28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Selepas 8 tahun Hrithik Roshan kembali menyapa peminat di Malaysia

KUALA LUMPUR – Pemenang enam kali Filmfare Awards, menjadi salah seorang aktor dengan bayaran termahal di belantika perfileman India dan sangat terkenal kerana skil tarian yang mengagumkan, berita kehadiran figura bernama Hrithik Roshan di Malaysia adalah sebuah khabar ‘emas’ buat peminatnya.

Hadirnya Hrithik Roshan ke Malaysia selepas lapan tahun bukan sebuah bualan kosong sebaliknya penganjur, Yess Boss Groups merealisasikan impian itu apabila mengumumkan Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert pada 1 Disember ini.

Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sesuai dengan status ‘sosok mega’ bintang berusia 49 tahun itu.

Buat kesekian kalinya, Hrithik tidak akan mengecewakan peminat kerana konsert ini juga adalah kolaborasi bersama Heart Art Entertainment dan Dembi Productions. 

Bintang yang terkenal dengan filem Kaho Na Pyar Hai itu akan menampilkan konsert yang spektakular dengan diiringi barisan penari hebat dan tentunya koreografi tarian mereka sangat ditunggu selain persembahan pentas yang penuh kemeriahan.

Lebih istimewa lagi, apabila Hrithik ditemani oleh pengarah koreografi, penerbit dan aktor Prabhudeva yang akan menjadikan konsert ini sebagai sebuah sejarah.

Selain itu, konsert ini menampilkan pasangan yang disayangi ramai iaitu Bharti Singh dan Harsh Limbachiyaa sebagai pembuka acara. Ia turut diserikan dengan kemunculan Aastha Gills, Vaani Kapoor, Maliaka Arora  dan Sanya Malhotra. 

“Membawa Hrithik Roshan kembali ke Malaysia selepas lapan tahun adalah sebuah misi yang penuh dengan keterujaan.

“Ini akan menjadi tanda aras buat kami di yang diberi kepercayaan oleh Dembi Productions dan Yess Boss Groups untuk merealisasikan mimpi peminat melihat Hrithik kembali mempersona dengan skil tarian dan penampilan memukau.

“Apa lagi Hrithik sendiri sangat berbesar hati untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat yang sentiasa menyambut hangat bukan hanya kerja seni tetapi menghargai dirinya sebagai seorang individu.

“Menerusi Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert, peminat akan menyaksikan sebuah lagi persembahan mega, memukau dan penuh magis kerana Hrithik akan ditemani oleh Prahbu Deva sekaligus menjadikan konsert ini sebagai sejarah yang tidak akan dilupakan,” kata Pengarah Urusan Yess Boss Groups, Shahkeer Azzat Datuk Seri Zailan.

Penganjur juga menyifatkan Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi konsert penutup tahun 2023 yang penuh gilang gemilang serta bukti pengaruh seni Bollywood tidak pernah mati.

“Dalam lambakan muzik atau pelbagai genre konsert yang berjaya dilangsungkan sepanjang tahun ini, Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert akan menjadi bukti dan tanda aras bahawa aliran Bollywood sentiasa dinantikan.

“Ramai peminat yang dahagakan penampilan bintang kesayangan mereka termasuk Hrithik yang sememangnya mempunyai pengaruh luar biasa di Malaysia.

“Jangan sampai terlepas membeli tiket dan pastikan temujanji anda bersama Stars On Fire Kuala Lumpur Live In Concert pada 1 Disember ini,” kata  Shahkeer lagi.

Tiket-tiket berharga RM149 (silver), RM249 (gold), RM549 (Platinum), RM649 (Blue Saphire) dan RM3,500 (VIP) boleh dibeli dengan melayari www.yessbossticket.com

atau hubungi talian hotline 011-11546805. 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular