editormaxinfo@gmail.com
JOHOR BAHRU – Baru-baru ini telah berlangsung majlis “Meet and Greet” bersama ‘Mr. President’, Joe Flizzow bertempat di The Founders Cafe Johor Bahru.
Acara itu turut mendapat sokongan stesen radio terkenal Selatan Tanah Air, BEST FM yang telah menjalankan kempen bagi menyokong usaha sama syarikat Universal Music Malaysia dan juga Def Jam Asia.
Sesi bertemu peminat dan juga acara sidang media secara eksklusif ini diadakan bagi menyokong konsert yang bakal dipersembahkan oleh Joe Flizzow tidak lama lagi di Singapura.

Seramai 20 orang pemenang telah dipilih menerusi kempen yang dijalankan di BEST FM dan mereka telah berpeluang untuk bertemu Joe Flizzow dan SonaOne di satu majlis tertutup di Johor Bahru.
Dalam sesi bertemu peminat selama 20 minit itu, Joe Flizzow telah mempersembahkan sebuah lagu khas buat peminat-peminat beliau yang bertuah.
Kempen ini adalah salah sebuah inisiatif bersama pihak penganjur, Filloz International dan LR Asia dengan kerjasama BEST FM dan juga penaja lokasi, The Founders Cafe Johor Bahru bagi mempromosikan konsert di Singapura yang bakal diadakan pada bulan depan.
Konsert THIS IS JOHAN, LIVE IN SINGAPORE bakal diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 5 Julai 2024, jam 8 malam.

Konsert ini turut mengundang enam rakan-rakan artis lain bagi memeriahkan acara yang akan berlangsung selama 2 jam.
Antara artis-artis yang bakal terbabit dalam konsert ini adalah Alyph, SonaOne, Gard, Ila Damiaa, MK K-Clique dan juga Adeep Nahar.
Seperti konsert-konsert yang pernah dijalankan sebelum ini di Kuala Lumpur, konsert ini bakal menampilkan DJ Cza dan Joe Flizzow yang akan membawakan lebih daripada 20 buah lagu khas buat peminat muzik hip-hop di Kota Singa.
Konsert ini adalah konsert solo pertama Joe Flizzow di Singapura.
Berkongsi mengenai perasaannya Joe berkata, dia sangat teruja untuk membuat persembahan di Singapura bersama-sama pemuzik dan juga rakan artis jemputan dari Singapura dan Malaysia.

“Saya akan mempersembahkan beberapa buah lagu baru dari album terkini, yang belum pernah diperdengarkan di mana-mana lagi.
“Bagi saya, Singapura adalah satu tempat yang harus ada dalam Tour This Is Johan dan saya gembira yang tour ini akan bermula di Singapura,” katanya.
Harga tiket konsert This Is Johan Live in Singapore bermula dari SGD88 sehingga SGD208 berserta sesi “Meet n Greet” bersama Joe Flizzow.
Penaja utama bagi konsert ini adalah POP Motif Interior, manakala radio rasmi di Singapura adalah RIA 89.7 dan konsert ini juga mendapat sokongan daripada Mangobossku Singapura.