27.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Xpose terjemah perasaan dalam muzik video Separuh Jiwa

KUALA LUMPUR – Oleh kerana maksud lirik lagunya mempunyai banyak erti dan perspektif, kumpulan Xpose tampil membuat kelainan menerusi muzik video terbaharu mereka, Separuh Jiwa.

Idea asal muzik video ini dihasilkan oleh kumpulan yang dianggotai oleh Eppy, Taqim dan Furhan sendiri.

Mereka berpendapat muzik video Separuh Jiwa ini harus diperjelaskan dengan lebih terperinci kerana mempunyai maksud yang boleh dijadikan pengajaran dan teladan.

Dari lagu dan lirik, kemudian digarap menjadi sebuah muzik video. Secara dasarnya, ianya menceritakan mengenai senario yang berlaku dikalangan kehidupan sekarang.

“Jika dilihat dari mula sehingga habis, kita akan dapat melihat kesan dan akibat yang boleh berlaku sekiranya kita mempunyai semangat ‘Separuh Jiwa’.

“Dari sisi positif yang lain, kita harus mengingatkan diri sendiri bahawa dikalangan kita ramai orang yang menyayangi kita dan tidak sepatutnya perkara sebegitu diserap dalam kehidupan sehingga boleh menyebabkan kehilangan orang yang tersayang.

“Ingin ditegaskan, segala yang dipertontonkan adalah lakonan semata-mata dan tiada kena mengena dengan sesiapa sahaja jika ada mungkin hanya kebetulan,” kata vokalisnya, Furhan.

Furhan berkata, seperti lagu-lagu XPOSE yang lain, setiap lagu nyanyian mereka mesti mempunyai maksud yang tersirat.

“Saya tidak mahu lagu-lagu Xpose sekadar lagu. Penting bagi saya untuk menekankan maksud dari bait-bait lirik sebagai panduan atau teladan untuk semua orang termasuk diri saya sendiri,” katanya.

Separuh Jiwa mengisahkan tentang seseorang yang memberikan seluruh hati dan perasaan kepada seorang yang amat disayanginya malangnya orang yang disayangi itu tidak memberikan perkara yang sama malah mencuranginya.

Ini boleh dikaitkan dalam kehidupan seorang manusia yang banyak cabaran dan dugaan tetapi tidak boleh berhenti malah harus terus berusaha untuk bangkit dan berjaya.

Separuh Jiwa kini boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, dan Spotify.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular