29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Tiga band Indie meriahkan showcase Hitman Group di Sunway Lagoon

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan ulang tahun ke-15 Hitman Group, anak syarikatnya, Hitman Solutions membawakan tiga gergasi indie negara iaitu Butterfingers, Hujan dan Bunkface dalam sebuah showcase paling epik tahun ini.

‘Und3rground’ yang baharu sahaja melabuhkan tirainya dengan kehadiran penonton seramai 6,000 orang di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, mereka memilih showcase Und3rground bagi meraikan tahun ke-15 penubuhan Hitman Group sebagai penghargaan kepada perjalanan perniagaan mereka.

“Dengan kerja keras yang telah diusahakan selama beberapa dekad ini ia selari dengan pengalaman band-band yang terbabit dalam showcase ini.

“Ini adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan yang telah diraih oleh pengkarya indie negara, bermula dari bawah sehingga dikenali dan disegani, disamping menyediakan platform untuk pengusaha bebas,” katanya.

Showcase yang bermula pada jam 8 malam dan berlangsung sekitar 3 jam itu menyaksikan persembahan hebat dari ketiga-tiga band indie yang beraksi bersama-sama di atas satu pentas. Showcase kemudiannya dihiburkan dengan persembahan selama 45 minit dari setiap band. 

Butterfingers yang dianggotai Loque, Emmett, Loko dan Kadax telah mempersembahkan karya-karya nostalgia mereka seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang, Garden City Of Lights dan lain-lainnya yang nyata mengimbau kenangan masa lalu.

Seterusnya, kumpulan Hujan pula yang terdiri daripada Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat mengubati rindu peminat mereka dengan lagu-lagu yang pernah mengangkat nama band berkenaan seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi.

Manakala band Bunkface yang muncul sekitar tahun 2005 menggamatkan keadaan dengan nukilan hits mereka seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan juga beberapa lagu baharu.

Rohit berkata, mereka menggabungkan showcase ini dengan sambutan ulang tahun ke-15 yang merangkumi segala aspek perkhidmatan yang disediakan, dari pengurusan acara, penerbitan acara, sehingga rangka promosi showcase, kepada pakar teknikal AV (audiovisual), pemasaran dan juga reka bentuk, bagi memberikan yang terbaik.

“Sejak 15 tahun lalu banyak memberikan pengalaman yang berharga buat saya. Saya amat bersyukur dan berbangga dengan semua yang terbabit dalam perjalanan ini, keluarga, rakan-rakan dan dedikasi dari pasukan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua hal.

“Semuanya bermula ketika saya masih lagi remaja dengan menceburi acara kecil-kecilan sehingga berkembang menjadi syarikat pengurusan acara yang menyediakan bukan sahaja perkhidmatan penerbitan acara serta melabur dalam peralatan showcase.

“Kini, kami menawarkan perkhidmatan 360 darjah untuk pakej lengkap. Saya terharu melihat tahap yang telah kami kecapi, dengan sikap yang positif dan pasukan yang betul, semuanya berhasil,” katanya.

Tahun 2024 menjadi permulaan baharu buat Hitman Group yang semakin menerajui industri pengurusan acara di negara ini.

Berkongsi perancangan seterusnya Rohit berkata, dia tidak menyangka dengan pengalaman yang ditempuhi sekarang ini.

“Pastinya kami merencanakan sesuatu yang lebih besar, lebih hebat dengan industri yang pelbagai dan berskala besar.

“Matlamat kami adalah memberikan pengalaman menakjubkan yang berterusan buat rakyat Malaysia, samada pengalaman showcase, berkongsi momen dengan yang tersayang atau sentuhan istimewa pada acara korporat, kami hanya mahu membina memori yang berpanjangan,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular