KUALA LUMPUR – Pengalaman tersalah mengumumkan nama pemenang tidak membuatkan pelakon, Sweet Qismina serik untuk mengacara lagi.
Sweet, 25, berkata, apa yang berlaku pada pertandingan akhir Bintang Kecil RTM 2023 yang diadakan di Kuching Sarawak itu akan dijadikan pengajaran untuknya lebih berhati-hati.
Tambahan pula, itu bukan kali pertama dia menjadi pengacara untuk program yang disiarkan di RTM.
Malah ketika mengacara program di RTM tahun lalu, semuanya berjalan lancar.
“Ini bukanlah kali pertama saya mengacara, tahun lalu Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Tidak sangka tahun ini berlaku pula insiden yang tidak diduga.
“Saya terima dengan hati yang terbuka apa juga yang berlaku dan kritikan yang diberikan.
“Sedikitpun tidak rasa fobia atau trauma. Insya-Allah jika diberikan peluang lagi sekali, saya akan berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Cik Misi 123.
Sweet berkata, apa yang berlaku itu membuatkan dia lebih teliti dan akan merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang pengacaraan sebelum memulakan kerja.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sweet dan suaminya, Adam Lee turut terbabit dengan drama terbaharu berjudul Cik Misi 123.
Drama berkenaan kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.
Menjalani penggambaran pada tahun 2021 drama ini mengisahkan tentang perjalanan seorang pelatih jururawat.
Selain Sweet dan Adam, drama yang diarahkan oleh Feroz Kadir ini turut dibintangi oleh Hafreez Adam dan Bella Dally.
Jika berhasrat hendak membawa keluarga bercuti ke luar negara, pastinya kita akan memilih tempat atau negara yang selesa dan mesra keluarga.
Di mana negara itu memberikan banyak kemudahan untuk kita seisi keluarga.
Dalam usaha mempromosikan kempen Salam Taiwan, negara ini adalah salah satu yang mesra keluarga dan boleh dimasukkan dalam ‘bucket list’ anda.
Ini kerana ada beberapa tempat yang wajib menjadi persinggahan buat anda dan seisi keluarga. Jika diikutkan banyak lagi tempat menarik yang tersedia di Taiwan yang mungkin boleh anda dapatkan di carian Google.
Ini antara beberapa tempat yang sempat penulis kunjungi ketika lawatan percutian ke Taiwan baru-baru ini.
Selain meneroka Taipei, penulis turut dibawa meneroka lebih banyak tempat menarik yang terdapat di bandar Taichung yang juga kawasan tumpuan pelancong.
Lihpao Land Resort, Taiyi Leisure Farm, Qinjing Farm adalah tempat yang berada di daerah Taichung, Taiwan.
Boleh dikatakan tiga tempat ini antara yang menjadi tumpuan tidak hanya pelancong luar, malah ia juga sentiasa penuh dengan pelancong tempatan pada waktu cuti sekolah.
Lihpao Land Resort
Berkunjung ke sini terasa seperti berada di kota keriangan Genting Highlands, kerana terdapat pelbagai keseronokan bermain di taman tema Lihpao Land untuk anda seisi keluarga.
Puas sudah bermain, mahu mencuci mata membeli belah, jangan risau di sebelah taman tema tersedia deretan kedai berjenama terkenal luar dan dalam.
Lihpao Outlet Mall syurga membeli belah yang mungkin tidak cukup untuk anda jika berjalan beberapa jam sahaja.
Mahu lebih puas semalaman di sini, jangan risau terdapat beberapa hotel berdekatan.
Ibaratnya di sini semua ada, tidak perlu melalui perjalanan jauh dan lama berada di dalam kereta.
Semuanya serba cukup dan lengkap tersedia di Lihpao Land Resort yang terletak di Taichung bandar kedua terbesar selepas Taipei, Taiwan.
Taiyi Leisure Farm
Dengan suasana romantik, mendengar bunyi cengkerik dan melihat kehijauan yang nyaman dan menyenangkan, memang tidak cukup jika hanya menginap satu malam di sini.
Jauh daripada kesibukan kota, namun tempat ini sesuai untuk anda yang bercuti bersama keluarga kecil mahupun besar.
Meskipun agak jauh perjalanan hampir dua jam daripada bandar Taichung, kepenatan tidak akan terasa tatkala melihat suasana kehijauannya yang mencengkam jiwa.
Menginap di Tai Yi Red Maple Resort, anda berpeluang meneroka kawasan berhampiran yang turut terdapat Sun Moon Lake, sebuah tasik indah yang melatari banyak bangunan unik dan klasik.
Tidak jauh dari Taiyi Leisure Farm, marilah singgah pula ke Qinjing Farm bermain dengan biri-biri.
Bagi yang tidak berpeluang ke New Zealand atau Desa Cattle Dairy Farm, Sabah, jangan lepaskan peluang singgah ke sini jika anda datang ke Taichung.
Suasana pergunungan yang menghijau kadang-kadang terasa seperti berada di atas langit atau di satu kawasan yang jauh daripada penempatan.
Apa yang penting, kunjungan anda ke semua tempat-tempat yang disarankan sangatlah mudah untuk mendapatkan makanan halal meskipun tidak banyak pilihan.
Setiap penginapan yang tersedia juga menyediakan sejadah, al-Quran dan penunjuk arah untuk melakukan solat.
MELAKA – Penyanyi yang namanya kian meningkat naik, Amir Masdi berjaya menyelesaikan misinya menerusi ‘showcase’ siri jelajah album yang diadakan di Hard Rock Café, Melaka pada 15 September lalu.
Lebih membanggakan apabila persembahan sempena penerbitan album sulung berjudul Amir Masdi itu dihadiri 600 penonton yang datang dari serata negeri.
Amir atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi, 27, mengotakan janjinya untuk memberikan persembahan bertaraf ‘A Class’ dengan menyanyikan 21 lagu terdiri daripada lagu-lagu dalam album Amir Masdi, single terdahulu dan beberapa lagu penyanyi popular lain.
“Untuk ‘album tour’ ini memang menjadi impian saya. Kalau ada album sahaja saya belum betul-betul puas, tapi peluang keemasan ini hadir tepat pada waktunya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur apabila dapat menjayakan projek ini di lokasi pertama di Hard Rock Cafe, Melaka.
“Apa boleh dikatakan, penonton yang hadir pada persembahan siri jelajah album Amir Masdi memang hebat.
“Tanpa sokongan mereka, mustahil untuk saya berjaya berada atas pentas itu seterusnya menghiburkan mereka semua.
“Tidak dinafikan ‘crowd’ pada malam itu sangat ‘sporting’. Walaupun ada lagu baharu daripada album, tapi mereka tetap menyanyi bersama.
“Semangat mereka itu menjadi aura untuk saya terus memberikan persembahan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Pada persembahan selama dua jam itu, Amir diiringi lima pemuzik berpengalaman.
Sementara itu, berita gembira buat peminat Amir Masdi apabila siri jelajah album itu bakal diteruskan di beberapa lokasi lain di seluruh negara tidak lama lagi.
Selepas kejayaan persembahan di lokasi pertama Hard Rock Café, Melaka, seterusnya Amir akan berada di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ini adalah projek yang bangus sebab saya dapat berjumpa dengan peminat dari pelbagai negeri di Malaysia.
“Dalam perancangan, kami mahu jayakan di lebih banyak lokasi yang mampu. Kalau boleh memang nak buat di setiap negeri, tapi itu akan diuruskan kemudian. Nantikan pengumuman dari kami,” katanya.
Menariknya, Amir adalah artis pertama yang membuat persembahan di Hard Rock Café Melaka bersempena ulang tahun ke-10 mereka.
“Pihak Hard Rock Cafe juga ada umumkan satu perkara yang istimewa untuk ‘album tour’ saya ini.
“Saya adalah artis pertama yang membuat persembahan pada hari ulang tahun ke-10 mereka. Apabila dapat tahu saya terkejut sebab bukan senang untuk menyanyi di Hard Rock apatah lagi mengadakan ‘showcase’ di situ,” katanya.
KUALA LUMPUR – Sedar lakonan tidak selamanya akan dilakukan, pelakon Bella Dally mula membabitkan diri dengan kerja di belakang tabir.
Sebagai permulaan, Bella dan suami membuka syarikat produksi, Ariz Media Entertainment Sdn Bhd yang diusahakan sejak lebih dua tahun lalu.
Malah setakat ini, syarikat berkenaan sudah menerbitkan lima drama.
Walaupun sedar bidang penerbitan tidak menjanjikan pulangan yang lumayan, Bella, 32, nekad memilih bidang ini yang dirasakan sesuai dengan jiwanya.
“Tidak selamanya saya akan berlakon malah sekarang saya juga agak memilih untuk menerima tawaran berlakon.
“Buat masa sekarang saya cuba memberi tumpuan kepada perkara lain. Selain membabitkan diri dengan penerbitan saya juga mahu meneroka peluang perniagaan yang lain,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama terbitan syarikatnya, Cik Misi 123, baru-baru ini.
Menerusi drama bersiri 30 episod yang disiarkan di Astro Ria itu, Bella turut berlakon sama.
Bella berkata, walaupun sudah mempunyai syarikat penerbitan sendiri bukan bermakna dia hanya akan berlakon di bawah produksinya sahaja.
“Bukan kerana tidak mahu berlakon dengan penerbitan lain, tetapi disebabkan kakak ipar adalah penerbit eksekutif, kadang-kadang dia suruh saya berlakon sama.
“Kami bertanya juga kepada stesen TV apakah sesuai atau tidak. Kerana selalunya mereka ini ada kriteria pelakon yang dimahukan.
“Saya sebenarnya terbuka jika ada tawaran daripada syarikat produksi lain. Tidak dinafikan ada yang berfikir saya sudah tidak mahu berlakon lagi.
“Sebenarnya, saya masih berlakon malah suami tidak menghalang. Mungkin disebabkan saya jarang muncul di TV disebabkan watak yang ditawarkan tidak kena dengan jiwa,” katanya.
Selain Bella, Cik Misi 123 menampilkan Sweet Qismina, Adam Lee, Hafreez Adam, Afifah Nasir, Faizdickie dan ramai lagi.
Drama itu mengisahkan perjalanan Oya lakonan Sweet yang terpaksa memasuki kursus kejuruwatan. Di Kolej Oya bertemu Mika lakonan Adam yang kemudian berusaha memenangi hatinya.
KUALA LUMPUR – Malaysia Real Estate Integrity Elite (MREIE) yang julung kali diadakan mengiktiraf seramai 38 ejen dan 8 syarikat hartanah tempatan yang cemerlang dan mempunyai reputasi terbaik dalam menyediakan perkhidmatan profesional, boleh dipercayai, dan selamat kepada pengguna.
Dianjurkan oleh Elit Integriti Hartanah Berpengaruh Malaysia (MIREBA) dan Hartanah & Strata Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), anugerah itu menyaksikan perkembangan luar biasa dalam memberi pengiktirafan terhadap bidang hartanah.
Melihat perubahan besar dalam bidang ini, anugerah ini adalah yang paling dinanti-nantikan oleh semua yang terbabit dan cemerlang dalam industri hartanah.
Pengerusi MREIE, Profesor Jericho Tang kit Wai berkata, bidang agensi hartanah adalah industri yang mencabar namun banyak peluang yang harus diterokai.
“Agen hartanah tidak hanya bertindak sebagai penghubung antara impian dan realiti tetapi juga, dengan kepakaran dan pengalaman mereka yang kaya, membantu orang mencapai impian memiliki rumah.
“Mereka perlu memahami pasaran, memahami keperluan, mencari rumah ideal untuk pelanggan, dan memberikan nasihat profesional semasa proses pembelian dan penyewaan.
“Mereka adalah penyokong yang memberikan bantuan berharga kepada keluarga, pelabur, dan pendatang baru,” katanya.
Katanya, tugas agen hartanah sering kali dianggap remeh, hanya dilihat sebagai perantara yang memudahkan urus niaga.
Namun begitu, hakikatnya mereka memainkan peranan penting dalam setiap peringkat mencari, menilai, bernegosiasi, dan menyelesaikan urus niaga.
“Saya ingin menunjukkan bahawa agen hartanah memikul tanggungjawab besar dan harus sentiasa belajar dan menyesuaikan diri dengan pasaran yang sentiasa berubah.
“Oleh itu, masyarakat perlu menunjukkan lebih banyak penghormatan dan penghargaan terhadap kerja mereka.
“Kepakaran dan usaha gigih mereka membantu kita mencapai impian dan mencipta kenangan indah di rumah kita sendiri. Sama ada mencari tempat tinggal ideal, melabur dalam hartanah, atau menjual hartanah kita, mereka adalah rakan yang boleh dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Tang berkata, dalam beberapa tahun terakhir ini, isu seperti ketidakjujuran di kalangan agen hartanah, penipuan hartanah, dan pertikaian reka bentuk kediaman semakin meningkat.
“Untuk melindungi hak pengguna, penganugerahan ini tanpa ragu menjadi panduan buat pengguna dalam memilih agen hartanah.
“Kami meminta semua pemohon menjalani proses ulasan yang ketat untuk memastikan mereka memenuhi standard dan peraturan tinggi kami.
“Penganugerahan ini mewakili integriti dan kebolehpercayaan individu dalam industri hartanah, memberikan keyakinan dan jaminan kepada pengguna,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar lebih ramai orang akan mendapat pemahaman mendalam tentang hakikat industri hartanah melalui anugerah ini dan mengakui nilai penting agen hartanah.
“Ini adalah niat asal di sebalik penubuhan MREIE dan anugerah yang diberikan ini,” katanya.
KUALA LUMPUR – Selebriti tanah air menggunakan populariti mereka untuk menggalakkan jutaan rakyat Malaysia yang menonton strim langsung Shopee Live Skuad Stylo.
Bersiaran setiap jam 8 malam, mereka menyokong perniagaan tempatan, dengan menunjukkan kualiti produk buatan tempatan dan turut memberi testimoni bagaimana mereka menggunakan produk berkenaan dalam kehidupan seharian.
Antara selebriti popular terbabit adalah Nabila Huda yang juga pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) menerusi lakonannya dalam Makrifat Cinta dan Fara Nadiah yang menceburi bidang lakonan sejak kecil lagi selain terkenal dengan filem Irama Kita.
Tidak ketinggalan Sherry Alhadad dan Datuk Seri Vida yang aktif mengajak peminat menyokong perniagaan tempatan sejak September lalu.
Ini menjadikan Shopee Live Skuad Stylo meraih 2 juta tontonan serta hampir 850,000 “Add to Cart” sejak mula bersiaran pada 5 September lalu.
“Produk buatan tempatan mempunyai rekaan yang cantik dan dihasilkan oleh anak tempatan yang berbakat,” kata Nabila ketika berganding dengan pengacara Zaiton Khalid dalam mengendalikan Shopee Live Skuad Stylo pada 26 September lalu.
Pada strim langsung itu, Nabila turut mempergayakan tudung jenama tempatan Heejab dan Theselamah bagi menunjukan keselesaan dan kualiti kain kepada penonton.
Nabila yang mempunyai 3.1 juta peminat di media sosial turut berkongsi dia membelanjakan antara RM300 hingga RM400 setiap bulan untuk membeli barang keperluan dapur dan barangan elektrik di Shopee.
“Saya dapati membeli barangan keperluan seperti beras dan jenama pasta kegemaran saya di Shopee lebih mudah daripada ke kedai fizikal,” katanya.
Sementara itu, Fara, yang cekal mencipta nama dalam industri seni sejak kecil memahami setiap penjual tempatan memerlukan platform tepat seperti strim langsung dan sedikit pendedahan untuk memperluaskan kecapaian perniagaan mereka.
“Saya suka membeli-belah di dalam talian untuk barangan seperti kasut, aksesori, penjagaan kulit dan juga perabot. Saya dapati produk yang dijual di Shopee berkualiti tinggi,” katanya.
Ketika strim langsung pada 2 Oktober lalu yang dikendalikan bersama pengacara Sarancak (Sara Zulkifli), Fara turut menekankan kualiti dan harga mampu milik produk buatan tempatan, seperti jongkong emas 999.9 jenama Masdora.
Pelakon ini juga menyedari penjual wanita di Shopee membantu menaikkan wanita lain dalam komuniti mereka.
“Menjual dalam talian memudahkan wanita terutamanya suri rumah kerana mereka boleh menguruskan perniagaan sambil menjaga anak. Mereka adalah contoh peranan kepada penjual lain,” kata Fara yang mempunyai 159,000 pengikut di Instagram.
Ketua Pemasaran Shopee Malaysia Kenneth Soh, berkata Shopee menyasarkan untuk terus membawakan pengalaman membeli-belah terbaik yang bukan sahaja bagi memenuhi keperluan pengguna.
Tetapi turut menghiburkan mereka sambil mengekalkan keterlibatan melalui konsep ‘shopping-tainment’ yang memperkasakan penjual tempatan untuk berjaya dan berkembang dalam jangka masa panjang.
“Kami teruja melihat selebriti seperti Nabila Huda dan Fara Nadiah mengajak jutaan peminat di Shopee Live Skuad Stylo untuk menyokong jenama tempatan. Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghayati nilai produk Buatan Malaysia,” katanya.
Shopee mempunyai rekod prestasi dalam memperkasakan pencipta kandungan untuk mencapai keputusan yang cemerlang menerusi jualan strim langsung di platform berkenaan.
Penjual strim langsung Shopee terbaik di setiap negeri di Malaysia telah menjana jualan sebanyak RM4.6 juta dalam tempoh 12 bulan lalu.
Washington – Seorang lelaki berasal dari Illinois, Amerika Syarikat dituduh melakukan jenayah kebencian selepas menikam kanak-kanak Muslim berusia enam tahun hingga maut dan mencederakan ibunya.
Dia didakwa menyerang dua beranak terbabit kerana agama dianuti mereka dan sebagai tindak balas kepada perang antara Israel dan Hamas, menurut sumber rasmi dan aktiviti Muslim pada Ahad.
Pejabat Sheriff Will County dalam kenyataan berkata, kanak-kanak lelaki itu ditikam sebanyak 26 kali dengan pisau ketenteraan yang mempunyai bilah bergerigi sepanjang 18 sentimeter.
Ibunya yang berusia 32 tahun yang mempunyai beberapa kesan tikaman dijangka terselamat dalam serangan pada Sabtu di kawasan perbandaran Plainfield yang terletak 64 kilometer di barat daya Chicago.
“Detektif dapat menentukan bahawa kedua-dua mangsa dalam serangan kejam ini menjadi sasaran suspek kerana mereka beragama Islam dan konflik Timur Tengah yang berterusan membabitkan Hamas dan Israel,” kata Pejabat Sheriff Will County.
Suspek, Joseph Czuba, 71, didakwa dengan pembunuhan tahap pertama, cubaan membunuh tahap pertama dan dua pertuduhan jenayah benci.
Walaupun Czuba tidak membuat sebarang kenyataan kepada detektif kerana haknya seperti di bawah perlembagaan, polis berkata, mereka menentukan pertuduhan itu melalui temu bual dan bukti.
Apabila polis tiba di tempat kejadian, saksi berkata mereka mendapati Czuba sedang duduk di di luar rumah dengan luka di dahinya, manakala mangsa berada di dalam bilik tidur.
Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengenal pasti budak lelaki itu sebagai Wadea Al-Fayoume dan wanita itu, Hanaan Shahin adalah ibunya.
“Retorik Islamofobia dan perkauman anti-Palestin yang disebarkan oleh ahli politik, saluran media dan platform media sosial mesti dihentikan,” kata CAIR di platform media sosial X. -Agensi
GEORGE TOWN – Richiamo Coffee Sdn Bhd, syarikat Bumiputera pemilik rangkaian kafe kopi premium Richiamo Coffee, merancang untuk melebarkan lagi perniagaannya ke beberapa buah negara pada tahun depan selepas kejayaan rintisnya membuka cawangan di Kemboja.
Pengarah Urusan Kumpulan, Muhamad Zamry Abu Samah, berkata perancangan untuk membuka cawangan Richiamo Coffee di luar negara itu membabitkan beberapa negara antaranya Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Turkiye, India dan Algeria.
“Kejayaan membawa jenama Richiamo Coffee ke Siem Reap Kemboja adalah tapak dan perintis awal kepada kami untuk berkembang di luar negara dan kita juga mengintai peluang di beberapa negara lain, setakat ini perbincangan berhubung pembukaan (di beberapa negara itu) sedang berjalan.
“Kita akan buka cawangan Richiamo Coffee di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia terlebih dahulu pada awal tahun depan sebelum ke negara-negara lain.
“Kalau mengikut perancangan kami di Indonesia kita akan buka di Batam,” katanya selepas majlis pembukaan cawangan Richiamo Coffee di Hotel G, semalam, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razaki.
Richiamo Coffee yang memulakan operasinya pada 2016, kini mempunyai hampir 175 kafe di seluruh negara dengan di Pulau Pinang sahaja terdapat lima cawangan termasuk di Hotel G.
Muhamad Zamry berkata, pihaknya merancang membuka 10 lagi cawangan pada tahun ini dan menyasarkan sebanyak 222 cawangan Richiamo Coffee beroperasi di seluruh negara pada tahun depan.
Beliau berkata, Richiamo Coffee menerima sambutan yang sangat baik daripada pelanggan kerana kafenya berkonsepkan keluarga dengan menawarkan pelbagai pilihan menu makanan barat dan juga tempatan termasuk asam pedas, daging salai, masak lemak cili padi dan patin masak tempoyak.
Selain itu, katanya, harga yang ditawarkan bagi minuman di Richiamo Coffee juga 40 hingga 45 peratus lebih murah berbanding di kafe kopi premium lain di seluruh negara.
“Kekuatan kami di Richiamo Coffee ialah kami menawarkan menu tempatan di semua kafe kami yang mana ia menjadi pilihan keluarga yang datang untuk menjamu selera kerana mempunyai pelbagai pilihan yang bukan hanya terhad pada menu makanan seperti kek dan pastri yang menjadi pilihan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Zamry berkata, Richiamo Coffee juga bakal memperkenalkan sayap perniagaan baharu dalam bentuk rangkaian kedai serbaneka berkonsep moden dalam masa terdekat.
Menurutnya, sayap perniagaan baharu dikenali dengan nama Richiamo Mart itu sama konsep dengan rangkaian kedai serbaneka terkenal dari luar negara yang beroperasi di Malaysia ketika ini.
“Richiamo Mart yang pertama akan dibuka dalam masa terdekat ini di Kuala Lumpur dan seterusnya kami menyasarkan untuk membuka kedai serbaneka itu di kawasan kediaman baharu terutama yang berkonsepkan kondominium,” katanya. -Bernama
PERAK – Ribuan seniman serta peminat dari komuniti indie berkumpul di Lenggong pada hujung minggu lalu untuk merayakan seni dan kreativiti berlatarbelakang tasik dan gunung di Resort Tasik Raban.
Dianjurkan oleh TAPAUasia, edisi ke-6 TAPAUfest, kembali buat kali kedua di Lenggong ternyata memberikan pengalaman yang bermakna buat semua yang terbabit.
Pengunjung festival boleh memilih untuk mengambil ‘roadtrip’ ke Lenggong dengan memandu atau menggunakan perkhidmatan bas atau kereta api ke Ipoh dan wakil dari Majlis Daerah Lenggong sedia menunggu untuk membawa pengunjung ke lokasi festival.
Pintu mula dibuka pada 9 pagi bagi memberikan masa secukupnya untuk meneroka keajaiban semula jadi Lenggong yang memukau, antaranya di Lata Kekabu, atau menikmati secawan kopi di tepi sungai di Pio Kopi sebelum persembahan muzik di pentas PENTAS bermula pada jam 5 petang.
Bagi mereka yang tak mahu meninggalkan tapak festival, Pasar Komuniti T3 (PASAR), dikurasi dan direka oleh kolektif seni Tingkat 3, menawarkan peluang untuk membeli barang dari
seniman tempatan, menyertai bengkel seni dan DIY, menikmati persembahan DJ, atau melayan diri dengan servis gunting rambut dan urut kaki.
Peserta festival juga diberi peluang istimewa menikmati persembahan Dondang Sayang dan Mak Yong yang autentik, dikurasi dengan penuh kasih oleh Kakiseni.
Persembahan-persembahan ini, bersama dengan sesi kongsi termasuk tayangan di BENGKEL dan LAYAR, menambah dimensi budaya yang kaya di TAPAUfest.
Sebelum persembahan muzik dimulakan, pengunjung boleh menikmati pelbagai juadah jalanan tempatan dari Lenggong dan seluruh Malaysia.
Memastikan keaslian pengalaman WARUNG tanpa melibatkan stereotaip festival, semua makanan dan minuman bukan hanya lazat tapi harganya juga berpatutan.
Tepat jam 5 petang, hos TAPAUfest, bintang lakonan Iedil Dzuhrie Alaudin dan Sharifah Amani, membuka tirai mengajak semua orang untuk berkumpul di PENTAS.
Persembahan pertama dimulakan oleh kugiran “midwest emo”, Mascot yang membawakan persembahan sangat sesuai dengan angin kencang semulajadi dan tenaga penonton mereka.
Seterusnya Rub of Rub dari Bandung muncul dengan muzik latar yang cukup sempurna untuk matahari yang sedang terbenam sambil memikat penonton dengan bunyi dub mereka.
Ini adalah persembahan sulung mereka di luar Indonesia. Selepas rehat Maghrib, duo elektronik Wobbebong mengembalikan semangat penonton dengan persembahan bertenaga berserta penampilan istimewa oleh rapper Hullera untuk lagu kegemaran penonton “Kereta Terbang”.
Kugiran legenda Singapura, Force Vomit kemudiannya memulakan set mereka dengan lagu “Spaceman Over Malaysia”.
Ini kali pertama mereka membuat persembahan di Perak sejak tahun 2004. Rock ‘n roll ‘Supergroup’, Jemson seterusnya mengambil alih pentas dengan persembahan yang sangat bertenaga.
Bintang dan penyanyi, Naim Daniel turut membuat penampilan istimewa untuk lagu “Mula Semula.”
Hari pertama TAPAUfest 2023 ditutup dengan persembahan menawan oleh Nadin Amizah dari Indonesia. Di bawah cahaya bulan di tepi tasik, Nadin menyampaikan persembahan selama 45 minit yang bermula dengan hit terbarunya, “Rayuan Perempuan Gila,” dan berakhir dengan seluruh penonton festival menyanyikan bersama “Sorak Sorai.”
Hari kedua bermula seawal pada jam 7:45 pagi, dengan penonton berkumpul di tepi tasik berkabus untuk “Sesi Tikar Mengkuang”, yang menjemput peserta festival untuk merehatkan badan dan minda mereka melalui sesi regangan dan meditasi.
Satu lagi elemen TAPAUfest yang kembali pada edisi tahun ini adalah “Rakyat Games” yang dihoskan oleh Leaism.
Peserta boleh mengembalikan nostalgia di sekolah dengan bermain permainan klasik seperti “Tuju Selipar,” “Galah Panjang,” dan “Zero Point,” dengan peluang untuk memenangi hadiah dari Vans.
Pentas hari kedua dimulakan oleh kugiran Mid-Tempo 70’s Punk asal Bogor, The Jansen yang terus menghidupkan pentas sambil dipenuhi peminat yang cukup teruja untuk menonton persembahan pertama mereka di Malaysia.
Legenda tempatan dan pelopor indie, Muck, kemudiannya muncul di atas pentas, mempersembahkan 11 lagu termasuk “Where Only You Belong” dan anthem indie kegemaran ramai “Orang School”.
Door Plant, kugiran indie pertama dari Thailand di TAPAUfest, memberikan kejutan manis kepada mereka yang ingin mencari muzik baru dengan penonton menari meskipun tanpa memahami sepatah perkataan dalam bahasa Thai.
Hujan mula menitis ketikan Fikri dan kugirannya naik ke pentas mencipta suasana yang sempurna untuk bunyi neo-folk Bayangan.
Hujan yang turun dengan lebatnya ketika persembahan Lomba Sihir dari Jakarta tidak melunturkan semangat malah menghidupkan semangat penonton untuk menyanyi dan menari dalam hujan sepanjang persembahan mereka.
Zee Avi mengakhiri PENTAS dengan persembahan yang istimewa dengan menunjukkan bakatnya sebagai penulis lagu, pencerita dan pemuzik.
Di antara lagu yang dipersembahkan adalah “Just As I Am,”, sebuah cover dari The Strollers, band legenda yang dianggap sebagai kugiran indie pertama dari Malaysia.
Zee menutup malam dengan “Kantoi”, yang menjadi antara momen paling epik dalam sejarah TAPAUfest, dengan setiap orang di festival turut nyanyi bersama.
Ketika pengunjung singgah di WARUNG bagi mengisi perut sebelum pulang, warga ‘campers’ kembali kawasan perkhemahan oleh Santuy Travellers untuk sesi “Bonfire Akustika” khas bersama Amir Jahari sebagai penutup TAPAUfest 2023 yang sebenar.
Pengasas dan pengarah TAPAUfest, Ahmad Faris berkata, mereka berasa bahawa banyak memori-memori indah yang kekal sepanjang hayat tercipta menerusi pertemuan komuniti indie yang menjayakan TAPAUfest di Lenggong ini.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi dan Digital atas sokongan mereka dalam menjadikan acara ini menjadi realiti,” katanya.
TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok.
TAPAUfest 2023 disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) melalui MyCreative Ventures (MYCV).
Nantikan TAPAUfest 2024 akan kembali ke Lenggong pada 5 dan 6 Oktober 2024.