KUALA LUMPUR – Alternate Records & Talents, label rakaman di bawah naungan Media Prima Berhad, kini mencari bakat baharu bagi kumpulan wanita melalui uji bakat atas talian.
Jika anda mempunyai bakat terpendam dan ingin menceburkan diri dalam bidang hiburan tanah air, jangan lepaskan peluang untuk menyertai uji bakat istimewa ini bermula 27 Februari hingga 8 Mac 2024.
Selepas kejayaan mempamerkan bakat-bakat penyanyi wanita yang berkebolehan antaranya Puteri Khareeza, Marsha Milan dan Shiha Zikir, Alternate Records & Talents kini ingin mencari lebih ramai bakat baharu wanita untuk memeriahkan lagi industri seni tanah air.
Pencarian kumpulan wanita ini bertujuan untuk menampilkan individu yang bukan sahaja mempunyai bakat vokal berkualiti dan persembahan yang luar biasa, tetapi juga mempunyai karisma dan daya tarikan yang tersendiri.
Ahli yang dipilih akan berpeluang untuk mencipta lagu, merakam video muzik, dan melakukan promosi setanding antarabangsa.
Anda mungkin antara yang terpilih. Penyertaan terbuka kepada wanita berusia 18 hingga 25 tahun, mempunyai bakat dalam nyanyian dan tarian.
Kebolehan bermain alat muzik juga adalah bonus. Jangan lepaskan peluang anda untuk bersinar di atas pentas sebagai kumpulan wanita hangat yang seterusnya dengan cara memuat naik video persembahan nyanyian dan tarian yang tidak melebihi 3 minit di paparan Instagram atau Tik tok anda.
Pastikan anda tag laman rasmi media sosial Instagram @alternate.my_ atau Tik Tok @alternate.rt_ serta hantar video tersebut menerusi peti mesej selewat-lewatnya pada 8 Mac 2024.
Jom ekspresikan bakat terpendam anda dan sertai uji bakat ini. Untuk maklumat lanjut tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mempersembahkan konsert “Liza Hanim 27 Years Journey In Concert” di Zepp Kuala Lumpur, penyanyi Liza Hanim kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan menghasilkan single terbarunya yang berjudul “Takdir Itu Milik Aku”.
Mengulas tentang kemunculan single terbarunya itu ia adalah runut bunyi (OST) bagi drama yang dinantikan iaitu “Takdir Itu Milik Aku” yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Lagu telah dikeluarkan di bawah syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia.
Liza berkata, lagu “Takdir Itu Milik Aku” adalah cerminan tentang perjuangan dan pengorbanan seseorang yang pada akhirnya harus akur menerima takdir yang telah ditetapkan.
“Sebagai manusia biasa, kita diuji dengan pelbagai dugaan dan segala penderitaan dan pengorbanan adalah sebahagian dari takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Akhirnya, kita harus menerima dan berserah kepada-Nya,” katanya.
Keputusan untuk menyanyikan lagu ini tidak memerlukan masa lama buat Liza, kerana melodi dan liriknya sangat memikat hatinya sejak awal lagi.
Liza juga menjelaskan bahawa makna lagu ini mudah difahami dan boleh dikaitkan dengan pendengar apabila mendengarnya.
“Saya memutuskan untuk merakam lagu ini kerana melodi dan liriknya sangat unik dan enak didengar. Bahagian chorus yang mudah dan catchy membuatkan saya mudah mengingati.
“Sekali gus, membuatkan lagu ini semakin istimewa buat saya. Meskipun ada berbagai cabaran dalam proses menghasilkan lagu ini, namun ia adalah hasil kerja yang sangat berbaloi,” katanya.
Drama “Takdir Itu Milik Aku” mengisahkan tentang Dian Zara, seorang gadis lurus dan bersih hatinya menumpang kasih dengan neneknya.
Manakala emak saudaranya, Kamisah tidak henti-henti menyeksa hidupnya. Dian disuruh menjadi orang gaji sebelum dipaksa kahwin. Episod duka bermula hanya kerana dia hamil anak cacat.
Drama ini dilakonkan oleh Emna Maembong, Aiman Hakim, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Mustaqim Bahadun, Datuk Fauziah Nawi, Mak Engku Farida, Naszsally, Riz Amin, dan ramai lagi.
Lagu ‘Takdir Itu Milik Aku’’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
KUALA LUMPUR – Jenama aromaterapi tempatan, Eartheories telah meraih pelbagai anugerah atas komitmen teguhnya terhadap kepakaran artisan dalam aromaterapi.
Baru-baru ini, ia telah dinobatkan sebagai ‘2023 Best Aromatherapy for Health and Wellness Products’ oleh Beauty Insider, Finalis 2023 untuk ‘Best New Skin Care Brand of the Year’ oleh Luxury Deluxe Awards, dan ‘2023 Best Pure Essential Oils’ di Natural Health Reader Awards.
Sejak tahun 2020, Eartheories telah menjalani proses yang rapi bagi memastikan setiap produk dihasilkan secara teliti dengan bahan-bahan yang berkualiti dari sumber tempatan.
Dengan menampilkan aroma Malaysia yang unik dan asli seperti minyak pati grapefruit lemongrass dan kaffir lime yang terlaris, Eartheories berjaya mencuri perhatian dalam kalangan jenama antarabangsa.
Malah, ia turut menyumbang kembali kepada komuniti petani tempatan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Eartheories, Fadz Subari berkata, Eartheories berusaha untuk mengekalkan asal usul jenama mereka dengan menggunakan tanaman tempatan dalam setiap produk mereka.
Usaha ini sinonim dengan permulaan mereka dari sebuah taman kecil peribadi milik pengasas Eartheories.
“Malaysia mempunyai kepelbagaian sumber yang berkualiti dan kami ingin membudayakan ekosistem ‘agri-sanal’ (agriculture dan artisanal).
“Ekosistem ini akan memastikan setiap produk artisanal Eartheories hasil petani tempatan menyumbang semula kepada industri dan komuniti pertanian lokal secara positif dan mampan,” katanya.
Katanya, rakyat Malaysia kini semakin peka tentang produk kesihatan dan organik.
Justeru, jenama-jenama perlu mengeluarkan produk aromaterapi yang bukan sahaja bermutu tinggi, malah dikawal selia dan selamat digunakan, khususnya produk yang digunakan secara langsung pada kulit.
Misi Eartheories bukan hanya untuk mematuhi amalan dan peraturan standard, tetapi juga mendukung inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang terbaik.
Sebahagian besar inisiatif Eartheories bergantung pada ladang tempatan mereka yang disokong oleh kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Pertanian Malaysia.
Selain itu, Pusat Penyelidikan Produk dan Ubat Semula Jadi (CENAR) Universiti Malaya turut menyumbangkan kemudahan mereka bagi menyokong pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Eartheories untuk merumus dan menginovasi produk mereka.
Melangkah ke hadapan, Eartheories beraspirasi melebarkan kejayaannya dengan menerapkan sumber semula jadi dari Malaysia yang terbaik dan berkualiti ke dalam rangkaian aromaterapi artisannya.
Komitmen ini akan diperkukuh lagi dengan kerjasama jenama-jenama global bagi mencipta produk buatan Malaysia yang bertaraf dunia.
PULAU PINANG – Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas dihiburkan dengan persembahan mantap kumpulan legenda terkenal, Wings.
Aksi pembukaan konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter dengan persembahan ala teaterikal disambut dengan jeritan hangat peminat yang tidak sabar menanti persembahan kumpulan rock otai itu.
Apabila Datuk Awie, Eddie, Black, Edrie serta Syam melangkah masuk ke pentas utama, penonton semakin menggila dan Wings pun mula memacu langkah memulakan persembahan dengan lagu Romania, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing.
Deretan lagu popular seperti Bujang Senang, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru, Sayap Ilusi, Hukum Karma, Ingatkan Dia, Rantai, Nurnilam Sari, Opera Hidup, Awang Trasher dan Lipas Kudung membuatkan penonton tenggelam dalam kelunakan vokal memukau Awie yang dilengkapkan dengan persembahan muzik mengasyikkan semua anggota Wings.
Wings juga sempat memuatkan enam lagu popular iaitu Biarkan Berlalu, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama dalam sebuah persembahan medley.
Menariknya, Wings sempat membawakan lagu-lagu tribute yang mempopularkan nama Awie sebagai penyanyi solo iaitu Bara dan Dipenjara Janji yang turut dipersembahkan dengan lagu Like Hell, nyanyian asal kumpulan Loudness.
Wings juga tidak lupa mendedikasikan untuk saudara di Palestin, Allah Allah Aghisna diiringi dengan doa ikhlas memohon kesejahteraan mereka di sana.
Dalam pada itu, kumpulan otai itu turut berkongsi bingkisan perancangan mereka untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain.
“Insya-Allah, kami mempunyai beberapa perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain. Setakat ini, semuanya dalam perancangan dan kini, kami sudah merisik dua lokasi di bahagian sana.
“Kami mahu datang dengan kelainan dan mempunyai perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain.
“Industri muzik kita sekarang meriah dengan konsert, tetapi banyak persembahan tertumpu di kawasan Lembah Klang. Jadi, kami memilih untuk menghiburkan peminat di lokasi lain.
“Jika tiada aral, konsert bakal berlangsung di Pantai Timur dan kami menjangkakan ia bakal menjadi kenyataan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Doakan semua perancangan kami untuk membawa The Rock Emperor ke destinasi lain berjalan lancar,” kata Awie.
Dihoskan oleh penyampai radio Kool 101, Haiza, Wings The Rock Emperor Penang Chapter adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura dan Shah Alam.
KUALA LUMPUR – Bersempena Jualan Agro Madani, Selangor Day yang berlangsung di Pekarangan FAMA Point, Bandar Baru Selayang pada 23 Februari (Jumaat) lalu, ‘Suria Belanja Makan’ dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendapat sambutan meriah dengan menampilkan barisan penyampai Suria seperti Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Rara, Chiwan, dan DJ Lin.
Acara yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu telah diserikan lagi dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Hijjaz, persembahan tarian tradisional, sesi soal jawab mudah bersama Suria Wheels dan barisan penyampai dimana peminat berpeluang membawa pulang barang eksklusif Suria seperti baju Suria, lanyard, beg ‘tote’, dan beberapa set kombo Agro Madani secara percuma.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada FAMA selaku penaja lokasi, atas kerjasama baik dalam menjayakan Suria Belanja Makan, juga buat pendengar yang turut hadir pada Jumaat lalu.
“Suria FM kini kembali turun padang temui peminat dengan belanja makan seramai 100 orang pendengar terawal di Jualan Agro Madani, Selangor Day bertempat di Ibu Pejabat, FAMA pada Jumaat lalu.
“Syukur segalanya berjalan dengan lancar, terima kasih kepada semua yang terbabit bagi program kali ini dan semoga kerjasama baik Suria dan FAMA seperti ini dapat diteruskan di masa mendatang,” katanya.
DJ Lin berkata, berita baik buat semua pendengar, jangan lepaskan peluang rebut RM 36,000 dengan sertai kempen Suria Kongsi Rezeki yang berlangsung sehingga 29 Mac ini.
KUALA LUMPUR – Bakal mengadakan persembahan pada Supalapa Festival yang akan berlangsung di Resorts World Awana, Genting Highlands, Sabtu dan Ahad ini, penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna bakal mengubat rindu penonton Yunaverse.
Yuna, 37, berkata dia akan menghiburkan penonton selama satu jam dan persembahan kali ini bagaikan sambungan kepada show Yunaverse yang berlangsung Oktober tahun lalu.
“Ada set lagu yang sama cuma kerana masa untuk festival pendek sikit, kita cuba untuk satukan semuanya dalam masa sejam itu.
“Ada juga penari dan saya akan bawakan lagu baru serta lama. Saya akui rasa sangat teruja membuat persembahan untuk peminat di Malaysia.
“Akan ada kejutan mungkin kepada siapa yang tak pergi Yunaverse tempoh hari, ada sesuatu untuk anda. Saya tidak boleh cerita banyak, tetapi berharap akan menjadi persembahan yang menggembirakan semua orang,” katanya.
Meskipun sering mengadakan persembahan, Yuna mengakui perasaan gementar itu tetap ada.
“Setiap kali mengadakan persembahan saya pasti gementar. Sudah 15 tahun membuat persembahan dan setiap persembahan itu ada kelainan dan keunikannya sendiri.
“Saya tidak boleh samakan kerana tidak semua orang yang sama akan menyaksikan persembahan saya. Mungkin ada yang kali pertama menyaksikan persembahan saya.
“Untuk mereka yang kali pertama, saya mahu memberikan yang terbaik dan itulah yang kadang membuatkan saya gementar, tetapi selepas itu sudah okey,” katanya.
Berkongsi cara mengatasi masalah gementarnya itu, Yuna berkata, dia sering ‘warm up’ dan makan pisang sebelum membuat persembahan kerana pisang boleh membantu menenangkan diri daripada rasa gementar.
Yuna mengakui dia kini kerap pulang ke Malaysia sejak beberapa bulan lalu.
“Saya sudah 12 tahun menetap di Amerika Syarikat. Memang banyak kali saya pulang ke Kuala Lumpur, kalau boleh mahu balik sebulan sekali.
“Selalunya setiap tiga bulan sekali saya akan balik dan Alhamdulillah, di KL banyak majlis dan jemputan. Disebabkan itu sejak Oktober saya kerap balik setiap bulan.
“Alhamdulillah, saya ambil vitamin, minum air, makan makanan sihat, saya okey dan sihat serta bersedia untuk memberi persembahan.
“Jika ada persembahan di Malaysia, kalau peluang itu bagus untuk saya, saya akan terima. Saya cari peluang untuk balik Kuala Lumpur dan buat persembahan di Malaysia.
“Bila ada tawaran dan memadai serta bagus untuk saya, saya akan ambil,” katanya.
Berkongsi pengalaman setiap festival muzik yang disertai, Yuna berkata, di luar negara dia suka melihat persembahan artis serta set up mereka.
“Seperti contoh Cocahella, ‘set up time’ mereka hanya 15 minit, macam mana mereka nak buat dalam masa yang diberikan dan ia berjalan lancar dan mudah.
“Itu sangat penting dan saya berharap satu hari nanti kita di Malaysia akan begitu kerana kita ada banyak bakat. Banyak penata bunyi dan teknikal yang berkebolehan dan saya akan lantik orang yang sama.
“Generasi sekarang sangat banyak yang berbakat dan saya suka lihat cara masing-masing menguruskan persembahan juga berlainan.
“Saya pun akan buat persembahan berlainan di setiap festival. Saya perlu jadi fleksibel kalau buat persembahan di festival. Festival adalah satu tempat untuk kita belajar dan bergembira, tidak perlu tertekan untuk kelihatan sempurna,” katanya.
Yuna berkata, festival mempunyai vibes yang berbeza apatah lagi jika mendapat penonton baru mereka pastinya mahu mendengar lagu yang lebih meriah.
“Satu-satunya lagu yang saya akan nyanyikan di festival dan saya rasa best ialah Forever More. Lagu itu sangat-sangat festival untuk saya,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pencarian 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia kini bermula selepas pelancaran program anugerah berprestij, Enterprise 50 atau lebih dikenali sebagai Anugerah E50 oleh SME Corp. Malaysia.
Program Anugerah E50 2024 dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ telah dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedict.
Berlangsung di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral, anugerah berkenaan mula diperkenalkan pada tahun 1997.
Anugerah E50 telah mendapat pengiktirafan industri sejak dua dekad yang lalu sebagai salah satu platform yang berkredibiliti dan menjadi rebutan bagi melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan.
Meraikan tahun ke-24 penganjurannya, Anugerah E50 yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini dianjurkan bersama oleh SME Corp. Malaysia dan Deloitte Malaysia, dengan kerjasama daripada rakan strategik seperti YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIATV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Malaysia SME, Telekom Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad.
Ewon Benedick dalam ucapannya menekankan kepentingan kelestarian serta amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan PMKS.
“Melangkah ke hadapan, PMKS perlu melengkapi operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian melalui penerapan amalan ESG iaitu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus.
“Sehubungan itu, selain anugerah khas sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50, satu Anugerah Khas Baharu akan diperkenalkan di bawah Program Anugerah E50 pada tahun ini iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50.
“Anugerah ini diperkenalkan bagi memperakui Syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan,” katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran Anugerah Enterprise 50 2024 ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy.
Sementara itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Panglima Bernard Giluk Dompok dalam ucapannya berkata sehingga kini, Program ini telah menarik seramai 2,225 peserta dan telah mengiktiraf 763 pemenang.
“Daripada pemenang E50 yang lalu, sebanyak 67 syarikat telah berjaya disenaraikan dalam pasaran modal, yang menambah lagi prestij Anugerah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy berkata, anugerah ini telah berjaya mempromosi dan menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global dalam semangat keusahawanan sejati selain meningkatkan penampilan syarikat.
“Anugerah E50 tahun ini amat signifikan dalam mengiktiraf PMKS yang berdaya tahan terutamanya dalam mengharungi ekonomi global yang makin mencabar.
“Bagi tahun ini, syarikat perlu mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan Insentif PMKS (MyBPI) sebelum tarikh tutup pada 30 Jun 2024,” katanya.
Syarat kelayakan Anugerah E50 adalah:
-Memenuhi definisi PMKS dan diperbadankan di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 40 peratus ekuiti tempatan.
-Mendapat penarafan 4 dan 5 bintang di bawah SCORE.
-Tidak disenaraikan di Bursa Malaysia.
-Mempunyai penyata kewangan beraudit 3 tahun terkini.
-Anak syarikat tidak layak jika Syarikat Induk mengambil bahagian.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anugerah E50, layari laman sesawang, www.e50.com.my.
BARCELONA – Jenama teknologi global HONOR memperkenalkan strategi semua senario inovasinya dengan melancarkan pengalaman silang OS berkuasa kecerdasan buatan (AI) dan antaramuka pengguna berasaskan niat di pentas Kongres Dunia Mudah Alih (MWC 2024), baru-baru ini.
HONOR turut melancarkan HONOR Magic6 Pro di peringkat global bersama komputer riba AI terbaharu HONOR MagicBook Pro 16.
Kedua-dua peranti terbabit dilengkapi platform tahap AI HONOR yang mempertingkatkan pengalaman pengguna dengan menumpu terhadap pemerkasaan berpusatkan manusia.
Selain itu, HONOR memperkenalkan peranti pintar yang dibangunkan dengan kerjasama rakan kongsi global.
Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Device Co., Ltd, George Zhao berkata, ketika kita melangkah ke era AI, HONOR berkomited untuk mencipta inovasi berpusatkan manusia yang menyediakan pengalaman lancer dan terbuka bagi memenuhi permintaan pengguna selain menyelesaikan masalah mereka.
“Kami berbangga mengumumkan pelancaran global telefon pintar dan komputer riba AI baharu HONOR yang mana peranti ini merevolusikan pengalaman pengguna menerusi kemampuan AI yang termaju dalam industri, sambil merentas sempadan dalam interaksi antara manusia dan peranti,” katanya.
Teroka Keajaiban AI dengan HONOR Magic6 Pro
HONOR Magic6 Pro adalah model terkini dalam flagship Siri HONOR Magic dan tampil dengan kecanggihan dalam fotografi, paparan, prestasi, dan pengalaman pengguna berkuasa AI.
Sejajar dengan komitmen dalam mengeluarkan inovasi yang berpusatkan manusia, HONOR memperkenalkan sistem operasi Android terbaharu MagicOS 8.0.
Sistem ini menggabungkan sepenuhnya platform tahap AI HONOR dan mengetengahkan UI berasaskan niat yang pertama dalam industri.
HONOR sedang mengubah pengalaman pengguna dengan memperkenalkan pelbagai kaedah serba baharu untuk manusia berinteraksi dengan peranti pintar mereka.
HONOR Magic6 Pro menawarkan pengalaman lebih peribadi dan intuitif kepada pengguna menerusi Magic Capsule dan Magic Portal.
Hanya dengan menyentuh pada banner pemberitahuan di bahagian atas skrin akan membesarkan Magic Capsule, seterusnya memaparkan maklumat tambahan dan pilihan berkaitan.
Ciri ini membolehkan pengguna mengakses maklumat penting tanpa perlu melayari beberapa aplikasi, sekaligus meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Magic Portal pula adalah ciri yang dikuasakan oleh AI bagi memahami mesej dan tingkah laku pengguna. Ciri ini mengubah tugas kompleks menjadi ringkas dengan hanya satu langkah.
Sebagai contoh, AI Magic Portal segera mengecam alamat dalam mesej teks dan membawa pengguna terus ke Google Maps untuk navigasi mudah.
Bagi media sosial seperti TikTok dan Facebook, Magic Portal juga memudahkan akses dan perkongsian maklumat. Pengguna boleh menghantar butiran tempahan atau carian online dengan seret yang mudah.
Selain itu, Magic Portal meningkatkan pengalaman membeli-belah dengan membawa pengguna ke platform untuk mencari dan membeli barang diingini.
Menerusi bekerjasama HONOR dengan rakan kongsi dan pembangun aplikasi, Magic Portal dapat menyokong lebih 100 aplikasi paling kerap digunakan pengguna di seluruh dunia.
Ini bagi memudahkan pengguna menggunakan sepenuhnya potensi Magic Portal dengan aplikasi kegemaran mereka.
Inspirasi Amalan Kecerdasan Buatan
HONOR aktif bekerjasama dengan rakan industry untuk membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai.
Sebagai preview peluang masa depan yang berpotensi, HONOR memperkenalkan AI dalam peranti dengan LlaMA 2 open-source di dalam HONOR Magic6 Pro.
Ciri ini bagi menyelesaikan beberapa fungsi seperti soalan, jawapan, penciptaan teks, dan pemahaman bacaan di persekitaran luar talian.
Kolaborasi seperti ini di dalam industri membuka masa depan yang lebih imajinatif untuk pengguna.
Dalam pada itu, HONOR turut menunjukkan kemungkinan penjejakan mata pada telefon pintar pada masa depan dengan mengawal kereta secara hands-free menggunakan sistem penjejakan mata berkuasa AI HONOR Magic6 Pro.
Konsep yang masih di peringkat eksperimen ini menunjukkan bagaimana interaksi antara telefon pintar pertingkat AI dan kenderaan melampaui kawalan skrin atau suara.
Nikmati Pengalaman Fotografi Sukan Profesional dengan Sistem Kamera Falcon HONOR Berkuasa AI
Memandangkan pelbagai temasya sukan bakal dianjurkan sepanjang tahun ini, HONOR menjadikan fotografi sukan sebagai keutamaan.
HONOR Magic6 Pro dilengkapi Sistem Kamera Falcon HONOR dengan tangkapan kelajuan dan gambar lebih jelas yang dipertingkatkan.
Sistem kamera ini dikuasakan dengan AI yang mempunyai pangkalan data 28 kali ganda lebih besar dari generasi sebelumnya.
HONOR AI Motion Sensing Capture adalah algoritma tangkapan AI canggih yang mampu meramalkan dan menangkap momen penting dalam definisi ultra-tinggi.
Sistem kamera ini lebih canggih dari generasi sebelumnya dan mampu meliputi pelbagai aktiviti bersukan seperti melompat, menari dan seni bela diri.
HONOR Magic6 Pro peranti ideal untuk merakam momen mengujakan di acara sukan dan perlumbaan.
HONOR Magic6 Pro didatangi dengan Lensa Kamera Tele-falcon 180MP luar biasa (f/2.6, OIS) dengan zoom optik 2.5x dan zoom digital sehingga 100x.
Peranti ini mempunyai Kamera Ultra Lebar 50MP (f/2.0, EIS) dan Kamera Utama 50MP berkuasa dengan keupayaan apertur berubah (f/1.4 dan f/2.0, OIS), untuk menangkap momen pantas dengan kejelasan terbaik.
Paparan Tiada Tandingan dengan Pelindung NanoKristal HONOR
Menampilkan kaca skrin paling tahan jatuh dalam industri setakat ini, HONOR Magic6 Pro menetapkan piawaian baharu untuk rintangan jatuh paparan.
Disahkan pensijilan Keupayaan Rintangan Kaca Keseluruhan Lima Bintang SGS bagi pelbagai senario, paparan HONOR Magic6 Pro dihasilkan daripada material canggih penambahbaikan 50 peratus dalam ketumpatan kristal.
Peningkatan ini menghasilkan keupayaan penyerapan hentakan sehingga 10 kali ganda lebih besar berbanding kaca biasa.
Selain ketahanan, HONOR Magic6 Pro mempunyai Paparan Keselesaan Mata LTPO Kuasa Rendah Semua Julat 6.8-inci, Pemalapan PWM 4320Hz yang tertinggi dalam industri, Pemalapan Dinamik, Paparan Malam Sirkadia Boleh Disesuaikan dan ciri Nada Alam Semula Jadi.
Prestasi Berkuasa Didorong Inovasi Rentas Industri
HONOR Magic6 Pro dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8 Gen 3 yang membawakan peningkatan 30 peratus dalam prestasi CPU dan 25 peratus dalam prestasi GPU.
Enjin AI Qualcomm® melancarkan dan menstabilkan ciri AI dalam HONOR Magic6 Pro, seterusnya mencapai peningkatan 98 peratus berbanding model sebelumnya.
Cipset ini memberikan pengalaman permainan menakjubkan dengan kecekapan bateri selain dilengkapi kecanggihan yang mentakrifkan prestasi berkuasa.
Menyedari kepentingan jangka hayat bateri, HONOR menggunakan Bateri Karbon Silikon generasi kedua yang diinspirasikan daripada kenderaan elektrik dan cipset HONOR E1 untuk menambahbaik prestasi HONOR Magic6 Pro.
Bateri kapasiti besar 5,600 mAh ini dapat menahan suhu yang sangat rendah, malah pengguna masih dapat memainkan YouTube selama 81 minit dengan bateri pada 10 peratus di persekitaran suhu -20 darjah selsius.
Disokong pengecasan pantas 80W HONOR Wired SuperCharge dan pengecasan wayarles 66W HONOR Wireless SuperCharge, bateri HONOR Magic6 Pro mampu mencapai 100 peratus dalam masa 40 minit sahaja.
Kecanggihan teknologi bateri HONOR Magic6 Pro melayakan peranti ini menduduki tempat pertama dalam penarafan bateri global DXOMARK dengan skor tertinggi 157.
Peranti ini dianugerahkan lima label pertama DXOMARK pada tahun ini untuk kamera, audio, paparan, bateri dan keupayaan swafoto yang cemerlang.
Manfaatkan AI untuk Mencipta Pengalaman Saling Berkait Semua Scenario
Selain telefon pintar, HONOR melancarkan komputer riba berkuasa AI terbaharu, HONOR MagicBook Pro 16 yang membawakan pengalaman PC semua senario dan kolaborasi merentas OS dengan mudah.
Platform tahap AI HONOR dengan gabungan CPU dan GPU tercanggih pada HONOR MagicBook Pro 16 memudahkan pengguna berkongsi maklumat dan menyelaraskan material kepada semua telefon pintar, komputer riba dan tablet HONOR dengan mudah menerusi MagicRing.
Bagi menambah lagi pengalaman semua senario, HONOR turut mengeluarkan tablet terbaharu HONOR Pad 9 yang mempunyai Paparan FullView HONOR 12.1 inci 2.5K dengan kadar segar semula 120Hz.
Tablet ini turut dilengkapi lapan pembesar suara daripada teknologi penalaan bunyi HONOR Histen. HONOR Pad 9 menawarkan pengalaman pengguna luar biasa serta menonjol dengan reka bentuk tersendiri.
HONOR Magic6 RSR Porsche Design
Selain melancarkan telefon boleh lipat eksklusif HONOR Magic V2 RSR Porsche Design di MWC, syarikat ini turut memperkenalkan HONOR Magic6 RSR Porsche Design. Edisi khas ini turut mengetengahkan ciri-ciri Porsche Design.
Warna dan Harga
HONOR Magic6 Pro direka bagi individu yang menggemari gaya moden dan elegan. Peranti ini ditawarkan dalam warna hitam Black and hijau Epi Green pada harga 1,299 Euro (12+512GB).
HONOR Magic V2 RSR pula berharga 2,699 Euro dan boleh didapati dalam warna Agate Grey (16GB+1TB).
Manakala HONOR MagicBook 16 Pro didatangi dalam warna putih White dan hitam Midnight Black akan tersedia di pasaran mulai suku kedua 2024.
Sementara HONOR Pad 9 akan dijual pada harga 349 Euro.
ALOR SETAR – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berdukacita atas pemergian Allahyarham Datuk Md Rozai Shafian yang telah meninggal dunia semalam pada usia 69 tahun.
“Saya selaku Pengerusi, mewakili seluruh kepimpinan UMNO Negeri Kedah merakamkan ucapan salam takziah kepada isteri Allahyarham, Datin Paduka Khalijah Ghazali serta seluruh ahli keluarga.
“Sesungguhnya UMNO Negeri Kedah telah kehilangan seorang bekas pemimpin yang banyak meninggalkan jasa khususnya ketika Allahyarham berkhidmat selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan juga sebagai Ketua UMNO Bahagian Pendang dan kemudiannya selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah,” kata Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan.
Mahdzir berkata, UMNO Negeri Kedah turut merakamkan penghargaan di atas segala jasa dan bakti Allahyarham sepanjang usianya bersama kepimpinan UMNO Negeri Kedah.
Allahyarham Datuk Md Rozai pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sebelum terjun ke dunia politik untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang pada tahun 1999.
Allahyarham berkhidmat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah pada tahun 1996 hingga 1999 untuk pertama kali dan kemudiannya sekali lagi dilantik menjawat tugas itu pada tahun 2016 hingga 2018.
Pada tahun 2013, Allahyarham dilantik sebagai Speaker DUN Kedah sehingga tahun 2018.
Allahyarham menerajui UMNO Pendang selaku Ketua Bahagian bermula pada tahun 2004 hingga 2018.
“Allahyarham adalah sahabat lama saya yang dikenali lebih 30 tahun lalu. Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan para solihin,” katanya.