28.5 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 195

Siri HONOR 200 lancar di Malaysia, harga bermula daripada RM1,899

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR melancarkan telefon pintar Flagship Estetik AI terbaharu, Siri HONOR 200 di Malaysia secara rasmi, hari ini.

Membawakan dua versi HONOR 200 Pro dan Standard, peranti kelas pertengahan premium ini mengintegrasikan teknologi termaju dengan estetik fotografi klasik serta keupayaan AI yang berkuasa dengan lancar. Siri HONOR 200 yang direka dengan penuh gaya ini dijual pada harga bermula daripada RM1,899. 

Prapesanan Siri HONOR 200 bermula sekarang

Prapesanan HONOR 200 Pro dan versi standard bermula sekarang sehingga 27 Jun 2024, 3 petang. Pelanggan boleh membuat pembayaran deposit sebanyak RM20 dan bawa pulang hadiah menarik bernilai RM1,078 selepas pembayaran penuh. Hadiah-hadiah ini termasuk:

-Rebat RM200 (Termasuk deposit RM20)

-HONOR Earbuds X6  

-Penggantian Retak Depan & Belakang 365 hari

Prapesanan Siri HONOR 200 boleh dilakukan di pelbagai platform, antaranya di laman sesawang HONOR, kedai HONOR Experience Store di seluruh negara, Shopee, Lazada, dan pengedar sah termasuk Senheng, SenQ dan Urban Republic.

Fotografi Flagship Bertaraf Studio di Tapak Tangan Anda

Siri HONOR 200 baharu melangkaui sempadan fotografi potret dengan HONOR AI Portrait Engine yang dikuasakan oleh AI dan direka secara bersama dengan Studio Harcourt yang terkemuka di Paris. Kedua-dua telefon pintar ini berupaya untuk menangkap fotografi imej potret bertaraf studio dengan lancar.

Terdapat tiga Mod Potret eksklusif iaitu Harcourt Vibrant, Harcourt Colour dan Harcourt Classic. Ketiga-tiga mod ini membolehkan pengguna menangkap imej potret yang mengagumkan dengan efek cahaya dan bayang signature Studio Harcourt dengan hanya menekan butang.

Sebagai tambahan kepada HONOR AI Portrait Engine yang berkuasa, HONOR 200 Pro menampilkan Kamera Utama 50MP yang menggunakan Sensor Kamera Utama H9000 1/1.3 inci yang juga digunakan pada peranti flagship HONOR Magic6 Pro untuk menangkap imej dengan ketelitian yang sangat hebat. Bagi versi standard pula, peranti ini dilengkapi Kamera Utama 50MP Main Camera dengan Sensor Sony IMX906. 

Kedua-dua telefon pintar ini juga menampilkan Kamera Telefoto 50MP yang menggunakan Sensor Sony IMX856 baharu. Ini menjadikan kedua-dua peranti tersebut yang pertama di dalam pasaran Malaysia menampilkan sensor ini serta dipadankan dengan Ultra Lebar dan Kamera Makro 12MP. Bagi memastikan tangkapan imej yang stabil, Siri HONOR 200 juga dilengkapi sistem anti-goyang Dual OIS (OIS+EIS). 

Alami Magic AI Experience dalam Telefon Pintar Kelas Pertengahan Premium

Siri HONOR 200 juga mencatatkan pencapaian dengan menjadi siri HONOR Number pertama yang menampilkan ciri-ciri Magic AI Experience seperti yang dilihat pada Siri HONOR Magic premium. Dengan mengetengahkan MagicOS 8.0 yang terkini, Siri HONOR 200 ini menawarkan pengalaman pengguna tiada tandingan dengan rangkaian ciri-ciri pintar yang dikuasakan oleh AI bagi meningkatkan kefungsian, navigasi dan banyak lagi dengan lancar.

Ciri Magic Portal membolehkan pengguna berinteraksi dengan kandungan berguna seperti teks dan imej secara intuitif dengan menyeretnya dari satu aplikasi ke aplikasi yang lain dengan prompt konteks yang sensitif.

Ciri Magic Capsule pula membolehkan akses mudah kepada ciri-ciri telefon yang lazim digunakan seperti Pemasa, Penggera dan Rakaman Layar Screencasting dengan prompt konteks yang sensitif. 

Bagi keadaan di mana pengguna tidak dapat menyentuh paparan telefon contohnya semasa makan, ciri AI Air Gestures membolehkan mereka melayari dan menikmati kandungan dengan hanya melambai tangan mereka di hadapan skrin telefon.

Magic AI juga mempunyai Folder Pintar yang membantu menyusun skrin utama pengguna secara pintar bagi membolehkan akses kepada aplikasi yang lazim digunakan. Untuk keselamatan tambahan, ciri Blur Private Info melindungi maklumat sensitif seperti alamat dan kata laluan secara pintar semasa mereka berkongsikan imej pada aplikasi sosial atau mesej.

Telefon pintar HONOR 200 Pro memiliki dua ciri Magic AI tambahan iaitu AI Natural Tone 2.0 dan AI Motion Sensing Capture. Ciri AI Natural Tone 2.0 menyesuaikan warna paparan untuk tontonan optimum dengan menganalisis cahaya persekitaran melalui sensor terbina. Manakala AI Motion Sensing Capture pula menangkap gambar subjek yang bergerak pantas dengan kejelasan mengagumkan tanpa kekaburan.

Spesifikasi Flagship yang bernilai

Dengan kuasa, prestasi dan nilai yang luar biasa, Siri HONOR 200 menampilkan Bateri Karbon Silikon 5,200mAh berkapasiti besar dengan sokongan pengecas berwayar 100W Wired HONOR SuperCharge, membolehkan pengecasan penuh dalam tempoh hanya 41 minit. Versi Pro pula menawarkan ciri tambahan pengecas wayarles 66W Wireless HONOR SuperCharge dengan pengecas wayarles yang sesuai.

Di samping itu, HONOR 200 Pro memiliki paparan lengkung AMOLED Quad-curved Floating Display 6.78 inci dengan bezel nipis, manakala versi standard pula memiliki paparan lengkung AMOLED Quad-curved Floating Display 6.7 inci.

Paparan pada kedua-dua telefon pintar ini menampilkan kecerahan HDR tertinggi sehingga 4,000 nits, menawarkan kejelasan yang sangat bagus dalam semua keadaan cahaya beserta Pemalapan Tanpa Risiko 3,840Hz bagi penglihatan selesa. Dua paparan ini diperakui dengan pensijilan TÜV Rheinland Flicker Free Display Certification dan TÜV Rheinland Full Care Display Certification yang berprestij.

Bagi menawarkan prestasi yang efisien dan berkuasa, HONOR 200 Pro disertakan dengan pemproses mudah alih Qualcomm Snapdragon 8s Gen3 terkini dan set cip HONOR C1+RF yang dipertingkatkan untuk kesambungan optimum walaupun berada di kawasan dengan rangkaian lemah, selain menambah baik prestasi rangkaian 5G. Versi standard pula dimuatkan pemproses Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 yang menawarkan kombinasi prestasi dan nilai yang optimum. Kedua-dua versi Pro dan standard ini juga dilengkapkan dengan pembesar suara dwi stereo. 

Harga dan Warna

HONOR 200 Pro didatangkan dengan konfigurasi penstoran 12GB RAM+512GB serta tersedia dengan warna Ocean Cyan dan Moonlight White, pada harga RM2,699.

Versi standard HONOR 200 tersedia dalam dua konfigurasi penstoran, iaitu 12GB RAM+512GB (RM2,199) dan 12GB RAM+256GB (RM1,899) dengan tiga warna menawan iaitu Coral Pink, Moonlight White dan Black.

Sambut baik usaha kerajaan, PEKEMA harap industri automotif kekal berdaya saing

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dalam bidang automotif.

Walau bagaimanapun, PEKEMA menegaskan bahawa kawalan yang ketat terhadap jumlah syarikat yang diberi permit import (AP) terbuka adalah penting untuk memastikan industri automotif kekal berdaya saing.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, pihaknya menekankan beberapa perkara utama bagi memastikan pelaksanaan dasar ini membawa manfaat yang diharapkan.

“Kawalan jumlah syarikat AP terbuka harus dikawal rapi untuk memastikan industri automotif kekal kompetitif. Ini penting bagi mengelakkan lambakan syarikat yang mungkin tidak berdaya saing dalam pasaran.

“Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang mampu menyumbang positif kepada industri automotif yang diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menekankan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada pemain industri yang telah menunjukkan keupayaan dan pengalaman dalam bidang automotif.

“Keutamaan harus diberikan kepada syarikat-syarikat yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal,” katanya.

Nazari berkata, pihaknya turut melahirkan kebimbangan sekiranya syarikat-syarikat yang dilantik tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi, keadaan ini boleh mengakibatkan kerugian besar kerana kenderaan terpakai (recond) mempunyai kadar susut nilai yang tinggi.

“PEKEMA bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman ini boleh mengakibatkan syarikat mengalami kerugian kerana kereta recond ada susut nilai yang ketara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) mengumumkan mengenai pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif, berkuatkuasa 1 Julai 2024.

Dasar baru ini membolehkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif, untuk memohon menjadi syarikat AP Terbuka.

MITI berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

Dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif, menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing.

Dengan pelaksanaan dasar baru ini, kerajaan berharap untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif negara.

‘Meet and Greet’ bersama peminat, Joe Flizzow bakal jayakan konsert solo di Singapura

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Baru-baru ini telah berlangsung majlis “Meet and Greet” bersama ‘Mr. President’, Joe Flizzow bertempat di The Founders Cafe Johor Bahru.

Acara itu turut mendapat sokongan stesen radio terkenal Selatan Tanah Air, BEST FM yang telah menjalankan kempen bagi menyokong usaha sama syarikat Universal Music Malaysia dan juga Def Jam Asia.

Sesi bertemu peminat dan juga acara sidang media secara eksklusif ini diadakan bagi menyokong konsert yang bakal dipersembahkan oleh Joe Flizzow tidak lama lagi di Singapura.

Seramai 20 orang pemenang telah dipilih menerusi kempen yang dijalankan di BEST FM dan mereka telah berpeluang untuk bertemu Joe Flizzow dan SonaOne di satu majlis tertutup di Johor Bahru.

Dalam sesi bertemu peminat selama 20 minit itu, Joe Flizzow telah mempersembahkan sebuah lagu khas buat peminat-peminat beliau yang bertuah.

Kempen ini adalah salah sebuah inisiatif bersama pihak penganjur, Filloz International dan LR Asia dengan kerjasama BEST FM dan juga penaja lokasi, The Founders Cafe Johor Bahru bagi mempromosikan konsert di Singapura yang bakal diadakan pada bulan depan.

Konsert THIS IS JOHAN, LIVE IN SINGAPORE bakal diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 5 Julai 2024, jam 8 malam.

Konsert ini turut mengundang enam rakan-rakan artis lain bagi memeriahkan acara yang akan berlangsung selama 2 jam.

Antara artis-artis yang bakal terbabit dalam konsert ini adalah Alyph, SonaOne, Gard, Ila Damiaa, MK K-Clique dan juga Adeep Nahar.

Seperti konsert-konsert yang pernah dijalankan sebelum ini di Kuala Lumpur, konsert ini bakal menampilkan DJ Cza dan Joe Flizzow yang akan membawakan lebih daripada 20 buah lagu khas buat peminat muzik hip-hop di Kota Singa.

Konsert ini adalah konsert solo pertama Joe Flizzow di Singapura.

Berkongsi mengenai perasaannya Joe berkata, dia sangat teruja untuk membuat persembahan di Singapura bersama-sama pemuzik dan juga rakan artis jemputan dari Singapura dan Malaysia.

“Saya akan mempersembahkan beberapa buah lagu baru dari album terkini, yang belum pernah diperdengarkan di mana-mana lagi.

“Bagi saya, Singapura adalah satu tempat yang harus ada dalam Tour This Is Johan dan saya gembira yang tour ini akan bermula di Singapura,” katanya.

Harga tiket konsert This Is Johan Live in Singapore bermula dari SGD88 sehingga SGD208 berserta sesi “Meet n Greet” bersama Joe Flizzow.

Penaja utama bagi konsert ini adalah POP Motif Interior, manakala radio rasmi di Singapura adalah RIA 89.7 dan konsert ini juga mendapat sokongan daripada Mangobossku Singapura.

Misi yang sama, penyamar yang berbeza, I Can See Your Voice Malaysia musim 7 lebih riuh

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejak diperkenalkan, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) telah mencipta fenomena tersendiri dengan pengikutnya yang setia.

Ini adalah program realiti hiburan di Malaysia yang sambutan hangat saban tahun dengan capaian sehingga 14 juta tontonan sepanjang enam musim.

Program yang dinanti-nanti kini kembali dengan musim ketujuh dengan penampilan penyanyi-penyanyi misteri bersama barisan baru panel tetap yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air, menjanjikan lebih banyak kejutan dan persembahan yang luar biasa untuk penonton di seluruh negara. 

I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh (ICSYVMY7) akan bersiaran selama 11 episod dan akan membuka tirainya bermula 23 Jun, setiap hari Ahad, jam 9 malam hanya di TV3.

Kini tiba masanya untuk anda memulakan misi baharu dan lakukan siasatan anda bersama keluarga menerusi ICSYVMY7.

Di bawah tajaan CelcomDigi, program ini diketuai oleh Jamil Hassan sebagai Penerbit Eksekutif dan Ikha Arnisya sebagai Penerbit.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan ini masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacara musim ketujuh ini. 

Gandingan mantap mereka berdua yang serasi dan lucu sememangnya membuat peminat dan penonton setia ICSYVMY tidak kering gusi. 

Konsepnya yang unik, menjadikan rancangan ini terus mendapat tempat di hati peminat dengan kombinasi hiburan, drama dan teka-teki yang mencabar.

Jamil berkata, untuk musim ini I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh menjanjikan banyak elemen-elemen baharu dan menarik.

“Penonton akan dapat menyaksikan gelagat lucu yang pasti dapat menceriakan malam mereka.

“Kami telah berusaha keras untuk memastikan setiap episod lebih menghiburkan daripada sebelumnya,” katanya.

Pengacara ICSYVMY7, Izzue dan Shiha memberi pandangan yang sama.

“Kami sangat gembira untuk kembali bersama penonton dan tidak sabar menyaksikan kejutan-kejutan hebat yang menanti. 

“Setiap musim mempunyai keunikan tersendiri dan kami yakin musim ini akan menjadi yang terbaik,” kata mereka.

Pada musim ini anda akan dihiburkan lagi dengan gelagat barisan panel penyiasat tetap baharu yang terdiri daripada pelakon, pelawak dan penyanyi hebat tanah air iaitu Naim Daniel, Riena Diana, Bell Ngasri dan Siti Khadijah Halim. Berjayakah mereka menggalas tanggungjawab untuk mencari penyanyi sebenar? Atau adakah mereka dipertanggungjawabkan hanya untuk meriuhkan keadaan dan menimbulkan kekeliruan penonton di rumah?

Istimewanya musim ini, penonton akan menyaksikan ICSYVMY7 tampil dengan tema pakaian yang berbeza seperti Seram, Bollywood, Rock dan Retro di episod yang tertentu.

Berbeza dari musim yang lalu, musim ini akan menampilkan artis jemputan bukan hanya terdiri daripada kalangan penyanyi sahaja, bahkan juga pelakon dan pelawak.

Barisan panel tetap dan panel jemputan diberikan peluang sebanyak empat pusingan bagi membantu artis jemputan untuk memilih penyanyi yang sebenar.

Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Manakala penyanyi sebenar mungkin akan berpeluang menyertai Alternate Records & Talents dan merakamkan single bersama komposer terkenal.

Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar yang perlu disingkirkan.

Seperti biasa, artis jemputan akan memperoleh bantuan dari panel penyiasat tetap dan panel penyiasat jemputan untuk mengenal pasti penyamar dan penyanyi sebenar pada setiap episod.

Antara artis jemputan yang akan meriahkan lagi suasana di ICSYVMY musim ketujuh ini adalah Sharif Zero, Chacha Maembong, Amy Mastura, Janna Nick, Khai Bahar, Adira Suhaimi dan ramai lagi.

Manakala, panel penyiasat jemputan pula terdiri daripada Ryan Bakery, Azhan Rani, Anna Jobling, Nadeera, Ernie Zakri, Datuk Yusof Haslam, Marsha dan ramai lagi.

Terus berkembang, Buttonscarves buka cawangan keenam di Suria KLCC, Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama Buttonscarves dengan bangganya mengumumkan pembukaan rasmi butik keenam mereka di Malaysia, iaitu di pusat beli-belah terkemuka Suria KLCC.

Pembukaan itu menandakan pencapaian penting dalam kempen #ButtonscarvesGoesGlobal di mana jenama ini, mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan pengalaman fesyen premium kepada komuniti BSLady yang sentiasa berkembang di Malaysia dan di luar negara.

Dihadiri oleh pelbagai VIP, selebriti, dan ahli komuniti BSLady, acara ini menggambarkan aura keanggunan dan perayaan budaya.

Sebagai CEO dan Pengarah Kreatif Buttonscarves, Linda Anggrea sentiasa memukau penonton dengan visinya untuk Buttonscarves disamping menekankan penyatuan tradisi dan modeniti dalam setiap rekaan.

Jelas dengan visinya, Buttonscarves terus menentukan semula premium dalam dunia fesyen.

“Pembukaan rasmi butik kami di Suria KLCC melambangkan langkah penting dalam perjalanan kami untuk membawa Buttonscarves ke persada global.

“Terima kasih atas sokongan yang luar biasa dari tetamu terkemuka kami, selebriti, dan komuniti BSLady yang dinamik dan terus memberikan komitmen terhadap kami untuk menentukan semula fesyen yang lebih premium,” katanya.

Butik baru ini menawarkan pelbagai produk premium, termasuk pilihan eksklusif shawl, beg kulit asli, kasut, dan aksesori.

Sebagai tambahan yang unik, pelanggan juga boleh meneroka rangkaian menarik dari Buttonscarves Beauty, barisan jenama yang mengkhususkan dalam penjagaan kulit, solekan, dan wangian.

Pelanggan boleh merasa sendiri kehalusan kerja tangan yang eksklusif dan kualiti yang tiada tandingan dari barangan kulit asli Buttonscarves, serta meneroka wangian menarik dari Buttonscarves Beauty Eau De Parfums.

Sementara itu, Pengarah Negara Buttonscarves Malaysia, Sharifah Itasha Jamalullai berkata, dengan setiap pembukaan butik, mereka berusaha untuk mencipta ruang di mana fesyen menjadi jambatan yang menghubungkan budaya dan komuniti yang berbeza.

“Butik Suria KLCC kami melambangkan watak dan berfungsi sebagai mercu tanda keanggunan serta inklusiviti bagi peminat fesyen di seluruh dunia,” katanya.

Pembukaan rasmi butik Buttonscarves di Suria KLCC membawa kisah baharu dalam perjalanan jenama ini, mengukuhkan komitmen kepada keunggulan, inovasi, dan pengembangan global.

Sementara Buttonscarves terus berkembang, ia tetap berazam untuk memperkasakan individu untuk merangkul gaya unik mereka dan meraikan seni fesyen.

Buttonscarves adalah jenama fesyen global yang ditubuhkan pada tahun 2016 yang berdedikasi untuk menghasilkan barang-barang bergaya menggunakan bahan yang terbaik dan reka bentuk yang luar biasa.

Sehingga kini, Buttonscarves mempunyai lebih dari 45 butik di seluruh Indonesia, 6 di Malaysia, dan terus berkembang pesat secara atas talian di Singapura dan Brunei Darussalam.

Selain tersedia di pusat-pusat membeli-belah utama di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara, Buttonscarves juga turut menyediakan penghantaran melalui pesanan di www.buttonscarves.com.my.

Filem Zim Zim Ala Kazim angkat kisah nyata Ustaz Kazim

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Pasti ramai tahu akan kisah Datuk Ustaz Kazim Elias yang dikatakan terkena penyakit misteri bertahun-tahun lamanya.

Pelbagai kejadian aneh dilalui malah sehingga kini Ustaz Kazim dikatakan masih susah untuk tidur malam.

Filem Zim Zim Ala Kazim mengangkat kisah dan suka duka yang dilalui oleh Ustaz Kazim selama melalui derita dan sengsara akibat perbuatan jahat manusia.

Diterbitkan oleh Mawi World Entertainment Zim Zim Ala Kazim dilakonkan sendiri oleh Ustaz Kazim.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus jalan cerita dalam filem ini adalah kisah sebenar ustaz sendiri.

Selaku penerbit dan pengarah, Mawi berkata, idea untuk menghasilkan filem ini bermula selepas perjumpaan dengan dengan Ustaz Kazim sendiri.

“Ketika berjumpa kami berborak dan beliau telah berkongsi kisah penyakit misteri yang dialaminya selama ini.

“Bagaikan satu kisah mistik dan sebenarnya apa yang dilalui Ustaz Kazim itu, saya juga pernah melalui keadaan yang lebih kurang sama,” katanya.

Mawi berkata, selepas perkongsian kisah itu dia terfikir untuk menghasilkan dalam bentuk skrin dan akhirnya meminta kebenaran untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat cerita pengalaman yang dilalui oleh pendakwah itu.

Katanya, dia lega apabila Ustaz Kazim turut memberikan persetujuan bagi menghasilkan filem ini.

“Tidak sukar untuk saya meyakinkan beliau. Pada perjumpaan kali kedua, ustaz ceritakan lebih mendalam dan perjumpaan kali ketiga saya turut membawa penulis skrip bersama.

“Mengenai jalan cerita pula, kira-kira 70-80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik,” katanya.

Zim Zim Ala Kazim mengisahkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal dibintangi oleh barisan pelakon seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.

Selain Ustaz Kazim sebagai watak utama, Mawi sendiri turut berlakon dalam naskhah baharunya itu.

Dalam pada itu, Mawi tidak menafikan pendakwah berkenaan ada meletakkan syarat jika mahu kisahnya itu diangkat menjadi filem.

“Syarat paling utama Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi ‘hero’. Pada awalnya, saya sudah ada pilihan untuk pegang watak beliau.

“Namun, beliau sendiri mahu lakonkan watak dirinya. Memang agak terkejut juga, namun saya kagum dengan keberaniannya untuk berlakon dalam filem ini,” katanya.

Berkongsi tentang pembikinan filem berkenaan, Mawi berkata, filem itu melakukan penggambaran sekitar dua tahun lalu selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim sendiri di Kampung Manjoi, Perak.

Katanya, sepanjang penggambaran semuanya berjalan lancar, namun mengakui ada berlaku beberapa kejadian mistik.

“Ada satu masa itu ketika hendak memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula.

“Sehinggakan kulitnya ada keluar darah. Apa pun situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik.

“Saya berharap penonton terhibur dan dapat menerima apa yang ingin disampaikannya.

“Mungkin ada yang suka atau sebaliknya, tetapi sebagai seorang pembikin filem, saya sedia menerima sebarang kritikan dan sudah biasa melaluinya.

“Untuk hasilkan filem ini bukanlah mudah, tambahan pula saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah.

“Dengan bajet hanya RM600,000 saya berharap tidak ada yang meletakkan harapan terlalu tinggi untuk melihat filem ini menepati cita rasa mereka, apa yang penting semua terhibur,” katanya.

Filem Zim Zim Ala Kazim sudahpun menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 13 Jun lalu.

TV AlHijrah saji program istimewa haji dengan tema Pengorbanan Suci Pembersihan Jiwa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stesen TV AlHijrah tahun ini melancarkan Kempen Haji 1445H dengan tema Pengorbanan Suci Pembersihan Jiwa.

Kempen Haji 1445H yang akan berakhir pada 20 Jun 2024, membawakan kepada penonton 4 program terbaik buat santapan rohani.

Program-program berkenaan adalah Munajat Arafah, Peristiwa Haji, Assalamualaikum Istimewa Aidiladha dan Quran@114 Istimewa Aidiladha.

Pemangku Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan, Zulkarnaen Mokhtar berkata, kesemua program ini bermatlamat memberi informasi dan pandangan terkini berkaitan ibadah haji.

“Bersesuaian dengan tema Pengorbanan Suci Pembersihan Jiwa, kita mahu penonton untuk bersama-sama menghayati erti sebenar pengorbanan rohani Aidiladha yang menuntut umat Islam meneroka sejarahnya, mendalami definisi dan kisahnya serta mempelajari kepentingan bulan Zulhijah ini dalam pembentukan adab, akhlak dan sahsiah diri yang baik.

“TV AlHijrah kali ini membawakan empat program istimewa. Munajat Arafah akan disiarkan selama 2 jam siaran pada 16 Jun 2024, bermula jam 5 petang hingga 7 malam.

“Rancangan ini akan membawa penonton bersama-sama bermunajat kepada Allah dan menghayati makna hari arafah yang disampaikan oleh pentausiyah sambil diselangi alunan bacaan al-Quran, zikrullah, talbiah dan persembahan qasidah,” katanya.

Katanya, selain itu, rancangan Peristiwa Haji juga tidak kurang hebatnya. Peristiwa Haji yang disiarkan pada 17 Jun, jam 9.30 malam adalah imbauan buat penonton menelusuri sejarah era pelayaran menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan utama menuju ke Mekah.

Penonton juga akan dibawa menghargai kejayaan teknologi terkini yang banyak membantu urusan jemaah haji.

“Jangan lepaskan peluang menyaksikan rancangan Quran@114 Istimewa Aidiladha setiap hari, sepanjang Jun ini, jam 11 pagi.  

“Kami bawakan kelas al-Quran ke rumah anda. Istimewanya, program ini bukan sekadar mengajak penonton untuk sama-sama membaca ayat-ayat suci al-Quran, tetapi mereka juga akan didedahkan dengan konsep tadabbur, tafaqquh, tazakkur, dan i’tibar.

“Rancangan Assalamualaikum Istimewa Aidiladha juga antara tarikan utama. Pelbagai topik semasa haji akan dikupas dengan panel-panel jemputan terbaik yang mempunyai pengalaman luas dalam urusan rukun Islam kelima ini.

“Kesemua rancangan terbaik ini boleh juga ditonton atas talian secara strim di aplikasi AlHijrah Plus di telefon pintar masing-masing,” katanya.

Fitnah produk keluarannya, K-Colly ambil tindakan terhadap dua individu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama produk makanan kesihatan tambahan popular K-Colly bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa telah memfitnah produk mereka pada bulan lalu di laman sosial TikTok dan Facebook.

Tuduhan fitnah yang dilemparkan itu mendakwa produk K-Colly  menjejaskan kesihatan sehingga buah pinggang mengecut dan telah dimuat naik dalam sebuah video yang telah viral di TikTok, selain komen berunsur fitnah di Facebook.

Mewakili K-Colly, peguam Azreen Azmi daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata, reputasi bersih yang dibina K-Colly selama 13 tahun telah tercalar dengan tuduhan tidak berasas itu dan syarikat ini mengalami kerugian kerana jualan terjejas.

“Pihak K-Colly telah pun membuat dua laporan polis di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis.

“Bagi pihak K-Colly kami mahukan permohonan maaf daripada dua individu terbabit dan tuntutan ganti rugi.

“Jika mereka tidak memberikan kerjasama, pihak K-Colly akan mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) dan akan memfailkan saman seterusnya membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Azreen turut memberi amaran kepada netizen agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang tuduhan dan komen di platform media sosial.

“Andai tuduhan yang dibuat adalah fitnah sehingga menjejaskan reputasi jenama atau individu, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media berkenaan isu itu, semalam.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pengurus Besar K-Colly; Mohd Zulkifli Hussain, Saintis Synamatix Sdn Bhd; Dr Mohd Redza Abd Rahman dan Konsultan dan Saintis Bio Teknologi Tumbuhan; Dr. Siti Latifah Abdul Kadir.

Sementara itu, Dr Mohd Redza Abd Rahman berkata, pihaknya menegaskan produk K-Colly telah menjalani pemeriksaan di makmal bertauliah dan telah melepasi ujian Sijil Analisis (COA) yang mengesahkan tiada pencemaran logam berat dan microbial (kuman).

“Produk K-Colly mengandungi bahan semula jadi yang telah menjalankan kajian dan tidak memberi impak kepada kesihatan terutamanya buah pinggang jika mengikut dos yang telah disarankan.

“Oleh itu, produk K-Colly selamat untuk dimakan oleh semua,” katanya.

Dr. Redza berkata, terdapat banyak faktor untuk mendapat masalah buah pinggang dan pihaknya sedar sebelum ini terdapat kes membabitkan masalah buah pinggang kerana penggunaan makanan tambahan tetapi bukanlah produk K-Colly.

 “Selama 13 tahun inilah kali pertama K-Colly menerima aduan dan viral seperti ini.

“Bagi tuduhan yang dibuat individu berkenaan yang mendakwa mengalami masalah buah pinggang tidak sampai seminggu menggunakan produk K-Colly secara asasnya apa yang diceritakan itu tidak menepati pola (pattern) pathophysiology pesakit kecuali dia mengambil racun. Tetapi dalam produk K-Colly tiada racun,” kata Dr. Redza.

Dalam pada itu, Dr. Siti Latifah Abdul Kadir turut mengesahkan bahan-bahan yang terkandung dalam produk K-Colly adalah selamat untuk digunakan.

Menangi wang tunai RM5,000 menerusi pertandingan ‘Bey Sobar Bey’ Freestyle Dance di platform TikTok 

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Minyak Masak Kijang Gold dengan kerjasama Kijang Music dengan bangga mengumumkan penganjuran pertandingan yang begitu mengujakan.

Dengan tawaran hadiah wang tunai berjumlah RM5,000, ini adalah peluang yang sangat istimewa dan menarik untuk diraih peminat lagu viral “Cinta Setandan Pisang” (Bey Sobar Bey) nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo.

Lagu ini sudah pun meraih lebih daripada 10 juta tontonan di YouTube dan baru-baru ini bertakhta sebagai lagu paling popular di TikTok.

Bukan itu sahaja, lagu ini juga telah mendapat kedudukan tangga ke-4 dalam carta RIM.

Anda berpeluang memenangi wang tunai dengan jumlah yang begitu besar hanya dengan menyertai cabaran ‘Bey Sobar Bey’ Freestyle Dance di platform TikTok yang popular ini.

Pasti ramai yang akan berasa gembira dan bersemangat untuk menyertai pertandingan yang amat menyeronokkan ini.

Ini benar-benar peluang yang tidak harus disia-siakan! Mari kita cuba nasib dan rebut peluang memenangi hadiah wang tunai yang lumayan ini!

Juara pertandingan akan menerima hadiah berupa RM2,500 sementara pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang RM1,000 dan pemenang tempat ketiga akan menerima RM500. Seramai 10 pemenang saguhati juga akan menerima RM100 setiap seorang. 

Dengan ganjaran disediakan, sudah tentu ia akan menarik minat ramai peserta untuk beraksi dan mempersembahkan bakat tarian ‘freestyle’ mereka yang tersendiri. 

Berikut adalah terma dan syarat pertandingan;

1. Pastikan anda ‘follow’ akaun TikTok @kijangmusic dan @minyakmasakkijanggold1

2. Rakam video anda secara individu atau berkumpulan berlatarbelakangkan lagu, ‘Cinta Setandan Pisang’ (Bey Sobar Bey) nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo dengan durasi maksima 1 minit.

3. Muat naik video anda di akaun TikTok anda dan pastikan ‘mention’ @kijangmusic dan @minyakmasakkijanggold1

4. Pastikan profil akaun TikTok anda pada tetapan ‘PUBLIC’.

5. Pertandingan ini terbuka dari 18 Mei sehingga tarikh tutup pada 18 Jun 2024.

6. Pemenang akan ditentukan oleh panel juri dari Kijang Gold dan Kijang Music berdasarkan kreativiti tarian dan jumlah tontonan video di TikTok.

7. Semua keputusan juri adalah muktamad dan sebarang pertikaian keputusan tidak akan dilayan.

8. Senarai nama pemenang akan diumumkan dalam akaun TikTok Minyak Masak Kijang Gold & Kijang Music pada 21 Jun 2024.

9. Pekerja syarikat, pembekal dan syarikat sekutu yang berkaitan dengan Kijang Gold & Kijang Music tidak layak untuk menyertai pertandingan ini.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai pertandingan  ‘Bey Sobar Bey’ Freestyle Dance di platform TikTok anjuran Kijang Gold dan Kijang Music.

Untuk mendapat inspirasi gaya tarian, peserta boleh menonton video muzik rasmi “Cinta Setandan Pisang” nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo di pautan ini https://youtu.be/pBjHSguTk5s?si=Owd8uPdolC1IRRUB