27.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
Home Blog Page 216

Filem anak Malaysia, Korsakoff menang Anugerah Cannes World Film Festival

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah nasib yang menyebelahi syarikat produksi tempatan D Alpha Legacy apabila naskhah asli karya mereka berjudul ‘Korsakoff’ telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori khas ‘Best Psychological Film’ di anugerah Cannes World Film Festival (CWFF) dan terbaharu turut memenangi anugerah di World Film Carnival – Singapore (WFCS) yang ke-33.

Pengasas D Alpha Legacy Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor berkata, pihaknya bersyukur segala kerja keras keseluruhan pasukan produksi dan pelakon-pelakon hebat negara terasa berbaloi apabila karya anak tempatan diiktiraf di mata dunia oleh penilai antarabangsa.

“Kami sekadar mencuba nasib dengan menghantar penyertaan dan akhirnya dimaklumkan sebagai pemenang untuk bulan Ogos kategori bagi ‘Best Psychological Film’, banyak juga negara lain yang menghantar karya mereka namun nasib berpihak kepada kami, terima kasih diatas pengiktirafan ini.

“Walaupun filem ini sudah pun dipertontonkan di hadapan juri-juri profesional antarabangsa untuk dinilai, rakyat Malaysia hanya berpeluang menontonnya secara rasmi dan juga eksklusif, ‘Di Pawagam Rumah Anda’ Astro First bermula 14 Mac ini,” katanya.

Dibintangi oleh barisan pelakon pemenang anugerah tanah air seperti Erra Fazira, Azhan Rani, Iqram Dinzly dan Ning Baizura, watak utamanya iaitu ‘Jelita’ dipegang oleh pendatang baharu, Elly Arifin.

Aminahtul berkata, walaupun Elly adalah pelakon baru dan kali pertama memegang watak heroin, dia disokong oleh pelakon-pelakon handalan negara, dan kerjasama diantara mereka inilah yang membuatkan filem ini berjaya.

“Pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam menghidupkan watak filem ini, sebagai contoh, Erra adalah seniwati negara yang tidak perlu dipertikaikan lagi bakatnya, manakala Azhan adalah seorang pelakon method yang disegani.

“Bagi Iqram pula, ramai yang merindui lakonan bermutunya, manakala Ning pula mempunyai ‘presence’ yang kuat di layar kamera dan bagi Elly sendiri, seorang pelakon yang berpotensi dan mampu untuk pergi jauh.

Aminahtul berkata, Idea asal filem ini tercetus dari perbualan diantara pengarah, penerbit dan penulis skrip yang gemarkan cerita-cerita berunsurkan psikologi dan pada masa yang sama, ingin berkongsi informasi tentang kondisi penyakit Korsakoff ini.

“Kami hanya berbual kosong sesama sendiri dan berhasrat mengetengahkan kewujudan penyakit ini, maka terhasillah sinopsisnya sebelum ia berkembang menjadi sebuah naskhah yang diterbitkan.

“Naskhah ini diilhamkan dari kisah-kisah benar yang pernah berlaku dan ada hubung kaitnya dengan penyakit Korsakoff itu sendiri yang kemudiannya dijadikan sebuah cerita imaginasi bersama.

“Manakala proses penggambaran mengambil masa kira-kira 15 hari, ini tidak termasuk sesi lakon layar yang memakan masa 4 bulan lebih,” katanya.

D Alpha Legacy juga turut berkolaborasi dengan aplikasi media sosial yang popular iaitu TikTok Malaysia dalam usaha mereka menyokong karya-karya filem tempatan yang bermutu.

Walaupun penyakit Korsakoff itu sendiri jarang didengari, namun ianya wujud di kalangan masyarakat dan D Alpha Legacy mahu masyarakat Malaysia faham apakah ia secara am melalui medium yang cukup menghiburkan.

“Naskhah ini jauh dari sempurna dan banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki, namun kami berharap ia dapat memberikan satu ilmu baharu melalui keseronokan menonton bersama keluarga di bulan Ramadan nanti,” katanya.

Akademi Qurra’ 2024 milik pelajar Tilmiz Amnan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Melabuhkan tirainya malam tadi, Akademi Qurra’ 2024 mengangkat Tilmiz Amnan sebagai juara program berkenaan untuk musim kedua.

Disiarkan secara langsung dari Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah, kemenangan itu melayakkan Amnan atau nama sebenarnya Muhammad Amnan Muhammad Sani, 23, membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000.

Berkongsi perasaannya, Amnan berkata dia sedikit pun tidak menyangka bakal bergelar juara disebabkan saingan yang begitu sengit.

“Saya memang tidak sangka bakal menjadi juara kerana ada juga kesalahan yang saya lakukan pada malam akhir ini. Tambahan lagi sepanjang program ini saya kerap tidak sihat.

“Rasa sangat letih kerana perlu bekerja keras untuk memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu sehingga ada satu tahap saya rasa hampir tepu,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Tilmizah Syahira atau Nur Syahira Saiful Adli yang membawa pulang RM10,000 manakala Tilmizah Sofea mendapat tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Pentas akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan Tilmiz Luqman dan Tilmizah Sholihah sekadar meraih hadiah sagu hati dengan masing-masing membawa pulang RM1,000.

Dalam pada itu, Mudarrisah Nadia Hashim selaku tenaga pengajar memenangi Anugerah Mudarris Terbaik sekali gus mendapat hadiah wang tunai RM3,000.

Bagi Anugerah Alunan Terindah pula diberikan kepada Tilmizah Syahira dan memenangi hadiah wang tunai RM500.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata beliau gembira program ini terus mendapat perhatian dan tahun ini rating penonton terus meningkat.

“Kita gembira dengan sambutan yang diterima terhadap program ini. Menerusi program ini kami berharap dapat melahirkan lebih ramai lagi pelapis dan generasi baru untuk terus mencintai al-Quran.

“Kita juga sentiasa memberi peluang kepada juara untuk terbabit dalam pelbagai program di bawah terbitan TV AlHijrah,” katanya.

Akademi Qurra 2024 yang dihoskan oleh Raqib Majid, turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.

Program yang ditayangkan selama lapan minggu pada setiap Sabtu jam 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim.

Broku, Wealth Vantage Advisory lancar kempen Pendanaan Awam Ekuiti (ECF), perkasa ekosistem PMKS

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seiring dengan perkembangan ekonomi dan teknologi, Broku Sdn Bhd (BSB) melangkah satu tapak ke hadapan dalam memperkasa industri Makanan dan Minuman (F&B) dengan mewujudkan ekosistem yang komprehensif bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam meningkatkan pendapatan, menyelaraskan operasi dan mencapai pertumbuhan perniagaan.

Bagi menjayakan inisiatif itu, BSB telah menjalinkan kerjasama bersama salah sebuah firma penasihat kewangan yang berpengaruh, Wealth Vantage Advisory (WVA) Sdn Bhd dengan melancarkan kempen pendanaan awam ekuiti (ECF) di platform digital PitchIN, sebuah Pengendali Pasaran Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

BSB adalah satu-satunya syarikat berstatus Bumiputera di Malaysia yang menawarkan penyelesaian komprehensif bagi meningkatkan tahap pengurusan kewangan dalam perniagaan kepada pengendali F&B dalam usaha untuk merapatkan jurang pembiayaan RM90 Bilion di Malaysia seperti yang telah dilaporkan oleh The Edge Malaysia pada Januari lalu.

Crowdfunding telah menjadi salah satu platform yang popular sejak kebelakangan ini dalam usaha mengumpul dana menerusi dalam talian bagi tujuan tertentu termasuklah mengembangkan tapak perniagaan.

Pembiayaan dalam talian ini akan memudahkan pelabur mengakses bagi mengenal pasti maklumat pelaburan dan menghubungi pihak yang menjalankan kempen terbabit.

Pada masa yang sama, kaedah ini dapat meningkatkan pembiayaan secara besar dan kecil bagi setiap projek sekali gus pelabur dapat memberi manfaat kepada dunia perniagaan.

BSB dengan kerjasama WVA kini mencari pelabur yang berminat untuk melabur bagi membantu PMKS mengembangkan perniagaan mereka yang sedia ada.

Dibarisi oleh pakar penasihat kewangan dalam industri, WVA adalah firma penasihat kewangan berlesen yang diperakui oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia bagi membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan dengan menyediakan perkhidmatan kewangan holistik dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan melalui penggunaan teknologi terkini.

Pelaksanaan kempen ECF ini bakal memberi tumpuan untuk merevolusikan industri dengan menyediakan peniaga makanan dengan sumber strategik dan perkhidmatan yang diperlukan di Malaysia.

Pelan pertumbuhan yang dijana oleh kempen ini dijangka akan menjadi titik mula yang penting dalam membantu PMKS memohon pinjaman bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Hal ini kerana mereka berhadapan dengan situasi sukar untuk melakukan pinjaman perniagaan kerana kekurangan cagaran dan aliran tunai yang konsisten serta dokumentasi kewangan yang lemah.

“Ia adalah platform digital komprehensif yang mana telah direka untuk merevolusikan ekosistem F&B dengan menyediakan centralized hub yang akan memudahkan gerak kerja sokongan berkaitan perniagaan, termasuk tempahan, pesanan, pembayaran, pencarian bahan, analisis data dan komunikasi antara pengendali dan pengguna.

“Hal ini selaras dengan visi dan misi BSB untuk menyediakan latihan serta sokongan kepada usahawan industri F&B dengan menggunakan teknologi terkini yang mana mampu menjana hasil jualan yang berlipat kali ganda kepada peniagaan mereka,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSB Ku Addy Fazly Ku Radin.

Berikutan itu, BSB mempelawa semua bakal pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada usaha memperkasakan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana terutamanya dalam industri F&B di Malaysia.

Bersama melakar sejarah baharu dalam membantu mengurangkan jurang pembiayaan tinggi dalam negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen, layari https://www.pitchin.my/equity/broku.

‘Pembunuh Malam’ juara Lagu Terbaik di pentas akhir Anugerah Lagu Indie 2023

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG- Acara kemuncak Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2023 (#ALI2023) telah membariskan persembahan mantap daripada 15 finalis yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Pop, Rock dan HipHop.

Lunar yang membawakan lagu berjudul Pembunuh Malam, sebuah lagu ciptaan Hazeeq Hilman dan Muhd Haziq dalam kategori Pop telah tampil sebagai Juara Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2023 serta berjaya merangkul hadiah tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 (RM5,000 daripada Anugerah Pop Terbaik dan RM15,000 daripada Anugerah Lagu Terbaik).

Selain daripada Anugerah Lagu Terbaik, anugerah lain yang dipersembahkan adalah persembahan terbaik, dan juga anugerah bagi ketiga-tiga kategori.

Dalam Top 5 kategori Pop, “Pembunuh Malam” telah menewaskan empat lagu lain iaitu “Pura”, “Stargazing”, “Luka” dan “Derana” serta merangkul gelaran Anugerah Pop Terbaik.

Top 5 kategori Rock pula, “Souled Out” tampil sebagai Juara Anugerah Rock Terbaik menewaskan “Jiwa (Takhta Milik Kita)”, “In The Haze”, “Inti Sari” dan “Terra Luna”.

Manakala, Top 5 kategori HipHop, “LXF” merangkul Juara Anugerah HipHop Terbaik menewaskan “Ice Cold Castle”, “Candy Mind”, “Gard O Gard” dan “Mimpi Untuk Semalam”.

Penerbit Eksekutif Anugerah Lagu Indie Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya mengucapkan tahinah kepada semua finalis yang telah memberikan persembahan terbaik mereka di Pentas Akhir.

“Kesemua 15 persembahan yang dipertontonkan telah berjaya membuktikan bahawa penggiat muzik indie juga lebih daripada mampu untuk menghasilkan lagu yang berkualiti.

“Sebagai sebuah platform yang dicipta khusus untuk meraikan bakat-bakat indie tempatan yang kreatif, saya berharap Anugerah Lagu Indie dapat diteruskan lagi bagi memberi inspirasi kepada penggiat muzik indie untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti serta kompetitif dalam arena muzik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menyokong dan menjayakan Anugerah Lagu Indie musim keempat ini,” katanya.

Selain daripada persembahan finalis, penonton juga telah disajikan dengan persembahan ‘Tribute Butterfingers’ oleh Leaism dengan lagunya “Epitome”, “Chemistry”, “Ngilu”, “1000 tahun”, “Mati Hidup Kembali”, dan persembahan penutup oleh Bunkface dengan lagu mereka “Silly Lilly”, “Situasi” dan “Malam Ini Kita Punya”.

Anugerah Lagu Indie musim kali ini juga membariskan juri-juri professional yang terdiri daripada AG Coco, Wing Meng, Juwita Suwito, Roshan Jamrock, Edwin Raj, Ariana Adnan, dan Diandra Arjunaidi.

Lancar Kempen Raya Sakan 2024, Jakel sedia 3 juta pasang baju melayu tahun ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Melancarkan kempen Raya Sakan 2024, gedung tekstil terkemuka negara, Jakel, menyediakan 3 juta pasang baju melayu yang bakal dijual di seluruh Malaysia tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, ini bagi memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan sepanjang promosi sebulan Ramadan berlangsung.

Katanya, kesemua koleksi pakaian siap yang disediakan tahun ini turut tersedia untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ia ditawarkan berteraskan trend terkini hasil sentuhan pereka dalaman Jakel sekali gus diyakini mampu memenuhi cita rasa pelanggan masa kini.

“Selari dengan moto kempen tahun ini bergaya sambil berjimat, Jakel menawarkan pakaian bercorak dan rekaan terkini meliputi pelbagai peringkat usia pada harga lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

“Sempena promosi Raya Sakan Bersama Jakel tahun ini, harga baju Melayu yang sebelum ini ditawarkan pada tahun lalu iaitu RM180 kini diturunkan kepada RM150 sahaja sepasang.

“Selain itu pelanggan berpeluang memilih salah satu hadiah percuma antara kurta atau samping berkualiti berteraskan kain eksklusif bernilai RM89 bagi setiap pembelian baju Melayu tahun ini.

“Malah bagi koleksi perempuan sedia dipakai ditawarkan serendah RM99 sahaja sepasang dengan ratusan corak dan warna terkini 2024,” katanya pada majlis pelancaran kempen Raya Sakan Bersama Jakel 2024, semalam.

Pada majlis sama, Jakel turut melancarkan sketsa raya yang dibintangi oleh pelakon antaranya Mimi Ernida, Lan Zailan, Mustaqim Bahadon, Halim Othman, Anas Ridzuan dan ramai lagi. 

Tidak ketinggalan, bagi penggemar pakaian sedondon, Jakel turut menyediakan koleksi KOMBO sedondon khusus bagi keluarga dan pasangan.

“Tahun ini juga Jakel menawarkan pelbagai pilihan baju kanak-kanak perempuan dan lelaki bermula dari peringkat bayi hingga ke usia 14 tahun pada harga amat berpatutan bermula pada RM49 sepasang.

“Bukan itu sahaja, selain koleksi pakaian, Jakel turut menawarkan diskaun sehingga 85 peratus bagi kelengkapan lain seperti permaidani, langsir, sejadah, kain pelikat dan lain-lain di gedung kami yang sudah popular sebagai pusat sehenti,” katanya.

Mohamed Faroz berkata, selain promosi baju Melayu Raya Sakan, pelanggan turut berpeluang mendapatkan pelbagai variasi kurta pada harga serendah RM39, kemeja lelaki serendah RM59 serta baju kanak-kanak serendah RM29.

“Pelanggan tidak perlu risau tentang parkir di Jakel Mall, kerana kami menyediakan lebih 2000 ruang, selain surau dan tandas khusus untuk kemudahan dan keselesaan pelanggan,” katanya.

Jualan promosi Raya Sakan itu membabitkan cawangan Jakel di seluruh negara bermula hari ini, 9 Mac hingga malam Raya.  

Sementara itu, pelakon dan pengacara popular, Nabil Ahmad kekal menjadi duta Jakel buat tahun yang kesembilan.

Untuk tahun ini, Jakel juga melantik beberapa pempengaruh dan KOL dalam rangka mempromosikan kempen Raya Sakan 2024.

Rakam aksi Safawi, Akhyar dengan kamera Tele-falcon HONOR 180MP, HONOR Magic6 Pro telefon terbaik untuk fotografi sukan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak kebangsaan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dilantik sebagai Experiencer Officer HONOR Magic6 Pro, flagship baharu yang akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

Kedua pemain ini telah menunjukkan aksi bermain bola sepak masing-masing yang ditangkap dengan lensa Kamera Tele-falcon HONOR 180MP pada HONOR Magic6 Pro.

Mereka turut meluahkan rasa kagum terhadap kelajuan Sistem Kamera Tele-falcon HONOR. Berikut empat ciri menarik pada HONOR Magic6 Pro.

1. Kamera Magis – Kamera Tele-falcon HONOR 180MP

Kamera Tele-falcon HONOR 180MP dicipta untuk menangkap gambar menakjubkan, terutamanya fotografi sukan. Lensa telefoto seperti pada HONOR Magic6 Pro digemari jurugambar profesional untuk merakam gambar yang memberi impak di acara sukan, seterusnya menghasilkan imej yang menarik dan cantik.

Ia menawarkan Zum Optik 2.5x dan Zum Digital 100x, terbaik untuk merakam aksi atlet. Peranti ini mempunyai Kamera Utama Falcon Dinamik Super 50MP dan Kamera Ultra Lebar 50MP yang dilengkapi kecerdasan pengimejan.

Kehebatan kamera HONOR Magic6 Pro merakam gerakan pantas dengan sangat jelas dan terang terbukti dengan hasil gambar aksi Safawi dan Akhyar di padang bola sepak. Ini menunjukkan peranti berkenaan sememangnya sesuai untuk fotografi sukan.

2. Skrin Magis – Pelindung HONOR NanoCrystal

Bagi memberi pengalaman pengguna terbaik, HONOR Magic6 Pro hadir dengan skrin pelindung NanoCrystal yang menerajui industri, sekaligus menetapkan piawaian baru untuk rintangan jatuh paparan.

Ia disokong Paparan Keselesaan Mata LTPO Kuasa Rendah Semua Julat 6.8-inci yang terkemuka dalam industri untuk pandangan yang selesa.

Sama ada menonton acara sukan atau melayari media sosial, paparan peranti ini mempunyai Pemalapan PWM 4320Hz yang tertinggi dalam industri bersama Pensijilan Bebas Kerlip TÜV Rheinland untuk tontonan mengasyikan.

Skrin ini menerima pengesahan pensijilan lima bintang SGS Glass Drop Resistance Ability dan adalah skrin penuh pertama Always On Display dalam kalangan Android, sekaligus mengukuhkan HONOR Magic6 Pro sebagai telefon pintar ‘Magis’.

3. Bateri Magis – Generasi Kedua Bateri Karbon Silikon 5,600mAh

Dengan generasi kedua bateri karbon silikon 5,600mAh, pengguna usah bimbang tentang bateri cepat habis. Ini kerana bateri HONOR Magic6 Pro mampu bertahan sepanjang hari termasuk dalam suhu yang terlampau rendah.

Ia disokong pengecas pantas berwayar HONOR Wired SuperCharge 80W dan mampu membekalkan kuasa yang penuh dalam tempoh kurang 40 minit.

4. Pengalaman Magis – HONOR MagicOS 8.0 memperkenalkan Magic Portal yang berkuasakan AI

HONOR Magic6 Pro menawarkan pengalaman lebih peribadi dan intuitif kepada pengguna menerusi Magic Capsule dan Magic Portal.

Hanya dengan menyentuh pada banner pemberitahuan di bahagian atas skrin akan membesarkan Magic Capsule, seterusnya memaparkan maklumat tambahan dan pilihan berkaitan.

Ciri ini membolehkan pengguna mengakses maklumat penting tanpa perlu melayari beberapa aplikasi, sekaligus meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Magic Portal pula adalah ciri yang dikuasakan oleh AI bagi memahami mesej dan tingkah laku pengguna. Ciri ini mengubah tugas kompleks menjadi ringkas dengan hanya satu langkah.

Sebagai contoh, AI Magic Portal segera mengecam alamat dalam mesej teks dan membawa pengguna terus ke Google Maps untuk navigasi mudah.

Bagi media sosial seperti TikTok dan Facebook, Magic Portal juga memudahkan akses dan perkongsian maklumat.

HONOR Magic6 Pro telefon pintar flagship yang pasti menambat hati peminat fotografi. Nantikan pelancaran rasmi HONOR Magic6 Pro yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tayang 22 program istimewa, TV AlHijrah sasar 7 juta penonton sepanjang Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stesen TV Islamik Malaysia, TV AlHijrah menyasarkan 7 juta jumlah penonton sepanjang Ramadan tahun ini.

Dengan tema ‘Ramadan Mentadabbur Keindahan’, sasaran itu dijangka berjaya diperoleh selepas melihat sambutan yang diterima sebanyak 6.4 juta tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya, TV AlHijrah telah menyusun program-program yang mendidik jiwa dengan ilmu, dakwah dan hikmah.

Menurutnya, bulan Ramadan adalah bulan yang pastinya mencatatkan peningkatan jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah.

“Pada Ramadan 2023 yang lalu, jumlah tontonan di stesen TV AlHijrah adalah sebanyak 6.4 juta tontonan. Bagi tahun ini, sasaran penonton dijangka meningkat sebanyak 10 peratus, melonjak kepada 7 juta tontonan sepanjang Ramadan.

“Pada Ramadan tahun ini, TV AlHijrah akan menyiarkan sebanyak 22 rancangan Istimewa buat penonton. Pecahannya adalah 20 rancangan penerbitan dalaman dan syndicated seperti Apa Cerita Kome bersama Ustaz Datuk Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan tajaan aplikasi Digital Khair oleh Qudwah Technology, Ibrah Ramadan, Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya dan banyak lagi.

“Manakala, terdapat satu program branded content iaitu Ehsan. Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan kesemua rancangan-rancangan ini dengan peningkatan 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, TV AlHjirah berperanan sebagai salah sebuah agensi Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah untuk memberikan pendidikan kemasyarakatan kepada orang ramai agar saling berkasih sayang serta bantu membantu sepanjang bulan mulia ini.

“Adalah menjadi hasrat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk terus melihat stesen TV AlHijrah sebagai sebuah stesen terulung dalam menyebarkan nilai-nilai Islam yang rahmah serta mesej-mesej kerajaan khususnya agenda membangun Malaysia Madani.

“Syukur Alhamdulillah, berkat kerja kuat serta kesungguhan seluruh warga TV AlHijrah, stesen ini sentiasa mendapat kepercayaan tinggi rakyat,” katanya pada majlis perasmian Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keindahan TV AlHijrah, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Dalam pada itu, Namanzee Harris berkata, bagi mempromosikan program-program TV AlHjirah untuk tahun ini mereka menjalin kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu dengan meletakkan iklan di beberapa gerabak kereta api.

“Jika tahun lalu kita menggunakan bas, tahun ini kita menggunakan kereta api sebagai usaha mempromosi dan mendekatkan lagi penonton dengan program-program TV AlHjirah.

“Kita tahu sasaran kita adalah pengguna pengangkutan awam, dengan perjalanan yang panjang selama berada dalam kereta api penonton dapat menyaksikan program yang disiarkan di stesen TV kami,” katanya.

Showcase Jiwa Kacau 2024 ‘level up’ bawa enam pemuzik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sesuatu yang mengujakan, sensasi dan akan membuat hidup anda semakin ‘kacau bilau’ sedang menanti pencinta muzik.

Peminat kugiran Hujan, Masdo, Bunkface dan Insomniacks ucapkan selamat kembali kepada pemuzik-pemuzik handalan tanah air ini dalam siri Showcase Jiwa Kacau 2024.

Setelah berjaya mengumpulkan hampir 8,000 peminat pada Showcase Jiwa Kacau 2023, MND Sport & Event Sdn Bhd tidak mahu keterujaan peminat ‘mati’ begitu sahaja. Kali ini Jiwa Kacau berkolaborasi bersama Kopi Saigon sebagai penaja utama.

selaku penganjur MND Sport & Event Sdn Bhd berbesar hati membawa kembali barisan kugiran sama iaitu Hujan, Masdo, Bunkface dan Insomniacks yang telah mencetuskan fenomena dalam Showcase Jiwa Kacau 2023 pada Showcase Jiwa Kacau 2024.

Dijadual berlangsung pada 22 Jun 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Showcase Jiwa Kacau 2024 dihangatkan dan bakal meninggalkan momen tersendiri apabila turut disertai oleh sebuah kugiran dari Indonesia iaitu Nidji selain penampilan khas daripada solois tempatan, Luqman Podolski.

“Sesuai dengan penganjuran kali kedua, Showcase Jiwa Kacau 2024 akan memperlihatkan pertambahan dua lagi pemuzik yang akan menghangatkan malam pesta ini.

“Ini bermaksud akan ada enam penampilan penuh energetik yang akan menghiburkan pengunjung pada malam Showcase Jiwa Kacau 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 Jun 2024.

“Kami dengan bangga mengumumkan kehadiran Nidji untuk menjadi satu-satunya kugiran terkenal Indonesia yang akan membuat Showcase Jiwa Kacau 2024 lebih ‘kacau bilau’.

“Untuk pertama kali juga di Showcase Jiwa Kacau 2024 kami menampilkan solois iaitu Luqman Podolski sebagai penampilan khas.

“Harapan kami Showcase Jiwa Kacau 2024 bukan hanya menjadi tempat bersuka ria atau pesta semata-mata tetapi penganjuran ini bakal menjadi medan berkembang, semarak sekali gus melestarikan muzik tempatan terutama buat generasi kini dan akan datang,” kata Daniel Harith dari MND Sport & Event Sdn Bhd.

Mewakili rakan seperjuangan yang terbabit dalam Showcase Jiwa Kacau 2024, Masdo menyifatkan penganjuran kali kedua acara muzik ini didorong banyak oleh sambutan dan apresiasi peminat terhadap pemuzik tanah air.

“Tanpa sokongan dan kehadiran peminat yang di luar jangka pada penganjuran Showcase Jiwa Kacau 2023, kami fikir tidak mungkin ada Showcase Jiwa Kacau 2024.

“Sebenarnya kami patut mengucapkan terima kasih buat peminat yang berkumpul dan meraikan perbezaan muzik yang ditonjolkan oleh setiap kugiran,” kata Masdo.

Showcase Jiwa Kacau 2024 dijadualkan berlangsung selama tiga jam setengah dengan pembelian tiket boleh dilakukan menerusi www.klticketing.com.

Jangan sampai terlepas tawaran harga tiket yang menarik untuk menyaksikan enam persembahan yang bakal membuat jiwa anda kacau teruk.

Dapatkan Tiket-tiket berharga RM148 (ROCKZONE), RM98 (GENERAL ADMISSION), RM228 (VIP 1 & 2), RM188 (CAT 1), RM138 (CAT 2), RM68 (BLUE ZONE), RM358 (MEET & GREET) segera.

Ijmal Cinta Ramadan, berhibur sambil beramal

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kedatangan bulan Ramadan setiap tahun sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan ini. 

Ia bukan sekadar satu bulan biasa, tetapi juga memberi peluang yang unik untuk meningkatkan kesedaran spiritual, meningkatkan ibadah, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Mengambil keberkatan bulan suci itu, HS Event & Ent Sdn Bhd menganjurkan Konsert Ijmal Cinta Ramadan yang bakal diadakan pada 23 Mac di Dewan Merdeka World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.

Konsert Ijmal Cinta Ramadan bakal menampilkan barisan penyanyi lagenda tanah air seperti Datuk Hattan, Ella dan Aris Ariwatan.

Penganjur Mubarak Akhtar berkata, Konsert Ijmal Cinta Ramadan bukanlah sebuah persembahan berbentuk hiburan semata-mata, tetapi sebuah acara yang sarat dengan nilai-nilai spiritual yang sesuai dan bermakna dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Menurutnya, orang ramai yang membeli tiket juga turut berpeluang untuk beramal.

“Seperti biasa, pada petang itu akan berlangsung tadarus al-Quran dan tazkirah yang mendalam sebelum kita semua bersama-sama berbuka puasa. Kemudian, kita akan melaksanakan solat maghrib secara berjemaah. 

“Kita juga akan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan. Selepas itu, solat isyak dan tarawih akan diadakan. Kemudian barulah persembahan yang ditunggu-tunggu bermula,” katanya.

Mubarak berkata, pihaknya juga tidak melupakan insan seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan.

“Pada acara ini juga, kita turut meraikan 10 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan untuk kita berikan sumbangan.

“Semoga ia dapat membantu meringkan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Mubarak berkata ketiga-tiga mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri selain kesudian untuk terbabit dalam persembahan istimewa ini.

“Ketiga-tiga artis ini tidak hanya mempunyai kelompok peminat yang besar tetapi juga menunjukkan kesudian yang luar biasa untuk terbabit dalam persembahan istimewa ini. Sesuatu yang cukup bermakna apabila mereka sudi untuk menjayakan konsert ini,” katanya.

Tiket menerusi penjualan meja dijual pada harga RM15,000 (Table VVIP); RM12,000 (Table VIP); RM8,000 (Table Platinum); RM6,000 (Table Gold) dan RM4,000 (Table Silver). Untuk tempahan boleh menghubungi Ain 012-972 1125 dan Shasha 019-769 5588.