30.2 C
Kuala Lumpur
Friday, October 10, 2025
Home Blog Page 220

Intai pelakon wanita, Pekin Ibrahim belasah krew produksi

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim, berkongsi kejadian dia membelasah seorang krew produksi yang mengintai pelakon wanita baharu, Sara Daewoo.

Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mereka menjalani penggambaran filem seram Cerana Biduk Bu Merah pada 2018.

Katanya, dia menyedari perkara terbabit selepas dimaklumkan oleh Sara yang berada di inap desa ketika kejadian itu berlaku.

“Kejadian berlaku ketika kami menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak. Krew dan pelakon ditempatkan di dua inap desa berbeza.

“Waktu itu, saya dan kawan dalam perjalanan ke set penggambaran, manakala Sara berada di inap desa wanita.

“Sara mengadu kepada kawan saya, ada seorang krew mengintai dan merakam menggunakan telefon bimbit, berikutan itu kami patah balik ke sana.

“Apa yang membuatkan saya geram, apabila kami sampai di inap desa itu, krew berkenaan mengajak saya solat berjemaah. Siap bentangkan sejadah, seolah-olah tiada apa yang terjadi.

“Saya meminta untuk memeriksa telefon bimbit miliknya dan krew itu memberikan alasan serta cuba memadam bukti.

“Saya tidak dapat menahan sabar terus membelasah krew terbabit dan menghubungi pengarah, Haizul Anafer Ali.

“Krew itu dibawa ke balai polis dan Sara membuat laporan selanjutnya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan. Dia ditahan polis untuk siasatan,” katanya.

Pekin berkata, ini adalah kejadian kali pertama dia berhadapan dengan situasi sebegini.

“Biarpun filem Cerana Biduk Bu Merah adalah filem seram, saya rasa kes ini lebih seram berbanding cerita yang kami lakonkan.

“Saya tidak sangka berhadapan dengan perkara seperti ini, sepanjang terbabit dalam bidang lakonan sejak tahun 2002, ini adalah pengalaman pertama berhadapan kes gangguan seksual.

“Saya kesal kerana krew itu melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sudahlah dia melakukan perkara tidak bermoral, dia sempat ‘menunggang agama’ dan berpura-pura mengajak solat pula,” katanya.

Cerana Biduk Bu Merah diterbitkan oleh Goldhill Pictures yang menjalani penggambaran pada 2018 itu akhirnya bakal menemui penonton pada 12 Oktober ini.

Selain Pekin dan Sara, filem ini turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Pyan Kepoh dan ramai lagi.

Fasha tidak berkira soal bayaran

KUALA LUMPUR – Minat yang begitu mendalam terhadap dunia lakonan kadang kala membuatkan pelakon Fasha Sandha tidak terlalu berkira soal bayaran.

Meskipun sedar dirinya berada pada senarai pelakon gred A, itu bukan masalah untuknya menerima bayaran yang sedikit, yang penting kepuasan terhadap sesuatu watak yang dijayakan.

Fasha berkata, dalam berkarya seorang anak seni perlu membuat pertimbangan wajar dalam memilih naskhah, bukan bersandarkan pada tarikan wang semata-mata.

“Apabila menerima sesuatu tawaran setiap drama mahupun filem ia mempunyai bajet tertentu tetapi kita kena lihat situasi antaranya tidak boleh ikut kadar bayaran semasa kita.

“Seperti filem ini saya buat kerana cinta pada lakonan selain dapat timba ilmu dengan orang-orang yang berpengalaman.

“Bayaran itu subjektif, setiap pelakon perlu jaga kadar masing-masing, jangan sampai dipermainkan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, semalam.

Pelakon berusia 39 tahun itu berkata, kesanggupannya memenuhi tawaran penerbit dan pengarah Haizul Anafer Ali adalah bersandarkan kredibilitinya sebagai seorang yang berpengalaman sekali gus membuatkan dirinya mahu membantu.

“Mana tahu, hari ini hari dia, esok lusa, mungkin hari kita pula. Alhamdulillah, dia juga banyak projek lain, jadi rezeki itu mungkin berbalik semula kepada saya,” katanya.

Cerana Biduk Bu Merak adalah filem genre seram yang diterbitkan oleh Goldhill Pictures Sdn Bhd mengisahkan seorang wanita tua yang dipinggirkan orang kampung dan hidup bersendirian di sebuah rumah pusaka.

Bu Merah menyelamatkan seorang gadis bernama Sofia yang hampir dirogol.

Walaupun sudah berusia, kulit Bu Merah tidak berkedut malah sentiasa cantik kerana menjadi hamba kepada penjaga Cerana Biduk yang berpuaka.

Filem itu bakal ditayangkan di 70 pawagam tanah air bermula 12 Oktober ini.

Dalam pada itu, Fasha berkata, barisan pelakon hebat terutamanya Wan Hanafi Su antara sebab membuatkannya terus menerima tawaran daripada Haizul.

Mengimbas semula pengalaman di set penggambaran lima tahun lalu, Fasha berkata, dia bersyukur tiada sebarang kejadian aneh berlaku namun berdepan gangguan misteri di inap desa yang terletak di Kuala Kangsar, Perak itu.

“Sebelum bekerja terutama di lokasi terpencil saya pastikan jaga adab dan ‘minta izin’ supaya kerja berjalan lancar kerana niat hendak mencari rezeki.

“Alhamdulillah tiada sebarang kejadian aneh berlaku kepada saya sepanjang penggambaram cuma ketika di tempat penginapan kami terdengar bunyi cakaran di dinding pada waktu malam,” katanya. 

‘Cerita Kita’ kolaborasi Insomniacks dan Nabila Razali

KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mencipta sejarah tersendiri menerusi lagu Pulang dan Sempurna, kumpulan Insomniacks sekali lagi muncul dengan karya hebat berjudul Cerita Kita.

Lebih istimewa lagu ini adalah kolaborasi pertama kumpulan itu yang mana turut menampilkan penyanyi popular Nabila Razali.

Karya berentak pop balada ini dicipta oleh Iqie, Iskandar dan Danial yang mengisahkan tentang persahabatan terjalin sejak kecil sehingga timbul rasa cinta antara mereka.

“Saya ingin mengembalikan memori kisah percintaan zaman kanak-kanak. Saya percaya ramai pernah melalui pengalaman manis seperti ini.

“Namun tidak semua yang kita rancang menjadi kenyataan. Ada yang berjaya sehingga ke jinjang pelamin ada yang terputus di tengah jalan,” katanya.

Bagi Nabila Razali, kolaborasi bersama Insomniack adalah peluang keemasan dan satu pencapaian baharu dalam kerjaya nyanyiannya.

“Saya melihat Insomniacks satu kumpulan anak muda yang kreatif dan berjaya menghasilkan karya-karya segar.

“Mereka mempunyai identiti tersendiri yang membuatkan lagu-lagu ciptaan dan nyanyian mereka berjaya menambat hati pendengar.

“Dalam perancangan kerjaya saya memang ada plan untuk berkolaborasi bersama mereka dan Alhamdulillah akhirnya ia tercapai. Saya sangat berpuas hati dengan lagu dan muzik video yang dihasilkan,” katanya.

Muzik video Cerita Kita yang dilancarkan pada 22 September lalu kini sudah mencecah lebih 100,000 tontonan di saluran Youtube dalam masa 5 hari.

Lagu itu juga kini menjadi trending di laman Youtube dan platform streaming.

Untuk rekod, lagu Cerita Kita adalah single keenam bagi Insomniacks, manakala single ke-10 bagi Nabila Razali.

Lagu ini adalah hasil kolaborasi antara syarikat rakaman Universal Music Sdn Bhd dan Nabila Razali Entertainment.

Selain itu, bagi merancakkan lagi proses promosi, majlis pelancaran Malam Cerita Kita telah diadakan pada 30 September lalu di Bsync Hall, Kuala Kumpur.

Insomniacks dianggotai oleh Iqie (vokalis utama), Iskandar (bass) dan Danial (gitar) ditubuhkan pada 2015.

Kumpulan ini berjaya mencipta nama pada tahun 2018 menerusi single kedua mereka berjudul Pulang yang mendapat sambutan menggalakkan dengan 32 juta tontonan Youtube dan menjadi lagu paling tinggi distrim di Malaysia pada 2019.

Diikuti single Sempurna yang dilancarkan pada 2022 berjaya meraih 15 juta tontonan YouTube dan berada selama 88 minggu di carta RIM.

‘Man On The Run’ angkat kisah pendedahan skandal 1MDB

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan skandal 1MDB antara kejadian yang bukan sahaja menggemparkan Malaysia, malah mendapat perhatian di seluruh dunia.

Ia berikutan skandal kewangan ini membabitkan bekas pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seorang individu yang sedang diburu iaitu Jho Low.

Melihat kepada tumpuan terhadap skandal berkenaan, sebuah filem dokumentari telah dihasilkan berjudul Man On The Run (MOTR).

Pengarahnya, Cassius Michael Kim berkata, dia tertarik untuk menghasil filem dokumentari ini kerana liputan yang cukup meluas terhadap kisah 1MDB ini.

“Walapun ia mendapat liputan yang meluas, namun masih ramai lagi yang tidak tahu tentang perjalanan sebenar mengenai skandal ini dengan lebih mendalam.

“Diharap, filem ini akan memberi penerangan terhadap apa yang berlaku, terutama sekali untuk mereka yang mengikuti perkembangan kes ini,” katanya.

MOTR mendedahkan kisah benar yang mengejutkan tentang rasuah dan pengkhianatan yang menggegarkan kestabilan kewangan seluruh negara.

Ia turut membabitkan Jho Low, seorang ahli perniagaan misteri serta ‘playboy’ dengan merancang mengeksploitasi dana kekayaan Malaysia menerusi apa yang diketahui umum sebagai 1MDB.

Dengan kerjasama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, Low dipercayai menyalurkan berbilion-bilion duit ke dalam akaun bank global untuk memupuk gaya hidupnya yang mewah, termasuk pesta Hollywood dan bahkan membiayai pembikinan filem The Wolf of Wall Street.

‘Penyelidikan’ yang dilakukan oleh Cassius Michael Kim ini membongkar rangkaian rasuah serta mendedahkan kesan mendalam skandal kewangan yang besar ini.

Cassius berkata, antara yang menarik dalam MOTR ini apabila pihaknya dapat membuat temu bual dengan individu serta pihak yang mempunyai hubung kait dengan kisah 1MDB ini.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan terdapat cabaran apabila ada segelintir yang tidak mahu ditemu bual untuk menjayakan filem dokumentari ini atas sebab-sebab tertentu.

“Apa yang paling menarik perhatian apabila kami dapat membuat temu bual dengan individu terdekat yang dikaitkan dengan skandal ini iaitu Datuk Seri Najib sendiri.

“Sepanjang wawancara bersamanya, saya akui cukup kagum dengan keupayaannya untuk menjawab setiap soalan yang diberikan,” katanya.

Cassius yang juga penerbit eksekutif berharap agar MOTR dapat memberi penerangan kepada orang ramai mengenai keburukan yang berlaku kesan terhadap skandal terbabit.

“Mengenai Jho Low pula, saya mengharapkan agar dia akan dibawa ke muka pengadilan suatu hari nanti.

“Cuma mungkin ia agak sukar dan khabarnya dia kini sedang berada di Macau atau China.

“Sudah tentu saya sangat berminat untuk membuat wawancara dengannya jika saya ada peluang untuk berbuat demikian,” katanya.

Filem dokumentari MOTR akan ditayangkan di pawagam pada 5 Oktober (Singapura) dan 19 Oktober (Malaysia).

‘Stoneman Willie’ akhirnya dikebumikan selepas 128 tahun

PENNSYLVANIA – Selama 128 tahun jasad seorang lelaki diawetkan dan dipamerkan di sebuah pusat pengebumian di Amerika Syarikat, akhirnya ia dikebumikan.

‘Stoneman Willie’, seorang penyeluk saku yang meninggal dunia dalam penjara pada 1895 akibat kegagalan buah pinggang, pada masa itu diawet seorang pakar mayat yang mencuba teknik pengawetan.

Sejak itu, jasad lelaki itu diletakkan di Pusat Pengebumian Theo C Auman di Reading, Pennsylvania, sebelum ia dikebumikan di Taman Memorial Forest Hills.

Ahli sejarah George M Meiser XI berkata, pusat pengebumian itu menyimpan jasad lelaki itu untuk melihat keberkesanan teknik baharu itu kerana tiada siapa yang menuntut mayatnya.

Sementara itu, pengarah pengebumian pusat terbabit Kyle Blankenbiller berkata, Stoneman Willie terkenal dalam masyarakat tempatan.

“Kami tidak merujuknya sebagai mumia. Tetapi sebagai kawan kami Willie.

“Dia bukan sahaja menjadi bahan cerita masa lalu, tetapi masa kini,” katanya kepada Reuters.

Menurut laporan sebuah akhbar pada 1896 Stoneman Willie kelihatan putih seperti lilin, sebelum kulitnya bertukar coklat lebih satu abad kemudian.

Pusat Pengebumian Theo C Auman berkata, jasad itu akan dipakaikan dengan tuksedo sesuai dengan tema pakaian lelaki pada 1895 untuk upacara pengebumian.

Katanya, mereka turut mendedahkan identiti lelaki itu yang diperolehi dari rekod sejarah pada hari pengebumiannya.

Seorang pelawat, Veronica Dangler yang melawat jasad itu buat kali terakhir berkata, dia lega akhirnya lelaki itu akan dikebumikan.

“Sebenarnya ia agak menyedihkan kerana dia berada di sini untuk sekian lama.

“Tetapi saya gembira dia akhirnya akan ada tempat untuk berehat,” katanya kepada WFMZ. -Agensi

Kedamaian Tasik Agro Darau gamit pengunjung bertandang

KEDAMAIAN alam semula jadi di Tasik Agro Darau, Hulu Besut dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah jajaran Banjaran Titiwangsa mampu memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya.

Menyedari keindahan panorama alam itu mampu memikat jiwa pengunjung, apabila memijakkan kaki ke Taman Rekreasi Agro Darau bernilai RM15 juta diwujudkan sebagai salah satu lokasi ekopelancongan terbaharu di daerah Besut, Terengganu.

Terletak kira-kira 103 kilometer (km) dari Kuala Terengganu dan 8.8 km dari bandar Jertih menjadi salah satu destinasi terbaik pilihan pengunjung

Taman  berkeluasan 4.2 hektar itu mula dibina pada 2017 dan berjaya disiapkan pada November 2021 sebelum dibuka secara rasmi pada Jun lalu.

Memiliki kemudahan menara tinjau, taman permainan dan gimnasium luar, selain turut menempatkan gelanggang petanque serta jeti.

Lebih menarik, ia juga mempunyai agro bazar dengan menampilkan 18 gerai menjual pelbagai jenis produk, restoran terapung menyediakan hidangan ala Thai serta dua restoran menawarkan sajian makanan berlainan iaitu ‘shellout’ serta makanan tempatan.

Pengurusnya, Shaaban Imran Mohd Salleh, berkata taman rekreasi milik Majlis Daerah Besut (MDB) itu disewakan secara pajakan dalam tempoh 12 tahun kepada Koperasi Keluarga Haji Mustafa Sulong Besut Berhad (Kohafas) untuk diuruskan.

“Selain kemudahan sedia ada, kami turut menambah beberapa aktiviti sukan air seperti

menelusuri tasik dengan menaiki rumah bot Kohafas Cruise yang bergerak menggunakan enjin bot serta 50 biji tong untuk terapung.

“Antara sukan air lain ditawarkan seperti paddle boat, water bike dengan kadar sewa berpatutan antara RM15 hingga RM35 mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Setiap pengunjung yang melakukan aktiviti air diwajibkan memakai jaket keselamatan,” katanya.

Beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti permainan ‘supa dupa’, perkhidmatan kereta mainan elektrik, ebike, kereta mainan elektrik, petting zoo, selain sewaan bilik seminar dan bilik mesyuarat.

“Setakat ini, kami menjalankan usahasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang akan mengadakan pelbagai kursus koperasi di sini bermula November ini.

“Ia juga dijadikan lokasi penganjuran Jelajah Genta Belia peringkat Daerah Besut dengan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk peluang kerjaya,” katanya.

Pelbagai perancangan jangka panjang akan dilakukan untuk memajukan kawasan itu.

“Kami dalam perancangan menjenamakan semula Taman Rekreasi Agro Darau kepada Taman Kohafas Agro Darau secara berperingkat.

“Antara beberapa perancangan terdekat akan membina resort terapung berkonsepkan satu rakit mempunyai dua buah chalet, kedai terapung bagi memudahkan pengunjung melakukan aktiviti air membeli ketika berada atas air,” katanya.

Juga memajukan sebuah pulau dikenali Pulau Semangat berada di tengah tasik dulu pernah dijadikan lokasi Kem Bina Semangat sebelum terbengkalai sejak tahun 2000.

“Laluan melalui jalan tasik dan darat akan disediakan kepada pengunjung ingin memancing di kolam pancing ikan masin Kohafas bersebelahan tasik.

“Kawasan kolam pancing itu akan dijadikan kawasan tapak kem bagi aktiviti sukan lasak termasuk menunggang ATV dalam hutan,” katanya.

Pihaknya berharap Taman Rekreasi Agro Darau akan menjadi antara pilihan utama pelancong ke Hulu Besut selain Hutan Lipur Lata Tembakah, Lata Kolam Air Deru Ecopark serta Taman.

Justeru, Hulu Besut berpotensi menjadi kawasan pelancongan berantai dengan keunikan flora fauna, keindahan air terjun serta menjadi tumpuan penggemar durian.

Pengunjung, Syariatul Syafira Mohd Dera, 32, bersama suami Ahmad Syariefuddin Hashim, 30, sanggup datang dari Batu Rakit, Kuala Terengganu untuk merasai pengalaman menaiki Kohafas Cruise.

“Saya tahu mengenai tempat ini melalui Facebook kebetulan ada urusan di kawasan ini jadi saya bawa keluarga bersiar-siar di sini.

“Pengalaman menaiki Kohafas Cruise amat menyeronokkan, kami disajikan dengan pemandangan alam semula jadi yang indah, bersantai bersama keluarga dapat menghilangkan tekanan kerja,” katanya.

Pengunjung, Efarini Yaakob, 40, dari Kampung Lubuk Kawah, berkata, dia mengambil peluang menaiki paddle boat.

“Seronok selain boleh meluangkan masa bersama anak-anak saya boleh melakukan aktiviti bersukan dalam air,” katanya. -Berita Harian

Kerajaan tidak benarkan rumah kos rendah di Pulau Pinang disewa

GEORGE TOWN – Pulau Pinang tidak membenarkan Rumah Mampu Milik (RMM) kos rendah dan sederhana (RMMA dan RMMB) disewakan sama ada kepada warga asing atau tempatan.

Pengerusi Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S.Sundarajoo berkata, ia diputuskan baru-baru ini memandangkan terdapat keperluan untuk mengawal ketat rumah kos rendah dan sederhana yang telah mendapat subsidi kerajaan daripada disalahgunakan termasuk disewakan atau dijadikan asrama pekerja.

“Penting kepada pihak berkuasa untuk lebih ketat dalam mengawal unit-unit bersubsidi tinggi seperti rumah RMMA dan RMMB daripada disalah guna termasuk disewakan, malah dijadikan asrama pekerja.

“Saya sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri mengenai tindakan penguatkuasaan sewajarnya yang perlu diambil.

“Ia sangat mudah, adakah kita akan membenarkan begitu ramai warga asing atau pekerja asing tinggal dalam kalangan kita? Itu tidak sihat.

“Ini juga termasuk unit yang disewakan kepada penduduk tempatan dan kita akan menghalang pemilik rumah kos rendah dan sederhana ini daripada menyewakan unit mereka kerana mereka mendapat subsidi yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Negeri-negeri 2023, yang berlangsung dua hari  di George Town, Pulau Pinang, bermula hari ini.

Sundarajoo berkata, langkah pemulihan atau pemutihan perlu dilakukan terhadap unit yang telah lama dijadikan asrama pekerja agar lebih teratur dan terkawal selain pada masa sama isu legasi seperti semakan silang pemilikan hartanah antara negeri juga perlu diwujudkan untuk saringan yang lebih luas.

Katanya, ada dalam kalangan pemilik rumah kos rendah dan sederhana menyewakan rumah atau unit kediaman mereka kepada kilang dengan kadar RM1,000 sebulan dan mencari tempat tinggal lain dengan bayaran RM500 sebulan.

“Itu bukan tujuan kami membina unit kos rendah dan sederhana, malah sebenarnya kita juga boleh mengambil semula unit ini dan memberikannya kepada mereka yang lebih layak,” katanya.

Sementara itu, Sundarajoo berkata, pemaju yang memaksa pembeli skim RMM kerajaan negeri untuk mendaftar bagi ‘pakej pengubahsuaian’ pemaju untuk menaikkan harga, akan berdepan tindakan senarai hitam.

Katanya, beliau menyedari terdapat kes sedemikian dan turut menerima aduan bahawa pemaju meminta pembeli mengambil pakej pengubahsuaian terbabit, namun sebenarnya pembeli mempunyai hak untuk menolaknya.

“Pemaju tidak sepatutnya melakukan perkara ini iaitu memaksa pembeli kerana mereka harus berpegang pada harga yang diberikan kerajaan negeri.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju sedemikian, termasuk menyenaraihitamkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) Pulau Pinang, Ravinder Singh yang dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan terdapat pemaju enggan menjual pada harga tawaran dan memaksa pembeli mengambil ‘pakej pengubahsuaian’ yang lebih mahal.

Mahu beri sokongan dan ruang, AC Gas minta Suria FM bawa bakat baharu

KUALA LUMPUR – Mahu memberi peluang dan sokongan kepada bakat baharu industri muzik tempatan antara faktor utama mereka menjadi pilihan untuk beraksi dalam konsert yang dianjurkan.

Perkara itu dinyatakan oleh orang kuat syarikat pengeluar LPG, AC Gas yang menjadi penaja konsert SuriaVolusi pada bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AC Gas Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, mereka membuat permintaan itu kepada stesen radio Suria FM kerana faham susah payahnya bagi orang baharu memulakan langkah sebelum berjaya.

“Kami pernah melalui fasa mencabar ketika masih baharu memulukan perniagaan sekitar 2016 termasuk berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya tahu, sebagai orang baharu juga ramai yang belum percaya dengan kebolehan kita dan tidak tahu apa yang kita mampu lakukan,” katanya dalam sidang media sempena konsert SuriaVolusi anjuran Suria FM baru-baru ini.

Lantaran itu, Nik Mohd Fareez berkata pihaknya meminta Suria FM supaya memilih bakat baharu di samping bintang otai dalam konsert yang bakal diadakan di dua lokasi iaitu Petaling Jaya dan Kota Bharu.

Baginya, anak muda yang mahu memulakan tapak dalam industri muzik perlu diberikan sokongan dan ruang supaya mereka lebih menyerlah.

“Seperti AC Gas juga ketika mahu memulakan tapak ada yang sangsi dengan kami namun setelah diberikan kepercayaan kami semakin dikenali dan menjadi pilihan pengguna.

“Alhamdulillah kami sudah mempunyai 65 wakil sah berdaftar di seluruh Malaysia dan menggeluarkan 90,000 tong gas baharu sebulan melalui kilang kami di Meru,” katanya.

Pengurus Besar Suria FM DJ Lin turut menyambut baik permintaan AC Gas itu dan mengakui stesen radio berkenaan turut mempunyai pendirian yang sama.

Dia berkata, Suria FM sentiasa memberikan peluang kepada artis baharu meskipun mereka belum menempa nama sehinggalah sudah dikenali.

“Di Suria FM kami tidak pernah pilih bulu. Semua penyanyi kami layan sama rata dan menyediakan peluang untuk mengetengahkan karya mereka.

“Ini termasuk dalam setiap acara dan konsert kami seperti siri jelajah sebelum ini yang sentiasa membabitkan bakat baharu, artis muda dan senior,” katanya.

SuriaVolusi yang dipersembahkan oleh Suria FM dan AC Gas, bakal berlangsung pada 21 dan 28 Oktober ini masing-masing di The Curve, Petaling Jaya serta di KB Mall, Kota Bharu Kelantan.

Antara barisan artis popular  yang terlibat ialah seperti Azlan and The Typewriter, Khai Bahar, Adira, Aris Ariwatan, Baby Shima, Floor 88, Kristal X, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow.

Manakala barisan bakat baharu yang turut menjadi pilihan ialah Alyssa Dezek, Xone, Chaca Tisha, Aidilia Hilda, Killa Driz, Siqma X Razzuan, Shafiq Abdillah dan Asraf Nasir

Mengulas lanjut, Nik Mohd Fareez berkata, AC Gas berminat untuk menaja konsert SuriaVolusi kerana kesan positif selepas beberapa kali menyertai program anjuran Suria FM.

Akuinya, stesen radio itu membantu jenama syarikatnya AC Gas dikenali termasuk membabitkan peningkatan dari segi jualan.

“Kami sudah bersama Suria FM dalam banyak program sebelum ini dan terbukti memberikan impak yang baik kepada AC Gas dan kami percaya dengan kemampuan mereka membantu meluaskan perniagaan kami.

“Lebih menarik, kami juga bakal muncul dengan satu projek mega bersama Suria FM bagi tahun 2024 yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

AC Gas juga bakal berkongsi rezeki dengan pengunjung di dua lokasi konsert SuriaVolusi membabitkan hadiah bernilai RM50,000 termasuk wang tunai.

Kota Bharu juga menjadi pilihan kerana ia menjadi lokasi penubuhan syarikat itu dan AC Gas mula menapak.

Perayaan Peranakan tonjol keunikan budaya masyarakat

KUALA LUMPUR – Persatuan Modern Baba Nyonya menganjurkan Perayaan Peranakan bagi memberi peluang orang ramai merasai keunikan budaya masyarakat tersebut yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober ini.

Acara yang berlangsung di Summit USJ, Subang itu bertujuan untuk mempamerkan ciri khas kaum Peranakan melalui hidangan dan pakaian tradisional.

Penasihat kepada penganjur Perayaan Peranakan 2023 yang juga Presiden Persatuan Peragawati dan Peragawan Fesyen Malaysia (MFMPA), Dr Jason Hee, berkata Perayaan Peranakan berperanan sebagai perayaan yang meningkatkan semangat terhadap warisan budaya negara ini.

“Ia adalah saat istimewa yang mana kita, sebagai komuniti dan negara, bersatu untuk menghargai dan memberi penghormatan kepada budaya kaum Peranakan ini sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia kita.

“Festival ini adalah satu peringatan yang indah mengenai perpaduan harmoni tradisi dan adat yang menentukan kepelbagaian dan daya tarikan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Perayaan Peranakan Festival biasanya diraikan di beberapa negeri di seluruh negara, termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu, selain turut disambut secara meluas di Thailand dan Singapura.

Istilah peranakan merangkumi komuniti Cina yang dilahirkan di Selat di Singapura dan Malaysia, yang terdiri daripada individu yang lahir di kawasan bekas Penempatan Selat (Singapura, Pulau Pinang dan Melaka) atau bekas British Malaya (kini Semenanjung Malaysia).

Komuniti minoriti Cina ini sering dikenali sebagai ‘Cina Selat’, secara utamanya dikenali dengan komponen yang paling besar dan berpengaruh, iaitu ‘Cina Peranakan’.

Menerusi festival dua hari yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti, antaranya demonstrasi hidangan Peranakan secara langsung, pameran galeri, persembahan dan pelbagai aktiviti menarik yang mampu menghimpunkan masyarakat pelbagai bangsa.

Pengunjung boleh menjelajah pelbagai aktiviti menarik di festival berkenaan termasuk gerai jualan yang menampilkan barangan Peranakan yang dihasilkan dengan teliti.