27.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
Home Blog Page 217

KPWKM komited galak wanita aktif bidang ekonomi dan tenaga buruh

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited dalam usaha menggalakkan wanita untuk sentiasa bergiat secara aktif dalam bidang ekonomi serta tenaga buruh.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kedua-dua bidang ini dapat membantu dalam menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

“Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini dengan tema ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’ yang memberikan penekanan kepada pentingnya membentuk budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua lapisan masyarakat sebagai usaha memartabatkan wanita di Malaysia.

“Beberapa inisiatif penting akan menjadi fokus kementerian sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa iaitu peningkatan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan, toleransi sifar keganasan terhadap wanita.

“Tidak lupa juga peningkatan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi dan penambahbaikan persekitaran bagi menjamin kesejahteraan wanita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Wacana Srikandi 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam, kelmarin.

Program wacana itu adalah platform yang unggul bagi wanita di Malaysia untuk bersatu, berinspirasi dan meraikan kehebatan mereka bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini.

Majlis itu adalah julung kalinya dianjurkan oleh SACC Convec Sdn Bhd (SCSB) menampilkan tiga usahawan berjaya yang berkongsi rahsia kejayaan mereka melalui forum yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dengan tajuk ‘Wanita Inspirasi, Ikon Berkualiti’ telah memberikan inspirasi suntikan semangat kepada tetamu yang hadir terutama dalam mengarus perdana gender.

Antara panel yang hadir ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aliza Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn Bhd Aleeya Zailan dan Penerima Anugerah Pesona Wanita Inspirasi Johor Masitah Mohd Affandy.

Selain itu, majlis turut diceriakan dengan persembahan yang memukau daripada penyanyi terkenal tanah air iaitu Anuar Zain, Syamel dan Ernie Zakri serta persembahan fesyen dengan 21 peragaan daripada House of Jedan Shah Alam dengan temanya ‘Cahaya Di Aidilfitri’.

Program Wacana Srikandi kali ini turut memberikan penghargaan kepada tiga rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, cawangan Selangor, Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dengan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah.

Tiga band Indie meriahkan showcase Hitman Group di Sunway Lagoon

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan ulang tahun ke-15 Hitman Group, anak syarikatnya, Hitman Solutions membawakan tiga gergasi indie negara iaitu Butterfingers, Hujan dan Bunkface dalam sebuah showcase paling epik tahun ini.

‘Und3rground’ yang baharu sahaja melabuhkan tirainya dengan kehadiran penonton seramai 6,000 orang di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, mereka memilih showcase Und3rground bagi meraikan tahun ke-15 penubuhan Hitman Group sebagai penghargaan kepada perjalanan perniagaan mereka.

“Dengan kerja keras yang telah diusahakan selama beberapa dekad ini ia selari dengan pengalaman band-band yang terbabit dalam showcase ini.

“Ini adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan yang telah diraih oleh pengkarya indie negara, bermula dari bawah sehingga dikenali dan disegani, disamping menyediakan platform untuk pengusaha bebas,” katanya.

Showcase yang bermula pada jam 8 malam dan berlangsung sekitar 3 jam itu menyaksikan persembahan hebat dari ketiga-tiga band indie yang beraksi bersama-sama di atas satu pentas. Showcase kemudiannya dihiburkan dengan persembahan selama 45 minit dari setiap band. 

Butterfingers yang dianggotai Loque, Emmett, Loko dan Kadax telah mempersembahkan karya-karya nostalgia mereka seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang, Garden City Of Lights dan lain-lainnya yang nyata mengimbau kenangan masa lalu.

Seterusnya, kumpulan Hujan pula yang terdiri daripada Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat mengubati rindu peminat mereka dengan lagu-lagu yang pernah mengangkat nama band berkenaan seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi.

Manakala band Bunkface yang muncul sekitar tahun 2005 menggamatkan keadaan dengan nukilan hits mereka seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan juga beberapa lagu baharu.

Rohit berkata, mereka menggabungkan showcase ini dengan sambutan ulang tahun ke-15 yang merangkumi segala aspek perkhidmatan yang disediakan, dari pengurusan acara, penerbitan acara, sehingga rangka promosi showcase, kepada pakar teknikal AV (audiovisual), pemasaran dan juga reka bentuk, bagi memberikan yang terbaik.

“Sejak 15 tahun lalu banyak memberikan pengalaman yang berharga buat saya. Saya amat bersyukur dan berbangga dengan semua yang terbabit dalam perjalanan ini, keluarga, rakan-rakan dan dedikasi dari pasukan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua hal.

“Semuanya bermula ketika saya masih lagi remaja dengan menceburi acara kecil-kecilan sehingga berkembang menjadi syarikat pengurusan acara yang menyediakan bukan sahaja perkhidmatan penerbitan acara serta melabur dalam peralatan showcase.

“Kini, kami menawarkan perkhidmatan 360 darjah untuk pakej lengkap. Saya terharu melihat tahap yang telah kami kecapi, dengan sikap yang positif dan pasukan yang betul, semuanya berhasil,” katanya.

Tahun 2024 menjadi permulaan baharu buat Hitman Group yang semakin menerajui industri pengurusan acara di negara ini.

Berkongsi perancangan seterusnya Rohit berkata, dia tidak menyangka dengan pengalaman yang ditempuhi sekarang ini.

“Pastinya kami merencanakan sesuatu yang lebih besar, lebih hebat dengan industri yang pelbagai dan berskala besar.

“Matlamat kami adalah memberikan pengalaman menakjubkan yang berterusan buat rakyat Malaysia, samada pengalaman showcase, berkongsi momen dengan yang tersayang atau sentuhan istimewa pada acara korporat, kami hanya mahu membina memori yang berpanjangan,” katanya lagi.

Pesawat AW 139 Maritim Malaysia lakukan pendaratan cemas 

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA -Sebuah pesawat helikopter AW 139 dengan no pendaftaran pesawat M72-01 melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam lebih kurang 9.55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana (M) Datuk Hamid Mohd Amin berkata, maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi.

“Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke SUMS.

“Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

“Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian. Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu Carilamat kejadian ini,” katanya.

Operasi Carilamat telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11.15 pagi.

Koleksi Lebaran 2024 ‘1001 Tales Of Ariani’ gabung elemen keselesaan, gaya dan nilai eksklusif

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen terkemuka Malaysia, Ariani dengan bangganya mempersembahkan koleksi terbarunya sempena lebaran 2024, ‘1001 Tales of Ariani’.

Tidak hanya tertumpu kepada pelancaran koleksi Lebaran 2024 ia juga turut mempamerkan inovasi dan kreativiti yang tiada tandingan dalam industri fesyen hijab dan busana Muslimah di Malaysia.

Istimewanya, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang berkenan berangkat mencemar duli ke majlis pertunjukan fesyen berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn Bhd Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip, dalam ucapannya berkata, pihaknya gembira dan bersyukur atas sokongan berterusan yang diterima dari pelanggan setia Ariani.

“Ariani begitu komitmen dalam menyediakan produk berkualiti tinggi, yang menggabungkan elemen keselesaan, gaya dan nilai eksklusif,” katanya.

Majlis pertunjukan fesyen yang bertemakan Arabic ini dibuka dengan segmen Galeri Ariani, mempamerkan lebih dari 40 koleksi hijab yang merangkumi tudung polos dan printed, dengan pelbagai rekaan seperti voile embroidery, embroidery plain, jacquard twill, koleksi popsicle, dan shawl bersulam.

Setiap koleksi direka dengan nuansa glamor dan penuh warna, menampilkan motif alam, flora, dan cetakan abstrak yang elegan dan praktikal. Segmen kedua diteruskan dengan pertunjukan rekaan dari Ariani Luxe.

Ariani Luxe adalah rangkaian koleksi hijab premium yang direka oleh pereka berkemahiran dan berpengalaman dengan sentuhan artisan yang mahir dalam mereka bentuk pola dengan perincian lace dan Swarovski eksklusif.

Kesemua koleksi tudung Ariani Lebaran 2024 ini disasarkan untuk semua wanita pelbagai peringkat usia.

Menjangkau tahun kedua penubuhan, koleksi pakaian lelaki Aryan turut menampilkan pelbagai rangkaian koleksi pakaian lelaki bermula dari kanak-kanak sehinga golongan dewasa.

Pertunjukkan fesyen pada majlis itu memperlihatkan seleksi pakaian Aryan seperti baju melayu sedondon, kurta dan jubah yang kesemuanya direka khas menggunakan produk dan material yang berkualiti serta penekanan kepada jahitan yang kemas dan terperinci.

Pertunjukan fesyen ‘1001 Tales of Ariani’ pada tahun ini masih lagi mengekalkan 3 duta Ariani iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad.

Turut ditampilkan wajah-wajah baru gandingan selebriti iaitu keluarga besar pasangan selebriti Amar Bahrin & Amyra Rosli serta Fyza Kadir sebagai wajah terbaru Ariani RTW Premium.

Segmen ARIANI RTW menampilkan 110 koleksi lebaran yang merangkumi kurung moden polos, kurung printed moden, kaftan dan jubah.

Menerusi koleksi ini, kesemua rekaan mengangkat seni cetakan dalam nuansa pastel dan vibrant yang menyerlahkan lagi imej kewanitaan pelanggan Ariani tatkala meraikan Aidilfitri serta turut mengangkat warna-warna ‘trendy’ yang menjadi pilihan ramai pelanggan pada tahun ini antaranya warna ‘Brick Orange’ dan ‘Lilac’.

Bersesuaian dengan konsep ready-to-wear, Ariani RTW mahukan setiap wanita merasai pengalaman perayaan yang istimewa dengan memperkenalkan harga mampu milik dan berbaloi untuk dimiliki disamping rekaan yang minimal dan elegan.

Istimewanya tahun ini, setiap koleksi didatangkan dengan kepelbagaian size bermula XXS sehingga 6XL.

Pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya, Ariani RTW turut melancarkan rekaan khusus bagi membolehkan ibu bergaya sedondon dengan si cilik di hari raya.

Kemuncak majlis berkenaan adalah pertunjukan fesyen dari The Premium Series by Ariani RTW yang merangkumi jubah dan abaya premium serta koleksi kurung eksklusif khusus untuk pelanggan yang gemarkan rekaan mewah dengan sentuhan eksklusif dan dijual dalam kuantiti yang terhad.

Penggunaan material berkualiti tinggi dengan pelbagai rekaan potongan yang dilengkapi dengan aksesori bertatahkan swarovski antara keistimewaan koleksi The Premium Series ini.

Mengakhiri ucapannya, Farah Haryani mengajak semua yang hadir untuk berkunjung ke House of Ariani di Kuala Lumpur dan cawangan-cawangan Ariani yang lain untuk mendapatkan koleksi lengkap Aidilfitri.

Istimewanya lagi pada tahun ini, flagship store Ariani yang terbaharu ‘House of Ariani’ akan ditransformasi dan diperindahkan dengan tema Arabic hasil sentuhan magic perunding acara terkemuka Reka Teemor khas kepada pelanggan Ariani.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh artis-artis jemputan antaranya Zizi Kirana yang mendendangkan semula lagu yang dipopularkan oleh penyanyi Arab, ‘Sabry Aleel’ sebagai tema khas kepada keseluruhan majlis pertunjukkan fesyen yang membawa tema Arab serta duet khas penyanyi tersohor negara Jamal Abdillah bersama-sama anaknya, Zaki Yamani yang mendendangkan lagu ‘Ghazal untuk Rabiah’.

Hotlink siar dokumentari autobiografi Joe Flizzow ‘This is Johan’ bersama Universal Music Group dan Viu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hotlink telah mempersembahkan siaran dokumentari autobiografi ‘This is Johan’ bersama Universal Music Group dan Viu.

Dokumentari yang meliputi dua bahagian berasingan itu mencatatkan kisah evolusi Joe Flizzow yang merangkumi jejak pemuzik rap berkenaan dalam industri muzik tanahair, serta usaha untuk menubuhkan genre hip-hop di Malaysia.

Dokumentari itu juga telah mencatat kisah asal Johan Ishak sebelum dikenali di kalangan ramai sebagai Joe Flizzow.

Filem itu mempamerkan titik peluh, kejayaan, kejatuhan dan semangat #BikinSampaiJadi Joe Flizzow yang telah dan masih memberi inspirasi kepada peminat-peminat tempatan serta pengikut hip-hop sehingga kini.

Kolaborasi tiga pihak antara Hotlink, UMG, dan Viu telah ditubuhkan sebagai usaha untuk memperkukuhkan perkembangan industri muzik di Malaysia dan memberi inspirasi kepada warga belia untuk mencapai impian mereka dalam bidang diceburi masing-masing.

Ketua Konsumer Hotlink di Maxis Rabiras Rajakrishnan berkata, sebagai penyedia penyelesaian bersepadu untuk golongan belia, mereka amat teruja untuk menggunakan peluang istimewa ini.

“Menerusi kerjasama ini kami mempamerkan semangat #BikinSampaiJadi sebagai inspirasi kepada warga belia untuk mencapai impian mereka,” katanya.

Joe Flizzow yang juga telah mewakili Hotlink sebagai salah seorang duta sejak 2022 telah berkongsi pengalaman bahawa proses perfileman dokumentari ini telah dirakam secara santai.

“Harapan saya untuk dokumentari ini tidak terhad kepada catatan kisah kerjaya saya, tetapi juga sebagai inspirasi kepada bakal artis untuk membara semangat dan merangkul kejayaan masing-masing.

“Untuk saya, ia adalah proses ‘menang atau belajar’ dan tiada istilah seperti kalah, tetapi belajar. Saya ingin penonton melihat pengalaman manis dan pahit saya dan rasa bersemangat untuk mencapai impian mereka walau apapun cabaran yang mereka akan hadapi.

“Percayalah, moment 5am inilah yang akan membentuk anda untuk menjadi seorang legenda kelak.

“Dokumentari ini menawarkan pandangan unik dalam kehidupan seseorang artis yang tidak sahaja melakarkan impak dalam industri muzik tempatan, tetapi juga perjuangan untuk memperolehi tempat dalam industri ini.

“Dokumentari ini mempunyai sesuatu untuk semua penonton, tidak kira peminat hip-hop ataupun seorang yang gemar kisah-kisah tentang daya tahan terhadap cabaran hidup dan kreativiti,” kata pemuzik rap itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Kim Lim berkata, mereka teruja untuk berkongsi dokumentari ini dengan memberi peluang penonton untuk menyaksikan kisah perjalanan Joe Flizzow yang menakjubkan serta kemeriahan industri muzik di Malaysia.

“Kisah pengalaman Joe sejak permulaan dia dalam industri muzik ini adalah bukti daripada ketekunan, titik peluh dan juga keupayaan transformasi hasil seni seperti muzik,” katanya.

Sejak 29 Februari dokumentari ‘This is Johan’ disiarkan secara khas di laman penstriman Viu.

Pengguna Hotlink boleh memperolehi kod percuma sebulan Viu Premium daripada Hotlink app untuk menonton kedua-dua bahagian dokumentari ‘This is Johan’.

Loop Music Festival himpun artis ternama

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan perjalanan muzik yang berulang-ulang, melewati masa dan zaman, Loop Music Festival bakal menghimpunkan lagenda-lagenda ikonik negara bersama pendominasi carta-carta muzik tempatan. 

Bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, festival bakal berlangsung pada 11 Mei depan dan akan diserikan dengan kepelbagaian genre muzik yang menakjubkan.

Dari nuansa mendalam pop, balada yang menyentuh jiwa, getaran hebat rock, irama Malaysia yang memperkaya warisan, kreativiti yang merdeka dari genre indie, dan sehinggalah sentuhan alunan dangdut yang mengasyikkan peminat muzik yang hadir.

Antara barisan artis terkenal tanah air yang bakal mengisi perjalanan Loop Music Festival ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, XPDC, Masdo, Insomniacks, Amelina, Noraniza Idris dan Sufian Suhaimi.

Tidak ketinggalan Aisha Retno, Ronnie Hussein, Nadeera Zaini, Usop, Lucidrari, Disko Santan (Codogg & Awyn) dan Arish Mikael. 

Loop Music Festival yang dibawakan secara eksklusif oleh RJ Sales Sdn Bhd akan berlangsung dari jam 2 petang sehingga 11:30 malam.

Penganjuran acara ini pastinya akan menjadi titik tumpuan bagi peminat muzik yang ingin menghayati nostalgia dan inovasi dalam satu acara yang epik.

Penerbit Loop Music Fest Rosix Omar berkata, fenomena penganjuran festival muzik kini menjadi satu trend yang semakin berkembang dan digemari. 

Menurutnya, adalah penting untuk merancang festival ini dengan teliti bagi memastikan kelangsungannya dalam jangka masa panjang.

“Kami begitu teliti dalam pemilihan artis, kerana barisan artis yang dipilih adalah berdasarkan tema dan konsep Loop Music Festival itu sendiri.

“Bukan sahaja mewakili era dan genre masing-masing, malah mereka ini juga barisan artis yang mendominasi carta muzik tanah air.

“Tidak dinafikan barisan artis yang ditampilkan memiliki aura dan pengaruh yang kuat dan memberi impak yang berkekalan sehingga kini,” katanya.

Rosix berkata, Loop Music Festival bukan sekadar festival muzik ‘indoor’ biasa, tetapi sebuah peristiwa yang akan mengumpulkan lebih dari 11,000 peminat muzik tempatan dalam satu tempat. 

“Dengan antusiasme yang tinggi, saya percaya bahawa acara ini akan menjadi penanda aras untuk komuniti muzik tempatan serta menjadi platform yang unggul untuk memperkenalkan bakat-bakat baru dan menonjolkan kepelbagaian genre muzik.

“Kami berusaha untuk menyajikan persembahan dan pengalaman muzik yang terbaik untuk penonton yang hadir dengan menyatukan artis-artis hebat diatas satu pentas.  

“Dengan kehadiran barisan artis yang mengagumkan dan durasi persembahan yang telah diatur, pihak penganjur yakin bahawa nilai tiket sungguh berbaloi.

“Tambah lagi, festival ini bakal diadakan di lokasi yang memberikan keselesaan kepada mereka yang hadir,” katanya.

Loop Music Fest dikuasakan oleh AirAsia dan Tune Group. AirAsia akan mengadakan karnival di perkarangan Axiata sepanjang hari konsert diadakan.

Pengunjung dapat berhibur disamping memenangi tiket-tiket penerbangan ke destinasi terpilih dan hadiah-hadiah lain dari syarikat-syarikat dibawah AirAsia dan Tune Group melalui pertandingan dan cabutan bertuah di Loop Music Festival.

Tiket-tiket berharga RM168 (Black Zone), RM178 (White Zone), RM258 (Fly Zone), RM278 (Red Zone) dan RM478 (Tune Zone) boleh dibeli di ticket2u.com.  

Gelombang ‘ungu’ meriahkan Mega Star Arena KL

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kehadiran peminat setia kumpulan Ungu yang rata-rata begitu sporting mengenakan tema ungu kelihatan meriah apabila dewan Mega Star Arena Kuala Lumpur dipenuhi dengan gelombang ungu.

Kemunculan vokalis Ungu, Pasha di pentas semakin menghangatkan suasana apabila masing-masing menjerit dan sangat tidak sabar mahu penyanyi itu terus membuat persembahan.

Nyata, Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur anjuran Icon Entertainment itu berjaya menghimpunkan seramai 5,000 peminat pada malam Ahad lalu.

Pastinya konsert ini sangat dinanti-nantikan oleh peminat Ungu di Malaysia, apatah lagi kumpulan berasal Indonesia itu mengembalikan nostalgia dengan mempersembahkan lagu-lagu hits mereka seperti Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.

Dibarisi oleh Pasha(vokalis), Enda(gitar), Oncy(gitar), Makki(Bass), Rowman(dram), kumpulan itu telah memberikan persembahan yang bertenaga malah penampilan masing-masing segak bergaya mengenakan sut demi konsert berkenaan.

Tidak sekadar menyanyi, penonton yang hadir juga sangat enjoy sambil menari dan bersorak bersama apabila lagu-lagu yang selama ini menjadi kegemaran mereka dipersembahkan pada hari konsert.

Sebanyak 30 lagu hits telah dipersembahkan dan konsert yang bermula kira-kira jam 9 malam itu membuka tirai dengan lagu Hampa.

“Setiap kali ditawar mengadakan persembahan di sini, saya tidak pernah tolak. Apabila mengadakan persembahan sambutan yang diterima selalu hangat sejak dulu hingga kini.

“Sambutan peminat di sini tidak pernah mengecewakan buat Ungu kerana itulah kami tidak pernah menolak apa sahaja tawaran persembahan yang diberikan di sini,” kata Pasha.

Lagu lain yang turut dipersembahkan ialah Percaya Padaku, Berikan Aku cinta, Cinta Gila, Sejauh Mungkin, Saat Bahagia, Aku Bukan Pilihan Hatimu, Saat Bahagia, Aku Tahu, Seperti Yang Dulu dan Dirimu untuk segmen pertama.

Pasha turut mengenang kembali saat kemunculan lagu-lagu Malaysia di Indonesia dan mempersembahkan tribute lagu Malaysia iaitu ‘Mencari Alasan’ Exist dan ‘ Di sana menanti Di Sini Menunggu’ Ukays.

Meneruskan persembahan, Ungu turut menyanyikan lagu seperti ‘Bila Tiba, Andai Ku Tahu, Berjanjilah, Untukmu Selamanya, Hati Yang Kau Sakiti, Tercipta Untukku, Kekasih Gelapku, Demi Waktu dan banyak lagi.

Persembahan demonstrasi ‘pukau’ pengunjung Karnival Maritim Perkasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA TERENGGANU – Persembahan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui teknik fast-roping diikuti letupan pyrotechnic serta pertunjukan aset laut dan udara milik Agensi ini telah memukau pengunjung yang hadir ke Karnival Maritim Perkasa 2024 di Jambatan Angkat (Drawbridge).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, persembahan yang dipertontonkan kepada umum ini adalah sebahagian tugasan yang digalas oleh pihak Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara selamat dan sejahtera.

“Peranan yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia adalah salah satu daripada 10 fungsi yang terkandung dalam Kementerian ini iaitu memelihara keselamatan dan ketenteraman awam agar negara selamat daripada segala ancaman bahaya.

“Karnival Maritim Perkasa 2024 antara platform penting untuk memberikan pemahaman kepada masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Karnival Maritim Perkasa 2024, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Pada majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan mock cheque tajaan daripada empat rakan strategik Maritim Malaysia terdiri daripada Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, AMP Corporation (M) Sdn Bhd dan KDN kepada Koperasi Maritim Berhad dalam menjayakan karnival ini.

Bertemakan “Melestarikan Warisan Maritim Negara” karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 ini turut dimeriahkan dengan forum agama, aktiviti kesenian & kebudayaan, tayangan teater, meet & greet bersama selebriti terkenal tempatan dan konsert nasyid oleh Rabbani, NowSeeHeart dan Fareez (Mentor).

Selain itu, program Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut diadakan dengan potongan harga barangan sehingga 30 peratus bagi lebih 150 barangan keperluan asas harian seperti ayam, beras, telur ayam, ikan siakap, minyak masak botol, sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain.

Karnival ini turut dimeriahkan dengan 35 reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan seperti kaunter permohonan passport Jabatan Imigresen Malaysia (APMM), kaunter derma darah dan ujian saringan kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), demonstrasi sebatan Jabatan Penjara Malaysia, pameran Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd selain hampir 100 gerai jualan produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan turut dibuka sepanjang karnival ini berlangsung.

Nostalgia Sungkei di Desa, Air Tangan Ibu sajian Restoran Santapan Ummis Hijau Kasturi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Restoran dan syarikat katering tempatan, Santapan Ummis Hijau Kasturi berbesar hati membawakan gabungan sajian desa dua negara istimewa untuk Ramadan yang bakal menjelma.

Meneruskan konsep bufet yang sudah menjadi identiti mereka, seleksi untuk Ramadan akan bermula pada 13 Mac 2023 hingga 8 April 2023.

Bertemakan Sungkei Di Desa, Air Tangan Ibu lebih daripada 45 jenis makanan gabungan hidangan Malaysia dan Brunei bakal tersedia sepanjang Ramadan.

Pemilik yang juga cef di restoran ini, Cef Fauzi dan Cef Norziah, tema berkenaan sengaja dipilih memandangkan sajian desa di Santapan Ummis Hijau Kasturi mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan pelanggan.

Selain itu, berbekalkan pengalaman mereka terdahulu berkhidmat sebagai cef peribadi Istana Nurul Iman, pelbagai jenis sajian asal Bandar Seri Begawan akan turut disajikan.

Kata pasangan suami isteri ini lagi, mereka tidak menolak ada diantara sajian bakal menggamit memori pelanggan-pelanggan mereka.

Antara menu yang bakal disajikan adalah aneka masak lemak terdiri daripada Sup Berempah Daging Tetel Dengan Roti Benggali, Punten Dengan Sambal Hijau Ikan Bilis, Ayam Masak Sambal Bawang Merah Brunei, Paru Masak Sambal Hitam Brunei, Gulai Lemak Telur Itik Dengan Belimbing, Sambal Tumis

Kampung Sotong Rendam, Telur Dadar Padang, Ikan Talapia Berlado, Ikan Kembung Bakar, Cencaru Sumbat Bakar, Mee Kari Nyonya dan banyak lagi.

Memenuhi permintaan pelanggan, kuih yang sedang tular, Punten juga akan berada di dalam senarai bufet nanti.

Menariknya, Punten ini dilengkapi bersama Sambal Hijau Ikan Bilis yang menjadi kegemaran pelanggan Santapan Ummis Hijau Kasturi.

“Alhamdulillah, sambutan berbuka di restoran kami pada tahun lalu sangat memberangsangkan. Setiap hari dipenuhi dengan pelanggan yang disayangi.

“Oleh itu, tahun ini kami memilih menu-menu desa kerana mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

“Pakai sahaja apa yang ada untuk ke sini kerana yang pasti sajian ini akan menggamit memori,” kata Cef Norziah.

Lebih menarik, konsep gerai diperkenalkan kali ini dengan hidangan panas iaitu pelbagai gorengan dan lockcing sate ikan asli Kelantan.

Bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung pula, surau tersedia di bahagian dalam restoran serta ruangan parkir yang luas di tingkat bawah premis.

Kelengkapan set audio turut disertakan bersama untuk penganjuran sebarang majlis.

Untuk promosi ‘early bird’ harga RM 50 nett untuk dewasa ditawarkan sehingga 12 Mac 2024.

Harga normal akan dicaj sebanyak RM 59.90 nett untuk dewasa dan RM25 nett ditawarkan bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah* serta warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Bagi kanak-kanak berumur 3 tahun ke bawah adalah percuma.

Selain itu, buat mereka yang ingin mencuba pelbagai jenis sambal juga boleh dapatkan di Santapan Ummis Hijau Kasturi.

Pelbagai jenis sambal tersedia seperti Sambal Hijau Ikan Bilis dan Sambal Daging. Berharga RM19.90 bagi 500gm, semua sambal-sambal ini sedia untuk dimakan dan boleh disajikan dengan aneka hidangan terutama di bulan Ramadan.

Untuk info, restoran ini dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan perkhidmatan penghantaran menerusi syarikat penghantaran atas talian juga tersedia untuk kawasan sekitar.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan Ramadan** atau sebarang acara hubungi talian 03-40324383(pejabat),017-6534133(operasi) atau

011-23058511(pengeluaran/production).

*kanak-kanak berumur 3 tahun ke bawah adalah percuma

** Bayaran 100 peratus perlu dijelaskan bagi tujuan tempahan

Waktu Operasi Bulan Ramadan :

Setiap hari bermula jam 6.30 petang hingga 9 malam

Waktu Operasi Harian :

Dibuka pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8.30 pagi hingga 6 petang