29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Kedamaian Tasik Agro Darau gamit pengunjung bertandang

KEDAMAIAN alam semula jadi di Tasik Agro Darau, Hulu Besut dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah jajaran Banjaran Titiwangsa mampu memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya.

Menyedari keindahan panorama alam itu mampu memikat jiwa pengunjung, apabila memijakkan kaki ke Taman Rekreasi Agro Darau bernilai RM15 juta diwujudkan sebagai salah satu lokasi ekopelancongan terbaharu di daerah Besut, Terengganu.

Terletak kira-kira 103 kilometer (km) dari Kuala Terengganu dan 8.8 km dari bandar Jertih menjadi salah satu destinasi terbaik pilihan pengunjung

Taman  berkeluasan 4.2 hektar itu mula dibina pada 2017 dan berjaya disiapkan pada November 2021 sebelum dibuka secara rasmi pada Jun lalu.

Memiliki kemudahan menara tinjau, taman permainan dan gimnasium luar, selain turut menempatkan gelanggang petanque serta jeti.

Lebih menarik, ia juga mempunyai agro bazar dengan menampilkan 18 gerai menjual pelbagai jenis produk, restoran terapung menyediakan hidangan ala Thai serta dua restoran menawarkan sajian makanan berlainan iaitu ‘shellout’ serta makanan tempatan.

Pengurusnya, Shaaban Imran Mohd Salleh, berkata taman rekreasi milik Majlis Daerah Besut (MDB) itu disewakan secara pajakan dalam tempoh 12 tahun kepada Koperasi Keluarga Haji Mustafa Sulong Besut Berhad (Kohafas) untuk diuruskan.

“Selain kemudahan sedia ada, kami turut menambah beberapa aktiviti sukan air seperti

menelusuri tasik dengan menaiki rumah bot Kohafas Cruise yang bergerak menggunakan enjin bot serta 50 biji tong untuk terapung.

“Antara sukan air lain ditawarkan seperti paddle boat, water bike dengan kadar sewa berpatutan antara RM15 hingga RM35 mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Setiap pengunjung yang melakukan aktiviti air diwajibkan memakai jaket keselamatan,” katanya.

Beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti permainan ‘supa dupa’, perkhidmatan kereta mainan elektrik, ebike, kereta mainan elektrik, petting zoo, selain sewaan bilik seminar dan bilik mesyuarat.

“Setakat ini, kami menjalankan usahasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang akan mengadakan pelbagai kursus koperasi di sini bermula November ini.

“Ia juga dijadikan lokasi penganjuran Jelajah Genta Belia peringkat Daerah Besut dengan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk peluang kerjaya,” katanya.

Pelbagai perancangan jangka panjang akan dilakukan untuk memajukan kawasan itu.

“Kami dalam perancangan menjenamakan semula Taman Rekreasi Agro Darau kepada Taman Kohafas Agro Darau secara berperingkat.

“Antara beberapa perancangan terdekat akan membina resort terapung berkonsepkan satu rakit mempunyai dua buah chalet, kedai terapung bagi memudahkan pengunjung melakukan aktiviti air membeli ketika berada atas air,” katanya.

Juga memajukan sebuah pulau dikenali Pulau Semangat berada di tengah tasik dulu pernah dijadikan lokasi Kem Bina Semangat sebelum terbengkalai sejak tahun 2000.

“Laluan melalui jalan tasik dan darat akan disediakan kepada pengunjung ingin memancing di kolam pancing ikan masin Kohafas bersebelahan tasik.

“Kawasan kolam pancing itu akan dijadikan kawasan tapak kem bagi aktiviti sukan lasak termasuk menunggang ATV dalam hutan,” katanya.

Pihaknya berharap Taman Rekreasi Agro Darau akan menjadi antara pilihan utama pelancong ke Hulu Besut selain Hutan Lipur Lata Tembakah, Lata Kolam Air Deru Ecopark serta Taman.

Justeru, Hulu Besut berpotensi menjadi kawasan pelancongan berantai dengan keunikan flora fauna, keindahan air terjun serta menjadi tumpuan penggemar durian.

Pengunjung, Syariatul Syafira Mohd Dera, 32, bersama suami Ahmad Syariefuddin Hashim, 30, sanggup datang dari Batu Rakit, Kuala Terengganu untuk merasai pengalaman menaiki Kohafas Cruise.

“Saya tahu mengenai tempat ini melalui Facebook kebetulan ada urusan di kawasan ini jadi saya bawa keluarga bersiar-siar di sini.

“Pengalaman menaiki Kohafas Cruise amat menyeronokkan, kami disajikan dengan pemandangan alam semula jadi yang indah, bersantai bersama keluarga dapat menghilangkan tekanan kerja,” katanya.

Pengunjung, Efarini Yaakob, 40, dari Kampung Lubuk Kawah, berkata, dia mengambil peluang menaiki paddle boat.

“Seronok selain boleh meluangkan masa bersama anak-anak saya boleh melakukan aktiviti bersukan dalam air,” katanya. -Berita Harian

ARTIKEL BERKAITAN

Popular