28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

‘Ybae Suria Masuk Kampung’ Kepala Batas, Pulau Pinang Sabtu ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM menyajikan pelbagai pengisian menarik menerusi kempen Raikan Yang Dirai sepanjang Ramadan ini dengan penganjuran program “Ybae Suria Masuk Kampung” bermula 16 Mac sehingga 30 Mac ini dengan menampilkan barisan penyampai Suria di beberapa lokasi terpilih seperti di Pulau Pinang (16 Mac 2024), Muar, Johor (23 Mac 2024), dan Lembah Klang (30 Mac 2024).

Pada Sabtu ini (16 Mac), Penyampai Suria FM, Datuk Fizz Fairuz, Ajak, Kai Hassan, Cik Piah, Rara, Chiwan dan DJ Lin, akan turun padang bagi menyantuni penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang bertempat di Masjid Al-Jamiul Badawi.

Acara yang akan bermula seawal 10 pagi itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya rewang bersama penduduk, pengagihan bubur kanji, berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.

Bagi menjayakan kempen #SuriaKongsiRezeki, Suria FM akan turut menyerahkan sumbangan kepada pihak masjid serta kanak-kanak dan warga emas yang hadir.

Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran ADUN Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, program itu bertujuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan berkongsi rezeki selain menghargai kesetiaan pendengar setia sekaligus mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara penyampai dan pendengar Suria FM.

“Di kesempatan ini juga, saya mewakili seluruh warga kerja Suria FM ingin mengucapkan Salam Ramadan Al-Mubarak kepada semua khasnya untuk pendengar setia kami di mana pun mereka berada.

“Buat pendengar Suria di Selatan tanah air, nantikan kedatangan penyampai Suria pada sabtu depan (23 Mac 2024) bertempat di Masjid Sg Abong, Muar, Johor,” katanya.

Selain itu, Suria FM dan FAMA sekali lagi menjalin kerjasama menerusi program “Suria Belanja Makan” yang telah diadakan pada Sabtu lalu (9 Mac) bertempat di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, bersempena sambutan ‘Semarak Ramadan Madani peringkat kebangsaan’.

Acara yang bermula seawal jam 9 pagi itu, turut memberi pengunjung hadiah goodie bag percuma berisi produk Agro Madani dan barangan eksklusif Suria serta berpeluang beramah mesra bersama penyampai Morning Morning Suria, Datuk Fizz Fairuz, Ajak dan Kai Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular