GEORGE TOWN – Richiamo Coffee Sdn Bhd, syarikat Bumiputera pemilik rangkaian kafe kopi premium Richiamo Coffee, merancang untuk melebarkan lagi perniagaannya ke beberapa buah negara pada tahun depan selepas kejayaan rintisnya membuka cawangan di Kemboja.
Pengarah Urusan Kumpulan, Muhamad Zamry Abu Samah, berkata perancangan untuk membuka cawangan Richiamo Coffee di luar negara itu membabitkan beberapa negara antaranya Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Turkiye, India dan Algeria.
“Kejayaan membawa jenama Richiamo Coffee ke Siem Reap Kemboja adalah tapak dan perintis awal kepada kami untuk berkembang di luar negara dan kita juga mengintai peluang di beberapa negara lain, setakat ini perbincangan berhubung pembukaan (di beberapa negara itu) sedang berjalan.
“Kita akan buka cawangan Richiamo Coffee di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia terlebih dahulu pada awal tahun depan sebelum ke negara-negara lain.
“Kalau mengikut perancangan kami di Indonesia kita akan buka di Batam,” katanya selepas majlis pembukaan cawangan Richiamo Coffee di Hotel G, semalam, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razaki.
Richiamo Coffee yang memulakan operasinya pada 2016, kini mempunyai hampir 175 kafe di seluruh negara dengan di Pulau Pinang sahaja terdapat lima cawangan termasuk di Hotel G.
Muhamad Zamry berkata, pihaknya merancang membuka 10 lagi cawangan pada tahun ini dan menyasarkan sebanyak 222 cawangan Richiamo Coffee beroperasi di seluruh negara pada tahun depan.
Beliau berkata, Richiamo Coffee menerima sambutan yang sangat baik daripada pelanggan kerana kafenya berkonsepkan keluarga dengan menawarkan pelbagai pilihan menu makanan barat dan juga tempatan termasuk asam pedas, daging salai, masak lemak cili padi dan patin masak tempoyak.
Selain itu, katanya, harga yang ditawarkan bagi minuman di Richiamo Coffee juga 40 hingga 45 peratus lebih murah berbanding di kafe kopi premium lain di seluruh negara.
“Kekuatan kami di Richiamo Coffee ialah kami menawarkan menu tempatan di semua kafe kami yang mana ia menjadi pilihan keluarga yang datang untuk menjamu selera kerana mempunyai pelbagai pilihan yang bukan hanya terhad pada menu makanan seperti kek dan pastri yang menjadi pilihan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Zamry berkata, Richiamo Coffee juga bakal memperkenalkan sayap perniagaan baharu dalam bentuk rangkaian kedai serbaneka berkonsep moden dalam masa terdekat.
Menurutnya, sayap perniagaan baharu dikenali dengan nama Richiamo Mart itu sama konsep dengan rangkaian kedai serbaneka terkenal dari luar negara yang beroperasi di Malaysia ketika ini.
“Richiamo Mart yang pertama akan dibuka dalam masa terdekat ini di Kuala Lumpur dan seterusnya kami menyasarkan untuk membuka kedai serbaneka itu di kawasan kediaman baharu terutama yang berkonsepkan kondominium,” katanya. -Bernama