28.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
Home Blog Page 219

Lancar tiga koleksi minyak wangi ekslusif, haruman Ameer Safone, epitome sebuah keberanian dan daya tahan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ameer Safone jenama minyak wangi terkenal dengan bangganya memperkenalkan tiga koleksi minyak wangi eksklusif, dicipta khas untuk penggemar minyak wangi.

Bertemakan ‘‘Celebrating Resilience, the New Beginning’’, majlis pelancaran telah berlangsung meriah di WORQ KL Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ameer Safone adalah jenama di bawah Ameer Safone Ventures, sebuah syarikat yang beroperasi di Malaysia, komited untuk meneroka pasaran minyak wangi tempatan dan juga di peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Ameer Safone Ventures, Amirul Safuan Mohd Ishak berkata, beliau amat berbesar hati untuk memperkenalkan Ameer Safone.

“Saya percaya bahawa jenama kami berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan integral Malaysia dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya juga percaya ia mampu bersaing melalui sokongan daripada pihak kerajaan, memberi keyakinan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi khususnya kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh mantan pengerusi kumpulan CIMB Tan Sri Nazir Razak.

Turut hadir Datuk Dr Ras Adiba Radzi, Pengasas dan Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga bekas Senator Dewan Negara mewakili komuniti OKU, dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ Stephanie Ping.

Berkongsi mengenai cetusan perniagaan, Amirul yang memulakan langkahnya dalam bidang keusahawanan sejak setahun yang lalu, mengakui bahawa dunia minyak wangi ini tidak asing bagi dirinya.

Beliau mempunyai minat yang mendalam dan juga seorang pengumpul koleksi minyak wangi jenama terkemuka dari seluruh dunia sejak sekian lama.

‘‘Minyak wangi mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia mengingatkan saya kepada Allahyarhamah ibu tercinta.

“Ia benar-benar berfungsi sebagai sebuah mesin masa yang membawa kita kembali kepada memori, kenangan terindah atau detik-detik nostalgia,’’ kata Amirul pada majlis pelancaran Ameer Safone.

Amirul berkata, meskipun mempunyai persaingan sengit di dalam industri ini, khususnya bagi produk tempatan, beliau melihatnya sebagai sebuah peluang dan bukan sebagai halangan untuk meneroka potensi dalam bidang keusahawanan.

‘‘Pada mulanya, ramai yang ragu-ragu. Namun, dengan latar belakang saya dalam bidang perbankan dan pengurusan kewangan, saya memanfaatkan kepakaran dan pengalaman saya untuk menceburi bidang baharu.

“Saya kekal yakin dan sering mendapat sokongan yang cukup luar biasa daripada pelbagai agensi termasuk rakan usahawan. Ini mendorong saya untuk terus mengejar cita-cita,’’ katanya.

Amirul menekankan bahawa sokongan pengguna melalui kempen keutamaan dan pembelian barangan tempatan hari ini dilihat sebagai satu bonus kepada usahawan tempatan sepertinya, untuk memacu kehadapan.

Sementara itu, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ Stephanie Ping berkata, pertama kali bertemu dengan Amirul di salah satu cara rangkaian perniagaan mereka, WORQ Quarterly NetWORQ, beliau sangat kagum dengan keupayaan Amirul untuk berhubung dan mencari rakan usaha sama.

“Dia berjaya memanfaatkan kekuatan komuniti kami dan menggunakan ruang kerja bersama untuk melancarkan perniagaannya.

“Dari mula mencari ruang kerja kepada penyertaannya dalam acara kami, yang membawanya hubungan baharu, kisah Amirul adalah bukti semangat keusahawanan Malaysia dan kuasa masyarakat dalam membantu individu mencapai kejayaan mereka.

“Kami amat berbangga dengan kesungguhan Amirul. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana menjayakan perkara ini, termasuk Tan Sri Nazir Razak.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua ahli komuniti dan penyokong kami dan berharap dapat menunjukkan kepada semua orang di Malaysia bahawa keusahawanan boleh diakses oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira keadaan,” katanya.

Ketidakupayaan Bukan Penghalang

Dalam berkongsi mengenai motivasi diri dan sumber inspirasi, Amirul menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menganggap ketidakupayaan atau statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) sebagai batu penghalang dalam membina empayar perniagaan.

Mengekalkan pemikiran yang positif, Amirul yakin bahawa tiada yang mustahil, dan kejayaan boleh digapai dengan semangat dan tekad yang kuat.

‘‘Terbabit dalam kemalangan pada tahun 2020 secara drastik telah mengubah hidup saya. Daripada menjalani kehidupan biasa, saya terlantar di katil hampir dua tahun.

“Walau bagaimanapun, saya enggan membiarkan kekurangan fizikal saya menjadi penghalang untuk saya berjaya. Sebagai seorang Muslim, saya berpandukan kepada kepercayaan bahawa Allah SWT telah menjadikan kita manusia berakal dan secara lahiriah, kita mempunyai daya tahan untuk berkembang maju.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bantuan zakat, institusi korporat serta keluarga dan rakan-rakan atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan saya dalam pemulihan,’’ katanya.

Amirul percaya bahawa terdapat banyak lagi pengalaman dan pencapaian yang masih belum diraih.

Justeru, beliau berazam untuk terus bangkit dan cuba mengejar kejayaan walaupun di sebalik kekurangan dirinya kini. Beliau mendapat inspirasi daripada ramai individu kurang upaya yang berjaya dalam pelbagai bidang.

‘‘Satu perkara yang saya percaya adalah, kita harus kreatif dalam kehidupan ini. Kini terdapat pelbagai pelbagai kemudahan teknologi yang boleh membantu daya kreativiti kita walaupun dengan batasan fizikal, dan saya menggunakan kesemuanya.

“Ramai berkata, bidang keusahawanan mempunyai banyak risiko yang bakal dihadapi, tetapi hakikatnya semua perkara ada risiko dalam hidup ini.

“Perkara yang menarik dalam dunia keusahawanan ini adalah anda boleh mengawal dan melakar perjalanan anda sendiri,’’ katanya.

Amirul juga tidak menafikan kekuatan dan keberanian yang dimiliki selama ini diwarisi daripada Allahyarhamah ibunya yang turut berkecimpung dalam dunia perniagaan dan banyak mencurahkan ilmu pengetahuan yang kini dimanfaatkan dengan sebaiknya.

‘‘Bagi saya, Allahyarhamah ibu memang seorang pejuang. Mesikipun beliau diuji dengan kanser tahap empat, beliau masih boleh kekal tenang dan positif, manakala ayah saya sentiasa menjadi penyokong utama.

“Atas sebab itu, saya dedikasikan jenama Ameer Safone sebagai sebuah epitome keberanian dan daya tahan yang turut melambangkan semangat saya,’’ katanya lagi.

Ameer Safone memperkenalkan tiga haruman minyak wangi dalam koleksi sulung iaitu ‘‘Srikandi’’, ‘‘Bahaduri’’, dan ‘‘Mahkota’’.

Setiap haruman unik dihasilkan khusus bagi melengkapi personaliti si pemakai mengikut citarasa masing-masing, menggunakan bahan semula jadi.

‘‘Srikandi’’ menampilkan aroma manis yang melambangkan keanggunan, keyakinan dan feminin.

‘‘Bahaduri’’ bercirikan lelaki moden yang tampan bergaya, melambangkan kekuatan, keberanian, serta ketenangan.

‘‘Mahkota’’ menawarkan haruman yang diilhamkan oleh budaya Timur Tengah, membangkitkan unsur kemewahan dan misteri.

Produk dan sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.ameersafone.com.

Konsert Wali X Setia “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang berlangsung meriah 

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert mega yang julung-julung kalinya diadakan, Konsert Wali X Setia “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang anjuran Orange International (OI) telah berjaya menghiburkan peminat-peminat muzik khususnya di sebelah Utara.

Rencana yang mulanya membawakan satu kumpulan pop popular Indonesia (Wali Band) dikejutkan dengan penambahan satu lagi kumpulan pop (Charly Setia Band).

Disamping itu, penonton turut disajikan dengan persembahan oleh penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang tular dengan lagu Dawai selain kemunculan penyanyi popular Malaysia, Saixse dan juga Khai Bahar.

CEO & Pengasas Orange International Datuk Fadzli Idrus berkata, pada mulanya, hanya Wali sahaja yang akan menjadi main act, tetapi seakan bulan jatuh ke riba apabila Charly Setia pula berminat untuk turut serta menjayakan konsert berkenaan.

“Bonus tidak ternilai buat siapa yang menontonnya kerana kami menawarkan tiket pada harga yang sama,” katanya.

Konsert yang bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang menyaksikan Wali mempersembahkan 12 buah lagu hit mereka seperti Cari Jodoh, Ada Gajah Di Balik Batu, Si Udin Bertanya, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan lain-lain.

“Terima kasih buat semua peminat kami di Malaysia yang hadir menyaksikan Wali beraksi, kamu semua adalah yang terbaik.

“Kami sangat berbesar hati dapat menghiburkan anda semua dan ‘asyik’ dengan sing-along bersama-sama kami,” kata Vokalis Wali, Faank.

Manakala Charly Setia menyanyikan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Sampai Mati, Jangan Pernah Berubah dan Asmara serta banyak lagi.

Seterusnya, malam konsert menjadi gamat apabila penyanyi Fadhilah Intan menyanyikan lagu Dawai yang ditunggu-tunggu ramai.

Lebih istimewa apabila dia turut menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Malam konsert bertambah hangat apabila giliran Saixse pula muncul di pentas dengan menyanyikan lagu Malam Pagi yang dinyanyikan bersama oleh semua penonton yang hadir.

Kemudian, Khai Bahar pula muncul di pentas membawakan lagu Luluh, Bayang, Oh Wanita dan sebuah lagu bonus, Lemas.

Rata-rata penonton yang hadir mengenakan baju berwarna hijau yang menjadi tema pada malam konsert sebagai tanda sokongan terhadap program Eco-Schools yang disarankan oleh kerajaan.

“Terima kasih kepada semua pembeli tiket dan penonton yang hadir menggamatkan konsert, sekali lagi saya selaku pihak penganjur bersama-sama MN berterima kasih kepada pembeli-pembeli tiket awal yang memahami dengan pertukaran tarikh dan ‘kejutan’ ini,” kata Fadzli lagi.

17 kumpulan sertai pertandingan memasak bubur lambuk Menara Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan kehangatan bulan Ramadan Al-Mubarak yang bakal tiba, Menara Kuala Lumpur telah menganjurkan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk.

Acara itu telah menyaksikan penyertaan bersemangat daripada 17 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada empat tukang masak yang mahir.

Pertandingan tahun ini menampilkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Masjid/Surau.

Manakala, panel juri pula terdiri daripada chef terkenal iaitu Chef Selebriti Zaidah Mohd Noor, Chef Yang Jamil, dan Chef Eksekutif dari ARAS Restaurant KL Tower, Chef Musa.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad berkata, tujuan utama penganjuran pertandingan itu adalah untuk memperkenalkan juadah Bubur Lambuk, sebagai satu masakan tradisional yang perlu dihargai, terutamanya kepada golongan generasi muda.

“Kami mahu memastikan ianya tidak dilupakan dan kekal sebagai sebahagian daripada masakan warisan di tengah-tengah era kemodenan hari ini.

“Acara ini tidak hanya sekadar pertandingan ia adalah peluang untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa menyelami sejarah tentang kaedah memasak bubur lambuk.

“Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai resipi menarik yang disediakan oleh tukang masak,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pada majlis sama Menara Kuala Lumpur telah menjemput anak-anak yatim dan asnaf (mereka yang layak menerima zakat) daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.

Menara Kuala Lumpur turut menyerahkan sedikit sumbangan Kewangan kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.

Sumbangan CSR tidak terhenti di situ, kerana bubur lambuk yang baru dimasak juga telah diedarkan kepada penerima yang layak.

Pertandingan itu berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di mana kesemua pasukan yang menang membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM12,000.

‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ angkat kisah misteri dan seram sebuah keluarga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hantu Penanggal sememangnya antara jenis hantu yang sangat menyeramkan dengan pelbagai kisah yang sering diceritakan.

Kisah seram mengenai Hantu Penanggal itu memberi ilham kepada syarikat produksi Seven Skies Motion Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem seram berjudul Trinil:Kembalikan Tubuhku.

Menariknya, filem berkenaan diterbitkan di negara jiran, Indonesia dan lebih istimewa lagi Hanung Bramantyo yang terkenal dengan filem-filem cinta telah dipilih sebagai pengarah.

Penerbitnya, Azlin Hilda Abdul Latif berkata, ini adalah filem sulung terbitan syarikatnya dan Indonesia dipilih kerana melihat pasaran di sana yang begitu luas.

“Saya melihat kalau terbit filem di Malaysia dan meskipun mendapat sambutan hangat, agak sukar untuk memasuki pasaran Indonesia, namun filem-filem Indonesia pula selalu mendapat tempat dalam kalangan penonton di Malaysia.

“Menerusi perancangan yang dilakukan, meskipun diterbitkan di Indonesia, saya akan tetap memasarkan filem berkenaan di negara sendiri,” katanya.

Mengenai pemilihan naskhah Trinil untuk dijadikan filem, Azlin memberitahu ia adalah inspirasi daripada sebuah drama radio yang cukup popular dan viral sekitar 80-an di Indonesia.

Azlin berkata, apabila pihaknya mahu menerbitkan sebuah filem seram, dia melihat drama radio Trinil memang menjadi kegemaran pendengar.

Dalam pada itu, mengenai pemilihan Hanung selaku pengarah, Azlin berkata, ia semua berlaku di luar jangkaan.

“Sebenarnya, projek syarikat saya bersama Hanung adalah naskhah cinta, namun ia terpaksa ditangguhkan atas beberapa faktor membabitkan watak hero filem, manakala ketika itu pula semua persiapan penggambaran sudah dibuat.

“Tidak mahu membuang masa, Hanung memberikan idea untuk membuat sebuah filem seram setelah dia ditawarkan pemilik hak cipta Trinil untuk menghasilkan naskhah berkenaan.

“Kali terakhir dia buat filem seram adalah 17 tahun lalu dan dia mahu mencabar diri menerusi filem ini,” katanya.

Azlin berkata, apa yang dipaparkan bukan sekadar seram semata-mata, tetapi Hanung turut menerapkan elemen drama yang juga kekuatannya apabila menghasilkan filem-filem cinta.

Filem Trinil: Kembalikan Tubuhku dibintangi pelakon muda dan popular Indonesia seperti Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Shalom Razade, serta Wulan Guritno dan tidak ketinggalan pelakon terkenal Malaysia iaitu Fattah Amin.

Bercerita tentang Fattah Amin yang dipilih sebagai satu-satunya artis Malaysia yang membintangi filem berkenaan, Azlin melihat kredibiliti pelakon itu sebagai faktor utama.

“Ketika filem ini hendak dihasilkan, waktu itu filem Mat Kilau tengah hangat di pawagam. Hanung berasa tertarik dengan karektor Fattah dalam filem itu.

“Namun, pemilihannya bukanlah sekadar kemampuan lakonan semata-mata, tetapi popularitinya juga memainkan peranan penting dan Fattah sudah ada peminatnya sendiri di Indonesia dan menerusi filem Trinil telah membuatkan dia semakin dikenali,” kata Azlin lagi.

Mengulas penerimaan penonton filem itu sejak ditayangkan di Indonesia pada 4 Januari lalu, Azlin bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

“Kalau di Indonesia mereka mengira dari suduh jumlah penonton, berbanding di Malaysia yang menggunakan jumlah kutipan jualan tiket.

“Berdasarkan perkiraan saya dan produksi, Trinil: Kembalikan Tubuhku berjaya meraih jumlah jualan tiket sebanyak RM11 juta dan sudah ada tawaran pihak dari negara Vietnam untuk ditayangkan di sana,” katanya.

Sementara itu, Hanung berkata, populariti drama radio berkenaan juga antara faktor yang menjadikan Trinil: Kembalikan Tubuhku perlu diangkat menjadi sebuah filem.

Katanya, dia bersama penulis skrip Haqi Ahmad telah mengolah idea serta menghasilkan jalan cerita untuk filem terbaharu arahannya.

“Pertama kali mendengar drama radio berkenaan, ia sudah menimbulkan perasaan seram terhadap diri saya.

“Misalnya dialog ‘Trinil, Balekno Gembungku’ yang diungkapkan salah satu watak dalam drama radio itu cukup menyeramkan buat diri saya.

“Apa yang boleh dikatakan, saya memang cukup optimis bahawa filem ini menampilkan sebuah genre seram yang berbeza,” katanya.

Selain membariskan pelakon-pelakon muda serta berpengalaman, Hanung turut memberi pujian kepada lakonan Fattah Amin yang juga satu-satunya pelakon dari Malaysia untuk naskhah terbaharunya itu.

“Setiap barisan pelakon yang dipilih telah menjayakan watak yang diberikan dengan begitu baik sekali.

“Malah, kali pertama bekerjasama dengan Fattah Amin, saya cukup kagum dengan dirinya dan lakonannya juga memang diluar jangkaan saya,” katanya.

Filem Trinil: Kembalikan Tubuhku sudahpun menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia sejak 22 Februari lalu.

Lebih istimewa lagi, penyanyi popular iaitu Aina Abdul telah diberi peranan untuk menyanyikan lagu OST filem berkenaan berjudul Kasih Merintih.

SINOPSIS

Trinil: Kembalikan Tubuhku mengisahkan pasangan suami isteri, Rara (Carmela Van De Kruk) dan Sutan (Rangga Nattra) memulakan hidup baharu setelah berkahwin.

Rara mewarisi sebuah ladang teh yang terletak di Jawa Tengah, manakala Sutan pula menjadi jururawat di hospital.

Pada suatu malam, Rara mengalami gangguan mistik. Risau akan terjadi sesuatu perkara yang lebih buruk, Sutan meminta bantuan Yusuf (Fattah Amin) untuk menangani gangguan berkenaan.

Pada mulanya, Rara menolak cadangan suaminya itu. Namun, berlaku lebih banyak kejadian aneh dan menyeramkan.

Lebih menakutkan hantu kepala tanpa tubuh muncul dengan permintaan, ‘Trinil, Kembalikan Tubuhku’.

Feel Da Starz cari anak Felda yang berbakat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program pencarian bakat Feel Da Starz (FDS) yang julung kali diadakan adalah program realiti yang mempertandingkan bakat-bakat nyanyian untuk komuniti Felda.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada komuniti Felda yang berusia dari 18 hingga 30 tahun dan bakat mereka akan dikembangkan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Setiap peserta yang menyertai  pertandingan ini akan melalui proses penyingkiran di beberapa siri jelajah Felda sebelum mereka mara ke peringkat akhir yang akan di adakan pada Hari Peneroka Felda 2024 (HPF24) 12 hingga 14 Julai di MAEPS, Serdang.  

Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyediakan platform dan mengilap bakat yang sedia ada disamping dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi keluarga peserta di Felda.

“Program ini akan berlangsung selama 5 bulan bermula dari bulan Mac ini. Ujibakat secara online akan mula dibuka di  https://segalanyafelda.com/feel-da-starz/ bermula 1 Mac dan akan ditutup pada 30 Mac.

“Seramai 40 peserta akan di pilih dari penyertaan secara online di mana mereka yang tidak dapat hadir ke lokasi boleh menghantar video berdurasi 1 minit.

“Mereka akan menjalani sesi pembelajaran vokal dan persembahan di ISEF, Bangi (Institut Semarak Felda) dengan tenaga pengajar profesional.

“Penyertaan terbuka kepada semua yang berumur 18 hingga 30 tahun dan buat permulaan ini hanya penyertaan solo yang dibenarkan.

“Sebarang maklumat lanjut boleh layari laman web www.segalanyafelda.com,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, hari ini.

Hadiah Utama Pemenang FDS bakal menerima wang tunai RM10,000, tempat kedua RM7,000 dan tempat ketiga RM5,000.

Juara juga berpeluang untuk merakamkan sebuah album single beserta trofi.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif program FDS ini adalah Fadzliniza Zakaria yang berpengalaman dalam penerbitan program-program realiti di TV3 dan Astro. 

Dengan majlis pelancaran ini, ia menandakan evolusi Felda, sebagai jenama gaya hidup untuk orang ramai.

Pada majlis sama, Felda turut melancarkan laman web www.segalanyafelda.com. Tujuan laman web itu diwujudkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti yang bakal berlangsung menjelang Hari Peneroka Felda 2024 pada Julai nanti.

Maklumat berkaitan pertandingan Feel Da Starz dan aktiviti lain juga turut dimuatkan untuk memudahkan akses orang ramai bagi mendapatkan maklumat.

Karnival Segalanya Felda meraikan 10 tahun Menara Felda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sempena meraikan 10 tahun teguhnya Menara Felda, Lembaga Kemajuan tanah Persekutuan (Felda) mengadakan Majlis Pelancaran Karnival Segalanya Felda.

Objektif karnival itu diadakan bagi menghimpunkan, menyantuni dan menyampaikan maklumat kepada warga Felda dan orang ramai selain mengukuhkan kerjasama antara agensi dan syarikat korporat. 

Idea penganjuran itu dicetuskan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dimana beliau berhasrat semua aktiviti keusahawanan, kebudayaan, makanan dan semua produk keluaran Felda diketahui oleh masyarakat.

“Karnival ini adalah aktiviti awal bagi Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 (HPF24) yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Julai di MAEPS, Serdang.

“Melalui pelancaran ini, Felda kini berkembang maju serta berdaya saing dari segi gaya hidup dan kepelbagaian sumber pendapatan sampingan,” katanya pada majlis pelancaran karnival berkenaan, semalam.

Bersempena 10 tahun Menara Felda, ruang di Kawasan Platinum Park digunakan dan dijadikan tempat menarik untuk dilawati dengan aktiviti seperti jualan produk dan makanan, foodtruck, aktiviti persembahan dan pelbagai lagi.

Pada majlis sama turut diadakan pelancaran galeri Felda di lobi utama serta pelancaran bilik Sekretariat Hari Peneroka Felda 2024 di B1, Menara Felda. 

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, penganjuran Karnival Segalanya Felda ini sejajar dengan matlamat jangka panjang Felda ke arah pembentukan komuniti lestari di mana usahawan dan peneroka mampu menghasilkan pendapatan lain selain dari hasil ladang.

“Matlamatnya adalah untuk memberi pendedahan kepada lebih ramai orang berkaitan hasil keluaran produk berkualiti.

“Seterusnya menggalakkan pelabur berpotensi bekerjasama serta mendapat banyak peluang yang ditawarkan oleh Felda dan anak syarikatnya. 

“Persediaan awal Karnival Segalanya Felda ini memberi gambaran awal kepada Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 yang dijangka menarik 500,000 pengunjung dari seluruh negara dengan lebih 37 acara akan diadakan pada karnival itu daripada pesta makanan, kepada pertandingan bakat yang akan memberikan cerita kembali kepada peneroka Felda dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, Hala tuju baharu Felda ini akan terus berinovasi bagi mencipta lebih banyak peluang dengan memastikan kehidupan dan kesejahteraan warga peneroka serta kesinambungan generasi baru Felda kekal terjamin.

Pengajian fleksibel buka peluang lebih luas kepada pelajar

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan digalakkan mengambil langkah proaktif dalam usaha mengubah dan membentuk generasi masa hadapan menerusi pendidikan tinggi dengan penawaran program akademik lebih fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam dunia bergejolak, tidak pasti, kompleks dan tidak jelas (VUCA) ini, gaya hidup dan kerja bukan lagi berjalan secara konvensional di mana dunia pendidikan turut tidak terkecuali.

Katanya, dalam mendepani era serba mencabar ini, mod pengajian yang lebih ‘mesra pengguna’ adalah diperlukan.

“Dijangkakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada masa akan datang tidak lagi bersifat konvensional yang mana pelajar menghabiskan masa selama tiga ke empat tahun secara terus-menerus untuk mengikuti sesuatu program.

“Perkara itu mungkin berubah dan pelajar akan diberikan pilihan bila mereka akan bergraduat, namun penawaran mod sebegini menuntut transformasi secara holistik daripada IPT tempatan untuk menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan kepada pengurusan dan ahli akademik UPT negeri Pahang 2024 bertajuk ‘Cabaran Masa Depan dan Pembelajaran dalam Pendidikan Tinggi’ di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, IPT perlu bersedia dalam menghadapi senario berkenaan dan dalam konteks ini, MQA telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu merealisasikan agenda terbabit.

Beliau berkata, dengan menyediakan panduan kursus bersifat ‘micro-credential’ dan menggalakkan pengajian sepanjang hayat menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), pengajian fleksibel boleh dijadikan realiti.

Katanya, beliau yakin ramai dalam kalangan anak muda serta masyarakat akan mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan sijil akademik yang dihajati dan pada masa sama boleh merancang struktur dan tempoh pengajian mereka.

“Pilihan seperti ini wajar diberikan kepada pelajar sekiranya IPT tempatan mahu bersaing di persada nasional dan global seterusnya menyaksikan kualiti pendidikan masyarakat kita meningkat.

“MQA menjangkakan fenomena ini akan berlaku sama ada kita suka atau tidak.

“Justeru IPT perlu bersedia untuk berhadapan situasi ini menerusi inovasi pendidikan bagi merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, sekiranya tidak bersedia menyediakan fleksibiliti sedemikian, dikhuatiri IPT tempatan tidak mampu bersaing di peringkat antarabangsa kerana ada universiti luar negara yang sudah menawarkannya.

“Dengan mod PdP yang kini lebih bersifat digital, IPT tempatan boleh memasarkan program akademik mereka ke pasaran antarabangsa secara lebih meluas dan tanpa sempadan.

“Pelajar antarabangsa pula mungkin sudah tidak perlu berada sepenuh masa di Malaysia, sebaliknya boleh menyambung pengajian secara dalam talian,” katanya.

Lelaki temui ajal selepas ubah bentuk ‘senyuman’

editormaxinfo@gmail.com

HYDERABAD – Seorang lelaki meninggal dunia semasa menjalani pembedahan untuk mengubah bentuk ‘senyuman’ menjelang perkahwinannya minggu lalu.

Memetik laporan NDTV, polis berkata, mangsa, Laxmi Narayana Vinjam, 28, meninggal dunia ketika menjalani prosedur itu di Klinik Pergigian Antarabangsa FMS di sini, pada 16 Februari lalu.

Bapa kepada Laxmi Narayana Vinjam, Ramulu Vinjam mendakwa, anaknya meninggal dunia akibat dos bius yang berlebihan.

Menurutnya, selepas anaknya pengsan semasa pembedahan, kakitangan menghubunginya dan memintanya datang ke klinik.

“Kami bergegas membawanya ke hospital berhampiran, di mana doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

“Dia tidak mempunyai masalah kesihatan, doktor bertanggungjawab atas kematiannya,” katanya.

Pegawai balai polis tempatan, K Venkateshwar Reddy berkata, Laxmi Narayana datang ke klinik itu pada jam 2.30 petang, 16 Februari lalu.

“Kira-kira jam 4.30 petang, dia dibawa ke dewan bedah dan prosedur berjalan hampir dua jam.

“Sekitar jam 7 malam, mereka menghubungi bapanya dan dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Apollo di Jubilee Hills, di mana dia disahkan meninggal dunia,” katanya.

Laxmi Narayana bakal berkahwin pada bulan depan. Kes jenayah itu difailkan terhadap klinik berkenaan kerana kecuaian.

Menerusi laman web FMS International, klinik itu mendakwa sebagai klinik pergigian paling banyak dianugerahkan di India sejak 2017, dengan lebih daripada 55 anugerah. -Agensi

Bunkface mendedahkan single terbaru mereka ‘Hilang’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan sensasi punk rock Malaysia, Bunkface, bersedia untuk memukau penonton sekali lagi dengan penerbitan single terbaru mereka, ‘Hilang’, yang telah dilancarkan pada 9 Februari lalu.

Lagu berkenaan akan tersedia di semua platform streaming digital utama.

Selepas kejayaan lagu-lagu hit terdahulu mereka, Bunkface kembali dengan Hilang, single keempat dari album terbaru mereka yang dinantikan dengan penuh kerinduan, yang dijadualkan untuk dikeluarkan pada tahun ini.

Dengan vokal yang kuat dan instrumen yang dinamik, Hilang berjanji untuk menjadi tambahan yang menarik dalam repertoar Bunkface.

Kredit komposisi untuk Hilang adalah milik Sam, Youk, Paan, Biak, Epul, dan Ajam, dengan Sam mengambil alih penerbitan lirik.

“Tanpa Allah pasti hilang arah tuju kehidupan,” kata Sam mengenai pesanan disebalik lirik lagu yang boleh dikatakan berunsur ketuhanan itu.

Dikeluarkan di bawah bendera Bunkface Production Sdn Bhd, single ini menandakan satu lagi capaian penting dalam kerjaya gemilang kumpulan ini.

Peminat boleh menjangka keghairahan dan semangat yang menjadi ciri khas Bunkface dalam muzik mereka, apabila Hilang membawa pendengar dalam perjalanan melalui emosi yang tulen dan melodi yang memukau.