28.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 16, 2025

Sweet Qismina tidak serik mengacara lagi

KUALA LUMPUR – Pengalaman tersalah mengumumkan nama pemenang tidak membuatkan pelakon, Sweet Qismina serik untuk mengacara lagi.

Sweet, 25, berkata, apa yang berlaku pada pertandingan akhir Bintang Kecil RTM 2023 yang diadakan di Kuching Sarawak itu akan dijadikan pengajaran untuknya lebih berhati-hati.

Tambahan pula, itu bukan kali pertama dia menjadi pengacara untuk program yang disiarkan di RTM.

Malah ketika mengacara program di RTM tahun lalu, semuanya berjalan lancar.

“Ini bukanlah kali pertama saya mengacara, tahun lalu Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Tidak sangka tahun ini berlaku pula insiden yang tidak diduga.

“Saya terima dengan hati yang terbuka apa juga yang berlaku dan kritikan yang diberikan.

“Sedikitpun tidak rasa fobia atau trauma. Insya-Allah jika diberikan peluang lagi sekali, saya akan berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Cik Misi 123.

Sweet berkata, apa yang berlaku itu membuatkan dia lebih teliti dan akan merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang pengacaraan sebelum memulakan kerja.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sweet dan suaminya, Adam Lee turut terbabit dengan drama terbaharu berjudul Cik Misi 123.

Drama berkenaan kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.

Menjalani penggambaran pada tahun 2021 drama ini mengisahkan tentang perjalanan seorang pelatih jururawat.

Selain Sweet dan Adam, drama yang diarahkan oleh Feroz Kadir ini turut dibintangi oleh Hafreez Adam dan Bella Dally. 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular