editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Meraikan kehangatan bulan Ramadan Al-Mubarak yang bakal tiba, Menara Kuala Lumpur telah menganjurkan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk.
Acara itu telah menyaksikan penyertaan bersemangat daripada 17 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada empat tukang masak yang mahir.
Pertandingan tahun ini menampilkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Masjid/Surau.

Manakala, panel juri pula terdiri daripada chef terkenal iaitu Chef Selebriti Zaidah Mohd Noor, Chef Yang Jamil, dan Chef Eksekutif dari ARAS Restaurant KL Tower, Chef Musa.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad berkata, tujuan utama penganjuran pertandingan itu adalah untuk memperkenalkan juadah Bubur Lambuk, sebagai satu masakan tradisional yang perlu dihargai, terutamanya kepada golongan generasi muda.

“Kami mahu memastikan ianya tidak dilupakan dan kekal sebagai sebahagian daripada masakan warisan di tengah-tengah era kemodenan hari ini.
“Acara ini tidak hanya sekadar pertandingan ia adalah peluang untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa menyelami sejarah tentang kaedah memasak bubur lambuk.
“Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai resipi menarik yang disediakan oleh tukang masak,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pada majlis sama Menara Kuala Lumpur telah menjemput anak-anak yatim dan asnaf (mereka yang layak menerima zakat) daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.

Menara Kuala Lumpur turut menyerahkan sedikit sumbangan Kewangan kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.
Sumbangan CSR tidak terhenti di situ, kerana bubur lambuk yang baru dimasak juga telah diedarkan kepada penerima yang layak.
Pertandingan itu berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di mana kesemua pasukan yang menang membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM12,000.