27.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026
Home Blog Page 255

Muat naik hantaran di IG, Elly Mazlein perli siapa?

KUALA LUMPUR – Ramai yang tahu pengacara popular Elly Mazlein menarik diri daripada menjadi pengacara program All Stars Gegar Vaganza.

Bermakna malam tadi sudah tiada kelibat Elly yang mesra disapa kak Lina Pom Pom itu.

Namun begitu, muat naik Elly di Insta Story Instagram menarik perhatian apabila dia meluahkan kata-kata seperti memerli seseorang.

“Kadang-kadang kita terpaksa melupakan tanggungjwb kita.. sebab apa??? Sebab niat kita ni baik untuk memberi laluan kepada orang is shaking buat keja dgn lebih selesa.

“Lagi 1, jangan gaduh pasal rezeki .. Allah da susun baik-baik untuk kita semua.. Mengalah tak semestinya kita kalah… kita ambil keputusan melepaskan untuk tenang dan memilih untuk bahagia,” tulisnya.

Menerusi posting lagi itu, Elly memberi gambaran seolah-olah ada individu atau pihak yang cuba memburukkan dirinya, meskipun dia bertindak mendiamkan diri.

“Kita dah elok-elok senyap… member pulak menggelitat nak kita cakap benda busuk bangkai ni .. Dunia Dunia
Menghukum orang tak abis? ,supaya diri nampak terpaling baik .. makin Serlah kelucuan ni .. haaaa.

“Ni baru nama lucu .. xde la lucu stereotype dulu kini dan selamanya. Walaupun sehebat mananya kita, syombong hebat kasi turun sikit dikkkkk. Ingat asal usul,” tulisnya.

Terdahulu, minggu lalu Elly mengumumkan mengundurkan diri daripada mengacarakan program realiti popular itu atas sebab peribadi.

Visi, Misi dan Iktikad

Terlintas kata-kata ini dibenak fikiran. Sejauh mana visi dan misi, dan apakah langkah seterusnya? Bagaimanakah pengakhirannya? Sudah cukupkah segala bekalan? Terlalu subjektif untuk diperkatakan.

Ternyata segalanya adalah PERSOALAN. Adakah kamu juga memikirkannya? Atau sengaja persoalan ini dibuang jauh-jauh atau lebih mudah dengan tidak mengambil pusing? Berbeza pandangan atau pendapat, itu biasa. Kita raikan pandangan masing-masing.

Ya, memang pilihan ditangan kita. Kita bebas dan berhak untuk memilih. Tanpa paksaan atau idealogi tertentu. Tidak mengapa jika tidak berpihak. Tetapi mentaliti kebanyakan kita sekarang seperti seorang hakim, sewenangnya menjatuhkan hukuman. Kenapa lebih suka mengadu domba? Lebih suka membuat perkara yang kita tahu akan akibat dan balasannya? kenapa menganiaya? Adakah ini sebuah legasi yang ingin kita wariskan? Adakah ini tauladan yang ingin kita pertontonkan?

Pernah suatu ketika, wadah perjuangan menjadi salakan puak-puak tertentu, yang kononnya boleh membebaskan dan memahami keinginan Kita! Apakah sebenar matlamatnya? Korupsi bersepah, hanya dengan longgokan kepingan kertas, maruah tergadai. Mana sumpah janji semasa bibir mengikrarkannya sepenuh hati? Mana wajah-wajah kesayangan ‘ hamba ‘ yang menjadi sumber inspirasi tatkala darah membara ingin menabur bakti membela bangsa? IKTIKADnya?

Realitinya disini, bukanlah medan untuk kita mencari semata-mata kebahagiaan, kecintaan mahupun mengecapi apa jua yang dikatakan sejati. Jika terjadi, ia hanyalah rencah dan perasa, sebagai nilai tambah dalam sebuah perjalanan dalam kehidupan.

Hiduplah di atas prinsip. Teruslah berbuat baik. Sangka yang baik-baik. In SHAA ALLAH yang baik akan mencari kita. Cukuplah kita ada ALLAH dan RasulNYA. Cukuplah sekadar keberkatan hidup, dengan menghargai ruang dan kesempatan yang telah diberikan oleh Sang PENCIPTA untuk mengenal dunia, seterusnya kekal di alam sana.

Bank Islam perkasa komuniti kurang dapat khidmat kewangan

KUALA LUMPUR – Meneruskan misinya memperluas rangkuman kewangan dan memperkasakan komuniti yang kurang mendapat khidmat kewangan, Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menjalin kerjasama strategik dengan Qwork.

Menerusi kerjasama itu, Bank Islam berhasrat untuk meneroka himpunan meluas pekerja bebas dalam platform intuitif Qwork bagi menyediakan penyelesaian kewangan fleksibel yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Dengan bersandarkan rangkaian bakat pada Qwork, Bank Islam berhasrat untuk menangani cabaran ekonomi yang dihadapi tenaga kerja serta menawarkan mereka akses terhadap produk dan perkhidmatan perbankan patuh Syariah.

Bank Islam boleh mempromosikan kerja-kerja yang diiklankan pada Qwork dalam aplikasi perbankan mudah alih Be U by Bank Islam yang juga 100 peratus digital.

Selain akses perkhidmatan perbankan, pelanggan boleh menggunakan fungsi ‘Gig Marketplace’ dalam aplikasi berkenaan untuk mencari peluang pendapatan yang disediakan Qwork.

Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam, Noor Farilla Abdullah, berkata pihaknya gembira bekerjasama dengan Qwork dalam meneruskan usaha mempertingkatkan lagi aplikasi Be U by Bank Islam.

Beliau berkata, penerapan fungsi terbaharu itu ke dalam aplikasi berkenaan akan memperkasakan pengguna untuk menguruskan kewangan mereka serta meraih pendapatan.

“Dengan segalanya pada satu platform tunggal, pengguna boleh mengesan dan mengurus kewangan mereka serta mendapatkan akses terhadap penyelesaian yang khusus buat pekerja bebas.

“Kerjasama ini sejajar dengan komitmen kami untuk memenuhi keperluan komuniti yang kurang mendapat khidmat perbankan dan menggalakkan amalan kewangan yang saksama,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Qwork, Muna Munirah berkata, kerjasama dengan Bank Islam bagi memperkasakan pekerja bebas dan menyediakan mereka akses terhadap produk dan perkhidmatan perbankan Islam.

Katanya, kerjasama itu bertujuan untuk mendemokrasikan manfaat seumpama bekerja di syarikat multinasional bagi pekerja gig atau dikenali sebagai pekerja bebas di Qwork.

Pada September 2023, Be U by Bank Islam melancarkan kad debitnya yang 100 peratus dikeluarkan, dihantar dan diuruskan menerusi aplikasi berkenaan.

Selain menyediakan kemudahan pembayaran yang mudah, aplikasi Be U by Bank Islam terus menawarkan penyelesaian-penyelesaian bertumpukan pelanggan, khasnya bagi generasi muda dan pekerja bebas.

Bank Islam merancang untuk memperkenalkan pilihan pembiayaan fleksibel, penyelesaian pembayaran digital dan perkhidmatan perancangan kewangan dalam aplikasi berkenaan.

Dengan memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi komuniti pekerja bebas, Bank Islam berhasrat untuk menyediakan sokongan dan alatan yang bersesuaian bagi membolehkan mereka maju dalam ekonomi yang dinamik hari ini. 

Wanita di Vietnam semakin kurang

Ho Chi Minh City – Kekurangan wanita di Vietnam menjadi topik perbualan biasa di meja makan di negara berkenaan. Beberapa tahun lalu, jika seorang wanita berusia pertengahan 20-an dan belum berkahwin, prospek perkahwinannya adalah salah satu kebimbangan terbesar bagi keluarga mereka.

Tetapi kebimbangan ramai keluarga kini semakin ditujukan kepada anak lelaki mereka. Antara persoalannya adalah: Adakah lelaki itu berpendidikan? Adakah lelaki itu mempunyai pendapatan yang cukup? Adakah lelaki itu berkelakuan baik?Ads by

Jika jawapan kepada soalan ini adalah negatif, maka prospek lelaki terbabit untuk mencari isteri akan berkurangan.

Terdapat 1.2 juta lebih kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan dalam kalangan warga Vietnam di bawah umur 19 tahun, menurut bancian pada 2019, lapor portal Deutsche Welle (DW).

Menurut DW Vietnam kini bersama negara seperti China dan India dalam hal nisbah lelaki melebihi perempuan.

Akibatnya, ia memberikan impak sosial apabila lelaki sukar mencari pasangan hidup.

Kajian pada 2018 bertajuk “Ketidakseimbangan Gender Di Vietnam: Masalah Dan Penyelesaian” mengenal pasti beberapa sebab ketidakseimbangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di negara itu.

Ketidakseimbangan itu sebahagiannya berpunca daripada keutamaan masyarakat terhadap lelaki, apabila secara tradisinya, seorang kanak-kanak perempuan dilihat mempunyai ‘nilai’ atau kedudukan yang kurang berbanding kanak-kanak lelaki.

Konfusianisme, yang mempunyai pengaruh kuat ke atas masyarakat Vietnam, menyebabkan pengasingan ketat peranan jantina dan subordinasi wanita kepada lelaki.

Apabila wanita berkahwin di Vietnam, mereka biasanya menyertai keluarga suami mereka.

Memandangkan kerajaan tidak menyediakan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi, ibu bapa juga akan bergantung kepada anak lelaki mereka untuk menyara mereka pada hari tua mereka.

Penggunaan meluas kaedah ujian pranatal seperti pengimejan ultrabunyi juga membolehkan pasangan untuk menentukan jantina anak dalam kandungan. Walaupun kerajaan mengharamkan ujian ultrabunyi untuk pengenalan jantina pada 2003.

Hari ini, sebanyak 83 peratus wanita hamil mengetahui jantina anak mereka sebelum dilahirkan, lapor Profil Kesaksamaan Jantina Negara Bangsa-Bangsa Bersatu 2021.

Ultrabunyi, bersama-sama dengan dasar untuk mengekang pertumbuhan penduduk, mempengaruhi nisbah jantina.

Kerajaan Vietnam mengamalkan dasar dua kanak-kanak pada tahun 1988, tetapi ia tidak dikuatkuasakan secara tegar.

Kebanyakan keluarga di negara ini juga mahukan anak lelaki untuk meneruskan keturunan mereka. Akibatnya, terdapat peningkatan dalam pengguguran janin perempuan, terutama apabila kehamilan kedua atau ketiga.

Bertentangan dengan apa yang dijangkakan, nisbah yang menyaksikan lebih ramai lelaki ini tidak membawa kepada peningkatan dalam status atau kedudukan sosial wanita di Vietnam.

Sebaliknya, wanita menjadi mangsa perkahwinan paksa, pemerdagangan manusia dan bentuk keganasan lain terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, menurut kajian “Ketidakseimbangan Gender Di Vietnam: Masalah Dan Penyelesaian”. -Agensi

‘Istana Bunian’ jadi tarikan

Bachok – Hingga kini masih belum siap sepenuhnya walaupun sudah dibina sejak 1978, namun keunikan reka bentuknya yang penuh berseni dan dinamakan sebagai Istana Bunian menjadikan bangunan kediaman milik Hashim Abdul Rahman menjadi bualan ramai.

Hashim, 66, berkata, dia mula membina ‘istana’ itu sejak usia belasan tahun secara seorang diri berilhamkan alam semula jadi seperti bukit bukau, paya, hutan dan denai sungai.

Menurutnya, dia menggunakan bahan seperti simen, besi, batu dan pasir sebagai bahan asas dan sehingga kini sudah menelan kos lebih RM1 juta.

“Kita belajar daripada alam, apa yang kita lihat, kita fikir awan yang berarak, air yang mengalir itu semua ilham untuk saya bina ‘istana’ ini.

“Sehingga kini hanya 68 peratus siap, saya tak pernah berhenti menyiapkan ‘istana’ ini hanya terhalang sumber kewangan dan kudrat yang semakin tua,” katanya.

Hashim atau mesra dipanggil Pak Hashim berkata, ilham mendirikan kediaman seperti gua juga terhasil daripada kejadian Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira’.

Menurutnya, dia membina kediaman itu setinggi dua tingkat dengan keluasan 65 hingga 70 kaki (19 hingga 21 meter) dengan ketinggian tujuh meter.

Apa yang menarik, selain namanya yang unik dan mungkin seram bagi sesetengah orang, reka bentuk setiap inci di dalam ‘istana’ ini bercirikan pelbagai negara seperti Mesir menerusi corak piramid, bulatan mewakili kesenian negara India, Turki, Mexico, Jepun, China dan Rome.

Di dalam istana ini terdapat kolam mandi, beberapa buah bilik, tempat pancuran air terjun, kawasan istirehat, dapur, tandas dan di tingkat atas, sedang dibina empat bilik tidur dan laman, manakala di luar mempunyai barisan tiang yang bercorak indah dan penuh kesenian.

Pak Hashim berkata, semua ilham itu diperoleh hasil penelitian matanya pada helaian kertas atau pemandangan yang dilihat dan disimpan di kotak memori kepalanya sebelum diolah menjadi acuan reka bentuk kediaman itu.

Antara yang menarik adalah kesenian ciptaan tujuh kolam yang ada di luar dan dalam ‘istana’, corak kerawang pada tiang, tingkap dan hiasan dinding serta keunikan bentuk seperti bukit bukau yang membentuk istana bunian ini.

“Setiap sudut juga dibuat berbeza dibina dengan unsur rohani dan jasmani, reka bentuk alam memberi ketenangan, selagi saya tak puas hati, saya akan ubah reka bentuk binaan sehingga memberi kepuasan,” katanya yang turut berbicara penuh falsafah dan makna tersirat.

Pak Hashim berkata, dia tidak marah apabila orang mengaitkan keunikan kediamannya dengan unsur alam ghaib iaitu bunian kerana kekuatan luar biasanya yang membina istana itu seorang diri dan mempersoalkan tindakannya membina istana sepelik itu.

Menurutnya, ada juga yang menggelarkan gila namun itu pilihan hidup yang dia pilih untuk memilih hidup ‘luar biasa’ dan terasing dengan orang awam, sehingga mengambil keputusan untuk menetap terus di istana bunian sejak Januari tahun ini walaupun mempunyai rumah lain di kampung yang sama.

“Setiap orang mempunyai pemikiran sendiri, kita tidak boleh menghalang apa yang mereka fikir, tapi kita mempunyai akal untuk jadi ‘penapis’ apa yang baik dan buruk, bila kita menguasai ilmu, kita akan menghayati kehidupan,” katanya.

Dia juga mengakui tidak mempunyai sebarang alat komunikasi seperti telefon dan hanya orang tertentu akan diterima masuk ke istana bunian dan berbual dengan lelaki misteri ini.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia tidak menghalang sesiapa untuk datang ke ‘istana’ terbabit dan mahu orang ramai menghayati kehalusan seni pada bangunan itu sambil berfikir akan kekuasaan Allah SWT dan keindahan alam semula jadi. -Harian Metro

Belajarlah untuk bersyukur!

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik, fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan, fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa, fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk, fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk didalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang pasangan, fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Sebelum kita mengeluh dan memarahi ibu dan bapa kita yang masih hidup, fikirkan tentang seseorang yang merintih pilu memerlukan kasih sayang ibu dan bapa yang telah tiada.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup, fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita, fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya diuji untuk tidak memiliki zuriat.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan, fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menuding jari dan menyalahkan orang lain, ingatlah bahawa tidak ada seorang pun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup di dalam kesusahan, belajar bermuhasabah diri serta lebih bersederhana, tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup!

Mayat ditemukan lagi dalam serpihan kapal selam Titan

WASHINGTON – Lebih banyak serpihan ditemui yang disyaki adalah mayat manusia ditemukan dari kapal selam milik persendirian yang meletup dalam misi ke Titanic, Jun lalu, kata Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS).

Kesemua lima orang di dalam kapal selam rekreasi yang bernama Titan dan dikendalikan oleh syarikat OceanGate yang berpangkalan di AS itu, terbunuh apabila kapal itu meletup, yang dipercayai berlaku pada 18 Jun.

Insiden itu disahkan pada 22 Jun, menamatkan misi menyelamat selama beberapa hari.

“Jurutera keselamatan marin dengan Lembaga Penyiasatan Marin (MBI) Pengawal Pantai menemukan dan memindahkan baki serpihan tenggelam Titan dan bukti dari dasar Lautan Atlantik Utara pada 4 Oktober lalu,” kata Pengawal Pantai AS, dalam satu kenyataan Isnin lalu.

Menurut kenyataan sama, apa yang disyaki mayat manusia ditemukan dengan teliti, dari dalam serpihan Titan, dan diangkut untuk dianalisis oleh profesional perubatan AS.

Beberapa serpihan dan dipercayai mayat manusia sebelum ini juga ditemukan pada akhir Jun lalu.

Lima lelaki di atas kapal Titan itu ialah penjelajah British, Hamish Harding; pakar kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet; taikun Pakistan-British Shahzada Dawood dan anaknya, Suleman, dan Ketua Pegawai Eksekutif pengendali kapal selam OceanGate Expeditions, Stockton Rush.

Medan serpihan ditemukan 1,600 kaki (500 meter/m) dari Titanic, yang terletak 400 batu (643 m) dari pantai Newfoundland.

Mangsa diandaikan mati serta-merta apabila Titan, kira-kira sebesar kenderaan utiliti sukan (SUV), meletup akibat tekanan Lautan Atlantik Utara, pada kedalaman hampir empat kilometer di bawah permukaan laut. -Agensi

TVAH ajak lebih ramai NGO solidariti bersama Palestin

KUALA LUMPUR – Selaku media Islam tunggal di negara ini, TV AlHijrah (TVAH) turut menzahirkan sokongan dan solidariti mereka terhadap peperangan yang sedang berlaku terhadap Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, solidariti yang diadakan hari ini bertujuan untuk mengwar-warkan kepada semua apa yang sedang berlaku di Palestin.

“Solidariti hari ini penting untuk kita hebahkan dan ketengahkan apa yang sedang berlaku di sana sekarang.

“Selepas itu akan ada beberapa program siri khas daripada TVAH bagi memberi lebih kefahaman terhadap masyarakat bahawa apa yang kita lakukan ini adalah kerana sifat kemanusiaan.

“Ia tidak hanya untuk orang Islam yang berjihad tetapi juga kepada bukan Islam,” katanya pada sidang media solidariti yang diadakan di perkarangan TVAH, pagi tadi.

Turut sama pada solidariti itu kira-kira 70 anak muda daripada NGO MyAqsa Defenders.

Sementara itu, Namanzee berkata, banyak NGO yang datang menawarkan kerjasama dengan TVAH dan pihaknya tidak menolak sebaliknya berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai lagi NGO bagi sama-sama menyatakan sokongan terhadap Palestin.

“Ada banyak NGO yang datang untuk melakukan kerjasama dengan kami, apa yang saya harapkan semua NGO dapat bersatu.

“Ini lebih mudah untuk kita berada dalam satu gerakan yang sama untuk memberi bantuan ke Palestin.

“Saya juga berharap bantuan yang dibuat tidak hanya bersifat sementara tetapi berterusan dan bermusim seperti yang kita ketahui akan keadaan yang sering berlaku di sana,” katanya.

Katanya, TVAH sendiri mengharapkan kepakaran rakan NGO untuk melakukan misi menghantar bantuan ke sana seperti makanan yang sangat diperlukan saat ini.

“Sebelum ini kita pernah hantar pemberita TVAH, dengan keadaan sekarang kita cuba memberikan bantuan yang bersesuaian.

“Kalau boleh kita mahu hantar bantuan secepat mungkin. Dengan tabung bantuan Palestin yang dilancarkan oleh menteri, diharap TVAH dan semua NGO boleh menjadi sebahagian yang sama-sama menyalurkan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, di TVAH sendiri, pelbagai program TV diadakan antaranya Doa Qunut Nazilah dan lagu Air Mata Gaza yang disiarkan secara kerap.

Selain itu, bacaan Yasin turut diadakan esok jam 9 malam menerusi program khas Solidariti Yasin Untuk Palestin.

Paduan hebat rock antara benua Indonesia-Malaysia satukan Radja dan Ella

KUALA LUMPUR – Konsert ‘Live In Concert Radja (Special Appearance Ella)’ yang bakal berlangsung pada 12 November jam 7 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur dibawakan khas oleh Orange International Entertainment.

Konsert ini adalah sebuah penghormatan buat Radja apabila dapat bertemu semula dengan peminat setianya di sini.

Radja, yang dianggotai oleh Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) bersama-sama ratu rock negara, Ella bakal bersama dalam sebuah konsert yang julung-julung kali diadakan.

“Ini adalah idea yang sudah lama diidamkan kerana Radja ingin sekali berkolaborasi dengan ratu rock Malaysia Ella di pentas yang sama, dan penganjur Orange Entertainment International berjaya merealisasikannya.

“Dua lagu hits kami ‘Jujur’ dan ‘Takkan Melupakanmu’ nyanyian Ella sangat indah didengar, maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini disamping menjalin

perpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dahulu lagi,” kata Moldy.

Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dan juga peminat.

“Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” kata Seno.

Sebelum ini, penganjur pernah mengadakan konsert untuk kumpulan Ungu pada penghujung tahun lalu dengan jayanya dan menerima sambutan yang memberangsangkan.

Selaku CEO & Pengasas Orange Entertainment International, Datuk Fadzli Idrus berkata, sebagaimana yang diketahui umum, Radja adalah sebuah band legendaris Indonesia yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

“Kami gabungkan mereka dengan ratu rock kita Ella dalam sebuah konsert gilang-gemilang buat tatapan peminat-peminat rock di Malaysia, disamping menyahut baik permintaan Radja yang mahukan Ella untuk turut serta bersama-sama mereka di pentas yang sama.

“Saya berharap peminat rock Indonesia dan Malaysia akan terhibur, dan jangan lupa untuk membeli tiket konsert sebelum terlambat.

“Kami hanya mahu melepaskan rindu bersama peminat-peminat di Malaysia dan ‘yuk’ mari kita sama-sama ‘enjoy’ pada malam konsert itu nanti,” kata Ian.

Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my.