26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

‘Pembunuh Malam’ juara Lagu Terbaik di pentas akhir Anugerah Lagu Indie 2023

editormaxinfo@gmail.com

PUCHONG- Acara kemuncak Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2023 (#ALI2023) telah membariskan persembahan mantap daripada 15 finalis yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Pop, Rock dan HipHop.

Lunar yang membawakan lagu berjudul Pembunuh Malam, sebuah lagu ciptaan Hazeeq Hilman dan Muhd Haziq dalam kategori Pop telah tampil sebagai Juara Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2023 serta berjaya merangkul hadiah tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 (RM5,000 daripada Anugerah Pop Terbaik dan RM15,000 daripada Anugerah Lagu Terbaik).

Selain daripada Anugerah Lagu Terbaik, anugerah lain yang dipersembahkan adalah persembahan terbaik, dan juga anugerah bagi ketiga-tiga kategori.

Dalam Top 5 kategori Pop, “Pembunuh Malam” telah menewaskan empat lagu lain iaitu “Pura”, “Stargazing”, “Luka” dan “Derana” serta merangkul gelaran Anugerah Pop Terbaik.

Top 5 kategori Rock pula, “Souled Out” tampil sebagai Juara Anugerah Rock Terbaik menewaskan “Jiwa (Takhta Milik Kita)”, “In The Haze”, “Inti Sari” dan “Terra Luna”.

Manakala, Top 5 kategori HipHop, “LXF” merangkul Juara Anugerah HipHop Terbaik menewaskan “Ice Cold Castle”, “Candy Mind”, “Gard O Gard” dan “Mimpi Untuk Semalam”.

Penerbit Eksekutif Anugerah Lagu Indie Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya mengucapkan tahinah kepada semua finalis yang telah memberikan persembahan terbaik mereka di Pentas Akhir.

“Kesemua 15 persembahan yang dipertontonkan telah berjaya membuktikan bahawa penggiat muzik indie juga lebih daripada mampu untuk menghasilkan lagu yang berkualiti.

“Sebagai sebuah platform yang dicipta khusus untuk meraikan bakat-bakat indie tempatan yang kreatif, saya berharap Anugerah Lagu Indie dapat diteruskan lagi bagi memberi inspirasi kepada penggiat muzik indie untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti serta kompetitif dalam arena muzik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menyokong dan menjayakan Anugerah Lagu Indie musim keempat ini,” katanya.

Selain daripada persembahan finalis, penonton juga telah disajikan dengan persembahan ‘Tribute Butterfingers’ oleh Leaism dengan lagunya “Epitome”, “Chemistry”, “Ngilu”, “1000 tahun”, “Mati Hidup Kembali”, dan persembahan penutup oleh Bunkface dengan lagu mereka “Silly Lilly”, “Situasi” dan “Malam Ini Kita Punya”.

Anugerah Lagu Indie musim kali ini juga membariskan juri-juri professional yang terdiri daripada AG Coco, Wing Meng, Juwita Suwito, Roshan Jamrock, Edwin Raj, Ariana Adnan, dan Diandra Arjunaidi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular