27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 14, 2026
Home Blog Page 253

Anak legenda bukan tiket dapat layanan istimewa

AMPANG – Menjadi anak kepada pasangan artis veteran bukanlah tiket mudah untuk kekal berada dalam industri seni, sebaliknya perlu melalui proses yang sama seperti orang lain.

Begitulah situasi yang dilalui oleh anak legenda Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail iaitu Dilla Hussein dan Fairuz Hussein.

Pasangan adik beradik itu mengakui kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang didakwa tidak melayan mereka dengan sewajarnya.

Dilla, 60, berkata, mereka pernah hadir untuk sesi ‘pitching’ projek filem di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), namun agak terkilan apabila mendapat layanan buruk daripada mereka.

“Tiada sesiapa pun yang memandang kami atau memberi ‘muka’ hanya kerana kami anak legenda.

“Semua itu tidak memberi apa-apa makna malah gelaran yang dibawa tidak memberi keistimewaan untuk kami mendapatkan  sesuatu projek yang ditawarkan.

“Kami perlu bersusah payah membuat pembentangan itu pun belum tentu diterima. Memang kecewa dengan apa yang berlaku.

“Sekurang-kurangnya berilah perhatian. Kami juga sama-sama cari rezeki. Kami berusaha bukan sekadar menggunakan gelaran anak legenda semata-mata,” kata Dilla.

Mereka berkata, lebih menyedihkan ada satu program iaitu  Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM), kedua beradik itu tidak diberitahu.

“Saya memang tidak tahu dan apabila saya tanya Fairuz dan Faizal, mereka pun tak tahu juga,” katanya.

Dilla berkata, pada program itu terdapat poster filem Bukit Kepong yang memaparkan gambar bapa mereka, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin terpampang besar di dinding tetapi mereka tidak diundang ke pameran yang berlangsung selama dua bulan bermula 22 Mei lalu.

“Kami pergi tapi kami tahu pun melalui sebaran di TikTok, namun barang pameran tidak banyak yang tersedia. 

“Saya lihat video, ketika perasmian mereka jemput Mak Nani (Datuk Rosnani Jamil). Kemudian saya lihat yang dijemput ramai muka pelakon yang tidak dikenali.

“Saya tertanya-tanya adakah mereka pelakon legenda? Saya tanya anak pelakon legenda lain dan mereka juga tidak tahu akan kewujudan pameran berkenaan,” katanya yang masih aktif menulis skrip.

Sementara itu, Fairuz, 58, berkata, mereka sering berdepan senario ditikam dari belakang oleh segelintir pihak yang mahu melihat mereka gagal.

“Melihat keadaan yang berlaku membuatkan kami selesa buat hal sendiri. Syukur saya masih ada platform sendiri yang diusahakan bersama suami, Zul Nadzar,” katanya.

Mereka ditemui selepas menjayakan program Seloka Legenda Waris Seni yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, baru-baru ini.

Selain Dilla dan Fairuz, program anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis & Penggiat Seni Malaysia (Pemekar) itu turut menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud iaitu waris seniwati Saadiah & Ahmad Daud, Hairi Kool waris keluarga Sophia Ibrahim, dan Osama Yamani waris Datuk Jamal Abdillah. 

Tanam herba sendiri, ahli DXN teruja lihat ladang dan kilang DXN

ALOR STAR – Berada pada kelas tersendiri dalam menjamin kualiti dan kebersihan produknya, DXN Holdings Bhd (DXN) menghasilkan sendiri herba yang digunakan dalam produk keluarannya iaitu ganoderma dan spirulina.

Memiliki ladang sendiri yang terletak, di Bukit Wang, Jitra, Kedah, ahli mereka turut di bawa melihat sendiri suasana ladang yang memiliki keluasan 30 ekar itu.

Ladang berkenaan turut menempatkan sebuah kilang dengan keluasan 28,000 kaki persegi.

Kilang DXN Pharmaceutical yang berstatus Good Manufacturing Practice (GMP) secara rasminya dibuka pada 9 Jun 2001 dilengkapi mesin serta prasarana terbaik di dunia.

Dalam lawatan bersama ahlinya baru-baru ini, mereka melihat sendiri bagaimana proses penanaman ganoderma dari langkah awal sehingga tempoh matang sekitar tiga bulan.

Begitu juga dengan kolam tanaman spirulina yang dibina khas termasuk membabitkan penggalian tanah dan penyediaan air masin oleh syarikat itu sendiri secara semua jadi.

Datin Hajah Khairunaniza berkata, peluang melihat sendiri kesemua proses berkenaan membuka matanya betapa DXN sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang boleh diyakini dalam aspek kebersihan, kualiti dan keselamatan dalam penyediaan produk mereka.

“Saya memang teruja apabila berpeluang melihat sendiri ladang dan kilang DXN termasuk alatan yang digunakan serta proses penyediaan produk yang sangat bersih dan tanpa ragu-ragu.

“Sebagai seorang yang sudah berpeluang ke luar negara dan melihat produk lain di sana, DXN berada dalam liga tersendiri dan tidak keterlaluan kalau saya kata ia terbaik,” katanya.

Bagi Norsham Ibrahim yang baharu beberapa bulan menyertai DXN, peluang berkunjung dan melihat sendiri ladang serta kilang berkenaan menyuntik keyakinan lebih tinggi buatnya menggunakan produk yang dihasilkan.

“Puas dan seronok sebab dapat tengok sendiri cendawan gano malah saya juga berpeluang merasai spirulina yang dihasilkan di kawasan kilang.

“Bila kita tahu DXN yang keluarkan sendiri bahan untuk produk, rasa yakin dan lega itu datang dengan sendiri dan tidak risau tentang apa yang kita makan serta gunakan,” katanya yang bekerja sebagai tukang urut serta mula menggunakan produk DXN Gano Oil.

Kesemua ahli yang menyertai lawatan santai itu, turut dibawa ke Kafe DXN di Bandar Stargate, Alor Setar dan menikmati sendiri pelbagai menu yang ditawarkan.

Pastinya sajian salad segar dan cendawan goreng tepung menjadi pilihan kerana kesegaran yang dirasai serta pilihan air produk keluaran DXN yang sihat serta segar.

Selepas 8 tahun Hrithik Roshan kembali menyapa peminat di Malaysia

KUALA LUMPUR – Pemenang enam kali Filmfare Awards, menjadi salah seorang aktor dengan bayaran termahal di belantika perfileman India dan sangat terkenal kerana skil tarian yang mengagumkan, berita kehadiran figura bernama Hrithik Roshan di Malaysia adalah sebuah khabar ‘emas’ buat peminatnya.

Hadirnya Hrithik Roshan ke Malaysia selepas lapan tahun bukan sebuah bualan kosong sebaliknya penganjur, Yess Boss Groups merealisasikan impian itu apabila mengumumkan Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert pada 1 Disember ini.

Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sesuai dengan status ‘sosok mega’ bintang berusia 49 tahun itu.

Buat kesekian kalinya, Hrithik tidak akan mengecewakan peminat kerana konsert ini juga adalah kolaborasi bersama Heart Art Entertainment dan Dembi Productions. 

Bintang yang terkenal dengan filem Kaho Na Pyar Hai itu akan menampilkan konsert yang spektakular dengan diiringi barisan penari hebat dan tentunya koreografi tarian mereka sangat ditunggu selain persembahan pentas yang penuh kemeriahan.

Lebih istimewa lagi, apabila Hrithik ditemani oleh pengarah koreografi, penerbit dan aktor Prabhudeva yang akan menjadikan konsert ini sebagai sebuah sejarah.

Selain itu, konsert ini menampilkan pasangan yang disayangi ramai iaitu Bharti Singh dan Harsh Limbachiyaa sebagai pembuka acara. Ia turut diserikan dengan kemunculan Aastha Gills, Vaani Kapoor, Maliaka Arora  dan Sanya Malhotra. 

“Membawa Hrithik Roshan kembali ke Malaysia selepas lapan tahun adalah sebuah misi yang penuh dengan keterujaan.

“Ini akan menjadi tanda aras buat kami di yang diberi kepercayaan oleh Dembi Productions dan Yess Boss Groups untuk merealisasikan mimpi peminat melihat Hrithik kembali mempersona dengan skil tarian dan penampilan memukau.

“Apa lagi Hrithik sendiri sangat berbesar hati untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat yang sentiasa menyambut hangat bukan hanya kerja seni tetapi menghargai dirinya sebagai seorang individu.

“Menerusi Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert, peminat akan menyaksikan sebuah lagi persembahan mega, memukau dan penuh magis kerana Hrithik akan ditemani oleh Prahbu Deva sekaligus menjadikan konsert ini sebagai sejarah yang tidak akan dilupakan,” kata Pengarah Urusan Yess Boss Groups, Shahkeer Azzat Datuk Seri Zailan.

Penganjur juga menyifatkan Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi konsert penutup tahun 2023 yang penuh gilang gemilang serta bukti pengaruh seni Bollywood tidak pernah mati.

“Dalam lambakan muzik atau pelbagai genre konsert yang berjaya dilangsungkan sepanjang tahun ini, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi bukti dan tanda aras bahawa aliran Bollywood sentiasa dinantikan.

“Ramai peminat yang dahagakan penampilan bintang kesayangan mereka termasuk Hrithik yang sememangnya mempunyai pengaruh luar biasa di Malaysia.

“Jangan sampai terlepas membeli tiket dan pastikan temujanji anda bersama Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert pada 1 Disember ini,” kata  Shahkeer lagi.

Tiket-tiket berharga RM149 (silver), RM249 (gold), RM549 (Platinum), RM649 (Blue Saphire) dan RM3,500 (VIP) boleh dibeli dengan melayari www.yessbossticket.com

atau hubungi talian hotline 011-11546805. 

Kecederaan di ACL, Neymar mungkin rehat hingga hujung musim

RIO DE JANEIRO – Penyerang Brazil, Neymar akan diketepikan selama beberapa bulan ketika dia memerlukan pembedahan selepas mengalami kecederaan ACL serta meniskus di lutut kirinya ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay semalam, kata Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF).

Pemain berusia 31 tahun itu terjatuh selepas berlaga dengan pemain Uruguay, Nicolas de la Cruz pada minit ke-44 ketika kekalahan 2-0 itu, memegang lutut kirinya dalam kesakitan dan menjerit memanggil pegawai perubatan.

Neymar, yang mengikat kontrak bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal pada Ogos lalu, meninggalkan padang dalam tangisan menaiki kereta pengusung selepas mendapat rawatan beberapa minit dan imbasan MRI semalam mengesahkan kecederaan itu.

“Penyerang itu akan menjalani pembedahan, pada tarikh yang belum ditentukan, untuk merawat kecederaan itu. Jabatan perubatan pasukan kebangsaan Brazil dan Al-Hilal sentiasa berhubung dan sejajar dalam usaha pemulihan atlet ini,” kata CBF dalam satu kenyataan pagi ini.

Karier Neymar sering dibelenggu kecederaan. Dia terpaksa berehat sebanyak tiga kali dalam jangka masa panjang bersama bekas kelabnya Paris Saint-Germain (PSG) selepas mengalami kecederaan kaki kanan.

Pada Piala Dunia 2014, dia mengalami kecederaan belakang ketika menang aksi suku akhir ke atas Colombia, menyebabkannya diketepikan ketika tewas 7-1 kepada Jerman pada separuh akhir.

Pada Russia 2018, kecederaan sekali lagi memusnahkan impiannya untuk memenangi Piala Dunia. Pada awal tahun itu, Neymar mengalami kecederaan buku lali kanan yang menjejaskan tulang metatarsal di kakinya.

Dia terlepas 16 perlawanan buat PSG pada hujung musim 2017-18 dan gagal cergas sepenuhnya ketika beraksi dalam kesakitan buat Brazil di Russia hingga mereka disingkirkan oleh Belgium pada separuh akhir.

Penyerang itu mengalami kecederaan sama pada tahun 2019, 2021 dan pada Piala Dunia tahun lalu di Qatar.

Awal tahun ini, dia menjalani pembedahan buku lali kanan yang memerlukan pemulihan selama lima bulan sebelum meninggalkan PSG untuk mengikat kontrak dua tahun bersama Al-Hilal.

Sementara itu, kelabnya Al-Hilal turut mengesahkan kecederaan Neymar yang memerlukan pembedahan.

Dalam satu kenyataan yang menggunakan gambar Neymar menjerit dalam kesakitan berbunyi: “Ujian perubatan yang dijalani Neymar mengesahkan kecederaan ACL dan meniskus di lututnya.

“Dia akan menjalani pembedahan dan kemudian program rawatan yang akan ditentukan kemudian. Kembali dengan kuat Neymar,” katanya. -Agensi

Jagdeep dilantik Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang

GEORGETOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP negeri menggantikan P Ramasamy yang keluar parti pada Ogos lalu.

Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, berkata jawatan yang dipegang Jagdeep sebelum ini iaitu Naib Pengerusi negeri diterajui oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim yang juga Timbalan Menteri Kewangan.

Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, jawatan Sim sebagai Setiausaha Publisiti DAP negeri pula diambil alih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit Heng Lee Lee.

“Keputusan perubahan dalam tiga jawatan parti itu dibuat oleh Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang telah bermesyuarat pada 21 September lalu bagi membincangkan komposisi Jawatankuasa DAP Negeri pasca-Pilihan Raya Negeri ke-15,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DAP Pulau Pinang akan memilih kepemimpinan negeri baharunya tahun depan. 

India rancang tubuhkan stesen angkasa

NEW DELHI – India berhasrat menghantar angkasawan ke bulan dan menubuhkan stesen angkasanya menjelang 2040.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyuarakan perkara itu ketika negara berkenaan bertekad mahu meningkatkan program angkasanya.

Pengumuman terbabit dibuat ketika negara yang mempunyai populasi paling ramai itu bersedia untuk penerbangan ujian utama yang dijadualkan Sabtu ini, bagi misi angkasa lepas membabitkan anak kapal pertamanya.

Narendra berkata, ‘keluarga’ agensi angkasa harus membina kejayaan inisiatif angkasa India.

“Negara kita sepatutnya menyasarkan matlamat baharu dan bercita-cita tinggi, termasuk menubuhkan ‘Stesen Bharatiya Antariksha’ (Stesen Angkasa India) menjelang 2035.

“Selain itu adalah perlu bagi India menghantar angkasawan pertama ke bulan menjelang 2040,” katanya melalui kenyataan, semalam.

Modi berkata, pihaknya juga mahu agensi angkasa membangunkan rancangan untuk misi bersiri ke bulan.

India sebelum ini, menjalankan operasi angkasa lepas dengan peruntukan rendah.

India pertama kali mendaratkan kapal berhampiran kutub selatan bulan yang sebahagian besarnya belum diterokai pada Ogos lalu dan berjaya melancarkan kapal angkasa untuk mengkaji lapisan luar matahari, sebulan kemudian.

Pada 2014, India menjadi negara Asia pertama yang meletakkan satelit ke orbit di sekitar Marikh, dan agensi angkasanya iaitu Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) melancarkan 104 satelit dalam satu misi pada 2017.

Tumpuan semasa India kekal pada misi membawa angkasawan pertamanya ke angkasa lepas, dipanggil Gaganyaan atau ‘Skycraft.’

Menurut ISRO, misi tiga hari itu, yang dijangka berlangsung tahun depan, bertujuan menghantar tiga anggota kru ke orbit bumi dengan kos kira-kira $1.08 bilion (RM5.12 bilion).

Negara itu juga merancang untuk melancarkan misi ke bulan bersama Jepun, dengan mendaratkan kapal di Marikh, selain menghantar misi orbit ke Zuhrah dalam tempoh dua tahun akan datang.

India terus mencapai kuasa pelayaran angkasa lepas yang mantap dengan hanya sebahagian kecil daripada kos mereka.

Menurut pakar, India boleh mengekalkan kos yang rendah dengan meniru dan menyesuaikan teknologi sedia ada.

Selain itu, jurutera berkemahiran tinggi di India pula hanya dibayar gaji kira-kira separuh daripada jawatan sama di negara lain.

Menurut India, ia hanya menyumbang dua peratus daripada ekonomi angkasa global berjumlah $386 bilion (RM1,830), namun ia diharapkan meningkat kepada sembilan peratus menjelang 2030. -Agensi

HONOR X9b baharu: Telefon pintar kalis peluru

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia memberi satu lagi sebab untuk membangkitkan rasa teruja peminat di Malaysia dengan HONOR X9b yang bakal dilancarkan nanti, apabila menimbulkan pertanyaan“Mampukah Ia Menahan Tembakan Peluru?”

Persoalan ini pastinya meninggalkan tanda tanya buat peminat mengenai telefon pintar baharu HONOR yang tahan lasak dan mampu menahan cabaran sukar ketika mengharungi tugas harian, dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

 Adakah HONOR X9b cukup lasak menahan tembakan peluru? Nantikan cabaran menembak pada 23 Oktober 2023. Siri terbaharu HONOR kini semakin diperkatakan ramai, ini sebab HONOR X9b digelar sebagai Tahan Lasak Semua Sudut.

1.) Peranti Tahan Lasak 360°:

Dengan Paparan Antijatuh Melantun Ultra HONOR, HONOR X9b mempunyai rintangan jatuh keliling, melindungi kedua-dua bahagian skrin hadapan dan belakang peranti.

2.) Perlindungan 3 Peringkat:

Gabungan tiga perlindungan iaitu pengukuhan titik tunggal, perlindungan tertutup rapat, dan balutan kusyen keliling, HONOR X9b memberikan tahap perlindungan berganda demi melindungi skrin, bingkai dan komponen dalaman lain dari yang lain.

3.) Bahan Kusyen Canggih:

HONOR X9b memiliki ciri-ciri bahan kusyen yang canggih dan mampu meresap impak jatuh sehingga 1.2 kali, memastikan peranti anda tetap selamat walau ketika situasi mencabar.

4.) Ketahanan Diiktiraf SGS:

HONOR X9b dengan bangganya memegang takhta sebagai yang pertama dunia mendapat pensijilan 5 bintang rintangan jatuh setiap sudut oleh SGS Switzerland.

5.) Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari:

HONOR X9b merupakan yang pertama dalam industri menawarkan pengguna penggantian skrin retak depan dan belakang selama setahun selepas tempoh pembelian.

HONOR X9b bintangi filem aksi thriller War on Terror: KL Anarki

Baru-baru ini, HONOR Malaysia membuat pengumuman yang menghubungkan aksi dan thriller – apabila bekerjasama dengan filem hebat tempatan, ‘War on Terror: KL Anarki’ – dengan menampilkan HONOR X9b baharu. Dijadual ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 23 November 2023, kerjasama mengujakan ini mengangkat teknologi telefon pintar tercanggih ke layar perak yang penuh dengan aksi mendebarkan.

HONOR X9b  – Tahan Lasak Semua Sudut ditayangkan di pawagam

Disebalik aksi sengit dalam ‘War on Terror: KL Anarki’, HONOR X9b menyerlah sebagai telefon pintar paling lasak sehingga hari ini. Peranti menakjubkan ini membawa nafas baru dalam penanda aras industri dari segi ketahanannya dengan rekaan Tahan Lasak Semua Sudut.

Xpose terjemah perasaan dalam muzik video Separuh Jiwa

KUALA LUMPUR – Oleh kerana maksud lirik lagunya mempunyai banyak erti dan perspektif, kumpulan Xpose tampil membuat kelainan menerusi muzik video terbaharu mereka, Separuh Jiwa.

Idea asal muzik video ini dihasilkan oleh kumpulan yang dianggotai oleh Eppy, Taqim dan Furhan sendiri.

Mereka berpendapat muzik video Separuh Jiwa ini harus diperjelaskan dengan lebih terperinci kerana mempunyai maksud yang boleh dijadikan pengajaran dan teladan.

Dari lagu dan lirik, kemudian digarap menjadi sebuah muzik video. Secara dasarnya, ianya menceritakan mengenai senario yang berlaku dikalangan kehidupan sekarang.

“Jika dilihat dari mula sehingga habis, kita akan dapat melihat kesan dan akibat yang boleh berlaku sekiranya kita mempunyai semangat ‘Separuh Jiwa’.

“Dari sisi positif yang lain, kita harus mengingatkan diri sendiri bahawa dikalangan kita ramai orang yang menyayangi kita dan tidak sepatutnya perkara sebegitu diserap dalam kehidupan sehingga boleh menyebabkan kehilangan orang yang tersayang.

“Ingin ditegaskan, segala yang dipertontonkan adalah lakonan semata-mata dan tiada kena mengena dengan sesiapa sahaja jika ada mungkin hanya kebetulan,” kata vokalisnya, Furhan.

Furhan berkata, seperti lagu-lagu XPOSE yang lain, setiap lagu nyanyian mereka mesti mempunyai maksud yang tersirat.

“Saya tidak mahu lagu-lagu Xpose sekadar lagu. Penting bagi saya untuk menekankan maksud dari bait-bait lirik sebagai panduan atau teladan untuk semua orang termasuk diri saya sendiri,” katanya.

Separuh Jiwa mengisahkan tentang seseorang yang memberikan seluruh hati dan perasaan kepada seorang yang amat disayanginya malangnya orang yang disayangi itu tidak memberikan perkara yang sama malah mencuranginya.

Ini boleh dikaitkan dalam kehidupan seorang manusia yang banyak cabaran dan dugaan tetapi tidak boleh berhenti malah harus terus berusaha untuk bangkit dan berjaya.

Separuh Jiwa kini boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, dan Spotify.

Trak aiskrim jadi rumah mayat di Gaza

SEMENANJUNG GAZA – Susulan jumlah mayat melebihi kapasiti bilik mayat hospital di Gaza, trak aiskrim terpaksa dijadikan tempat penyimpanan mayat mangsa serangan rejim Israel.

Trak putih dilitupi dengan poster aiskrim di tempat letak kereta hospital di tengah Gaza, Deir el-Balah, kini dipenuhi dengan mayat yang dibalut dengan bungkusan putih.

Antara mayat yang disimpan di trak itu ialah ahli keluarga kepada penduduk tempatan, Talaat Abu Lashine.

“Dua peluru membedil rumah pada waktu Subuh yang didiami 16 orang termasuk lapan kanak-kanak yang sedang tidur menjadi mangsa,” katanya.

Israel menggempur Gaza sejak beberapa hari ini, bertujuan menewaskan pejuang Hamas yang melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu, sebelum mengorbankan kira-kira 1,400 orang di selatan Israel.

Serangan udara Israel pula meragut sekurang-kurangnya 2,750 nyawa di Gaza, menyebabkan bilik mayat yang hanya muat untuk menempatkan puluhan tubuh, kini melepasi kapasiti.

Sementara itu, di utara Gaza City, banyak mayat dilihat ditinggalkan begitu sahaja di unit forensik selepas puluhan ribu penduduk mengendahkan amaran Israel supaya melarikan diri ke bahagian selatan menjelang serangan darat, dalam masa terdekat ini.

Ketua Biro Media Hamas, Salama Maruf, berkata sebuah kubur di kawasan luas disediakan bagi mengebumikan kira-kira 100 jenazah susulan banyak mayat yang tidak dituntut di al-Shifa.

“Hospital itu terus menerima jumlah mayat yang banyak dan bagi mengelakkan jenazah rosak, kubur ‘besar’ disediakan bagi mengebumikan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, bekalan beg mayat juga mengalami kekurangan di Gaza.

“Setiap kisah dari Gaza adalah mengenai kelangsungan hidup, rasa putus asa dan kehilangan,” katanya.

Petugas di tanah perkuburan di Rafah, selatan Gaza, Ihsan al-Natour, pula berkata, jumlah mayat yang terlalu banyak menyebabkan identiti mereka tidak sempat dikenal pasti.

“Terdapat banyak kanak-kanak dalam kalangan syuhada, kami mengebumikan tiga hingga empat jenazah dalam satu liang lahad,” katanya.

Kementerian Hal Ehwal Agama Gaza mencadangkan penggunaan kubur secara awam berikutan jumlah kematian yang besar dan kekurangan ruang pengebumian.

Hamas, yang mengawal wilayah itu sejak 2007, menyatakan kira-kira 1,000 mayat mungkin masih berada di bawah runtuhan, selain memberi amaran risiko penyakit merebak.

Di Rafah, penduduk dilihat menyiapkan kubur baharu, dengan meletakkan batu bata dan jubin di sekeliling timbunan tanah yang baru digali.

Mereka dilihat mengebumikan tiga mayat kanak-kanak dalam satu liang lahad kerana kekurangan tempat. -Agensi