatan minda dan strategi baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 100 usahawan dari pelbagai latar belakang menyertai bengkel intensif ‘Reset Diri, Ubah Rezeki 2025’ yang diadakan baru-baru ini.

Bengkel ini dalam usaha memperkukuh daya tahan mental dan membina semula strategi perniagaan yang lebih berkesan dalam era ekonomi yang mencabar.

Program sehari penuh yang dianjurkan oleh EcoTwin Step Sdn Bhd ini mengetengahkan pendekatan praktikal berasaskan Neuro-Linguistic Programming (NLP), dengan fokus utama membantu usahawan mengenal pasti halangan dalaman yang menghalang kemajuan perniagaan, serta membina semula mindset yang lebih dinamik dan positif.

Menariknya, bengkel ini dikendalikan oleh dua nama besar dalam dunia pembangunan insan dan keusahawanan iaitu Dr Hisham Dzakiria, yang lebih dikenali sebagai Dr Healing, serta Coach Termizi Ab Aziz.

Mereka menggabungkan kepakaran dalam bidang akademik, korporat dan latihan pembangunan diri untuk membawa peserta keluar daripada kepompong keraguan dan kelelahan mental yang sering menghantui golongan usahawan.

Menurut Dr Hisham, ramai usahawan sebenarnya tidak gagal kerana kekurangan bakat atau kemahiran, tetapi kerana minda yang cepat menyerah kalah.

“Dalam dunia bisnes, tiada istilah gagal dan yang ada hanyalah maklum balas. Jika kita mampu menukar cara berfikir, kita mampu menukar hasil,” katanya yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan insan dan pendidikan tinggi.

Beliau turut menegaskan kekuatan mental adalah aset paling penting dalam perniagaan.

Katanya, ramai usahawan Melayu khususnya, ‘tersekat’ bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana terlalu takut untuk berubah dan terlalu terikat dengan persepsi negatif dari sekeliling.

Justeru itu, program ini dirangka untuk ‘reset’ minda usahawan agar kembali fokus pada diri sendiri, potensi dalaman dan strategi pertumbuhan yang berpaksikan realiti dan tindakan.

Sepanjang bengkel ini, peserta didedahkan kepada pelbagai modul yang menyentuh aspek kritikal seperti latihan relaksasi, kenal pasti punca cabaran, pembangunan sistem bisnes, komunikasi berkesan, pengurusan emosi dan profil minda otak kiri dan kanan.

Peserta turut diajak untuk menukar ‘penceritaan dalam minda’ daripada kegagalan kepada tindakan, daripada keraguan kepada strategi.

Antara aktiviti yang meninggalkan kesan mendalam termasuklah sesi simbolik memadamkan perkataan ‘gagal’ daripada kamus diri masing-masing.

Peserta diminta menulis perkataan berkenaan, kemudian meronyok dan membuangnya sebagai tanda mula memadamkan kepercayaan lama yang menghalang kejayaan.

“Apa saja yang berlaku dalam hidup adalah maklum balas bukan penamat,” kata Dr Hisham lagi.

Menyuntik semangat kepada peserta, penyanyi dan usahawan Ayu Damit turut membuat persembahan istimewa dengan lagu motivasi “Hanya Di Mercu”, yang disambut meriah dan penuh emosi oleh hadirin.

Kejutan itu menjadi simbol bahawa setiap insan, walau bermula dari bawah, berpotensi untuk bangkit dan berada di puncak kejayaan.

Sebagai penutup yang bermakna, pihak penganjur turut mengumumkan pelancaran Healing & Wellness Centre yang bakal beroperasi dalam tahun ini.

Pusat ini akan memberi tumpuan kepada rawatan burnout, tekanan emosi dan retreat penyembuhan menyeluruh sebuah inisiatif baharu yang menyokong kesejahteraan mental dalam kalangan usahawan dan komuniti umum.

Dengan mesej utama bahawa “minda yang kuat mampu mengubah rezeki”, program ini bukan sahaja membuka ruang pemulihan kepada usahawan yang pernah tersungkur, malah menjadi platform baharu untuk mencipta generasi usahawan yang lebih resilient, berdaya saing dan bersedia menempuh dunia keusahawanan dengan kekuatan minda dan strategi yang segar.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.ecotwin-step.com, hubungi +6010-841 8989 atau menghantar e-mel ke ecotwinstep@gmail.com.

BELIA MAHIR seru sokongan padu terhadap PTPK, pastikan masa depan belia TVET terjamin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pertubuhan BELIA MAHIR menzahirkan komitmen penuh untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, agensi berkaitan dan industri dalam memperkukuh masa depan pendidikan kemahiran negara, khususnya membabitkan golongan belia yang memilih laluan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Presiden BELIA MAHIR, Mohammad Rizan Hassan berkata, isu kekurangan dana yang sedang dihadapi oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menimbulkan kebimbangan besar, memandangkan agensi itu adalah sumber utama pembiayaan kepada ribuan pelajar daripada golongan B40, belia NEET dan belia berisiko di seluruh negara.

Menurutnya, PTPK telah memainkan peranan penting sejak awal penubuhannya dalam membuka akses kepada pendidikan kemahiran dan menjadi harapan utama buat belia yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menyertai program latihan kemahiran, khususnya di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS).

Jelasnya, ILKS kini menjadi pelengkap penting kepada Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), memandangkan kapasiti ILKA yang terhad.

“Kedua-dua institusi ini menjalankan latihan berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) serta menawarkan persijilan yang setara,” katanya.

Justeru, akses kepada pembiayaan tidak seharusnya dibezakan mengikut jenis institusi.

Di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, landskap pendidikan kemahiran di Malaysia menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan ketara dalam kemasukan belia ke institusi TVET sejak tiga tahun lalu.

TVET kini dilihat sebagai pilihan utama, bukan lagi laluan kedua.

Namun begitu, perkembangan ini secara tidak langsung memberi tekanan besar kepada peruntukan sedia ada.

Dengan dana sekitar RM200 juta setahun, PTPK kini berdepan cabaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Sekiranya isu ini tidak ditangani segera, ribuan belia mungkin terpaksa menghentikan pengajian mereka.

BELIA MAHIR turut menegaskan bahawa tidak timbul soal kegagalan PTPK dalam melaksanakan fungsinya.

Sebaliknya, agensi ini memerlukan sokongan yang lebih kukuh dalam bentuk peruntukan mencukupi agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya menyantuni keperluan belia berkemahiran secara menyeluruh.

Dalam masa sama, pertubuhan itu turut menyeru agar graduan TVET yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing memainkan peranan dengan membayar semula pinjaman PTPK.

Dana ini adalah tabung pusingan (revolving fund) yang amat penting untuk memastikan kelangsungan bantuan kepada generasi seterusnya.

Mohammad Rizan turut menekankan fokus terhadap kebajikan belia, terutamanya dari kelompok rentan, perlu menjadi agenda bersama semua pihak.

Setiap peluang latihan yang diberikan hari ini bukan sahaja memberi masa depan kepada individu, malah membantu membina kekuatan tenaga kerja mahir negara.

“Menyantuni belia adalah menyantuni masa depan negara. Pembangunan TVET bukan sekadar agenda ekonomi, tetapi agenda kebangsaan yang menuntut perhatian semua pihak,” katanya.