KUALA LUMPUR – Suria FM menyajikan pelbagai pengisian menarik menerusi kempen Raikan Yang Dirai sepanjang Ramadan ini dengan penganjuran program “Ybae Suria Masuk Kampung” bermula 16 Mac sehingga 30 Mac ini dengan menampilkan barisan penyampai Suria di beberapa lokasi terpilih seperti di Pulau Pinang (16 Mac 2024), Muar, Johor (23 Mac 2024), dan Lembah Klang (30 Mac 2024).
Pada Sabtu ini (16 Mac), Penyampai Suria FM, Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Cik Piah, Rara, Chiwan dan DJ Lin, akan turun padang bagi menyantuni penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang bertempat di Masjid Al-Jamiul Badawi.
Acara yang akan bermula seawal 10 pagi itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya rewang bersama penduduk, pengagihan bubur kanji, berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.
Bagi menjayakan kempen #SuriaKongsiRezeki, Suria FM akan turut menyerahkan sumbangan kepada pihak masjid serta kanak-kanak dan warga emas yang hadir.
Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran ADUN Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, program itu bertujuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan berkongsi rezeki selain menghargai kesetiaan pendengar setia sekaligus mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara penyampai dan pendengar Suria FM.
“Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh warga kerja Suria FM ingin mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak kepada semua khasnya untuk pendengar setia kami di mana pun mereka berada.
“Buat pendengar Suria di Selatan tanah air, nantikan kedatangan penyampai Suria pada sabtu depan (23 Mac 2024) bertempat di Masjid Sg Abong, Muar, Johor,” katanya.
Selain itu, Suria FM dan FAMA sekali lagi menjalin kerjasama menerusi program “Suria Belanja Makan” yang telah diadakan pada Sabtu lalu (9 Mac) bertempat di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, bersempena sambutan ‘Semarak Ramadan Madani peringkat kebangsaan’.
Acara yang bermula seawal jam 9 pagi itu, turut memberi pengunjung hadiah goodie bag percuma berisi produk Agro Madani dan barangan eksklusif Suria serta berpeluang beramah mesra bersama penyampai Morning Morning Suria, Datuk Fizz Fairuz, Ajak dan Kai Hassan.
KUALA LUMPUR – Operasi waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan rel (LRT, MRT dan KL Monorel) dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan diselaraskan sepanjang bulan Ramadan tahun ini, iaitu bermula hari ini, 12 Mac 2024.
Prasarana dalam satu kenyataan berkata, perubahan waktu puncak ini adalah untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, terutamanya bagi mereka yang ingin menuju ke destinasi masing-masing untuk berbuka puasa.
Waktu Puncak Operasi Rel Operasi
“Waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu dari jam 7 pagi sehingga 9.30 pagi.
“Manakala operasi pada waktu puncak petang ditambah satu jam tiga puluh minit bermula dari jam 4 petang sehingga 8 malam, berbanding 5 petang hingga 7.30 petang waktu sekarang.
“Perjalanan pengguna akan menjadi lebih lancar dengan penambahan dan peningkatan kekerapan tren.
“Diharapkan dengan inisiatif ini, ianya akan menggalakkan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalanraya,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, waktu Puncak Operasi Bas Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas-bas perantara MRT, operasi waktu puncak pagi adalah dari jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi manakala waktu puncak petang adalah dari jam 4 petang sehingga 8 malam.
“Operasi waktu puncak perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan adalah seperti biasa,” katanya.
Mini Bazar Ramadan dan Jualan Juadah Berbuka di sekitar Stesen Rel
Bersempena bulan Ramadan, anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan membuka mini bazar Ramadan di tiga (3) stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai, dan Stesen LRT Ampang Park.
Terdapat juga jualan makanan dan minuman berkonsepkan grab and go di bazar rakyat sedia ada yang sesuai dijadikan juadah berbuka seperti di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak.
Juadah ini akan mula dijual pada jam 3.30 petang hingga 7.30 malam. Kemudahan ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.
KUALA LUMPUR – Sempena kedatangan Hari Raya ini, raikan detik kegembiraan Aidilfitri di Melawati Mall dengan pelbagai aktiviti dan ganjaran membeli-belah termasuk pertunjukan fesyen Raya yang menampilkan koleksi terkini daripada jenama fesyen terkenal.
Bertemakan ‘Fabulous Floral Raya’, pertunjukan fesyen kali ini membabitkan jenama seperti Fana Couture, Elrah Exclusive, Gene Martino, WHIP, Truly Asia, Colegacy, Ducati dan banyak lagi.
Dari 9 Mac hingga 21 April, pembeli juga dipamerkan dengan koleksi dan promosi Raya baharu yang menarik daripada pelbagai jenama.
Acara yang berlangsung di Centre Court ini menampilkan MC Vogue, Love Trisha, Orchid Classic, Ababil, Hollakidz, Elrah Exclusive, Istana Kaftan, FANA Couture dan banyak lagi.
Di sini anda boleh membeli baju kurung yang anggun, pelbagai aksesori, minyak wangi dan juga hamper Raya. Kelengkapan ini juga boleh dijadikan hadiah yang sempurna untuk meraikan semangat Raya tahun ini.
Bersempena dengan tema ‘Fabulous Floral Raya’, Melawati Mall dihiasi dengan hiasan perayaan yang diilhamkan daripada corak bunga yang terdapat dalam tekstil tradisional Arab.
Motif dan corak ini digabungkan dengan elemen reka bentuk moden, sekaligus dapat mencipta latar belakang yang cukup indah.
Pelancaran Pertunjukan Fesyen Raya pada 8 Mac lalu sebagai memulakan kemeriahan perayaan Aidilfitri tahun ini.
Melawati Mall dengan bangganya membawakan acara kemuncak iaitu Pelancaran Pertunjukan Fesyen ‘Fabulous Floral Raya’ yang berlangsung pada tarikh sama di GF, Meranti Court.
Selain dapat melihat pelbagai gaya dan fesyen bertemakan Raya dari jenama fesyen tempatan, tetamu dapat menikmati persembahan tarian Bunga Raya dan persembahan Dikir Barat.
Acara menarik ini juga menandakan permulaan kempen perayaan “Fabulous Floral Raya” Melawati Mall yang menampilkan gubahan bunga yang mekar mempersona dan hiasan pentas yang diilhamkan oleh seni bina Arab.
Paparan yang menawan ini sedikit sebanyak akan membangkitkan suasana Raya yang indah buat semua pengunjung.
Ganjaran Membeli Belah Fabulous Floral Raya
Melawati Mall tidak lupa untuk menyediakan promosi menarik dan ganjaran buat pembeli. Dari 9 Mac hingga 14 April, pembeli berpeluang memenangi hamper Fabulous Floral Raya bernilai sehingga RM500 melalui Cabutan Bertuah Raya.
Untuk menyertainya, pembeli hanya perlu berbelanja dengan minimum sebanyak RM150 di mana-mana kedai di Melawati Mall. Pemenang bertuah akan diumumkan pada 18 April melalui saluran media sosial rasmi Melawati Mall.
Pembeli juga boleh menebus paket Fabulous Floral Raya eksklusif dengan perbelanjaan minimum RM150 dalam satu resit, dan Batik Raya Melawati Mall khas dengan perbelanjaan minimum RM350 dalam maksimum dua resit.
Sorotan Perayaan
Sepanjang Hari Raya ini, nantikan pelbagai persembahan menarik di Melawati Mall seperti Tarian Bunga Raya dan Dikir Barat.
Khusus untuk kanak-kanak pula, usah lepaskan peluang untuk menyertai aktiviti eksklusif kelab kanak-kanak (MMKIDZONE) yang diadakan pada hujung minggu.
Terdapat aktiviti untuk seisi keluarga termasuk seni anyaman Raya dan bengkel membuat paket Raya yang diadakan setiap hujung minggu serta pertandingan mewarna menarik yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Mac di tingkat dua, MMKIDZONE Utara.
Untuk menyertai semua aktiviti ini, hanya daftar sebagai ahli kelab kanak-kanak (4 hingga 12 tahun) di ruang acara secara percuma.
Dari 26 Mac hingga 9 April, terdapat juga Bazar Ramadan yang berlangsung di Pintu Masuk Selatan yang menawarkan juadah berbuka puasa yang lazat, aksesori fesyen dan banyak lagi.
KUALA LUMPUR – Memilih tanah perkuburan sebagai lokasi untuk melepak pastinya dilihat sebagai aktiviti yang sangat pelik.
Namun, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil dan perbuatan melepak di tanah perkuburan ini memang selalu dilakukan pengarah Gavin Yap.
Gavin berkata, sejak dia dan keluarganya kembali semula ke Malaysia setelah berhijrah ke United Kingdom, tempat tinggalnya memang terletak dengan kawasan perkuburan.
“Saya tidak pasti sama ada secara kebetulan atau tidak, apabila kami menetap di Damansara Utama, rumah kami terletak hampir dengan tanah perkuburan.
“Setelah pindah ke Pulau Pinang, kediaman kami juga masih dekat dengan kubur.
“Boleh dikatakan melepak di dalam kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti saya bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan dulu,” katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Dendam Pontianak bersama Glen Goei.
Gavin berkata, perkara itu telah memberikan idea buat dirinya untuk menghasilkan sebuah filem yang berkaitan dengan aktiviti sedemikian.
Berdasarkan pengalamannya itu terhasillah sebuah filem seram berjudul Geng Kubur, di mana dia turut bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Gavin berkata, ia mengisahkan tentang empat orang sahabat baik yang menjadikan lepak di tanah perkuburan sebagai aktiviti utama mereka.
“Geng Kubur bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi ia menitikberatkan kepada perjalanan kehidupan setiap watak iaitu empat orang sahabat.
“Di sebalik kegemaran melepak di kawasan kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang telah menghantui kehidupan mereka,” katanya.
Filem Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon muda seperti Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama.
Gavin berkata, penggambaran dilakukan pada September 2022 di beberapa buah lokasi seperti di Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru.
Mengulas harapannya untuk filem ini, Gavin berkata dia mengharapkan naskhah terbaharu itu diterima dan menghiburkan penonton.
Dia yakin mereka yang menonton akan mengenang kembali kehidupan semasa zaman persekolahan dahulu.
“Saya percaya, setiap penonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan. Ia bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi lebih daripada itu,” katanya.
Sementara itu, Michael Chen selaku penerbit eksekutif menjelaskan pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem Geng Kubur kerana kelainan yang ditampilkan.
Michael berkata, Geng Kubur bukanlah sekadar mahu menonjolkan seram samata-mata, tetapi turut menyelitkan beberapa elemen lain untuk diangkat menjadi sebuah filem.
“Selain elemen seram, antara tarikan dan kelainan filem ini adalah ia mengangkat tentang tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.
“Dalam filem ini, setiap watak utama tidak menjalani kehidupan yang sempurna dan mereka perlu berhadapan isu yang melanda diri masing-masing.
“Boleh dikatakan, ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton,” katanya.
Mengenai kos pembikinan pula, Michael mendedahkan kos keseluruhan untuk menghasilkan Geng Kubur adalah sebanyak RM1.2 juta.
Namun begitu, ia bukanlah halangan sebaliknya menghasilkan filem ini telah memberi kepuasan tersendiri buat dirinya.
“Saya dan Gavin sudah lama berkawan dan berkerjasama dalam pelbagai projek sejak tahun 2006.
“Apabila dia mencadangkan idea filem ini, saya percaya ia adalah sebuah naskhah yang sangat menarik untuk diterbitkan menjadi sebuah filem.
“Selain itu, saya juga mempunyai pasukan produksi yang telah memberikan kerjasama sangat baik sepanjang penggambaran.
“Saya sendiri tidak sabar menanti filem ini ditayangkan dan dipertontonkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Michael berkata, filem ini juga turut mendapat maklum balas daripada mereka yang telah menontonnya dalam tayangan yang dibuat secara tertutup.
“Rata-rata yang menonton juga memuji keserasian keempat-empat barisan pelakon. Malah, ada penonton yang mengimbas semula bahawa ada babak dalam filem pernah berlaku dalam diri mereka,” katanya.
Diterbitkan oleh Iron Hill Media Sdn. Bhd., filem Geng Kubur akan menemui penonton di pawagam tanah air mulai 25 April 2024.
SINOPSIS
Firhan, Fang Liang, Prem dan Melati bersahabat baik dan sering menjadikan kubur tempat lepak mereka (kubur bukan muslim).
Firhan yang kehilangan ibu akibat kemalangan 10 tahun lalu, masih tidak dapat melupakan ibunya dan dia sering bergaduh apabila emosinya terganggu.
Dia merasakan mimpinya adalah realiti dan percaya ibunya masih hidup dan telah mengajak kawan-kawannya pergi ke tempat kejadian untuk mencarinya.
Semasa berada di hutan, pemikiran mereka telah dimanipulasi dan mereka mengalami pelbagai kejadian aneh yang menakutkan.
LANGKAWI – RichWorks International Sdn Bhd, selaku peneraju dalam memperkasakan keusahawanan berkongsi cita-cita dan harapan mereka dalam melahirkan dan memupuk ‘100 Gladiators’ ahli TITANIUM yang mencerminkan kecemerlangan keusahawanan dengan pendapatan jualan tahunan yang melebihi RM 10 Juta pada tahun 2024.
Sebagai batu loncatan pada tahun 2024, RichWorks tetap komited untuk memupuk generasi baru Gladiators yang akan membentuk masa depan keusahawanan di Malaysia sambil mengharungi persekitaran yang lebih mencabar pada tahun ini.
Meskipun terdapat liku-liku rintangan yang berbentuk krisis poli-global dan kenaikan kos dalam perniagaan terutamanya dari aspek bahan mentah serta kepelbagaian faktor yang lain, dedikasi dan usaha keras RichWorks tidak pernah putus ke arah mencapai kejayaan berterusan.
Hal ini mencerminkan pemikiran RichWorks yang berdaya tahan dan komited dalam mengatasi sebarang halangan yang bakal tiba.
Sebahagian daripada usaha ini termasuklah pelancaran buku terbaru mereka, THE TITAN GLADIATORS – Perjalanan 65 Usahawan Biasa Capai Jualan Lebih RM10 Juta Setahun yang telah dilancarkan secara rasmi sempena Wiraland Award, Inner Circle Meeting (ICM) untuk ahli Titanium RichWorks di PARKROYAL Langkawi Resort 4 Mac lalu.
Buku ini mengisahkan perjalanan inspirasi 65 usahawan berjaya yang telah berkecimpung dalam dunia perniagaan yang mewakili sebanyak 51 jenis perniagaan dalam pelbagai sektor.
Buku ini juga berlatar belakangkan cabaran, kejayaan, dan langkah strategik yang mendorong individu ini daripada peringkat perniagaan awal hingga melepasi RM10 juta dalam jualan tahunan mereka.
Selain menjadi medan pelancaran buku, Wiraland Award juga mengiktiraf sejumlah 151 perniagaan dalam 16 kategori atas pencapaian dan peningkatan jualan perniagaan mereka antara RM10 juta hingga RM500 juta pada tahun 2023.
Tahun 2023 terus menjadi bukti kecekalan dan kejayaan RichWorks kerana 65 ahli Titanium Gladiators ini berjaya mencecah jualan tahunan terkumpul melebihi RM2 bilion.
Turut mencapai kejayaan dari segi jualan mahupun kepimpinan dan dalam membentuk pasukan kakitangan adalah 541 perniagaan di bawah bimbingan pementoran RichWorks.
“Sumbangan tahunan kami kepada KDNK negara menandakan dedikasi RichWorks kepada kedua-dua pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, sejajar dengan agenda kerajaan untuk memupuk keusahawanan dan memacu pembangunan ekonomi.
“Dengan memperkasakan individu yang berketerampilan dan membangun minda berwawasan, kami secara aktif mendukung inisiatif yang bertujuan untuk memupuk ekosistem keusahawanan yang teguh.
“Berikutnya, inisiatif ini mampu mempamerkan keusahawanan sebagai platform dinamik yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara secara menyeluruh,” kata Mentor, Pengasas dan Pengerusi RichWorks Datuk Wira Dr Azizan Osman.
Sejak penubuhannya pada tahun 2008, RichWorks telah memperkasakan lebih daripada 1.5 juta usahawan lalu meninggalkan impak pada lebih daripada 700,000 peserta yang terbabit melalui program secara langsung (live event).
Organisasi ini beralih dengan lancar kepada platform maya semasa pandemik Covid-19 dan membimbing seramai 800,000 peserta melalui program keusahawanan.
Antara inisiatif yang kerap dijalankan adalah seperti program Millionaire Marketing Mastery yang memberi tumpuan kepada strategi pemasaran zero kos atau berbayar.
Dr Azizan berkata, statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan hanya 17.4 peratus peniaga kecil dan sederhana (SME) di Malaysia yang berjaya mencapai jualan sebanyak RM1 juta setahun.
Malah, hanya 3.4 peratus sahaja yang berjaya mencecah RM10 juta atau lebih setiap tahun.
“Dalam seratus peniaga di luar sana, hanya tiga daripadanya yang berjaya mencapai jualan melebihi RM10 juta.
“Namun, dalam komuniti RichWorks, 40 peratus daripada 300 Titan kita berjaya mencapai pencapaian itu. Sekarang, kita mempunyai matlamat untuk melahirkan 100 Gladiators pada tahun 2024.
“Mereka bukan sahaja akan menjadi jutawan, tetapi juga mampu mencapai jualan melebihi RM10 juta. Ini bermakna peluang pekerjaan akan terbuka kepada lebih ramai orang, dan juga lebih banyak cukai akan dibayar, termasuklah cukai SST dan LHDN.
“Kesimpulannya, usaha ini akan memberikan sumbangan positif kepada ekonomi negara,” katanya.
RichWorks menetapkan matlamat mereka untuk melihat 100 perniagaan mencapai jualan tahunan melebihi RM10 juta pada tahun 2024.
Untuk mencapai visi ini, organisasi ini melantas ke arah mengiktiraf dan menangani cabaran utama usahawan.
RichWorks ingin terus membantu usahawan menguasai pelbagai strategi seperti penjenamaan dan pemasaran untuk menonjol dalam pasaran yang sesak, pembezaan strategik jenama, produk, atau perkhidmatan, pengurusan kewangan yang berkesan, dan banyak lagi.
Usaha RichWorks juga terus meluas melalui penyebaran ilmu, program latihan dan bimbingan, dan penglibatan di platform media sosial yang merangkumi inisiatif secara percuma serta program berbayar yang dilaksanakan secara berperingkat.
Program-program ini bertujuan untuk memperkasakan usahawan sedia ada dan baharu bagi membuktikan bahawa impian dan hasrat mereka boleh berubah menjadi kenyataan melalui bimbingan dan pengetahuan asas yang kukuh.
Dalam masa sama, RichWorks turut melancarkan sesi eksklusif, Business Coaching: Your 1st Million or 10 Million di Kota Bharu, Kelantan pada 24 April dan Shah Alam, Selangor pada 1 Mei akan datang.
Sesi bimbingan ini ditaja sepenuhnya bagi usahawan terutama pemilik bisnes yang ingin mencapai jualan RM1 juta atau lebih RM10 juta pada tahun ini.
KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW, Viu melancarkan Viu Original terbaru, Terlanjur Cinta, karya penerbit veteran Eirma Fatima.
Terlanjur Cinta adalah drama pertama sempena Ramadan yang ditawarkan oleh Viu Malaysia dibintangi Puteri Balqis, Syafiq Kyle, Khir Rahman, Datin Seri Umie Aida, Syafie Naswip dan Syafi Tee.
Siri ini akan mula ditayangkan bermula 14 Mac ini, dengan episod baharu disiarkan pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Ramadan.
Pengurus Negara, Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata, menjelang Ramadan, mereka komited dalam menyediakan kandungan yang dekat di hati penonton.
“Terlanjur Cinta, siri pertama sempena Ramadan dan Viu Malaysia menjanjikan persembahan yang memikat hati penonton dengan kisah percintaan dan kehidupan yang penuh emosi di bulan mulia ini.
“Terlanjur Cinta dihasilkan dan diterbitkan oleh penerbit berpengalaman Eirma Fatima, yang pernah menghasilkan drama televisyen Perempuan Itu (2023).
“Eirma juga pernah mengarahkan filem klasik Malaysia, Perempuan Melayu Terakhir (1999) dan Embun (2002). Beliau juga telah menerbitkan beberapa siri drama popular Aku Bukan Malaikat (2012), Akulah Balqis (2014) dan Pesan Dari Tuhan (2017).
“Terlanjur Cinta bakal menjadi satu lagi portfolio hebat, yang mengukuhkan lagi reputasi beliau sebagai pengkarya berbakat yang terus meningkatkan industri hiburan tempatan,” katanya.
Terlanjur Cinta diarahkan oleh Izuan Mokhtar yang sebelum ini juga seorang pelakon.
Portfolio mantap yang dimiliki Izuan termasuklah drama romantis Aku, Kau & Dia (2012) dan komedi romantis Bella & Jamie (2019).
Sumbangannya sebagai pengarah menghasilkan karya seperti Malaysian Ghost Stories (2021), Bini-bini Lockdown (2022) dan Curi Duit Raya (2022), yang mempamerkan kepakaran beliau dalam pelbagai aspek dan penglibatan kreatif dalam pelbagai genre dan produksi.
Terlanjur Cinta mengisahkan tentang Aishah, seorang gadis muda dari keluarga miskin. Demi menyelamatkan abangnya, seorang penagih dadah dari dipenjarakan dan juga mengubah nasib keluarga dari kemiskinan, Aishah membuat keputusan untuk berkahwin dengan duda terlajak, Pak Majid.
Keputusan ini memaksa Aishah untuk melupakan perasaannya terhadap Amir, teman rapatnya sejak kecil. Keperibadian Pak Majid yang sopan dan budiman membuatkan Aishah jatuh hati walaupun terdapat perbezaan usia.
Namun, sebaik sahaja mendapat sinar kebahagiaan, harapannya musnah setelah Pak Majid yang baru pulang dari lawatan kerja, memperkenalkan isteri barunya.
Kemesraan Pak Majid yang telah berubah menyebabkan Aishah menjadi keliru. Dalam masa yang sama, Amir masih lagi mengintai peluangnya dari jauh, dengan harapan dapat memberi kebahagiaan yang seharusnya dimiliki Aishah.
Dalam pada itu, Sepanjang Ramadan ini, Viu turut melancarkan beberapa inisiatif menarik di mana Viu akan mengunjungi 18 lokasi bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang setiap minggu dan mengedarkan 10,000 barangan eksklusif Viu.
Di samping itu, terdapat juga trak Terlanjur Cinta yang diletakkan secara strategik di pusat membeli-belah yang membawakan pelbagai aktiviti menghiburkan termasuk peluang memenangi hadiah dan barangan eksklusif Viu serta sesi beramah mesra bersama pelakon Terlanjur Cinta pada setiap hujung minggu.
Nantikan maklumat lanjut berkenaan tarikh dan lokasi trak Terlanjur Cinta ini di akaun media sosial Viu Malaysia.
Terlanjur Cinta boleh ditonton di aplikasi Viu, yang tersedia untuk dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei dan TV pintar terpilih, serta di web www.viu.com.
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru untuk lebih ramai lagi menderma organ terutamanya jantung, buah pinggang dan pankreas bagi memastikan kejayaan pemindahan organ di negara ini.
Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 382,020 rakyat Malaysia telah berikrar untuk menderma organ sejak 1997, tetapi hanya 0.02 peratus yang menderma organ mereka.
“Dalam usaha mengelakkan perkara ini, perlu ada kerjasama antara semua pihak untuk memastikan kejayaan pemindahan organ.
“Perubahan daripada segi dasar perlu dilakukan bagi menggalakkan pendermaan organ di kalangan rakyat Malaysia.
“Salah satu pilihan yang kita boleh lakukan adalah meminta rakyat Malaysia menarik diri atau ‘opt out’ daripada menjadi penderma, berbanding meminta rakyat daripada mendaftar secara sukarela.
“Jika kita tidak mampu meningkatkan jumlah pendermaan organ, bagaimana kita hendak menjalankan pemindahan?. Ramai rakyat Malaysia yang sangat mengharapkan organ,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu mencontohi Turki iaitu salah satu daripada negara Islam yang berjaya melaksanakan sebanyak 768 pendermaan organ di 15 pusat jantung di negara itu dari tahun 2008 hingga 2020.
“Di sana, pengurusan sangat baik. Ramai pakar dari negara kita dihantar ke sana untuk belajar lebih lanjut mengenai perkara ini.
“Amatlah rugi jika kita ada kepakaran, namun tidak ada organ yang diterima. Walaupun ada yang sudah berikrar, apabila sampai masanya, keluarga tidak memberi kebenaran,” katanya pada sidang media IJN menyambut kejayaan dua pemindahan jantung, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN, Datuk Dr Aizal Azan Abdul Rahim, berkata masalah kekurangan penderma bukan sahaja dihadapi oleh IJN tetapi juga dihadapi di seluruh dunia.
“Kepentingan penderma organ ini dapat memberikan peluang kedua kepada pesakit untuk terus hidup. Peluang kedua ini sukar untuk didapati.
“Dari segi rawatan, teknologi sudah berubah. Rawatan bertambah baik, berbanding 30 tahun lalu. Jumlah pesakit juga semakin lama semakin kurang.
“Sekarang ada teknologi peranti capaian vaskular implan (IVAD) sebesar tapak tangan sahaja. Ia lebih efektif berbanding alat yang digunakan dulu yang sebesar peti sejuk.
“Di negara barat mereka gunakan alat ini sebagai pengganti pemindahan jantung untuk membantu pesakit tahap akhir kegagalan jantung. Mereka dapat hidup lebih lama dengan mengurangkan gejala lemah jantung,” katanya.
Sementara itu, penerima jantung, Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 20, berkata dia mula menghidap masalah jantung sejak empat tahun lalu.
“Waktu itu saya perlu mengambil pelbagai jenis ubat dan perlu berjumpa dengan ramai doktor setiap hari. Saya diminta untuk ke IJN bagi mendapatkan rawatan lebih lanjut. Sekarang kesihatan saya sudah lebih baik.
“Saya perlu kuatkan semangat untuk kembali sihat. Tidak dinafikan sebelum ini saya cepat penat dan letih. Sejak menerima jantung baharu setakat ini saya tidak mempunyai masalah untuk berjalan jauh,” katanya.
Seorang lagi penerima jantung, Danielle Kang Yu Xin berkata, dia sangat bersyukur dengan peluang menjalani pemindahan jantung ini.
“Saya sangat bertuah kerana ada penderma yang mendermakan jantung dalam masa empat hari. Ia seperti satu keajaiban buat saya,” katanya.
Untuk info, IJN setakat ini telah berjaya menjalankan 29 pemindahan jantung, enam pemindahan paru-paru, enam pemindahan jantung-paru-paru, 36 pemindahan LVAD dan tujuh prosedur pemindahan LVAD kepada jantung.
KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia mengumumkan pelancaran rasmi HONOR Magic6 Pro, flagship baharu yang dinanti-nantikan pada 20 Mac ini.
Pelancaran ini akan disiarkan secara langsung di laman Facebook HONOR Malaysia pada jam 3 petang.
Model terbaharu Siri HONOR Magic ini telah diperkenalkan pada Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2024 di Sepanyol dan menerima ulasan memberangsangkan yang meluas kerana pencapaian dalam menghasilkan inovasi baru dalam industri telefon pintar.
Bayar Deposit RM66 untuk Dapatkan HONOR Magic6 Pro
Sementara itu, HONOR menawarkan bayaran deposit sebanyak RM66 untuk menempah HONOR Magic6 Pro menerusi tawaran awal Early Bird Special yang bermula hari ini hingga 20 Mac.
Nikmati hadiah eksklusif bernilai sehingga RM2,259 terdiri daripada HONOR SuperCharge Wireless Charger Stand, HONOR Watch 4, HONOR Earbuds X6, Setahun Jaminan Tambahan dan Gantian Retak Depan dan Belakang 365 Hari. Selain itu, pembeli Early Bird Special layak mendapatkan 5 kali ganda rebat deposit ketika membuat pembayaran penuh.
Kamera Magis: Peneman Sportografi untuk Menangkap Gambar Jarak Jauh
HONOR Magic6 Pro tampil dengan Sistem Kamera Falcon yang dinaik taraf terdiri daripada Kamera Utama 50MP, Kamera Ultra Lebar 50MP dan Kamera Tele-falcon HONOR 180MP. Kamera Tele-falcon mempunyai keupayaan zum digital 100X mengagumkan untuk menangkap imej zum dekat dengan lebih jelas, sangat sesuai untuk acara sukan. Menariknya, ciri HONOR AI Motion Sensing Capture mampu meramalkan detik penting dan menghasilkan gamba dalam definisi ultra tinggi.
Skrin Magis: Lebih Kuat daripada Pisau Keluli
Skrin HONOR Magic6 Pro dihasilkan daripada Pelindung NanoCrystal HONOR yang adalah sepuluh kali lebih kuat daripada kaca biasa. Pengguna tidak perlu bimbang kerana skrin HONOR Magic6 Pro boleh menahan penggunaan harian dan tidak akan rosak sekiranya terjatuh.
Ia menerima pensijilan lima bintang Five Star Overall Glass Drop Resistance Ability dari SGS untuk pelbagai senario. Paparan ini menawarkan perlindungan dan ketahanan yang tiada tandingan. Lebih menarik, HONOR Magic6 Pro didatangkan dengan Paparan Keselesaan Mata LTPO Kuasa Rendah Semua Julat 6.8-inci yang terkemuka dalam industri untuk kesihatan mata pengguna. Ia turut mempunyai Pemalapan PWM 4320Hz yang tertinggi dalam industri untuk mengurangkan ketegangan mata dan memberi pengalaman menonton yang selesa.
Bateri Magis: Berkualiti Tinggi dan Jangka Hayat Bateri Panjang
Selain itu, HONOR Magic6 Pro dimuatkan dengan Bateri Karbon Silikon Generasi Kedua 5600mAh yang mampu menahan suhu rendah yang melampau. Bateri canggih ini membolehkan penggunaan lebih lama tanpa perlu kerap mengecas peranti.
Bateri ini disokong pengecas pantas berwayar HONOR Wired SuperCharge 80W dan wayarlas HONOR Wireless SuperCharge 66W untuk mencapai kuasa sehingga 100 peratus dalam masa lebih kurang 40 minit sahaja. Selain itu, walaupun pada suhu -20 °C, bateri ini mampu berfungsi dengan cemerlang, malah masih boleh merakam video selama 11 minit dengan hanya 10 peratus hayat bateri.
Pengalaman Magis: Memahami Anda Lebih Baik Daripada AI
HONOR Magic6 Pro dikuasakan oleh cipset terkini Snapdragon 8 Gen 3 untuk prestasi hebat serta keupayaan AI generatif untuk perhubungan lancar. Peranti ini beroperasi dengan MagicOS 8.0 terbaharu sistem pengendalian berasaskan Android HONOR.
Ia adalah UI berasaskan niat yang pertama dalam industri yang boleh memahami bahasa, imej, gerak isyarat dan pergerakan mata untuk memahami kemahuan pengguna. Semua Ini mampu dilaksanakan menerusi Magic Portal dan Magic Capsule.
Magic Portal menggunakan AI untuk memudahkan tugas berdasarkan mesej dan tingkah laku pengguna. Contohnya, ia boleh mengecam alamat dalam mesej teks dan membimbing pengguna dengan pantas ke Google Map untuk navigasi. Pengguna juga boleh berkongsi butiran tempahan atau hasil carian dalam talian terus dari media sosial mereka dengan mudah.
Magic Capsule pula membolehkan pengguna membuka banner notifikasi di bahagian atas skrin untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan serta-merta, tanpa perlu membuka banyak aplikasi. Ia menyediakan akses pantas kepada maklumat penting, sekaligus memberikan pengalaman pengguna yang cekap.
KUALA LUMPUR – Bagaikan pulang ke kampung halaman, itulah perasaan yang akan dirasai pengunjung tatkala melangkah masuk ke bufet Ramadan Kampung Lah, Iftar Citarasa Kampung Lah di G2G by MTG Garden Hall, Seri Kembangan.
Membawa tema kampung halaman ke bandar, pengunjung bakal disajikan dengan hampir 100 hidangan Melayu asli resipi turun temurun Negeri Sembilan yang bakal memberi citarasa berbeza terutama kepada mereka yang merindukan suasana berbuka di kampung.
Pemilik Kampung Lah, Fairuz Idwan berkata, pengunjung Kampung Lah tahun ini bakal merasai pengalaman berbeza seolah-olah berada di kampung dengan pelbagai aktiviti termasuk makan berhidang, alunan lagu-lagu Melayu Asli sekali gus mengimbau kenangan lama mengusik kalbu.
“Keistimewaan kita sudah pastilah masakan salai lemak cili api citarasa asli, resipi tradisi Negeri Sembilan.
“Istimewanya adalah kita salai sendiri menggunakan tempurung kelapa. Cara asli turun temurun.
“Kami bangga berkongsi masakan lemak kami selain hampir 100 juadah lain yang bakal memberi nuansa Melayu asli kepada pengunjung.
“Bayangkan suasana duduk bersama keluarga dan sahabat handai, bergurau senda dan menikmati hidangan dahulu kala.
“Ada juga ulam-ulaman dan kuih-kuih tradisional yang dihidangkan untuk memastikan setiap pengunjung dapat merasai konsep Iftar Citarasa Kampung Lah yang kami sajikan kepada semua,” katanya.
Mendapat sentuhan cef popular dan juga pemilik bersama, Chef Ibnu yang terkenal dengan masakan kampung asli, Kampung Lah turut menyediakan hidangan kambing golek yang berbeza daripada destinasi berbuka lain.
“Di Kampung Lah, proses penyediaan kambing golek berbeza. Kami menggunakan teknik salai sebelum menggoleknya untuk memberi aroma dan rasa berbeza dalam setiap suapan.
“Kami menggunakan tempurung kelapa disamping perapan istimewa. Malah, kelainan yang kami tampilkan adalah kambing golek akan sentiasa bergolek di atas pemanggang sehingga tamat sesi iftar.
“Apabila kambing golek pertama habis, kami akan terus menggolek yang baharu. Ia bagi memastikan setiap pengunjung dapat menikmati hidangan-hidangan istimewa kami tanpa henti.
“Kita mahu pengunjung dapat bergurau senda, menikmati juadah tanpa risau tentang jumlah hidangan yang disediakan,” katanya.
Selain kambing golek, pengunjung juga berpeluang untuk merasai Mee Sotong Hj Tamin yang popular di Johor.
Itu antara keistimewaan yang diperkenalkan Kampung Lah tahun ini kepada pengunjung.
“Untuk tahun ini, sudah semestinya kami membawakan pelbagai aktiviti dan acara termasuk dendangan muzik daripada kumpula Alun Tradisi yang dikenali ramai.
“Nikmat rasa dan halwa telinga kami sajikan tahun ini. Kita juga ada beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.
“Ada juga aktiviti lain bersesuaian dengan konsep dan tema kampung kami tahun ini,” katanya lagi.
Untuk info, Iftar Citarasa Kampung Lah akan membuka tirai hidangan bermula 15 Mac ini sehingga 5 April dengan tawaran harga mampu milik bermula RM98 (early bird) dan RM109 untuk pengunjung.
Selain itu, tawaran potongan 50 peratus kepada kanak-kanak dan warga emas juga turut disediakan selain potongan harga istimewa untuk organisasi bagi belian kuantiti besar.
Kampung Lah mula beroperasi pada 2022 dan mempunyai tiga cawangan di Kota Damasara, Summit USJ dan Serdang (Kampong Salai).
Kampung Lah adalah perniagaan yang dibina bersama Fairuz Idwan yang bertindak di bahagian pengurusan dan Chef Ibnu (inovasi menu hidangan) manakala Diana Rahman bertindak sebagai Pengarah Pemasaran.
Pengunjung yang berminat mencuba bufet Ramadan di Kampung Lah boleh menghubungi talian +6012-7171723 untuk maklumat lanjut dan tempahan juga layari laman sosial Kampung Lah.