28.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026
Home Blog Page 256

Sasar RM300,000 bantu Palestin, Me’nate Steak Hub anjur kempen ‘Dine and Donate For Palestine’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyasarkan kutipan sebanyak RM300,000 untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin di Gaza, Me’nate Steak Hub menganjurkan kempen ‘Dine and Donate For Palestine’.

Penganjuran itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima.

Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali berkata, melalui kempen yang dianjurkan mereka berharap sasaran kutipan sebanyak RM300,000 terlaksana.

“Kempen ‘Dine and Donate For Palestine’ ini akan bermula pada Isnin ini, 6 November dan berakhir pada 20 November.

“Kempen ini akan membabitkan semua 13 cawangan restoran kami, di mana Me’nate akan menyumbang 10 peratus daripada hasil jualan sepanjang kempen 15 hari ini berlangsung,” katanya yang juga pemilik Me’nate Steak Hub.

Syed Ashraf berkata, tiada limit untuk pelanggan membeli di restoran mereka walaupun hanya segelas air setiap jualan yang diterima, 10 peratus tetap akan disumbangkan.

Malah, tempoh kempen yang dianggap singkat adalah bagi memberikan bantuan dengan segera kepada mangsa peperangan di sana.

Namun tidak menolak jika mendapat sambutan kempen ini akan dipanjangkan lagi tempohnya menerusi pengumuman yang akan dibuat kemudian.

“Ini adalah kempen yang kali pertama kami adakan, fokus kami cukup jelas untuk memberikan bantuan secepat mungkin kepada rakyat Palestin yang kini terjejas teruk.

“Bukan sahaja dari segi bantuan makanan tetapi juga perubatan. Dengan kutipan yang disasarkan, harapan kami bantuan untuk mangsa-mangsa di sana akan segera sampai.

“Jika sambutan menggalakkan kami akan pertimbangkan untuk memanjangkan kempen ini demi pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Syed Ashraf berkata, kerjasama dengan SEJAGAT dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima diharap dapat memudahkan misi menghantar bantuan ke Palestin melalui saluran yang tepat.

“Sejagat dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima mempunyai pengalaman yang luas dan hubungan yang baik dengan Palestin dalam memastikan dana ini sampai kepada mereka yang sangat memerlukan ketika ini.

“Kempen ini adalah pengalaman baru buat kami dalam mengadakan bantuan kemanusiaan antarabangsa seperti ini dan pasti ianya bukan yang terakhir kerana selama ini Me’nate aktif dan komited dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di peringkat tempatan,” katanya.

Akaun Weibo Lisa Blackpink lesap, muncul program tidak ‘senonoh’

editormaxinfo@gmail.com

PENYANYI kumpulan Blackpink, Lisa telah diharamkan dalam platform media sosial China, Weibo selepas didapati terbabit dalam satu persembahan tidak senonoh di Paris.

Lisa atau nama sebenarnya Lalisa Manobal, hilang dari Weibo pada minggu ini dengan halaman akaun peribadinya digantikan dengan mesej ralat ‘tidak boleh dilihat kerana melanggar undang-undang dan peraturan’.

Turut menerima nasib sama, pelakon wanita Hong Kong, Angelababy atau nama sebenarnya Angela Yeung.

Bagaimanapun, Weibo tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai sekatan berkenaan dan Agensi pengurusan Lisa, YG Entertaiment memberitahu AFP bahawa pihaknya enggan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

Namun, pengguna akaun Weibo dan laman hiburan China membuat spekulasi bahawa kedua-dua artis itu disekat selepas laporan pada akhir September lalu bahawa Angleababy menghadiri persembahan oleh Lisa di Crazy House di Paris.

Menurut laman web hiburan, Lisa menggemparkan pentas Crazy Horse Paris pada 28, 29 dan 30 September 2023 dengan lima persembahan eksklusif yang ‘ meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan kepada penonton dan peminatnya di seluruh dunia’.

Lisa memuat naik gambar dirinya dengan pakaian kabaret dalam akaun rasmi Instagram pada awal Oktober lalu yang bertulis ‘Pengalaman luar biasa doi Crazy House. Hubungi saya bila-bila masa jika anda memerlukan seseorang mengisi tempat’.

Kerajaan China bertindak cepat menyekat kandungan yang dianggap sensitif dari segi politik atau bertentangan dengan nilai konservatif sosial Parti Komunis yang memerintah.

Penapisan ketat berlaku selepas Presiden China, Xi Jinping menyeru wanita membantu mempromosikan nilai-nilai murni masyarakat China dan kekeluargaan. -Agensi

MAPLEHOME sasar gandakan jumlah bilik untuk disewa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pemain utama industri perkhidmatan sewaan pendek di Malaysia, MAPLEHOME bercadang menggandakan senarai bilik daripada 2,000 pada masa ini dalam tempoh setahun akan datang.

Ia dilakukan menerusi pencarian projek baharu yang boleh memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

Ketika ini, MAPLEHOME beroperasi di kawasan utama seperti pusat bandar Kuala Lumpur, i-City, Genting Highlands, Melaka, Kuantan dan Sabah.

Melangkah ke depan, syarikat itu berhasrat untuk memperluaskan ke destinasi pelancongan yang belum diterokai seperti Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

MAPLEHOME berkata, dalam pasaran yang keseimbangan antara penawaran dan permintaan berbeza mengikut kawasan, ia menggunakan harga yang strategik dan pakej pengalaman untuk menarik pelbagai pelanggan.

Katanya, walaupun bandar besar menikmati hubungan penawaran-permintaan yang seimbang, bandar kecil mungkin menghadapi kadar penghunian yang lebih rendah.

“MAPLEHOME komited untuk mengekalkan kadar penghunian yang memuaskan di kawasan luar bandar dengan menawarkan harga yang berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

MAPLEHOME berkata, asas kejayaannya adalah komitmen terhadap perkhidmatan cemerlang.

Katanya, dengan meja penerimaan 24 jam, talian telefon perkhidmatan yang khusus, dan perkhidmatan pengangkutan lapangan terbang yang mudah, mereka telah menjadikan proses daftar masuk pelanggan dengan lebih cekap.

“Setiap pengalaman daftar masuk mematuhi standard tertinggi, memastikan kepuasan pelanggan yang tidak tertanding,” katanya.

Katanya lagi, mereka akan terus menyokong tuan tanah dengan memastikan pelaburan memberikan pulangan yang stabil.

MAPLEHOME mendapat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ dan ia menjadi motivasi untuk terus meningkatkan perkhidmatan sewaan pendek dan mengangkat industri ke tahap baharu.

Pengasasnya, Hsu Tong Ming dan Chan Jin Chuan secara aktif mengambil tindakan yang cekap untuk mencapai matlamat masa depan mereka.

Mereka juga berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi bersama-sama memajukan industri pelancongan Malaysia.

Dalam dunia sewaan pendek yang dinamik, MAPLEHOME muncul sebagai pelopor, sekali gus memberikan pelabur dan pelanggan pengalaman yang luar biasa dari segi keselesaan, kepuasan dan kemakmuran.

Fahmi sahkan PKR tiada sebarang kaitan dengan Liberal International

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa parti itu tidak pernah menjadi ahli gabungan atau anggota organisasi politik liberal antarabangsa, Liberal International.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata wujud cubaan terancang pihak tertentu mengaitkan PKR dengan Liberal International.

“Saya mengesahkan bahawa PKR bukan dan tidak pernah menjadi ahli atau anggota Liberal International.

“PKR bersolidariti sepenuhnya dengan rakyat Palestin serta mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel yang terus menzalimi, menekan dan membunuh rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada tahun 1947 dan telah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa itu yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel. 

Mar Rak angkat kisah tarian menora, serap elemen seram dan dendam

KUALA LUMPUR – Persembahan tarian menora mungkin asing bagi ramai orang namun ia cukup popular di Pantai Timur sekitar tahun 60-an sehingga 80-an terutamanya di Kelantan.

Mengangkat tarian menora sebagai elemen utama, filem Mar Rak arahan dan terbitan Datuk TS Jeffry merungkai misteri sepasang kekasih yang tiba-tiba dirasuk.

Filem yang menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula hari ini, turut menerapkan elemen seram yang sering terjadi dan diamalkan oleh segelintir masyarakat bagi membalas dendam.

Berkongsi mengenai filem ini, TS Jeffry berkata, idea mengetengahkan tarian menora kerana tidak mahu seni persembahan itu tenggelam.

“Saya berasal dari Kelantan, dari kecil saya memang suka menonton persembahan menora ini walaupun tidak faham akan dialog Siam yang dilontarkan.

“Ketika tarian menora sangat popular sehinggalah ia tiada kerana diharamkan.

“Saya mahu generasi sekarang tahu bahawa selain ulek mayang, wayang kulit, dikir barat, menora juga adalah persembahan popular yang harus diingati.

“Justeru, dalam filem ini saya cuba angkat seni persembahan ini di samping menyelitkan kisah percintaan dan dendam sehingga membawa kepada perbuatan syirik menyembah jin dan syaitan,” katanya.

Menyedari tidak mengeluarkan kos yang banyak untuk menghasilkan filem ini, TS Jeffry turut mengetengahkan pelakon baharu sebagai watak utama.

“Saya akui bajet tidak banyak untuk menghasilkan filem ini apatah lagi saya masih baru dalam bidang pengarahan walaupun sudah 33 tahun terbabit dalam bidang seni lakonan.

“Menerusi geran Finas yang diterima saya tambah lagi dengan wang sendiri jadi saya ikut bajet saya untuk menghasilkan filem ini.

“Saya akui banyak kelemahan di sana sini dalam filem ini namun saya berharap berilah sokongan terhadap filem ini.

“Saya juga memilih pelakon baru kerana bagi saya perlu ada tanggungjawab dalam industri untuk mengangkat pelakon baru.

“Kita harus beri kepercayaan pada pelapis baru, saya juga harus memberi sedikit tunjuk ajar kepada mereka melalui pengalaman yang saya ada,” katanya.

Filem terbitan Pentas Wayang Production Sdn Bhd itu menampilkan pelakon seperti Kael, Shatirah Amanda, Nina KSC, Dyvianna James dan ramai lagi.

Mar Rak mengisahkan sepasang kekasih yang aktif menari Menora Siam.

Percintaan mereka hanya digambarkan melalui surat sahaja tanpa diketahui sesiapa.

Dalam waktu yang sama anak tauke Menora yang berketurunan cina juga turut menyukai hero keturunan Siam ini.

Marah akibat cintanya ditolak, gadis berkenaan mula mendapatkan bantuan bomoh hitam Siam bagi menjayakan hasratnya untuk memiliki hero idaman.

Kerja jahat ini dilakukan menerusi surat. Dalam mendapatkan cintanya, gadis ini sanggup membunuh bagi memastikan impiannya tercapai.

Jadi duta 16 jenama, Fazley Yaakob jawab kerjasama dengan jenama kopi diboikot

KUALA LUMPUR – Selebriti dan cef, Datuk Fazley Yaakob berkongsi khabar gembira apabila dia dilantik sebagai duta kepada 16 jenama daripada pelbagai rangkaian produk.

Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fadzli Yaakob, 45, berkata, setiap tawaran diterimanya itu adalah rezeki untuk keluarga.

“Alhamdulillah semua yang saya terima ini adalah rezeki dari Allah SWT kepada saya dan anak-anak. Saya menggalas tanggungjawab sebagai duta kepada 16 jenama yang merangkumi pelbagai rangkaian dan bukan makanan sahaja.

“Antaranya duta untuk kanta lekap dari Korea Selatan, hospital, produk penjagaan kulit, pisau pemotong dan peralatan masakan yang saya akan umumkan nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis santai bersama media di restoran Suka Sucre, di ibu kota, miliknya.

Dalam pada itu, Fazley mengakui turut berkolaborasi dengan jenama kopi antarabangsa yang kini menjadi sasaran utama orang ramai untuk diboikot gara-gara didakwa menyokong Israel.

Fazley berkata, dia sudah menyelidik latar belakang syarikat itu di Malaysia.

“Ramai tidak tahu saya juga adalah seorang juru audit. Tugas saya untuk audit jenama yang saya ingin bekerjasama.

“Apabila saya menjadi duta untuk jenama yang kononnya sensitif, saya sendiri sudah buat kajian mengenai kebolehan mereka untuk mentadbir keadaan politik semasa.

“adakah mereka menggunakan ramai pekerja tempatan dan adakah mereka terbabit secara langsung dengan pihak yang dikatakan netizen

“Semua itu saya ambil tahu dan selidiki sebelum membuat keputusan untuk menjalin kolaborasi,” katanya.

Fazley berkata, apa yang dia tahu, syarikat jenama itu di Malaysia adalah milik rakyat negara ini dan memiliki pekerja tempatan, selain mendermakan RM1 juta kepada Palestin.

“Saya rasa tiada masalah untuk terus bekerjasama kerana mereka tidak didukung syarikat dari luar negara.

“Asalkan syarikat ini berada di Malaysia dan tahu mana hala tuju mereka, saya akan menjalankan tugas saya sebagai cef serta wajah untuk jenama berkenaan,” katanya.

Berkongsi situasi adakah dia terkesan dengan ‘boikot’ yang sedang berlaku sekarang, secara peribadi dia tidak terkesan.

“Saya menanti juga kalau-kalau ada yang hentam dalam Instagram, tetapi Alhamdulilah saya rasa pengikut saya tahu latar belakang saya.

“Mereka juga buat kajian terperinci untuk menilai sama ada untuk menghentam, menyokong, memboikot ataupun tidak,” katanya.

Fazley berkata, sekiranya ada pihak mendesak dia untuk menarik diri dari jenama terbabit, tegasnya, dia tidak boleh melakukan perkara itu kerana harus mengikut kontrak ditetapkan.

“Proses mengundurkan diri harus mengikut kontrak. Selagi tidak ada fakta atau bukti dari pihak syarikat bahawa mereka menyokong pihak tidak sepatutnya, saya rasa tiada masalah untuk saya bekerjasama,” katanya.

Sementara itu, Fazley akui bersyukur apabila restorannya, Suka Sucre masih menjadi pilihan ramai biarpun sudah hampir 10 tahun beroperasi.

“Bermula dengan menghantar makanan ke beberapa lokasi, ia kemudian mempunyai ruang kecil di Shah Alam dan disusuli sebuah restoran di Cheras.

“Kini, Suka Sucre menjadi restoran di dalam hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur. Pada saya ini adalah satu kebanggaan buat saya dan anak-anak,” katanya lagi.

Bekas menteri Israel gesa hapus Gaza dari muka bumi

TEL AVIV – Bekas Menteri Komunikasi Israel dari Parti Likud, Galit Distel Atbaryan menggesa Genting Gaza dihapuskan dari muka bumi.

Kenyataan biadab Galit Distel itu dimuat naik ke Facebook sambil menunjukkan rakaman serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Selain mencadangkan penghapusan Gaza, Distel Atbaryan turut menggelar penduduk Palestin di Tebing Barat sebagai Nazi.

“Gaza perlu dihapuskan dan Nazi di Tebing Barat juga perlu disasarkan.

“Kita memerlukan askar Israel yang pendendam dan ganas untuk misi ini,” katanya.

Distel Atbaryan meletak jawatan sebagai menteri pada 12 Oktober lalu selepas pejabatnya ditutup berikutan penyusunan semula sumber kerajaan atas perang ke atas Gaza.

Bekas pengulas media berhaluan kanan itu sebelum ini telah banyak mengeluarkan kenyataan menghasut dan kontroversi.

Serangan Israel ke atas Gaza yang memasuki minggu keempat turut menyaksikan Menteri Pertahanan Yoav Gallant menggelar rakyat palestin sebagai haiwan.

Pengulas politik terkemuka Eliyahu Yossian pula baru-baru ini berkata: “Anda perlu memasuki Gaza pada kemuncak keganasan, dengan tujuan membalas dendam, moral sifar, mayat maksimum,”.

Sementara itu, Moshe Feiglin, bekas ahli Parlimen sayap kanan memberitahu, Al Jazeera satu-satunya penyelesaian adalah ‘kemusnahan sepenuhnya Gaza seperti di Dresden dan Hiroshima, tanpa senjata nuklear’. – Agensi

Biden janji perangi Islamofobia ketika perang Israel-Palestin

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Kerajaan pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, akan membentuk strategi bagi menangani Islamofobia, ketika ketegangan memuncak di seluruh dunia susulan peperangan Israel-Palestin.

Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, berkata strategi itu akan dibangunkan bersama masyarakat Islam setempat.

“Biden bertanding jawatan untuk memulihkan jiwa negara AS. Beliau bertegas bahawa tiada ruang untuk kebencian terhadap sesiapapun di AS.

“Bagi tempoh yang terlalu lama, umat Islam di AS, dan mereka yang dianggap sebagai Muslim, seperti Arab dan Sikh, mengalami serangan yang didorong oleh kebencian dan penindasan lain yang tidak seimbang,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, seorang budak lelaki Palestin berusia enam tahun dibunuh di Chicago, yang dikaitkan dengan konflik berterusan antara Israel dan Palestin.

Pada masa sama, Jean-Pierre berkata, pembunuhan itu disifatkan kejam.

Katanya, AS juga melancarkan rancangan untuk menentang sentimen anti-Yahudi di seluruh negara.

Janji ditunjukkan AS bagi melindungi masyarat Islam itu dilihat sebagai momentum baharu di saat kritikal ini, walaupun komitmen itu bukan sesuatu yang baharu.

Peperangan yang dilancarkan selepas serangan pejuang Hamas ke atas Israel menyebabkan umat Islam AS takut dengan gelombang permusuhan itu.

Malah, tindakan Biden, yang berkunjung ke Israel bagi menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mencetuskan kritikan daripada umat Islam dan Arab di AS.

Biden, 80, dari parti Demokrat, dituduh menutup mata terhadap penderitaan orang awam Palestin di Semenanjung Gaza, tetapi beliau mempertahankan tindakannya, sebagai usaha untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dikepung.

Kajian yang dijalankan Institut Arab AS menunjukkan bahawa pengundi Arab AS secara besar-besaran kini berpaling daripada menyokong Biden.

Sokongan buat Biden yang akan berdepan pemilihan semula tahun depan, menurun daripada 59 peratus pada 2020 kepada 17 peratus sekarang ini. -Agensi

Lesen penerbangan MYAirline digantung MAVCOM serta merta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggantung lesen syarikat penerbangan tambang rendah bermasalah, MYAirline berkuat kuasa serta merta mengikut seksyen 43 (1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Pengawal selia industri penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka memutuskan untuk menggantung serta merta lesen berkenaan selepas menganggap jawapan MYAirline terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan bulan lalu sebagai tidak memuaskan.

“Walaupun pembatalan lesen penerbangan udara (ASL) MYAirline amat dipertimbangkan, potensi implikasinya adalah ia boleh menghentikan usaha untuk memulakan pembayaran balik kepada penumpang yang terjejas,” kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Saripuddin Kasim dalam kenyataan itu.

Terdahulu, MAVCOM mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober lalu.

Dalam surat tunjuk sebab itu, MAVCOM mengarahkan MYAirline untuk memberikan pernyataan bertulis dalam masa 14 hari.

Surat tunjuk sebab itu, antara lain menjelaskan kegagalan MYAirline untuk mematuhi syarat ASL dan penggantungan mengejut operasinya pada 12 Oktober 2023.

MAVCOM menerima pernyataan bertulis MYAirline pada 27 Oktober lalu.

Bagaimanapun, selepas menyemak pernyataan bertulis itu, MAVCOM memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline memandangkan pernyataan yang dibuat oleh syarikat penerbangan terbabit tidak memuaskan surat tunjuk sebab.

MAVCOM berkata, sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan awam Malaysia, ia membuat keputusan itu bagi melindungi kepentingan penumpang dan pekerja yang terkesan oleh penggantungan operasi MYAirline, selain mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik Covid-19.