Terlintas kata-kata ini dibenak fikiran. Sejauh mana visi dan misi, dan apakah langkah seterusnya? Bagaimanakah pengakhirannya? Sudah cukupkah segala bekalan? Terlalu subjektif untuk diperkatakan.
Ternyata segalanya adalah PERSOALAN. Adakah kamu juga memikirkannya? Atau sengaja persoalan ini dibuang jauh-jauh atau lebih mudah dengan tidak mengambil pusing? Berbeza pandangan atau pendapat, itu biasa. Kita raikan pandangan masing-masing.
Ya, memang pilihan ditangan kita. Kita bebas dan berhak untuk memilih. Tanpa paksaan atau idealogi tertentu. Tidak mengapa jika tidak berpihak. Tetapi mentaliti kebanyakan kita sekarang seperti seorang hakim, sewenangnya menjatuhkan hukuman. Kenapa lebih suka mengadu domba? Lebih suka membuat perkara yang kita tahu akan akibat dan balasannya? kenapa menganiaya? Adakah ini sebuah legasi yang ingin kita wariskan? Adakah ini tauladan yang ingin kita pertontonkan?
Pernah suatu ketika, wadah perjuangan menjadi salakan puak-puak tertentu, yang kononnya boleh membebaskan dan memahami keinginan Kita! Apakah sebenar matlamatnya? Korupsi bersepah, hanya dengan longgokan kepingan kertas, maruah tergadai. Mana sumpah janji semasa bibir mengikrarkannya sepenuh hati? Mana wajah-wajah kesayangan ‘ hamba ‘ yang menjadi sumber inspirasi tatkala darah membara ingin menabur bakti membela bangsa? IKTIKADnya?
Realitinya disini, bukanlah medan untuk kita mencari semata-mata kebahagiaan, kecintaan mahupun mengecapi apa jua yang dikatakan sejati. Jika terjadi, ia hanyalah rencah dan perasa, sebagai nilai tambah dalam sebuah perjalanan dalam kehidupan.
Hiduplah di atas prinsip. Teruslah berbuat baik. Sangka yang baik-baik. In SHAA ALLAH yang baik akan mencari kita. Cukuplah kita ada ALLAH dan RasulNYA. Cukuplah sekadar keberkatan hidup, dengan menghargai ruang dan kesempatan yang telah diberikan oleh Sang PENCIPTA untuk mengenal dunia, seterusnya kekal di alam sana.

