30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026
Home Blog Page 252

‘Seloka Legenda Waris Seni’ himpun waris seniman dan seniwati

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Terus menggerakkan industri seni, Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) tampil mengadakan program Seloka Legenda Waris Seni.

Program yang menghimpunkan waris seniman dan seniwati tanah air itu turut berkongsi pengalaman masing-masing kepada umum.

Dengan mengangkat tema, ‘ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi’, program bual bicara itu berlangsung di sebuah hotel di Ampang, baru-baru ini turut bertujuan memartabatkan seniman dan seniwati melalui pewarisnya.

Pengerusi PEMEKAR, Amran Nasrudin, berkata antara lain objektif program adalah mengangkat dan menggerakkan aktiviti anak seni melalui ikon lakonan, muzik dan tarian sebagai usaha mengenali lebih dalam bintang serta tokoh seni negara.

“Program ini mendokumentasikan tokoh legenda warisan seni kepada waris seni melalui rakaman video sebagai bahan rujukan semasa hayatnya sebagai tokoh artis dan penggiat seni.

“Mereka turut berkongsi pengalaman dan pengorbanan sebagai anak seni dalam mewarnai industri seni negara.

“Antara yang terbabit dalam program ini adalah Fauziah Datuk Ahmad Daud iaitu waris Seniwati Saadiah dan Ahmad Daud,Dilla dan Fairuz Husain waris Seniman Husain Abu Hasandan Seniwati Mahyon Ismail, Hairi Kool waris keluarga Sophia Ibrahim dan Osama Yamani waris Datuk Jamal Abdillah,” katanya.

Amran berkata, pihaknya mengetengahkan tema Seloka Legenda Waris Seni yang memberi maksud legasi seseorang penggiat seni akan diteruskan oleh waris tdak kira cabang seni yang diceburi.

“Setiap waris kepada seniman dan seniwati berkongsi mengenai lagu dan lakonan yang pernah dijayakan oleh waris bermula era 1950-an lagi.

“Program ini mengetengahkan kembali muzik dan lagu popular dalam segmen persembahan pentas dan lagu oleh pewaris melalui visual filem.

“Disamping itu program berkenaan turut di meriahkan lagi dengan jualan produk artis di ‘selebriti corner’ yang bertujuan untuk menambahkan lagi pendapatan artis dengan menjual produk hasil mereka sendiri,” katanya lagi.

Demi peminat, Noah kembali lagi ke Malaysia

KUALA LUMPUR – Mengotakan janji mereka akan kembali lagi ke sini, kumpulan rock nombor satu dari negara seberang, Noah bakal kembali ke Malaysia dalam sebuah pertunjukan istimewa ‘Noah Menemaniku Kuala Lumpur’.

Noah yang dianggotai oleh Ariel, Lukman (gitaris) dan David (pemain keyboard) bakal menghangatkan pentas Mega Star Arena pada 11 November ini.

Konsert yang dijangka bermula pada jam 8 malam itu dibawakan oleh YOLO Malaysia.

Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah berkata, atas kejayaan konsert ‘NOAH Live In KL’ tahun lalu dengan kehadiran lebih 2,500 penonton bukan sahaja dari Malaysia, bahkan Singapura, Brunei dan juga Indonesia, serta jualan tiket yang ‘sold-out’ dalam masa kurang dua jam, mereka bawakan Noah sekali lagi tahun ini seperti yang dijanjikan.

“Kerjasama yang terjalin di antara YOLO Malaysia dan Noah ternyata ‘menjadi’ dan demi memenuhi kehendak peminat yang tidak berpeluang hadir ke konsert lalu, konsert kali ini menyediakan lokasi yang lebih luas bagi menampung lebih ramai penonton dengan pengalaman yang lebih hebat.

“Noah menjanjikan persembahan yang berbeza dengan tema yang berbeza setiap kali membuat persembahan, tambahan pula konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur adalah konsert terakhir mereka di Malaysia sebelum Noah berehat dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Haniff berkata, selain Malaysia Noah juga akan turut beraksi di Kota Singa.

“YOLO Singapura kini sedang dalam rangka menguruskan konsert Noah seterusnya di Singapura yang dijangka berlangsung sebelum penghujung tahun ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Penerbit Kreatif YOLO Malaysia Hamka Mohd Taufik berkata, Noah dijangka akan mempersembahkan lebih dari 20 buah lagu kesemuanya.

Ini termasuk lagu-lagu baharu ciptaan mereka dengan diiringi beberapa pemain muzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

“Selain itu, susunan muziknya juga turut diperbaharui yang menjanjikan kelainan dan tidak pernah didengari sebelum ini, ditambah pula dengan konten visual yang istimewa demi kepuasan pengalaman muzik yang sebenar,” katanya.

Hariz Hamdan teruja digandingkan dengan Rosyam Nor

KUALA LUMPUR – Tiga tahun bergelar pelakon, pendatang baru Hariz Hamdan tidak menyangka diberi peluang bergandingan dengan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor dalam siri premium Astro Originals iaitu Xchange.

Pelakon berusia 21 tahun itu berkata, pada mulanya dia bimbang berikutan sedar bakat lakonan tidak setaraf dengan Rosyam Nor.

Namun begitu, dia berasa sedikit lega apabila Astro menyediakan kelas lakonan bersama pelakon Farah Ahmad dan juga kelas aksi sebulan sebelum penggambaran bermula.

“Sepanjang tiga tahun berlakon rasanya inilah projek yang saya banyak lakukan persediaan dan paling takut untuk masuk ke set penggambaran.

“Apabila dapat tahu abang Rosyam Nor akan menjadi bapa saya dalam siri ini, saya melakukan pelbagai persediaan dengan sebaik mungkin.

“Apatah lagi saya tidak pernah berlakon dalam drama aksi ini membuatkan saya berusaha lebih lagi supaya tidak kelihatan kekok,” katanya.

Bekas peserta Hero Remaja 2020 itu mengakui perasaan takut pada awal akhirnya hilang selepas dia boleh berbual dengan lebih santai bersama Rosyam.

“Saya tetapkan dalam minda abang Rosyam adalah bapa saya, secara automatik kami boleh berbual secara santai. Meskipun, nampak garang, sebenarnya dia seorang yang sangat mudah didekati.

“Biasanya pelakon baharu mempunyai masalah untuk bergaul dengan pelakon senior, tetapi berbeza dengan abang Rosyam yang bijak membuatkan semua orang di set penggambaran selesa,” katanya.

Hariz berkata, cabaran membawakan watak Qabil dalam siri Xchange cukup besar selain perlu keluar dari zon selesa, dia juga perlu menjadi orang yang sangat berbeza daripada dirinya.

“Qabil seorang yang panas baran, suka tinggikan suara dan pukul orang memang berbeza daripada saya yang sebenar.  

“Demi menampilkan sisi berbeza dalam lakonan, saya sahut cabaran melakonkan watak ini,” katanya.

Hariz berkata, demi memberikan yang terbaik dia hanya fokus kepada penggambaran drama Xchange sahaja sepanjang tempoh tiga bulan sehingga November ini.

Komitmen dan menuntut aksi fizikal yang tinggi dalam drama itu menyebabkan Hariz enggan mengambil risiko dengan menerima tawaran lakonan yang lain.

“Sebelum ini saya pernah berlakon tiga drama serentak, tetapi sekarang sudah sampai masanya saya fokus apabila bekerja terutama yang membabitkan filem dan siri premium.

“Saya tidak mahu tamak hingga menjejaskan mutu lakonan. Lagipun drama ini lokasinya di Kuala Kubu Baru dan Sungai Lembing Pahang, memang agak jauh.

“Selain babak aksi yang agak banyak saya akui penat untuk berkejar ke set lain, jadi lebih baik fokus satu sahaja,” katanya lagi.

Roslan Madun harap masalah keluarga ND Lala segera selesai

AMPANG – Menjadi orang yang paling rapat dengan Datuk ND Lala pastinya penyanyi, Roslan Madun mengharapkan masalah keluarga ND segera selesai.

Penyanyi berusia 70 tahun itu sebak serta menitiskan air mata apabila diminta mengulas kemelut yang berlaku di antara ND dan bekas isterinya, Fauziah Sarman serta konflik membabitkan anak-anak mereka.

Menyaksikan sendiri empat anak mereka membesar di depan mata, penyanyi yang popular dengan lagu Lemak Manis ini berkata, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat keluarga berkenaan.

“Anak-anak mereka sudah seperti anak saya, mereka membesar depan mata dan saya melihat sendiri ketika mereka susah senang depan mata.

“Saya masih ingat, ketika kecil Shila Amzah banyak mengisi slot nyanyian jika penyanyi lambat sampai atau VIP hadir lambat. Dia yang bantu menceriakan pentas.

“Saya tidak menyebelahi sesiapa kerana kedua-duanya rakan baik saya. Namun, saya berharap dan mendoakan konflik ini berakhir dengan baik,” katanya.

Roslan berharap keluarga berkenaan berbincang bersama bagi mencari jalan penyelesaian dan tidak perlu menghebohkan masalah yang berlaku di media sosial sehingga mengundang campur tangan warganet.

Konflik keluarga ini semakin memuncak apabila Shila dan adik beradiknya bergaduh di sosial media.

Adik bongsunya, Syada memuat naik hantaran mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Rentetan itu, Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung di Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berusia 28 tahun.

Penyanyi lagu Patah Seribu itu turut memperincikan keputusan menjual rumah miliknya serta sikap Syafiq dan Syada sehingga ibu mereka tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana.

Fauziah kecewa dan mendakwa Shila sudah mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya kerana isu terbabit. 

Suria FM, ERA cipta sejarah menerusi ‘Era Suria, Di Sini Segalanya Terkini’

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, stesen radio Suria FM dan ERA bakal bersiaran secara serentak di kedua-dua frekuensi menerusi gabungan segmen pagi ‘Morning Morning Suria’ dan ‘3 Pagi ERA’ pada 23 Oktober, Isnin ini dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Diinspirasikan oleh CelcomDigi, kedua-dua stesen ini akan disatukan melalui penjenamaan ‘ERA Suria, Di Sini Segalanya Terkini’,  menjanjikan hiburan ‘radio tanpa batas’ dengan menghiburkan pendengar melalui gandingan hebat dari barisan penyampai seperti Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin.

Selain mendengar celoteh dari barisan penyampai, pendengar juga bakal dihiburkan dengan pelbagai topik menarik dan pilihan lagu bertemakan duet yang bakal dimainkan secara serentak dari kedua stesen.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), berkata, mewakili Suria FM, mereka mengalu-alukan dan menyambut baik jalinan kerjasama bersama Astro sekaligus sejarah baru akan tercipta dalam industri radio tanah air menerusi jalinan kerjasama antara radio Suria dan ERA ini.

“Sebagai sebuah stesen radio swasta sememangnya kami bersaing dari segi ranking dan jumlah pendengar tetapi kerjasama ini adalah simbolik untuk memupuk semangat silaturahim demi melihat industri radio terus berkembang secara sihat.

“Diharapkan jalinan sebegini dapat membuka pintu ruang kerjasama yang lebih aktif dan agresif di masa mendatang.

“Ia sekaligus dapat menjadi rujukan kepada pengamal radio yang lain untuk mengambil pendekatan yang sama di samping mewujudkan persepsi positif masyarakat terhadap industri radio di Malaysia,’ katanya.

Sementara itu, Pengurus Kandungan ERA Hani Fadzil berkata, ERA teruja untuk bersama-sama Suria FM dalam menjayakan ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini yang bakal menemui peminat pada 23 Oktober ini.

“Meskipun kolaborasi ini menggabungkan dua jenama dari latar belakang yang berbeza, kami percaya bahawa di penghujung hari, kandungan dan pengisian yang diterima oleh pendengar adalah perkara utama.

“Kami juga ingin mempamerkan persaingan sihat di antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama, seperti CelcomDigi, kami percaya bahawa ERA dan Suria FM akan Gagah Bersama,” katanya.

Dengarkan ‘ERA Suria, Di Sini Segalanya Terkini’ di frekuensi Suria FM dan ERA juga di aplikasi Suria Malaysia dan SYOK pada 23 Oktober ini dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi.

Kolaborasi menarik Afgan dan Lyodra menerusi ‘Ada’

KUALA LUMPUR – Dua penyanyi bersuara merdu, Afgan dan Lyodra, bersatu dalam lagu berjudul Ada.

Lagu itu ditulis oleh Afgan sendiri pada tahun 2020 apabila dia menerima berita bahawa salah satu orang yang paling rapat dalam hidupnya memutuskan untuk berpisah dengan pasangannya setelah bertahun-tahun menjalani hubungan.

Mendengar berita itu, Afgan merasa sedih dan memutuskan untuk meluahkan perasaannya dan menulis Ada dengan harapan, mereka berdua dapat kembali bersama suatu hari nanti.

Suatu hari di tahun 2023, Afgan dan Lyodra menjalin komunikasi di media sosial. Hasrat mereka berduet kerana sama-sama mengagumi satu sama lain menjadi kenyataan iaitu menerusi Ada yang sebelumnya Afgan sempat lupa akan kewujudan lagu berkenaan.

“Saya dan Lyodra bersama-sama mencari lagu yang sesuai untuk kita berdua, tapi tidak dapat juga.

“Sampai akhirnya, saya diingatkan soal lagu Ada yang saya tulis tiga tahun lalu. Saya memperdengarkannya pada Lyodra dan dia langsung suka.

“Ternyata, lagu berkenaan memiliki waktunya sendiri dan lebih bagus dibawakan berdua,” kata Afgan.

Ketika rakaman, Afgan sering memberi perhatian kepada Lyodra sekaligus mengarahkan vokalnya.

Di satu sisi, Afgan memang ingin lagu yang melankolia namun di saat yang sama juga mahu ia dibuat sebaik mungkin. Ini kerana Ada amat bermakna baginya.

“Lagu ini sangat peribadi untuk saya dan saya sayang sekali pada lagu ini. Lyodra sendiri juga mahu menerokainya dan dia sangat menyenangkan, membuat saya yakin bahawa hanya Lyodra yang sesuai membawakan lagu ini bersama saya,” kata Afgan lagi.

Rakaman video muzik Ada dilakukan di Tulamben, Bali, dan diarahkan oleh Bramsky.

Segala-galanya yang ada di klip video dari konsep hingga nada sudah lebih dibincangkan oleh Afgan dan Lyodra.

Walaupun Lyodra sakit dan hampir pengsan ketika pengambilan gambar, proses penggambaran berlangsung dengan baik dan lancar.

“Afgan adalah pasangan yang baik dan sangat merendah diri. Kami banyak berbincang tentang Ada dari awal sehingga lagunya dikeluarkan, bermula dari rakaman hingga klip video.

“Afgan memberi kebebasan pada saya untuk mencuba apa sahaja dan dia sangat menyokong tindakan saya.

“Proses rakaman pun menyenangkan kerana dia menemani dan mengarahkan saya. Semoga ramai suka akan lagu ini, boleh menemani hari-hari pendengar, banyak yang merasai, dan menjadi doa bagi kalian yang tengah mengalami konflik dengan pasangan.

“Ingat, apa yang anda hadapi, anda akan tetap bersama. Semoga dipermudahkan langkah anda agar kita bersama menjadi lebih baik. Selamat mendengarkan Ada di semua platform digital,” kata Lyodra.

HONOR X9b: Tahan lasak mampu tahan tembakan peluru sebanyak 2500 kali

KUALA LUMPUR – Menambahkan lagi rasa teruja terhadap HONOR X9b yang akan dilancarkan tidak lama lagi, HONOR Malaysia telah menjemput pengamal media Malaysia menyertai ujian eksklusif di Nemesis Legion Paintball Academy untuk menguji ketahanan HONOR X9b dengan menembaknya dengan menggunakan paintball.

HONOR X9b – Menahan Serangan Peluru Paintball dan lebih lagi

Ujian rintis ini melibatkan 80 peserta, dengan jumlah keseluruhan 2,500 das peluru paintball ditembak ke arah HONOR X9b. Sesuai dengan tema Tahan Lasak Semua Sudut, maka tidak hairanlah HONOR X9b kelihatan langsung tidak terjejas akibat tembakan, membuktikan ketahanannya yang tiada tandingan dan dapat meyakinkan kenyataan tentang daya tahannya terhadap peluru.

Lebih menarik, media di lapangan menembak berasa teruja untuk berkongsi pengalaman mereka, kebanyakannya memuji pembuatan HONOR X9b yang mengagumkan, terutamanya mengenai kekuatannya menghadapi situasi mencabar.

Dianugerahkan sebagai telefon pintar pertama dunia memperoleh pensijilan lima bintang rintangan jatuh setiap sudut oleh SGS Switzerland, HONOR X9b mengukuhkan reputasinya sebagai telefon pintar paling tahan lasak sehingga hari ini.

Mengukuhkan lagi bukti tentang ketahanannya, media dalam majlis yang sama diberi peluang melakukan ujian selanjutnya, kali ini memecahkan papan kayu menggunakan HONOR X9b. Menakjubkan, telefon ini berjaya menghancurkan jumlah 200 keping papan kayu, sekaligus menguatkan lagi reputasinya sebagai telefon paling kukuh. Inilah ketahanan maksimum sebenar!

Pelancarannya akan berlangsung tidak lama lagi dan peminat tidak sabar untuk mengetahui lebih lanjut tentang HONOR X9b, jadi ini 5 perkara yang kita boleh ketahui mengenai telefon pintar HONOR Tahan Lasak Semua Sudut:

1.) Ketahanan Peranti 360°:

Dengan Paparan Antijatuh Melantun Ultra HONOR, HONOR X9b mempunyai rintangan jatuh keliling, melindungi kedua-dua bahagian skrin hadapan dan belakang peranti.

2.) Perlindungan 3 Peringkat:

HONOR X9b memiliki struktur tiga lapisan pengukuhan separa skrin, perlindungan mampan sekitar disekeliling skrin, dan perlindungan kedap dalam fiuslaj, bertujuan untuk melindungi skrin, bingkai dan komponen dalaman demi perlindungan yang tiada tandingan.

3.) Bahan Kusyen Canggih:

HONOR X9b tampil dengan bahan kusyen yang canggih dan mampu meresap impak jatuh sehingga 1.2 kali, memastikan peranti anda tetap selamat walau ketika situasi mencabar.

4.) Ketahanan Diiktiraf SGS:

HONOR X9b dengan bangganya memegang takhta sebagai yang pertama dunia mendapat pensijilan 5 bintang rintangan jatuh setiap sudut oleh SGS Switzerland.

5.) Penggantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari:

HONOR X9b merupakan yang pertama dalam industri menawarkan pengguna penggantian skrin retak depan dan belakang selama setahun selepas tempoh pembelian.

HONOR X9b – Tahan Lasak Semua Sudut

Kemeriahan semakin terasa dan HONOR dengan bangganya menjemput Malaysia turut serta dalam pengembaraan yang menakjubkan, membawa kelainan dalam penanda aras industri dari segi ketahanan. Tiada yang lebih menarik berbanding HONOR X9b, telefon pintar Tahan Lasak Semua Sudut yang akan tiba tidak lama lagi.

Hormati perang Palestin-Israel, Anugerah MTV dibatalkan

LONDON – Anugerah muzik berprestij, MTV EMA 2023 yang bakal berlangsung di Paris pada bulan depan dibatalkan.

Penganjur anugerah berkata, pembatalan itu bertujuan menghormati situasi semasa perang yang berlaku antara Gaza dan Israel.

TV dalam satu kenyataan berkata, ketidaktentuan situasi terbabit menyebabkan perayaan muzik di anugerah itu bukanlah masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Katanya, perang di Gaza dan Israel telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak dan ketika ini adalah waktu untuk dunia berkabung dan menghormati situasi semasa yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, penganjuran semula anugerah berkenaan dijadualkan berlangsung pada November 2024.

Anugerah MTV EMA 2023 menampilkan barisan artis antarabangsa yang tercalon dalam kategori penghasilan video muzik terbaik sepanjang tahun.

Antara calon kategori utama termasuklah, Taylor Swift, Olivia Rodrigo, Bad Bunny dan Foo Fighters.

Swift telah mendahului pencalonan tahun ini dengan tujuh pencalonan, termasuk bagi kategori artis terbaik, lagu terbaik dan video terbaik untuk lagu hitnya ‘Anti-Hero’.

Calon lain termasuk Jung Kook, ahli bintang K-Pop BTS yang juga akan membuat persembahan di acara itu.

Rasai suasana Glamping dalam hutan di Pulau Pinang

BALIK PULAU – Selain terkenal dengan nasi kandar, Pulau Pinang memiliki ‘hidden gems’ yang semakin popular iaitu Boulder Valley Glamping yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau.

Lokasi yang diselimuti kehijauan alam semula jadi itu adalah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin beristirehat daripada hiruk-pikuk kota dan mencari ketenangan atau lebih popular dengan istilah terkini ‘healing’.

Biarpun bilik yang ditawarkan berkonsep kanopi, tetapi Boulder Valley Glamping tidak berkompromi soal keselesaan pengunjung.

Tidak keterlaluan jika dikatakan anda seolah-olah berada di hotel lima bintang, namun dikelilingi alam semula jadi.

Saat kaki melangkah masuk ke Boulder Valley Glamping, anda disambut dengan alunan bunyi cengkerik dan aroma hutan yang cukup mendamaikan.

Pengurus Boulder Valley Glamping, Eugene Hoe berkata, terdapat tiga jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Safari Tent, Tented Villa dan Chalet Room yang harganya bermula daripada RM300 sehingga RM800.

Walaupun konsep seperti perkhemahan, kelengkapan asas disediakan antaranya seperti, pengering rambut, ketuhar gelombang mikro, soket elektrik untuk memudahkan pengunjung menggunakan barangan elektronik dan juga bilik mandi serta tandas di dalam setiap bilik.

“Jika pengunjung mahu rasa seperti tinggal di dalam khemah sebenar mereka boleh mengambil Safari Tent yang dikelilingi kanvas, bezanya kelengkapan asas semua ada di dalam bilik termasuk mempunyai perkhidmatan ‘room service’ untuk tempahan makanan.

“Tempat ini juga sering disewa untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, fotografi, yoga, Zumba, kem bina semangat (team building) syarikat dan jabatan kerajaan serta pelbagai lagi.

“Biasanya pihak kami akan berbincang dengan pelanggan dan sebolehnya cuba memenuhi permintaan mereka mengikut kesesuaian bajet masing-masing,” kata Eugene.       

Lebih menarik, sayuran dan ulaman yang dihidangkan dalam makanan di kafe Boulder Valley Glamping ditanam secara organik oleh kakitangannya.

“Disini sememangnya kita mahukan pengunjung menikmati alam semaksima yang mungkin. Tidak hanya pemandangan yang indah, tetapi makanan terutama sayuran dan ulaman yang dihidangkan turut dihasilkan di sini.

“Mungkin sebab itu Boulder Valley Glamping adalah destinasi popular buat pengamal diet sayuran dan vegan kerana kami turut mempunyai menu untuk mereka,” katanya.

Boulder Valley Glamping mula dibuka pada 2014, tetapi kini pengurusannya telah diambil alih oleh DXN Holdings Berhad sejak 2019.

Bagi mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman bersama alam semulajadi di sini boleh membuat tempahan menerusi laman web, https://bouldervalleyglamping.com.my.