30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 13, 2026
Home Blog Page 213

Empat tahun penantian, Misha Omar noktahi ‘Masihkah Ada Rasa Itu?’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebagai penyanyi yang mementingkan kejujuran dan kesempurnaan dalam berkarya, Misha Omar begitu teliti selain selektif dalam pemilihan lagu untuk memastikan karya yang dihasilkan diterima umum, seterusnya menjadi rujukan dan berdaya tahan merentas masa.

Lantaran itu, penyanyi kelahiran Kelantan berusia 42 tahun itu tidak pernah sesekali mengeluh, meskipun terpaksa menanti lama kerana percaya, penantian panjangnya itu bukan sesuatu yang sia-sia.

Hampir empat tahun tanpa single terbaru selepas kemunculan Tanpa Rela pada Ogos 2020, kelahiran Masihkah Ada Rasa Itu? merungkai segala keresahan dan persoalan peminat yang sentiasa mendambakan buah tangan terbaru daripadanya.

Sudahpun diperdengarkan kepada umum di semua platform muzik sejak 1 Mac lalu, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.

“Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu berkenaan terus ke depan.

“Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya.

“Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.

“Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?,” katanya.

Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.

Misha menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu? yang liriknya ditulis oleh Que Afiq dan ia juga adalah hasil kolaborasi bersama dua syarikat rakaman, Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding karya terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.

Misha berkata, Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu berkenaan.

“Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.

“Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya.

“Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” katanya.

Akur ramai pasti mengharapkan kolaborasi terbarunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.

“Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya.

“Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.

“Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya.

“Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu,” katanya.

Berterima kasih kepada Sharon yang banyak memberinya dan Syafinaz kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian Masihkah Ada Rasa Itu?, Misha mengakui, berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman.

Dia sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.

“Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.

“Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik.

“Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri,” katanya.

Masihkah Ada Rasa Itu? bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan menghiasi slot Akasia di TV3 atau saluran 103 jam 7 malam dan platform penstriman, iQIYI jam 8 malam, satu jam selepas siaran TV3 sepanjang Ramadan ini.

‘Masihkah Ada Rasa Itu?’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music

Miri, Sarawak antara destinasi alam semula jadi paling popular di Asia

editormaxinfo@gmail.com

MENEROKAI lokasi yang menawarkan panorama menarik berlatar belakangkan keindahan alam yang mengagumkan lazimnya menjadi agenda utama kepada pencinta alam sekitar.

Bagi yang sedia berbelanja mereka boleh melangkau ke sempadan negara yang turut menyediakan destinasi alam menarik untuk dijelajahi.

Platform pelancongan digital, Agoda, umpamanya menyenaraikan beberapa destinasi alam semula jadi yang paling digemari dan popular di Asia, berdasarkan data carian yang dibuat pada Januari lalu, sempena pelancaran Eco Deals 2024.

Bagi menyemarakkan minat pelancong terhadap keindahan alam yang unik dan luar biasa di serata Asia Pasifik, Agoda memilih beberapa destinasi alam semula jadi terbaik untuk menghasilkan idea untuk menghubungkan semula diri dengan alam semula jadi melalui hutan purba, lembah yang dalam dan tasik yang tenang.

Berikut destinasi yang hebat dan wajar anda terokai termasuk Miri, Sarawak antara yang menjadi pilihan pengunjung:

Ooty, India

Ooty, dikenali sebagai ‘Queen of Hill Stations’ atau Ratu Stesen Bukit, terletak di Bukit Nilgiri.

Tempat ini adalah sebahagian daripada Rizab Biosfera Nilgiri. Ia adalah kawasan hutan terlindung terbesar di India dan mempunyai sebuah bandar yang terkenal dengan keindahan tasik dan tamannya.

Ooty adalah destinasi idaman pencinta alam yang gemarkan aktiviti berperahu, safari dan mendaki sambil menikmati keindahan alam semula jadi India.

Lombok, Indonesia

Gunung Ranjani Lombok, Geopark Global Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Indonesia menampilkan landskap yang pelbagai landskap yang pelbagai, termasuk savana dan hutan tropika yang dibentuk oleh batu gunung berapi.

Tersergam megah pada ketinggian 3,726 meter, Gunung Rinjani menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari puncanya.

Danau Anak Segara yang terbentuk di dalam kaldera Rinjani menyediakan keindahan yang tenang dan menarik ramai penganut Hindu untuk melakukan upacara pujaan mereka di sana.

Terokai Rinjani-Lombok untuk percutian yang penuh pengembaraan, keajaiban dan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Hakone, Jepun

Hakone adalah sebuah destinasi pelancongan utama Jepun yang menawarkan pemandangan yang menakjubkan serta warisan sejarah yang kaya.

Dikelilingi oleh kawasan pergunungan, tempat ini terkenal dengan keindahan bermusim, mata air panas dan tarikan kebudayaan seperti Tasik Ashi dan Kuil Hakone.

Akses mudah ke Gunung Fuji, pilihan tempat makan yang beraneka jenis dan cenderahati unik menambahkan lagi daya tarikannya untuk pengunjung dari seluruh dunia.

Miri (Sarawak), Malaysia

Miri adalah pintu masuk ke Taman Negara Gunung Mulu yang disenaraikan oleh UNESCO.

Taman Negara itu sebuah kawasan hutan hujan yang kaya dengan hidupan liar dan mempunyai gua yang luas termasuk Sarawak Chamber, ruang gua terbesar di dunia mengikut keluasannya.

Di sini, pelawat boleh menerokai pembentukan kars, mendaki Gunung Api untuk melihat pemandangan yang menakjubkan di puncaknya dan menyaksikan penghijrahan kelawar di Gua Rusa, melalui denai hutan yang mencabar dan juga menaiki bot.

Siquijor Island, Filipina

Siquijor, yang dikenali sebagai ‘Pulau Mistik Visayas Tengah,’ memikat hati pengunjung dengan pemandangan gunung dan air terjun yang indah.

Gunung Bandilaan adalah puncak tertinggi pulau itu mempamerkan tumbuh-tumbuhan asli dan lebih 100 spesies rama-rama yang boleh ditemui semasa mendaki.

Air Terjun Cambugahay yang mempesonakan terletak di dalam hutan hujan yang subur dan dikatakan mempunyai kuasa pemulihan, menjadikannya satu destinasi percutian yang tenang dari kesibukan hidup di bandar.

Jeongseon-gun, Gangwon-do, Korea Selatan

Daerah Jeongseon di Wilayah Gangwon, satu destinasi percutian alam semula jadi yang terkenal dengan pemandangan gunung yang damai.

Ia menampilkan aktiviti luar yang bermusim termasuk pendakian musim sejuk di Hambaeksan dan penerokaan musim luruh Gariwangsan. Pengunjung yang inginkan sesuatu yang mencabar boleh menikmati Byeongbangchi Skywalk yang mengujakan dengan pemandangan panorama di kawasan pergunungan dan lembah di sekelilingnya.

Saksikan keindahan semula jadi Auraji melalui aktiviti rekreasi seperti berakit yang menjadi satu kemestian semasa lawatan anda.

Hualien, Taiwan

Hualien, di pantai timur Taiwan, menawarkan landskap yang menakjubkan, budaya yang kaya dan pengembaraan luar rumah yang mengujakan.

Taman Negara Taroko, satu mercu tanda utama Hualien terkenal dengan pembentukan tebing marmar yang dramatik, hutan yang subur dan sungai yang jernih, dengan denai kembara yang menuju ke tempat pemandangan yang memukau, air terjun dan kuil di tepi gunung.

Sebagai habitat kepada pelbagai hidupan liar, taman ini menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pencinta alam dan penggemar aktiviti kembara. -Berita Harian

Santuni anak-anak asnaf dan tahfiz, Yayasan PEKEMA belanja kelengkapan raya

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Menyantuni dan meraikan 250 anak-anak asnaf dan tahfiz sempena menyambut Aidilfitri, Yayasan PEKEMA (Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) membawa mereka membeli-belah sebagai persiapan Hari Raya di Pusat Beli-Belah Mydin, hari ini.

Program amal yang dianjurkan secara tahunan itu menjadi antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PEKEMA yang bertujuan berkongsi rezeki dan memberi kegembiraan kepada mereka yang memerlukan pada Hari Raya.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata program berkenaan memberi tumpuan kepada anak-anak asnaf dan tahfiz bagi berkongsi rezeki dan menyuntik kegembiraan ketika mereka menyambut perayaan.

Katanya, pihak Yayasan PEKEMA ingin berkongsi rezeki dengan menyediakan persiapan raya supaya mereka juga dapat menikmati suasana di Hari Raya pada tahun ini dengan lebih ceria dan bahagia.

“Mereka yang terdiri daripada 250 anak-anak asnaf dan tahfiz menerima sumbangan baucar bernilai RM200 setiap seorang untuk membeli kelengkapan baju raya.

“Program yang dijalankan Yayasan PEKEMA ini adalah sebagai satu usaha menyantuni dan membantu komuniti setempat.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan sedikit beban mereka dan menghulurkan nikmat berhari raya agar lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan bersedeqah di bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan,” katanya ketika ditemui pada Program Shopping Raya Yayasan PEKEMA Bersama Anak-Anak Asnaf dan Tahfiz.

Nazari berkata, anak-anak asnaf dan tahfiz yang diraikan itu terdiri daripada Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU mata), Anak-anak Kampung Lanchong, Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum dan Sekolah Tahfiz Anak Yatim Alkitab, Kg Paya Beranang.

“Mereka yang terbabit dalam program ini adalah cahaya-cahaya harapan dalam komuniti kita, dengan menyediakan sumbangan dan keperluan untuk menyambut hari raya, kami berharap dapat meringankan sedikit beban mereka serta memberi mereka pengalaman menyambut Hari Raya dengan lebih bermakna.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong dan membantu sesama kita, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan.

“Program ini adalah satu usaha kecil dari Yayasan PEKEMA untuk membawa sinar kebahagiaan dan keceriaan kepada mereka yang memerlukannya.

“Selain program shopping raya, Yayasan PEKEMA turut mengadakan majlis iftar bersama anak-anak asnaf, tahfiz dan jemaah di Masjid Muhammadi, Kuala Lumpur,” katanya.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin dan isteri, Timbalan Presiden PEKEMA, Datuk Wan Sazrudeen Wan Zaid, Setiausaha PEKEMA, Ahmad Faresh Ahmad Zahid dan ahli-ahli jawatankuasa PEKEMA.

Dalam pada itu, PEKEMA turut mengulas mengenai permohonan mereka untuk meningkatkan jumlah kenderaan import terpakai kepada 50,000 unit setahun berbanding 35,000 unit ketika ini.

Mohamed Nazari berkata, pihak mereka masih dalam pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF).

“Kami berharap keputusan mengenainya dapat dibuat secepat mungkin kerana penggunaan permit import (AP) telah meningkat dan permohonan juga berdasarkan pertambahan ahli PEKEMA.

“Dahulu kita cuma ada 99 ahli tetapi sejak tiga tahun lalu ahli kami meningkat kepada 300 orang. AP sedia ada memang tidak cukup untuk semua ahli,” katanya.

Bakal bergelar ahli politik, Once pastikan konsert Trio Terhebat bersama Marcell & Bams Samsons gah

editormaxinfo@gmail.com

Foto Maestro Media

KUALA LUMPUR – Pertama kali hadir ke Malaysia berkolaborasi bersama dua teman vokalis yang sudah punya tanda dagang terkenal lewat magis suara masing-masing, ada keterujaan yang disimpan Once Mekel.

Once Mekel akan berkolaborasi bersama Bams Samsons dan Marcell menerusi Konsert Trio Terhebat Vol. 1 yang dibawakan oleh Arena Muzik bersama sokongan Icon Entertainment.

Penyanyi berusia 53 tahun itu mahu memastikan perkongsian pentas mereka bertiga akan memberi kepuasan kepada peminat.

“Saya cukup teruja untuk berkongsi pentas Trio Terhebat bersama Bams Samsons dan Marcell. Saat dilamar sahabat yang sangat saya percayai, Iman Tang dari Icon Entertainment saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju dengan konsepnya.

“Seingat saya, saya pernah membuat persembahan bersama Marcell di Indonesia tetapi belum pernah dengan Bams.

“Tentu ini (Trio Terhebat) akan menjadi sebuah konsert yang menarik dengan setiap kami mungkin menghadirkan sekitar lapan sehingga 10 lagu.

“Selepas itu saya juga bakal punya kesempatan membuat persembahan dengan band Marcell dan Bams Samsons,” kata penyanyi kelahiran Makkasar ini.

Selain pertama kali sepanggung dengan Marcell dan Bams Samsons yang belum pernah dikongsi meski di negara kelahiran mereka Indonesia, Once mahu pendengar dan peminat mengenalnya sebagai sosok solois berdiri di atas nama Once Mekel, bukan vokalis Dewa 19.

Sedar bahawa namanya dan Dewa 19 tidak akan dapat dihapus dalam sejarah namun Once mahu peminat yang bakal hadir ke Konsert Trio Terhebat pada 4 Mei 2024 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre juga akrab dengan tembang hit miliknya sendiri.

“Apa yang pasti saya akan mendendangkan untaian lagu dari album-album solo Once Mekel.

“Akan saya dendangkan Dealova, Matilah Kau, Simfoni Indah dan Ku Cinta Kau Apa Adanya,” kata Once.

Vokalis yang terkenal dengan nada suara tinggi itu bagaimanapun tidak keberatan jika pihak penganjur iaitu Icon Entertainment mahu dia membawakan lagu Dewa 19.

“Namun secara peribadi saya tidak berhasrat membawa lagu-lagu dari Dewa 19. Tergantung permintaan (penganjur),” kata Once lagi.

Ironi ketidakmahuan Once membawakan lagu-lagu Dewa 19 adalah kerana dihalang pengasas band fenomena itu, Ahmad Dhani.

Dhani melarang membawa lagu-lagu Dewa 19 dalam persembahan solo Once kerana perihal royalti.

Mengulas mengenai isu berkenaan, Once menyifatkan untuk kes bersama Dewa 19, Dhani wajar dan berhak ke atas karya yang dihasilkan.

“Cuma secara peribadi menurut saya jika seorang komposer menghalang penyanyi dengan lagu yang dibikin khas buatnya mendendangkan ia dalam persembahan, itu jadi tidak wajar.

“Soalnya isu royalti adalah antara pencipta dengan penganjur bukan bersama penyanyi. Penyanyi hanya menyampaikan karya yang dibikin buat mereka,” kata Once.

Belantika Muzik Ke dunia Politik

Sementara itu bercakap mengenai percubaan perdananya masuk ke dunia politik menerusi pencalonan dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat pada Pemilu 2024, ada harapan besar yang disandarkan Once.

Once yang juga lulusan undang-undang dari Universiti Indonesia berharap agar dapat memperbaiki sturuktur dalam dunia muzik selain membantu masyarakat dalam kelangsungan hidup sehari-hari.

Sementelah sejak sekian lama sudah ramai rakan seangkatan dari dunia seni terjun ke dunia politik dan bersama mereka, Once mahu mencetuskan sesuatu yang lebih baik dan positif untuk industri kreatif Indonesia.

“Saya mahu memperjuangkan isu berkaitan artis mengenai hak cipta serta undang-undang. banyak perlu diperjuangkan terutama dari segi hak cipta dan undang-undang untuk terus membangunkan industri kreatif Indonesia.

“Selain itu saya mahu mendengar serta membantu masyarakat. Saya lebih senang anggap diri wakil rakyat daripada ahli politik kerana mahu dekat dengan rakyat,” katanya.

Once kini berdebar menanti keputusan sama ada dirinya lolos atau tidak menerusi keputusan pada 20 Mac depan.

“Setidaknya saya mahu dikenali sebagai wakil rakyat dengan imej bersih dan boleh dipercayai,” katanya yang masuk bertanding pada Februari lalu.

Andai dia akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai wakil rakyat, Once mengatakan sama sekali tidak akan meninggalkan dunia seni terutama sebagai penyanyi.

Justeru dia berharap peminat tidak lupa hadir menyaksikan Konsert Trio Terhebat 1.0 bersama Marcell dan Bams di Planery Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 4 Mei depan.

Tiket-tiket dengan nama Kenangan Terindah MYR 1388 ; Dealova · MYR 558; Akhir Rasa Ini · MYR 458; Hilang Naluri · MYR 358; Semusim (S1) · MYR 308 boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.

Pemegang kad kredit Maybank akan menerima potongan harga sebanyak 12 peratus. Manakala pemegang kad debit Maybank pula menerima potongan harga 10 peratus.

Ceroboh perairan negara, bot nelayan asing warga Vietnam ditahan

editormaxinfo@gmail.com

KUANTAN- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) pada jarak lebih kurang 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman pada petang Khamis lalu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya sedang menjalankan rondaan penerbangan dari pasukan udara yang dijalankan sekitar perairan Pahang telah mengesan sebuah bot nelayan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan seterusnya aset kapal Maritim Malaysia yang terbabit dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris diarahkan untuk memeriksa bot terbabit.

“Menyedari kehadiran kapal maritim, bot berkenaan cuba untuk bertindak melarikan diri kerana enggan memberikan kerjasama.

“Selepas berlaku situasi kejar-mengejar lebih 1 jam, bot nelayan terbabit berjaya dipintas seterusnya di tahan sebelum dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

“Hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warganegara Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesemua mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.

“Kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600 ribu bagi setiap kru sekiranya disabit bersalah,” katanya.

Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim supaya terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga terhadap pasukan penguat kuasa bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya membabitkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

Kempen ‘Rara Macam Dulu-Dulu’ imbau nostalgia, empat selebriti jadi wajah kempen tahun ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV3 dan Tonton tampil dengan lebih pengisian, perkongsian dan keseronokkan sepanjang Ramadan Raya 2024 menerusi barisan program yang mantap, on ground activation dan wajah kempen RaRa Macam Dulu-Dulu khas buat peminat yang setia menonton TV3 dan Tonton.

Kempen ‘RaRa Macam Dulu-Dulu’ menampilkan kombinasi empat selebriti lama dan baharu iaitu Norlia Ghani, Zamarul Hisham, Aqil Zulkiflee dan Mika Safiya, serta Aiman Iskandar (A.I) yang mewakili penonton dari pelbagai lapisan umur untuk mengimbau nostalgia zaman dahulu.

Selain itu, dengan adanya visual Aiman Iskandar (A.I), ia dapat menarik perhatian kanak-kanak serta memudahkan proses pembacaan dan proses menghafal niat dan doa.

Tahun 2024 ini, kempen ‘RaRa Macam Dulu-Dulu’ dipilih bagi menggamit memori dan nostalgia kemeriahan sambutan bulan yang penuh barakah ini.

Kempen ini telah membuka tirai dengan TikTok LIVE di akaun rasmi TV3 Malaysia pada 7 Mac yang lalu dengan mengumumkan susunan program menarik di TV3 dan Tonton di samping memperkenalkan wajah-wajah kempen sepanjang Ramadan dan Raya ini.

Kemeriahan kempen ini turut disemarakkan lagi dengan kolaborasi bersama kartunis legenda Ujang, pengarah filem dan drama pendek serta pempengaruh muda TikTok iaitu Odah atau nama sebenarnya Airra Zulkifli. 

Susunan program-program menarik sepanjang Ramadan Raya TV3 dan Tonton

Pelbagai program-program menarik turut merangkumi genre kerohanian, majalah & inspirasi, gaya hidup, bual bicara dan hiburan khas sempena Ramadan Raya tahun ini.

Sebagai pembuka bulan Ramadan, Halaqah yang disiarkan pada 15 Mac 2024 ini diberi nafas baharu dengan tema ‘Rumah Kebijaksanaan, 1 Agama Pelbagai Bangsa’ dan menampilkan tiga mesej utama melalui segmen-segmen menarik iaitu ‘Kemajuan Zaman’, ‘Era Keemasan Abbasiyah’ dan ‘Tugasan Mujaddid’. Barisan panel berpengalaman seperti Haji Ahmad Noor Sulaiman (siarawan), Dato Dr. Danial Zainal Abidin (bintang ilmuwan), Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud (panel analisis) dan Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (bintang ilmuwan) akan mengupas tentang topik menarik berkaitan  ‘A.I. Di Mata Islam’. 

Sementara itu Al-Kuliyyah juga turut membincangkan tentang pengisian berkaitan topik-topik Fiqh, Tawhid, perjalanan kehidupan Nabi Muhammad S.A.W dan topik-topik lain berkaitan dengan ilmu agama. 

Lagu Tema RaRa Macam Dulu-Dulu – Macam Dulu-Dulu (Marsha Milan & Khai Bahar)

Lagu tema tahun ini dinyanyikan oleh finalis AJL iaitu Marsha Milan dan Khai Bahar dengan judul ‘Macam Dulu-Dulu’. Lagu ini merupakan hasil karya Shazee Isyak dan Audi Mok di bawah naungan Alternate Records & Talents.

Filem Pendek Ramadan : Kuah Kacang Nenek (TV3 x Edin Komeng)

Filem pendek istimewa kali ini yang bertemakan ‘Raya Macam Dulu-Dulu’ merupakan kolaborasi TV3 dengan Edin Komeng atau nama sebenarnya Muhammad Izzuddin, seorang pengarah filem dan drama pendek di platform media sosial.

Filem pendek ‘Kuah Kacang Nenek ’ ini menampilkan pelakon berpengalaman dan veteran, Norlia Ghani, memegang watak nenek, dan bergandingan dengan dua pelakon pembantu  yang berbakat besar iaitu Wina dan adik Aqil sebagai cucu-cucunya.

Kandungan filem pendek ini sangat menarik di mana ia  mengisahkan tentang cucu yang derhaka terhadap neneknya di bulan Ramadan. Nak tahu lebih lanjut? Nantikan filem pendek Ramadan: Kuih Kacang pada minggu ketiga Ramadan di platform rasmi Tiktok TV3 Malaysia.

Kolaborasi dengan Ujang X TV3 Tonton

Kolaborasi antara TV3 dan Ujang, kartunis lagenda ini sangat menarik dan dianjurkan secara on-ground menerusi pameran seni di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada bulan Ramadan dan Syawal ini.

Pengunjung serta penonton TV3 yang minat dengan kartun dapat melihat bagaimana kartunis Ujang menghasilkan pameran seni berunsurkan elemen Ramadan Raya dulu-dulu selaras dengan tema RaRa pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Ujang dan beberapa rakan kartunis tempatan menghasilkan seni yang berkaitan dengan unsur-unsur tradisional seperti pakaian, alatan elektronik, kenderaan zaman dahulu, pembaca berita dan personaliti TV3 serta logo TV3. Boleh ikuti perkembangan terkini mengenai pameran ini di laman sosial TV3 dan Tonton.

RaRa Tonton Drama Sangat Fans Special: 2024 Ramadan Raya Drama Reveal

Pada 7 Mac 2024 (Khamis) yang lalu, telah berlangsungnya ‘RaRa Tonton Drama Sangat Fans Special: 2024 Ramadan Raya Drama Reveal’ bertempat di Glamhall Damansara, Petaling Jaya.  TV3 dan Tonton telah mengumumkan antara barisan drama yang bakal bersiaran sepanjang Ramadan Raya tahun ini iaitu, Akasia: Wanita Syurga (Redza Rosli, Siti Khadijah Halim & Riena Diana), Lestary: Iskandar Chempaka (Muaz Zabir, Harissa Adlynn & Raja Azura), Samarinda: Lelaki Itu (Dato’ Adi Putra & Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura & Nabila Huda), Tonton Original Series: Kuih Muah (Shukri Yahaya & Ezzanie Jasny), Ramadan Mini Series: Helo, Saya Anak Uncle! (Izzue Islam & Zara Zya) dan Raya Mini Series: Ya, Cikgu! (Trisha Ooi, Fadhli Masoot & Khir Rahman).

TikTok Original Series: Odah

Seorang remaja, Odah sentiasa berkongsi tentang kehidupannya di media sosial. Namun, personalitinya di dalam talian amat berbeza berbanding realiti. Justin mula menyedari bahawa Odah sudah membuka mata dan lebih menghargai keindahan di luar bandar, terutama ketika bulan Ramadan. Nantikan di akaun Tiktok rasmi TV3 Malaysia.

Kolaborasi bersama Pempengaruh TikTok: Qawiyaro

TV3 juga turut berkolaborasi bersama pempengaruh terkenal, Qawiyaro sepanjang bulan Ramadan. ‘Challenge’ yang akan dilaksanakan oleh Qawi adalah berinteraksi dengan orang ramai dan mereka akan diminta untuk sambung surah yang bakal dibaca olehnya. Nantikan video ‘challenge’ mulai minggu pertama bulan Ramadan di akaun rasmi Tiktok TV3 Malaysia.

TV3 X REV (OHBULAN! & Sirap Limau): Menang Duit Raya Macam Dulu-Dulu

Anda ingin Menang Duit Raya Macam Dulu-Dulu? Jangan lupa, nantikan posting dari halaman media sosial OHBULAN!, XTRA, dan Sirap Limau. Peserta hanya perlu komen di posting media sosial tersebut dengan jawapan yang betul dan pemenang bakal membawa pulang duit raya.

Buka cawangan kedua di Kuala Lumpur, MiraGold tawar emas serendah RM99

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Minat yang mendalam dalam bidang perniagaan membuatkan pasangan suami isteri, Nor Dhamirah Daling dan Mohd Zulatika Ghani nekad menceburi bidang perniagaan emas yang diberi nama MiraGold.

Menggunakan tagline ‘Pencetus Nafsu Sebenar Wanita’, pengasasnya, Nor Dhamirah Daling berkata, MiraGold kini membuka cawangan keduanya iaitu di Taman Melawati, Kuala Lumpur dan sudahpun mula beroperasi sejak 8 Mac lalu.

“Sempena pembukaan cawangan ini, 100 pengunjung terawal berpeluang menikmati promosi menarik antaranya cincin emas berharga RM99 dan rantai tangan berharga RM399.

“Kami berharap jenama MiraGold akan mendapat tempat di hati peminat barang kemas di sekitar Lembah Klang malah menjadi kedai emas nombor satu idaman wanita di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelancaran MiraGold yang berlangsung baru-baru ini, menampilkan peragaan pelbagai koleksi dan rekaan menarik dari kategori evergreen, moden dan juga unik antaranya koleksi rekaan ibu dan anak iaitu set Clover full gold, set Clover enamel, set Evergreen lipan dan set Oro Italia.

Tampil dengan koleksi Dubai, MiraGold menerima sambutan yang menggalakkan bukan sahaja dari seluruh Malaysia, malah bagi pasaran luar negara, ada pelanggan yang datang dari Singapura.

“MiraGold banyak mengetengahkan koleksi Dubai kerana kalau kita tengok koleksi Dubai ini adalah koleksi yang premium, gah dan mewah.

“Kebanyakkan kedai emas kurang mempamerkan koleksi ini sebab harganya yang agak premium,” katanya.

Syarikat yang diterajui pasangan suami isteri itu adalah 100 peratus milik bumiputera dan mula bertapak pada tahun 2018 di Bandar Baru Uda sebelum beralih ke Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor pada tahun 2019.

Beroperasi setiap hari tanpa cuti, bermula 10 pagi hingga 9 malam, MiraGold juga aktif penjualan dalam talian dan live di sosial media seperti Facebook, Tiktok dan Instagram dan mengambil kesempatan sepenuhnya dari media sosial untuk mempromosikan produk mereka.

Bazar Ramadan di Bulatan Sultan Azlan Shah terpanjang di Perak

editormaxinfo@gmail.com

IPOH – Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Meru Raya, yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa sepanjang 500 meter menjadi bazar terpanjang di Perak.

Bazar anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) itu menyediakan ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menjual pelbagai menu antaranya Nasi Vanggey, Royal Popiah Kuala Kangsar, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah dan pelbagai jenis minuman.

Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) PKNPk, Nurdita Fadzlinda Ahmad Rasidi, berkata inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui Perak Sejahtera 2030 untuk memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil dan sederhana mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

“Tahun lalu, PKNPk melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan itu dan berjaya menarik 50,000 pengunjung.

“Bertitik tolak kejayaan tahun lalu, pada tahun ini ia dianjurkan sepenuhnya PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran.

“PKNPk membuat beberapa penambahbaikan bagi memastikan keselesaan buat pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurdita Fadzlinda berkata, PKNPk menyediakan ruang yang lebih luas kepada peniaga dengan keluasan saiz 10 x 20 kaki persegi dengan kadar sewa antara RM1,500 hingga RM2,500.

Beliau berkata, susun atur Bazar Ramadan BSAS pada tahun ini juga lebih selesa untuk pengunjung khususnya laluan pejalan kaki yang lebar selain kemudahan parkir mencukupi.

“BSAS juga adalah lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun.

“Trend berbuka secara santai ini telah menjadi tular pada tahun lalu,” katanya.

Bazar Ramadan BSAS itu beroperasi setiap hari pada jam 3 petang hingga 11 malam bermula 12 Mac lalu hingga 9 April depan.

Perlis United nafi tarik diri bertanding Liga Super

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perlis United FC (PUFC) menafikan kenyataan bahawa kelab bola sepak itu menarik diri daripada bertanding dalam Liga Super musim ini kerana faktor kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUFC, Rozailmee Zulkeply menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Kami di PUFC menafikan sebarang bentuk kenyataan sebegini. Ingin kami tegaskan bahawa kami tidak ada sebarang permusuhan bersama YAB Menteri Besar.

“Berita ini hanya ingin mensensasikan portal berita mereka sahaja.

“Jika benar, sila umumkan siapa sumber dalaman yang dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya.

Laporan portal berita itu antaranya mendakwa PUFC memilih untuk melakukan pusing U dan menarik diri daripada menyertai Liga Super dan mereka telah menghantar surat kepada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan menyatakan hasrat menarik diri daripada menjadi kelab Liga Super kerana faktor kewangan.

Sementara itu, Rozailmee dalam satu lagi hantaran dalam laman Facebook itu memaklumkan sekiranya PUFC menarik diri mereka akan membuat kenyataan rasmi.

Namun begitu, pada masa ini pihaknya masih lagi berusaha melengkapkan empat syarat tambahan seperti diminta MFL sebelum layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license).

“Jika ada yang hendak bantu silakan, kalau tak mohon doakan yang baik-baik,” katanya.