24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

‘Reset Diri, Ubah Rezeki 2025’ bantu usahawan bangkit dengan kekuatan minda dan strategi baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 100 usahawan dari pelbagai latar belakang menyertai bengkel intensif ‘Reset Diri, Ubah Rezeki 2025’ yang diadakan baru-baru ini.

Bengkel ini dalam usaha memperkukuh daya tahan mental dan membina semula strategi perniagaan yang lebih berkesan dalam era ekonomi yang mencabar.

Program sehari penuh yang dianjurkan oleh EcoTwin Step Sdn Bhd ini mengetengahkan pendekatan praktikal berasaskan Neuro-Linguistic Programming (NLP), dengan fokus utama membantu usahawan mengenal pasti halangan dalaman yang menghalang kemajuan perniagaan, serta membina semula mindset yang lebih dinamik dan positif.

Menariknya, bengkel ini dikendalikan oleh dua nama besar dalam dunia pembangunan insan dan keusahawanan iaitu Dr Hisham Dzakiria, yang lebih dikenali sebagai Dr Healing, serta Coach Termizi Ab Aziz.

Mereka menggabungkan kepakaran dalam bidang akademik, korporat dan latihan pembangunan diri untuk membawa peserta keluar daripada kepompong keraguan dan kelelahan mental yang sering menghantui golongan usahawan.

Menurut Dr Hisham, ramai usahawan sebenarnya tidak gagal kerana kekurangan bakat atau kemahiran, tetapi kerana minda yang cepat menyerah kalah.

“Dalam dunia bisnes, tiada istilah gagal dan yang ada hanyalah maklum balas. Jika kita mampu menukar cara berfikir, kita mampu menukar hasil,” katanya yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pembangunan insan dan pendidikan tinggi.

Beliau turut menegaskan kekuatan mental adalah aset paling penting dalam perniagaan.

Katanya, ramai usahawan Melayu khususnya, ‘tersekat’ bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana terlalu takut untuk berubah dan terlalu terikat dengan persepsi negatif dari sekeliling.

Justeru itu, program ini dirangka untuk ‘reset’ minda usahawan agar kembali fokus pada diri sendiri, potensi dalaman dan strategi pertumbuhan yang berpaksikan realiti dan tindakan.

Sepanjang bengkel ini, peserta didedahkan kepada pelbagai modul yang menyentuh aspek kritikal seperti latihan relaksasi, kenal pasti punca cabaran, pembangunan sistem bisnes, komunikasi berkesan, pengurusan emosi dan profil minda otak kiri dan kanan.

Peserta turut diajak untuk menukar ‘penceritaan dalam minda’ daripada kegagalan kepada tindakan, daripada keraguan kepada strategi.

Antara aktiviti yang meninggalkan kesan mendalam termasuklah sesi simbolik memadamkan perkataan ‘gagal’ daripada kamus diri masing-masing.

Peserta diminta menulis perkataan berkenaan, kemudian meronyok dan membuangnya sebagai tanda mula memadamkan kepercayaan lama yang menghalang kejayaan.

“Apa saja yang berlaku dalam hidup adalah maklum balas bukan penamat,” kata Dr Hisham lagi.

Menyuntik semangat kepada peserta, penyanyi dan usahawan Ayu Damit turut membuat persembahan istimewa dengan lagu motivasi “Hanya Di Mercu”, yang disambut meriah dan penuh emosi oleh hadirin.

Kejutan itu menjadi simbol bahawa setiap insan, walau bermula dari bawah, berpotensi untuk bangkit dan berada di puncak kejayaan.

Sebagai penutup yang bermakna, pihak penganjur turut mengumumkan pelancaran Healing & Wellness Centre yang bakal beroperasi dalam tahun ini.

Pusat ini akan memberi tumpuan kepada rawatan burnout, tekanan emosi dan retreat penyembuhan menyeluruh sebuah inisiatif baharu yang menyokong kesejahteraan mental dalam kalangan usahawan dan komuniti umum.

Dengan mesej utama bahawa “minda yang kuat mampu mengubah rezeki”, program ini bukan sahaja membuka ruang pemulihan kepada usahawan yang pernah tersungkur, malah menjadi platform baharu untuk mencipta generasi usahawan yang lebih resilient, berdaya saing dan bersedia menempuh dunia keusahawanan dengan kekuatan minda dan strategi yang segar.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.ecotwin-step.com, hubungi +6010-841 8989 atau menghantar e-mel ke ecotwinstep@gmail.com.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular